ANTARA
MOHAMMED AZMI BIN MOHD SAID………………………………..PEMOHON
DAN
MYSARAH HIFAA’ ZAFIRAH BINTI MOHAMAD ZAIN……………………RESPONDEN
Undang-Undang Pentadbiran – Semakan kes terhadap bantahan awal - Kuasa Mahkamah Tinggi Syariah untuk memanggil rekod –Sek. 63 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003 - Undang-Undang Keluarga – Tuntutan nafkah anak- Lamanya tempoh nafkah anak - anak mencapai umur 18 tahun – sama ada perintah nafkah berakhir secara otomatik - sama ada tindakan boleh dibuat oleh ibu sebagai penjaga atau memerlukan keizinan terlebih dahulu – Sek. 80 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Sembilan) 2003 – Undang-Undang Tatacara – tuntutan tidak jelas dan kabur- kepentingan pliding dan penyata tuntutan yang lengkap – Penentuan pihak-pihak - Sek. 63 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003
FAKTA KES
Ini adalah satu permohonan semakan yang difailkan oleh Pemohon, Mohammed Azmi bin Mohd Said atas keputusan Tuan Hakim Mahkamah Rendah Syariah Daerah Seremban pada 17hb April 2009 melalui kes Mal 05005-024-0769-2008, iaitu mengenai satu tuntutan nafkah anak.
Fakta kes secara ringkas ialah, pada 8hb Julai 2008, Responden, iaitu Mysarah Hifaa’ binti Mohammad Zain telah memfailkan satu tuntutan nafkah anak terhadap Pemohon melalui saman bertarikh 9hb Oktober 2009 supaya Plaintif menanggung perbelanjaan anak tersebut selama tempoh pengajian anak tersebut seperti berikut:
A) i) Nafkah bulanan sebanyak RM600.00 sebulan;
ii) Keperluan pembelajaran anak tersebut seperti pembayaran yuran pengajian, yuran asrama, buku-buku, pakaian dan lain-lain keperluan yang berkaitan dengan pembelajaran anak tersebut;
iii) Kelengkapan perayaan bila tiba masanya; dan
iv) kos rawatan anak tersebut bila perlu.
v) Segala wang nafkah dan perbelanjaan anak tersebut hendaklah di masukkan ke dalam akaun
B) Kos tindakan ini ditanggung sepenuhnya oleh pihak Defendan
C) lain-lain perintah yang dirasakan patut diberi oleh Mahkamah yang mulia ini
Pada 5hb Januari 2009, Pemohon (atau defendan) di dalam kes tersebut telah memfailkan pembelaan bagi menafikan tuntutan tersebut. Dalam pembelaannya Pemohon (atau defendan) tidak menjawab isu tuntutan yang dibuat sebaliknya menyatakan tuntutan Plaintif sepatutnya di failkan oleh anak, bukan oleh Plaintif kerana tempoh nafkah anak telah tamat sebaik sahaja anak mencapai umur 18 tahun. Tuntutan yang dibuat oleh palintif (atau Responden) juga tidak mendapat kebenaran atau keizinan dari anak terlebih dahulu.
Sebagai alternatif, Pemohon (atau Responden) menyatakan isu-isu dalam tuntutan nafkah yang ditimbulkan oleh Plaintif (atau Responden) perlu dibicarakan dan proses siasatan serta panggilan saksi-saksi perlu diadakan oleh Mahkamah.
Pada 12hb Januari 2009, Plaintif (atau Responden) telah memfailkan jawapan kepada pembelaan tersebut. Menurut Plaintif, beliau tahu tempoh nafkah telah tamat sebaik sahaja umur anak mencapai 18 tahun tetapi nafkah lanjut boleh dipohon bagi menanggung perbelanjaan anak meneruskan pengajian. Dalam hal ini Palintif tidak perlu mendapat keizinan wakil dari anak kerana Plaintif sebagai penjaga diberi hak oleh undang-undang untuk meneruskan tindakan tersebut.
Dalam perenggan yang lain, Plaintif menyetujui akan mengemukakan bukti dan membawa saksi-saksi bagi menyokong tuntutannya.
Pada 28hb Januari 2009, Responden memfailkan satu permohonan bantahan awal beserta afidavit sokongan supaya tuntutan nafkah anak Kes Mal No 05005-024-0769-2008 ditolak oleh Mahkamah. Antara lain alasan Responden ialah dengan mengulangi pembelaannya bahawa nafkah anak telah tamat sebaik sahaja anak tersebut mencapai umur 18 tahun dan tuntutan nafkah tersebut perlu difailkan oleh anak sendiri yang telah mencapai umur baligh dalam undang-undang serta secara alternatifnya jika orang lain yang meneruskan tindakan tersebut, orang itu perlulah mendapat izin atau kebenaran terlebih dahulu.
Dalam jawapan kepada bantahan awal tersebut, Antara lain Plaintif (atau Responden) menyatakan bahawa Plaintif telah sedia maklum nafkah anak telah tamat sebaik umur anak mencapai 18 tahun tetapi oleh kerana anak melanjutkan pelajaran, maka Plaintif memfailkan tuntutan nafkah lanjutan terhadap Pemohon (atau Defendan). Plaintif juga mengepilkan bersama satu afidavit sokongan yang diikrarkan oleh anak iaitu Afiq Zain Azrai bin Mohammed Azmi pada 2hb Februari 2009. Dalam affidavit sokongan tersebut, anak menyatakan kebenarannya supaya Plaintif atau ibunya sebagai wakil anak dalam tuntutan nafkah bagi pihaknya kerana tidak mahu pelajarannya di kolej terganggu.
Pada 17hb April 2009, pihak-pihak telah memfailkan hujahan masing-masing dan Mahkamah seterusnya membuat keputusan pada tarikh yang sama. Mahkamah kemudiannya menolak bantahan awal Pemohon (atau Defendan).
Defendan (atau Pemohon) yang tidak berpuashati dengan keputusan Tuan Hakim MRSD Seremban yang menolak bantahan awal tersebut, telah bertindak memfailkan satu permohonan semakan bertarikh 18hb Mei 2009 melalui kes bernombor 05100-003-0245-2009, iaitu permohonan semakan kes ini. Permohonan semakan tersebut tidak menyatakan alasan-alasan atau kenapa semakan terhadap kes tersebut perlu dibuat, melainkan pemohon menyatakan ia tidak berpuas hati dengan keputusan Tuan Hakim MRSD seremban pada 17hb April 2009 dan Mahkamah berkuasa memanggil rekod semua prosiding Mahkamah Rendah. Pemohon juga memerlukan alasan penghakiman bagi tujuan memfailkan affidavit sokongan.
DIPUTUSKAN
Permohonan semakan oleh Pemohon adalah dibenarkan.
Mahkamah mendapati tuntutan dalam saman kes Mal No. 05005-024-0769-2008 adalah kabur dan terdapat kecacatan yang serius dan boleh menjejaskan hak pihak-pihak dan keadilan dalam kes ini. Saman tersebut hendaklah dibatalkan.
Tuntuan bolehlah difailkan semula dengan mematuhi perkara berikut;
i) Relief-relief yang dituntut hendaklah dinyatakan secara jelas dalam pliding;
ii) Perintah nafkah anak adalah tamat apabila anak mencapai umur 18 tahun;
iii) Tindakan hendaklah dimulakan oleh anak bagi kes tuntutan nafkah;
iv) Tindakan boleh dimulakan oleh Plaintif atau anak bagi kes tuntutan melanjutkan perintah nafkah;
Peguam Syarie
1. Pemohon mewakili diri sendiri
2. Salina binti Mohd Sari dari Tetuan Nizam, Salina & Co bagi pihak Responden
Kitab Yang Dirujuk
1. Ali Haidar Afandi, Usul Istima’ al-Da’wa al-Huquqiyyah,
2. Mohd Salleh Hj Ahmad, Sistem Kehakiman Islam, Pustaka Haji Abdul Majid, 1997,
3. Ibn ‘Abidin, Radd al Mukhtar, jld. 5,
4. Ibn Farhun, Tabsirah al-Hukkam, jld.1,
5. Mimi Kamariah Majid, Pentadbiran Keadilan Jenayah Di Malaysia, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1991,
6. Shams al-Din Muhammad ibn Abi al-‘Abbas Ahmad ibn Hamzah ibn Shihab al-Din al-Ramliy, Nihayat al-Muhtaj ‘ila Sharh al-Minhaj, Mesir: Sharikat Maktabat wa Matba’ah Mustafa al-Babi al-Halabi wa Awladih, 1938, Juz VII,
7. Amin al-Jarumi, Prinsip-Prinsip Prosiding Mahkamah Dalam Syariat Islam, Shah Alam: UPENA, 2006
8. Hamid Sultan Abu Backer, Janab’s key to Civil Procedure In Malaysia And Singapore
9. Sayyid Sabiq, fiqh Sunnah, 1971, Juz. 3.
Undang-Undang Yang Dirujuk
1. Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003,
2. Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Sembilan) 2003,
3. Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003
4. Akta Pembaharuan Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976
5. Arahan Amalan Mahkamah Syariah No. 13 tahun 2003
6. Akta Umur Majoriti 1971
Kes Yang Dirujuk
1. Karunairajah a/l Rasiah lwn Punithambigai a/p Poniah, Kes Rayuan Sivil No:02-12-2003-B
2. Kulasingam lwn Rasammah (1981) 2 M.L.J. 36
3. Gisela Gertrut Abe lwn. Tan Wee Kiat (1986) 2 M.L.J. 58,
4. Rokiah lwn Mohd Idris (1986) 6 JH 272,
5. Lee Ah Chor lwn Southern Bank Bhd (1991) 1 MLJ 428.
6. Jinah lwn Abdul Aziz (1987) 6 JH 344
7. Nik Mansor bin Nik Ali lwn Tuan Hafsah binti Tuan Man (2006) JH XXI/II 240
8. Bakhtiar bin Adam lwn Mohd Fawzi bin Nahrawi dan 6 yang Lain (2006) JH XXI/I 19
9. Hasan Arif Hafiz Ahmed lwn Hasimah Hafiz Ahmed & Hasnah Hafiz Ahmed (2006) JH XXII/I, 61,
Alasan Penghakiman YA Mohd Nadzri bin Abdul Rahman HMTS
1. Terdapat beberapa isu yang ditimbulkan oleh Pemohon dan memerlukan kupasan Mahkamah. Pada masa yang sama Mahkamah juga merasa berkewajipan menyentuh isu-isu lain walaupun tidak disentuh dalam permohonan ini.
2. Antara isu-isu utama yang perlu dIsentuh Ialah:
1. adakah permohonan semakan ini sesuatu yang perlu dan wajar;
2. samada anak yang berumur 18 tahun akan tamat tempoh nafkahnya secara automatik;
3. sama ada ibu sebagai penjaga boleh meneruskan tuntutan nafkah setelah anak mencapai umur 18 tahun.
Adakah permohonan semakan ini sesuatu yang perlu dan wajar?
3. Sebelum saya menjawab isu ini, adalah wajar untuk saya menyentuh sedikit mengenai bidangkuasa Mahkamah Tinggi Syariah mengenainya. Seperti mana rayuan, Mahkamah Rayuan Syariah dan Mahkamah Tinggi Syariah juga mempunyai bidangkuasa pengawasan dan penyemakan. Kuasa pengawasan dan penyemakan itu diperuntukkan di bawah seksyen 68 (1) dan (2) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003 bagi Mahkamah Rayuan Syariah dan seksyen 61(2) dan (3) Enakmen yang sama bagi Mahkamah Tinggi Syariah. Bagaimanapun, kuasa pengawasan dan penyemakan ini tidak diberikan kepada Mahkamah Rendah Syariah.
Orang Yang layak Memohon Semakan
4. Mimi Kamariah Majid di dalam bukunya Pentadbiran Keadilan Jenayah Di Malaysia (Mimi Kamariah Majid, Pentadbiran Keadilan Jenayah Di Malaysia, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1991, hal 500) ada menyentuh mengenai perkara ini. Dalam menentukan siapakah yang layak atau berhak untuk mengemukakan sesuatu permohonan semakan, beliau berpendapat:
“Hakim Mahkamah Tinggi boleh meminta rekod mana-mana penemuan, hukuman atau perintah yang direkodkan atau dikeluarkan atau tentang pengaturan mana-mana prosiding Mahkamah Rendah Syariah sedemikian. Hakim akan mengambil rekod jika perhatiannya dibawa kepada sesuatu kes. Kes-kes itu mungkin dibawa kepada perhatiannya melalui akhbar atau saudara mara pesalah yang telah menulis kepadanya, atau kadang kala hakim itu sendiri yang memajukan rekod prosiding jika mereka merasakan kes-kes mereka perlu disemak. Ini boleh dilakukan secara sukarela tanpa menunggu rayuan diserahkan oleh pesalah jika pegawai yang mendengar kes berpendapat perlu untuk berbuat demikian.”
5. Pandangan ini adalah selaras dengan kehendak seksyen 66 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003, iaitu:
“(1)……. jika didapatinya perlu oleh Mahkamah Tinggi Syariah itu demi kepentingan keadilan, sama ada atas kehendaknya sendiri atau atas kehendak mana-mana pihak atau orang yang berkepentingan, pada mana-mana peringkat dalam apa-apa perkara atau prosiding, sama ada mal atau jenayah, dalam mana-mana Mahkamah Rendah Syariah, memanggil dan memeriksa mana-mana rekod tentang perkara atau prosiding itu dan boleh memberikan apa-apa arahan yang dikehendaki demi keadilan.”
6. Bagaimana pun, pihak-pihak litigan yang menerima keputusan dalam kes tersebut (iaitu pemohon/plaintif dan responden/defendan) dan mempunyai hak untuk merayu adalah tidak digalakkan untuk membuat semakan biarpun mereka berhak untuk melakukannya. Tujuannya adalah untuk mengelakkan berlakunya prejudis terhadap kes tersebut. Arahan Amalan Mahkamah Syariah No. 13 tahun 2003 menyebut:
“......berhubung dengan peraturan semakan kes di Mahkamah Tinggi Syariah atau di Mahkamah Rayuan Syariah hendaklah mengikut peraturan seperti berikut:-
1. Permohonan semakan boleh dibuat ke atas kes mal atau jenayah sama ada kes yang dalam prosiding atau yang telah diputuskan ;
2. Permohonan semakan kes oleh pihak-pihak hendaklah dibuat melalui Notis Permohonan bersama dengan Affidavit kecuali permohonan oleh Hakim Syarie ;
3. Pihak-pihak yang menerima keputusan dan mempunyai hak merayu adalah tidak digalakkan memohon semakan”
8. Dalam kes ini, permohonan semakan adalah datang dari pihak-pihak yang bertikai itu sendiri, iaitu difailkan oleh Pemohon (atau Defendan dalam kes induk) setelah permohonan interlukotori yang beliau failkan ditolak oleh Mahkamah. Permohonan semakan ini difailkan pada 18hb Mei 2009 yang disokong oleh afidavit.
9. Kuasa semakan ini adalah jelas dan pernah diamalkan sejak peringkat awal Islam lagi. Sejarah perundangan Islam memperlihatkan kepada kita bahawa kuasa semakan atau dipanggil murajaah telah ada dipraktikkan oleh para sahabat Baginda Rasulullah SAW di awal perkembangan institusi kehakiman Islam. Semakan atau murajaah amat perlu terutama sekali apabila ternyata sesuatu keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Rendah Syariah salah dan bertentangan dengan nas-nas syarak yang qat’ie. Saidina Umar al-Khattab pernah berkata:
Maksudnya: “Tidak ada halangan bagi mu, untuk memeriksa dengan akal mu dan mempertimbangkan dengan petunjuk mu keputusan yang telah engkau putuskan pada hari ini agar engkau sampai kepada kebenaran. Kerana sesungguhnya kebenaran itu harus dilaksanakan. Dan kembali kepada kebenaran itu lebih baik daripada berpanjangan dalam kebatilan”
(Lihat Sayyid Sabiq, fiqh Sunnah, 1971, Juz. 3, hlm.407, lihat juga Dato’ Haji Muhammad Asri bin Haji Abdullah, (2005) JH XX/II, 188))
10. Apabila sesuatu kes itu selesai dibicarakan, pihak yang terkilan dengan keputusan itu (atas apa-apa sebab sekalipun) hendaklah menggunakan proses rayuan dalam masa yang ditetapkan; andainya masa telah berlalu, lanjutan masa masih boleh dipohon oleh pihak-pihak. Keadaan ini boleh mengelakkan proses penyemakan daripada disalah guna sebagai gantian kepada proses rayuan. Hanya dalam suatu hal keadaan sahaja proses rayuan tidak boleh dilakukan, yang menjadikan semakan sebagai jalan keluar tunggal untuk memperbetulkan hal keadaan – iaitu semasa prosiding masih berjalan dan pihak-pihak atau mahkamah sendiri menyedari satu ketakaturan atau ketakpatuhan telah berlaku dan perlu segera diperbetulkan.
11. Dalam kes ini, semakan telah dipohon oleh Pemohon dalam keadaan prosiding kes induk masih berjalan. Dari satu sudut, semakan ini dilihat sebagai sesuatu yang tidak wajar dan tidak digalakkan kerana hak Pemohon (atau Defendan) untuk merayu masih terbuka luas. Bagaimana pun, dari sudut yang lain, semakan wajar dibuat jika difikirkan berlakunya ketakakuran yang boleh menjejaskan keadilan. Saya berpegang pada pandangan yang kedua, bahawa semakan ini sesuatu yang wajar, apabila Mahkamah melihat kepada isu-isu yang ditimbulkan dan apabila semua fail dipanggil untuk diteliti, didapati terdapat isu-isu lain yang boleh menyebabkan fail ini menjadi cacat dan tidak menggambarkan keadilan kepada pihak-pihak.
12. Ada dua perkara yang menjadi soal dalam isu semakan ini, iaitu;
- samada anak yang berumur 18 tahun akan tamat tempoh nafkahnya secara automatik;
- samada ibu sebagai penjaga boleh meneruskan tuntutan nafkah setelah anak mencapai umur 18 tahun.
13. Dalam kedua-dua isu ini kedua-dua pihak merujuk kepada sek 80 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Sembilan) 2003 yang memperuntukkan:
Kecuali—
(a) jika sesuatu perintah bagi nafkah seseorang anak dinyatakan sebagai selama apa-apa tempoh yang lebih singkat;
(b) jika mana-mana perintah itu telah dibatalkan; atau
(c) jika mana-mana perintah itu dibuat untuk—
(b) jika mana-mana perintah itu telah dibatalkan; atau
(c) jika mana-mana perintah itu dibuat untuk—
(i) seseorang anak perempuan yang belum berkahwin atau yang, oleh sebab sesuatu hilang upaya dari segi otak atau jasmani, tidak berupaya untuk menanggung nafkah dirinya; atau
(ii) seorang anak lelaki yang, oleh sebab sesuatu hilang upaya dari segi otak atau jasmani, tidak berupaya untuk menanggung nafkah dirinya,
(ii) seorang anak lelaki yang, oleh sebab sesuatu hilang upaya dari segi otak atau jasmani, tidak berupaya untuk menanggung nafkah dirinya,
perintah bagi nafkah hendaklah habis tempoh apabila anak itu mencapai umur lapan belas tahun, tetapi Mahkamah boleh atas permohonan anak itu atau oleh mana-mana orang lain, melanjutkan perintah bagi nafkah itu supaya meliputi apa-apa tempoh tambahan yang difikirkannya munasabah, untuk membolehkan anak itu mengikuti pendidikan atau latihan lanjut atau lebih tinggi.
14. Pemohon (atau defendan) berhujah bahawa perkataan ‘hendaklah’ dalam sek tersebut membawa maksud apabila anak mencapai umur 18 tahun, maka perintah nafkah tersebut adalah terhenti secara automatik kecuali dalam hal keadaan;
(a) jika sesuatu perintah bagi nafkah seseorang anak dinyatakan sebagai selama apa-apa tempoh yang lebih singkat;
(b) jika mana-mana perintah itu telah dibatalkan; atau
(c) jika mana-mana perintah itu dibuat untuk—
(i) seseorang anak perempuan yang belum berkahwin atau yang, oleh sebab sesuatu hilang upaya dari segi otak atau jasmani, tidak berupaya untuk menanggung nafkah dirinya; atau
(ii) seorang anak lelaki yang, oleh sebab sesuatu hilang upaya dari segi otak atau jasmani, tidak berupaya untuk menanggung nafkah dirinya,
15. Dalam kes ini, perintah asal tidak dinyatakan satu tempoh waktu yang lebih singkat, atau belum terdapat mana-mana perintah pembatalan telah dibuat oleh mana-mana pihak dan anak tersebut telah pun mencapai umur dewasa yang tidak terikat dengan peruntukan sub sek (i) dan (ii), maka perintah nafkah tersebut adalah terhenti dengan sendiri.
16. Responden (atau Plaintif ) pula berhujah bahawa walaupun anak itu telah mencapai umur 18 tahun, pemohon (atau Defendan) sepatutnya meneruskan pembayaran nafkah anak RM500 sebulan sepertimana yang diperintah oleh mahkamah rendah Syariah Daerah seremban pada 12hb Julai 2005 melalui kes 05005-055-80-2002.
17. Walaupun begitu, Responden (atau plaintif) akur bahawa merujuk kepada sek 80 tersebut perintah bagi nafkah adalah habis tempoh apabila anak itu mencapai umur 18 tahun, tetapi Responden (atau Plaintif) berhujah anak itu sendiri atau mana-mana orang lain boleh memohon untuk melanjutkan perintah tersebut jika difikirkan munasabah. Dalam hal ini anak tersebut telah melanjutkan pelajaran ke Kolej Poly-tech MARA. Hujah Responden (atau Plaintif ) berdasarkan sek. yang sama yang memperuntukkan:
perintah bagi nafkah hendaklah habis tempoh apabila anak itu mencapai umur lapan belas tahun, tetapi Mahkamah boleh atas permohonan anak itu atau oleh mana-mana orang lain, melanjutkan perintah bagi nafkah itu supaya meliputi apa-apa tempoh tambahan yang difikirkannya munasabah, untuk membolehkan anak itu mengikuti pendidikan atau latihan lanjut atau lebih tinggi.
18. Mengenai isu ini, saya sesungguhnya terkeliru dengan hujah pihak-pihak. Pemohon menimbulkan isu bahawa anak yang telah mencapai umur 18 tahun, maka nafkahnya akan terhenti dengan sendirinya. Responden pula, dengan nada menafikan fakta tersebut, tetapi akur dan bersetuju dengan fakta bahawa umur 18 tahun menjadikan nafkah bagi anak tersebut berakhir. Maka, saya bersetuju dengan pandangan Hakim Bicara, bahawa isu ini tidak perlu diputuskan.
19. Akan tetapi, yang mengelirukan saya ialah, mengenai isu yang kedua, iaitu sama ada ibu sebagai penjaga boleh meneruskan tuntutan nafkah setelah anak mencapai umur 18 tahun.
20. Menyentuh mengenai isu ini, Pemohon atau (defendan) berhujah bahawa permohonan ini akan menjadi sah jika ianya dimulakan tindakannya oleh anak itu sendiri kerana anak telah mencapai umur 18 tahun sewaktu tindakan ini difailkan. Jika anak itu mengizinkan kepada orang lain mewakilinya, maka suatu kebenaran yang jelas hendaklah diberikan oleh anak tersebut.
21. Responden (atau Plaintif ) pula berhujah bahawa, tidak disebut secara jelas di bawah sek 80 EUUKINS 2003 bahawa jika permohonan melanjutkan perintah itu dibuat oleh mana-mana orang lain (dalam kes ini Plaintif sebagai ibu kepada anak itu), ia perlu mendapatkan kebenaran terlebih dahulu dari anak tersebut. Pemohon (atau defendan menimbulkan isu bahawa Plaintif dalam keadaan ini tidak mempunyai ‘locus standi’ untuk bertindak bagi pihak anak manakala Responden (atau Plaintif) pula menghujahkan Plaintif sebagai ibu adalah penjaga yang sah seperti mana perintah Mahkamah yang dikeluarkan sebelum ini maka tidak timbul isu ‘locus standi’ dalam kes ini.
22. Menghalusi isu-isu yang ditimbulkan dalam kes semakan ini, saya dapati terdapat banyak kekeliruan yang yang dilakukan oleh pihak-pihak, dan kekeliruan inilah yang menjadi punca kepada kekalutan kes ini sehingga ianya disemak ke Mahkamah Tinggi Syariah.
23. Saya beranggapan demikian kerana, apabila Pemohon dan Responden bersetuju bahawa tempoh nafkah bagi seorang anak berakhir sebaik saja anak itu mencapai umur 18 tahun, maka saya kira isu ini boleh diselesaikan secara mudah.
24. Sek 80 EUUKINS 2003 memperuntukkan:
perintah bagi nafkah hendaklah habis tempoh apabila anak itu mencapai umur lapan belas tahun, tetapi Mahkamah boleh atas permohonan anak itu atau oleh mana-mana orang lain, melanjutkan perintah bagi nafkah itu supaya meliputi apa-apa tempoh tambahan yang difikirkannya munasabah, untuk membolehkan anak itu mengikuti pendidikan atau latihan lanjut atau lebih tinggi.
25. Frasa ‘perintah bagi nafkah hendaklah habis tempoh apabila anak itu mencapai umur lapan belas tahun’, saya kira tidak lagi perlu ditafsirkan. Pihak-pihak juga bersetuju dengan maksud frasa ini.
26. Jika perintah nafkah anak itu tamat sebaik sahaja anak itu mencapai umur 18 tahun, maka saya kira tidaklah lagi timbul isu kedua, iaitu sama ada ibu boleh bertindak bagi pihak anak untuk memulakan tindakan di Mahkamah atau sebaliknya. Sek tersebut adalah mengenai lamanya tempoh nafkah itu berjalan. Jika sesuatu perintah bagi nafkah seseorang anak tidak dinyatakan bagi suatu tempoh yang lebih singkat; atau jika perintah belum atau tidak pernah dibatalkan; atau jika perintah itu tidak dibuat untuk—
(i) seseorang anak perempuan yang hilang upaya dari segi mental atau fizikal; atau
(ii) seorang anak lelaki yang hilang upaya dari segi segi fizikal atau mental dan tidak berupaya untuk menanggung nafkah dirinya,
maka nafkah itu akan berakhir sebaik sahaja anak itu mencapai umur 18 tahun.
27. Seksyen 2, Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Netgeri Sembilan) 2003 mentafsirkan bahawa:
“orang belum dewasa” ertinya seseorang yang belum mencapai umur lapan belas tahun;
Apabila seseorang itu telah mencapai umur 18 tahun ke atas, maka umur tersebut adalah dianggap sebagai dewasa dari sudut undang-undang. Tidak ada khilaf mengenainya.
28. Jika anak tersebut Afiq Zain Azrai bin Mohammed Azmi, yang lahir pada 29/3/90 yang mana umurnya telah melebihi 18 tahun, maka ia sudah dianggap sebagai seorang dewasa. Sebagai seorang dewasa, ia sudah berhak membuat tindakan sendiri di Mahkamah, kerana ia tidak lagi perlu bergantung kepada ad litemnya, dia juga bukan seorang yang tidak upaya dari segi mental dan fizikalnya. Maka apa keperluannya kepada Responden (atau Plaintif) untuk bertindak bagi pihaknya? Inilah yang saya katakan pihak-pihak dalam kes ini terkeliru.
29. Responden (atau Plaintif) berhujah anak itu sendiri atau mana-mana orang lain boleh memulakan tindakan untuk menuntut nafkah kerana anak itu melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, iaitu Kolej Poly-tech MARA, dan anak itu mewakilkan ibunya kerana tidak mahu menjejaskan pengajiannya di Kolej.
30. Oleh kerana tidak banyak rujukan bagi kes-kes yang diputuskan di Mahkamah Syariah, bagi menjawab isu ini terlebih dulu suka saya merujuk kepada satu kes di Mahkamah Persekutuan, iaitu kes Karunairajah a/l Rasiah lwn Punithambigai a/p Poniah, Kes Rayuan Sivil No:02-12-2003-B. Dalam kes ini Responden telah memfailkan permohonan ke Mahkamah Tinggi bagi mendapatkan perintah supaya Perayu meneruskan pembayaran nafkah anak yang bernama ‘Anitha’ yang telah mencapai umur 18 tahun sehingga anak itu menamatkan pengajian di peringkat ijazah. Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa perintah nafkah terhadap ‘Anitha’ dan dua lagi anak Responden hendaklah di teruskan sehingga anak itu menamatkan pengajian di peringkat tinggi. Kes tersebut telah dirayu ke Mahkamah Rayuan. Mahkamah Rayuan mengukuhkan lagi keputusan Mahkamah Tinggi dan mengekalkan perintah pembayaran nafkah anak terhadap anak yang mencapai umur 18 tahun kerana melanjutkan pendidikan tinggi. Perayu yang tidak berpuashati kemudiannya merayu ke Mahkamah Persekutuan dan menimbulkan beberapa persoalan, antaranya:
"sama ada peruntukan sek 95 Akta Pembaharuan Undang-Undang (perkahwinan dan perceraian) 1976, pembayaran kewangan kepada anak bagi tujuan membiayai pendidikan tinggi boleh dianggap sebagai kecacatan fizikal atau mental sehingga anak berhak untuk mendapat nafkah walaupun usia mereka telah melebihi 18 tahun”.
Panel tiga Hakim yang dipengerusikan oleh YAA Abdul Hamid Mohamad, F.C.J. (ketika itu) membenarkan rayuan dan berpendapat, melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi bagi anak yang telah mencapai umur 18 tahun tidak lah boleh dianggap sama sebagai kecacatan mental atau fizikal.
31. Apa yang boleh difahami dari kes ini ialah, adalah munasabah jika ibu atau penjaga yang bertindak bagi pihak anak jika anak itu telah mencapai umur 18 tahun jika ia seorang yang cacat mental atau fizikal, tetapi tidak bagi anak yang melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, kerana ia telah memenuhi kehendak sebagai ‘seorang dewasa’ yang boleh bertindak sendiri.
32. YAA Hakim Abdul Hamid Omar, dalam kes tersebut telah merujuk kepada beberapa kes lain, antaranya kes Kulasingam lwn Rasammah (1981) 2 M.L.J. 36. Dalam penghakiman di Mahkamah Tinggi oleh Hakim Hashim Yeop Sani (ketika itu) memutuskan bahawa di bawah Akta Umur Majoriti 1971 (Majority Act 1971) adalah terpakai dan anak perempuan yang berumur lebih 20 tahun tidak berhak keatas nafkah dari bapanya.
33. Manakala di dalam kes Gisela Gertrut Abe lwn Tan Wee Kiat (1986) 2 M.L.J. 58, dalam kes ini, diputuskan bahawa tanggungjawab Responden untuk membayar nafkah bagi anaknya yang berumur 22 tahun dan sedang belajar di England adalah berakhir apabila umur anak itu mencapai 18 tahun. Hakim Siti Norma Yaacob, (waktu itu), menyebut secara inter alia:
“Under section 95 of the Act, the duration of a maintenance order made in favour of a child expires, in the absence of any expressed shorter period, on the child attaining the age of 18 years. Reading this section, it is clear that the mandatory provision and that being the case, I consider that consideration of moral grounds is of no relevance whatsoever.”
34. Selain dari kes tersebut, terdapat juga beberapa kes yang diputuskan di Mahkamah Syariah mengenai tempoh berakhirnya perintah nafkah. Antaranya kes yang diputuskan di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Rokiah lwn Mohd Idris (1986) 6 JH 272, Qadi Besar telah menolak tuntutan nafkah oleh Pihak Menuntut bagi seorang anak yang telah meningkat umur 22 tahun. Hal demikian kerana anak tersebut telah melepasi umur 18 tahun.
35. Dalam kes lain, Jinah lwn Abdul Aziz (1987) 6 JH 344, Qadi Besar berpendapat, memandangkan dua anak yang terlibat telah berumur 17 tahun dan 20 tahun, tuntutan bagi nafkah mereka tidak boleh dibuat kerana seksyen 140(1) Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam Selangor adalah jelas menunjukkan tuntutan untuk mendapatkan nafkah kedua-dua anak itu dari bapa mereka tidak dapat di[ertimbangkan oleh Mahkamah. Di bawah Enakmen itu, umur maksima anak-anak yang di bawah tanggungan ialah 15 tahun.
36. Beberapa kes yang disebut terdahulu adalah kes-kes yang diputuskan di mahkamah sivil tentang tamatnya tempoh sesuatu nafkah bagi seorang anak itu adalah apabila ia mencapai umur 18 tahun. Memegang secara ketat seksyen 95 Akta 1976, (Akta Pembaharuan Undang-Undang (perkahwinan dan perceraian) 1976), Kecuali anak tersebut hilang upaya dari segi mental atau fizikal, maka perintah tersebut bolehlah berterusan atau dilanjutkan.
37. Harus diingat, sek. 80 Enakmen Undang-undang keluarga Islam (Negeri Sembilan) 2003 adalah diambil dari peruntukan sek. 95 Akta tersebut. Di bawah sek 95 Akta, perintah nafkah boleh dilanjutkan jika anak tersebut cacat atau hilang upaya dari segi mental dan fizikal. Maka tidak timbul lagi isu siapa yang boleh bertindak bagi pihak anak itu kerana anak-anak yang cacat mental atau fizikalnya, maka sudah semestinya untuk memulakan tindakan tersebut dibuat oleh penjaga mereka. Seksyen tersebut antara lain menyebut:
“95. Except where an order for custody or maintenance of a child is expressed to be for any shorter period or where any such order has been rescinded, it shall expire on the attainment by the child of the age of eighteen years or where the child is under physical or mental disability, on the ceasing of such disability, whichever is the later.”
38. Manakala sek 80 EUUKINS 2003 pula memperuntukkan:
Kecuali—
(a) jika sesuatu perintah bagi nafkah seseorang anak dinyatakan sebagai selama apa-apa tempoh yang lebih singkat;
(b) jika mana-mana perintah itu telah dibatalkan; atau
(c) jika mana-mana perintah itu dibuat untuk—
(b) jika mana-mana perintah itu telah dibatalkan; atau
(c) jika mana-mana perintah itu dibuat untuk—
(i) seseorang anak perempuan yang belum berkahwin atau yang, oleh sebab sesuatu hilang upaya dari segi otak atau jasmani, tidak berupaya untuk menanggung nafkah dirinya; atau
(ii) seorang anak lelaki yang, oleh sebab sesuatu hilang upaya dari segi otak atau jasmani, tidak berupaya untuk menanggung nafkah dirinya,
(ii) seorang anak lelaki yang, oleh sebab sesuatu hilang upaya dari segi otak atau jasmani, tidak berupaya untuk menanggung nafkah dirinya,
perintah bagi nafkah hendaklah habis tempoh apabila anak itu mencapai umur lapan belas tahun….
Manakala frasa seterusnya di bawah seksyen yang sama yang menyebut:
“…..tetapi Mahkamah boleh atas permohonan anak itu atau oleh mana-mana orang lain, melanjutkan perintah bagi nafkah itu supaya meliputi apa-apa tempoh tambahan yang difikirkannya munasabah, untuk membolehkan anak itu mengikuti pendidikan atau latihan lanjut atau lebih tinggi.
Sek. ini menyebut dengan jelas bahawa atas permohonan anak itu sendiri atau mana-mana orang lain boleh atas permohonan untuk melanjutkan perintah nafkah bagi tujuan anak itu melanjutkan pelajarannya ke peringkat yang lebih tinggi. Dalam soal ini, EUUKINS adalah lebih terkedepan berbanding jirannya di mahkamah sivil.
39. Memahami daripada seksyen ini, kita dapati bagi anak yang sudah mencapai umur 18 tahun, perintah bagi nafkahnya hendaklah habis tempoh, tetapi anak itu atau mana-mana orang lain boleh dengan melalui permohonan bagi melanjutkan perintah nafkah tersebut bagi membolehkan anak itu melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.
40. Apa yang dimaksudkan ‘mana-mana orang lain’ dalam peruntukkan ini ialah, bagi tujuan untuk melanjutkan perintah nafkah.
41. Soalnya, adakah kes ini adalah satu permohonan untuk melanjutkan perintah nafkah? Ini yang saya katakan keliru sebelum ini.
Tuntutan yang kabur dan Tidak jelas
42. Meneliti daripada isu-isu yang ditimbulkan, Mahkamah ini mengambil peluang untuk memanggil semua rekod perbicaraan sepertimana yang dibenarkan oleh undang-undang. Kesempatan itu digunakan sebaik mungkin untuk menyemak semua prosiding perbicaraan dan meneliti isu-isu yang ditimbulkan.
43. Saya berpendapat, bukan sahaja saya yang terkeliru dengan permohonan asal Responden (atau Plaintif), tetapi juga Pemohon dan Responden sendiri. Untuk merungkai perkara tersebut, adalah elok jika kita lihat kepada keseluruhan kronologi dan fakta kes ini sekali lagi secara ringkas.
i) Asasnya ialah, pada tahun 2002, melalui kes Mal No. 05005-055-80-2002, bertarikh 12hb Julai 2005, pemohon (atau defendan) telah diperintahkan supaya membayar nafkah terhadap seorang anak sebanyak RM500 sebulan melalui akaun bank atas nama Responden (atau Plaintif). Pemohon hendaklah menanggung sepenuhnya perbelanjaan sekolah dan hari Raya anak tersebut.
ii) Pada 8hb Julai 2008, Responden (atau Plaintif) telah memfailkan satu tuntutan melalui kes mal No. 05005-024-0769-2008 bagi menuntut nafkah anak bernama Afiq Zain Azrai bin Mohammed Azmi, kad Pengenalan no. 900329-05-5343 yang ketika itu berumur 18 tahun 4 bulan 9 hari dan yang baru melanjut pelajarannya ke Kolej Poly-tech MARA di Cheras kuala Lumpur sebanyak RM600.00 disamping tuntutan-tuntutan lain yang relevan .
iii) Pemohon atau (defendan) yang mempertikaikan tuntutan tersebut telah bertindak memfailkan bantahan awal pada 23hb Januari 2009 supaya kes Mal No 05005-024-0769-2008 tersebut ditolak oleh Mahkamah.
iv) Pada 17hb April 2009, bantahan awal tersebut ditolak oleh Mahkamah Rendah Syariah Seremban dan kes No 05005-024-0769-2008 diarahkan diteruskan prosiding perbicaraannya. Bagaimanapun pemohon (atau defendan) telah bertindak memfailkan semakan ke Mahkamah ini bertarikh 18hb Mei 2009 dan prosiding-prosiding lain seterusnya digantung sehingga keputusan semakan ini dibuat.
Melihat kepada kronologi kes tersebut, terdapat beberapa isu yang menjadi persoalan.
44. Apakah kes sebenar yang difailkan oleh Responden (atau Plaintif ) pada 8hb Julai 2008? Apakah ianya merupakan satu tuntutan baru mengenai nafkah anak, atau tuntuan perubahan perintah nafkah atau perlanjutan perintah nafkah? Status mengenai kes tersebut adalah asas kepada semakan kes ini.
45. Melihat kepada kronologi itu juga, saya berpendapat, isu-isu yang ditimbulkan dalam bantahan awal dan semakan ini hendaklah diulas secara berhati-hati dan pandangan hendaklah ditumpukan kepada tuntutan nafkah yang difailkan oleh Responden dan bukan semata-mata kepada isu ysng ditimbulkan dalam bantahan awal.
JIka Kes tersebut adalah Perubahan Perintah atau pembatalan perintah Nafkah
46. Jika kes tersebut adalah satu tuntutan perubahan perintah nafkah, maka persoalan isu yang ditimbulkan oleh pihak-pihak adalah tidak timbul sama sekali. Responden atau Plaintif boleh meneruskan tuntutan perubahan perintah nafkah sepertimana kehendak sek.76 EUUKINS 2003 yang memperuntukkan:
Mahkamah boleh, atas permohonan seseorang yang mempunyai kepentingan, pada bila-bila masa dan dari semasa ke semasa mengubah, atau boleh pada bila-bila masa membatalkan, mana-mana perintah mengenai penjagaan atau nafkah seseorang anak, jika Mahkamah berpuas hati bahawa perintah itu telah diasaskan pada apa-apa salah nyataan atau kesilapan fakta atau jika sesuatu perubahan material telah berlaku tentang hal keadaan.
47. Secara literalnya sek tersebut boleh difahami atas permohonan seseorang yang mempunyai kepentingan, (dalam hal ini, ibu atau Responden (atau plaintif) adalah orang berkepentingan, boleh pada bila-bila masa dan dari masa ke semasa mengubah atau boleh pada bila-bila masa membatalkan, mana-mana perintah mengenai penjagaan atau nafkah seseorang anak, jika Mahkamah berpuas hati bahawa perintah itu telah diasaskan pada apa-apa salah nyataan atau kesilapan fakta atau jika sesuatu perubahan material telah berlaku tentang hal keadaan. Perubahan perintah juga tidak dinyatakan berapa takat umur anak itu. Boleh difahami dari sek ini, sebelum anak itu mencapai umur 18 tahun, dan adanya perubahan matan, yang mungkin bolehjadi disebabkan melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, maka perintah yang asal bertarikh 12hb Julai 2005 itu boleh diubah daripada RM500 kepada RM600 sebulan. Tetapi mestilah melalui satu permohonan. Bagaimanapun,dalam kes ini, tidak dinyatakan dengan jelas samada tuntutan yang difailkan tersebut berhasrat untuk mengubah perintah bertarikh 12hb Julai 2005.
48. Jika kes yang difailkan oleh Responden itu (atau Plaintif) adalah bertujuan untuk membatalkan perintah bertarikh 12hb Julai 2005, maka sek yang sama juga adalah terpakai. Dalam hal ini, kedua-dua pihak tidak pernah mengemukakan permohonan untuk membatalkan perintah nafkah anak tersebut, baik sebelum atau selepas anak tersebut berumur 18 tahun.
Jika kes tersebut adalah satu permohonan untuk Melanjutkan perintah nafkah
49. Seksyen 76 yang disebut tadi menyatakan secara jelas mengenai ‘mengubah atau pada bila-bila masa membatalkan…’. Tetapi hak untuk melanjutkan perintah itu pula disebut di bawah sek lain yang lebih khusus iaitu di bawah sek 80 EUUKINS 2003 yang memperuntukkan:
kecuali
(a) jika sesuatu perintah bagi nafkah seseorang anak dinyatakan sebagai selama apa-apa tempoh yang lebih singkat;
(b) jika mana-mana perintah itu telah dibatalkan; atau
(c) jika mana-mana perintah itu dibuat untuk—
(b) jika mana-mana perintah itu telah dibatalkan; atau
(c) jika mana-mana perintah itu dibuat untuk—
(i) seseorang anak perempuan yang belum berkahwin atau yang, oleh sebab sesuatu hilang upaya dari segi otak atau jasmani, tidak berupaya untuk menanggung nafkah dirinya; atau
(ii) seorang anak lelaki yang, oleh sebab sesuatu hilang upaya dari segi otak atau jasmani, tidak berupaya untuk menanggung nafkah dirinya,
(ii) seorang anak lelaki yang, oleh sebab sesuatu hilang upaya dari segi otak atau jasmani, tidak berupaya untuk menanggung nafkah dirinya,
perintah bagi nafkah hendaklah habis tempoh apabila anak itu mencapai umur lapan belas tahun, tetapi Mahkamah boleh atas permohonan anak itu atau oleh mana-mana orang lain, melanjutkan perintah bagi nafkah itu supaya meliputi apa-apa tempoh tambahan yang difikirkannya munasabah, untuk membolehkan anak itu mengikuti pendidikan atau latihan lanjut atau lebih tinggi.
50. Untuk melanjutkan perintah tersebut bagi membolehkan anak itu mengikuti pendidikan atau latihan lanjut atau lebih tinggi, permohonan tersebut boleh dibuat oleh anak itu sendiri atau oleh mana-mana orang lain, dengan syarat sub seksyen (a) (b) dan (c) dipatuhi. Jika dalam perintah bertarikh 12hb Julai 2005 tidak disebut suatu masa yang lebih singkat dari 18 tahun, dan perintah itu pula belum pernah dibatalkan atau perintah itu pula tidak dibuat atas asas ketidakupayaan anak, maka perintah itu adalah berakhir sebaik sahaja umur anak itu mencapai umur 18 tahun. Dalam kes ini ibu bertindak bagi pihak anak tersebut dengan bersandarkan frasa ‘mana-mana orang lain’. Soalnya, adakah permohonan yang dibuat oleh ibu itu adalah satu tuntutan untuk melanjutkan perintah?
51. Jika permohonan ibu (Responden atau Plaintif) itu adalah untuk melanjutkan perintah, maka isu ini juga tidak perlu ditimbulkan kerana ibu atas dasar frasa ‘mana-mana orang lain’ adalah diberi hak oleh undang-undang.
52. Bagaimanapun, kes ini menjadi semakin mengelirukan apabila Responden (atau plaintif) berhujah, bahawa tuntutan kes Mal No. 05005-024-0769-2008 adalah satu tuntutan bagi melanjutkan perintah nafkah anak.
53. Saya fikir, Responden telah pergi terlalu jauh sehingga Responden sendiri sudah tidak pasti mengenai status kes asalnya. Sedangkan pada masa yang sama Responden hujahkan bahawa ia akur bahawa perintah nafkah bagi anak itu telah tamat tempoh, dan tuntutan kes Mal No. 05005-024-0769-2008 adalah satu tuntutan nafkah yang baru, kerana itu jumlah nafkah dituntut berbeza iaitu sebanyak RM600 sebulan serta perintah-perintah lain. Menguatkan lagi bahawa tuntutan ini adalah satu permohonan nafkah yang baru ialah Responden bertindak memfailkan bagi mendapatkan satu perintah sementara bagi tujuan tersebut. Maka jelaslah ini bukan satu tuntutan bagi melanjutkan perintah nafkah seperti yang dihujahkan oleh Responden, tetapi merupakan satu permohonan yang baru, dan bagi permohonan yang baru, sayugialah anak yang berumur lebih 18 tahun memulakan tindakannya di Mahkamah, bukan si ibu.
Jika Permohonan ini adalah satu tuntutan nafkah yang Baru
54. Jika tuntutan kes Mal No. 05005-024-0769-2008 yang difailkan oleh Responden pada 8hb Julai 2008 adalah satu tuntutan nafkah yang baru, saya berpendapat, tuntutan tersebut adalah satu kesalahan dan terdapatnya kecacatan yang serius, kerana perintah bertarikh 12hb Julai 2005 melalui kes Mal No 05005-055-80-2002, yang dikeluarkan oleh Mahkamah Rendah Syariah Daerah Seremban masih berterusan dan tidak pernah dibatalkan. Maka akan terdapatnya dua perintah yang bertindan yang akan diperolehi oleh Responden jika kes ini diteruskan, kecuali tuntutan yang baru itu difailkan atau dimulakan tindakannya oleh anak itu sendiri. Dalam konteks ini, saya bersetuju dengan hujah Pemohon bahawa bagi anak yang berumur lebih 18 tahun, hendaklah tindakan dimulakan oleh anak itu sendiri.
55. Responden (atau Plaintif) juga pada ketika ini, tidak lagi mempunyai libiliti dari segi undang-undang untuk bertindak bagi pihak anaknya yang telah melepasi umur dewasa dan tidak menghadapi cacat mental atau fizikal.
Penyata Tuntutan yang kabur dan tidak jelas.
56. Responden (atau Plaintif) telah memfailkan saman beserta penyata tuntutan bertarikh 8hb Julai 2008 dan didaftarkan dengan bil daftar no. 05005-024-0769-2008. Iaitu didaftarkan di bawah kod tuntutan nafkah anak. Meneliti penyata tuntutan yang difailkan dan pliding keseluruhan, Mahkamah percaya, tuntutan sebenar plaintif adalah satu tuntutan nafkah yang baru, dan bukanlah satu permohonan untuk melanjutkan nafkah anak yang telah berumur 18 tahun seperti yang dihujahkan oleh Responden.
57. Bagaimanapun, isu perlanjutan nafkah anak ini timbul apabila defendan memfailkan bantahan awal atau sebaik sahaja defendan memfailkan pembelaan bagi tuntutan tersebut. Isu tersebut telah ditimbulkan oleh plaintif (atau responden) dalam jawapan kepada bantahan awal dan hujah-hujah yang dikemukakan walaupun tidak diplidkan di dalam pliding dan Mahkamah dapati tidak ada permohonan samada secara lisan atau bertulis kearah itu.
58. Perkara ini menjadi lebih rumit apabila pada 1/12/2008, Plaintif (atau Responden) telah memfailkan satu permohonan perintah interim nafkah anak melalui kes Mal No. 05005-038-1417-2008. Tindakan memfailkan perintah sementara menunjukkan seolah-olah tuntutan Plaintif adalah satu tuntutan nafkah yang baru difailkan dan belum ada apa-apa perintah lain yang dikeluarkan sebelumnya. Permohonan interim juga mengulangi tuntutan sebelumnya tanpa menyatakan samada ianya adalah bertujuan melanjutkan, mengubah atau membatalkan perintah yang asal bertarikh 12/7/2005.
59. Walaubagaimanapun, isu-isu yang disentuh dalam kedua-dua tuntutan tersebut adalah mengenai perlanjutan perintah nafkah dan tentang wajar atau tidak plaintif (atau Responden) sebagai ibu yang bertindak memulakan tindakan tersebut.
60. Dengan hormat disebut disini, tuntutan-tuntutan yang dikemukakan oleh pihak-pihak hendaklah jelas, mudah dan padat serta senang difahami. Tuntutan yang kabur akan menimbulkan banyak kekeliruan dan sukarnya Mahkamah memahami isu sebenar. Kes ini tidak akan sampai ke penghujung jika pihak-pihak dibiarkan meneruskan tindakan dengan perjalanan prosiding yang salah.
61. Sekali lagi saya merujuk kepada tuntutan asal Plaintif (atau responden). Jika kes tersebut difailkan atas dasar tuntutan nafkah yang baru, dimana pihak-pihak beranggapan perintah asal bertarikh 12/7/2005 melalui kes Mal No.05005-055-80-2002 telah tamat tempoh secara automatik sebaik saja anak tersebut mencapai umur 18 tahun, dan pihak-pihak dalam kes ini bersetuju serta akur bahawa tempoh nafkah itu telah tamat, maka saya kira isu yang ditimbulkan juga adalah tidak relevan dengan kes ini.
62. Dengan hormat disebut disini, apabila plaintif (atau responden) beranggapan perintah itu telah tamat, dan tuntutan yang dibuat adalah satu tuntutan yang baru mengenai nafkah, pada masa yang sama juga anak telah mencapai umur 18 tahun, maka Plaintif (atau Responden) tidak lagi mempunyai hak dari segi undang-undang untuk memulakan tindakan ini kerana anak telah mencapai umur dewasa dan bukan lagi dianggap sebagai ‘orang belum dewasa” sebagaimana yang ditafsirkan di bawah Sek 2 ETTCMMS 2003, iaitu seseorang yang sudah mencapai umur lapan belas tahun tidak lagi perlu bergantung pada ad-litemnya termasuklah penjaganya dan ia tidak lagi terikat dengan Bahagian IV Bab 2 ETTCMMS (Negeri Sembilan) 2003.
63. Harus diingat, ibu yang bertindak sebagai pliantif dalam tuntutan nafkah anak bagi anak yang belum mencapai umur dewasa adalah sebagai ad litem kerana beliau sebagai penjaga sah kanak-kanak tersebut. Tindakannya memulakan tindakan di Mahkamah sebagai wakil sah yang tidak dipertikaikan dan bukan bagi pihaknya sendiri. Ibu tidak berhak secara automatik untuk memulakan tindakan di Mahkamah bagi pihak anak kecuali mendapat perintah sah sebagi penjaga terlebih dahulu. Status sebagai ibu atau bapa semata-mata tidak menjadikan sesuatu tindakan itu sah jika ia bertindak bagi hak orang lain kecuali dalam soal perwalian.
64. Maka saman yang difailkan oleh Responden (atau Plaintif ) dalam kes Mal No. 05005-024-0769-2008 yang bertindak sebagai Plaintif dalam kes tersebut adalah tidak tepat jika saman tersebut dianggap sebagai tuntutan nafkah yang baru, kerana anak sewaktu kes tersebut difailkan sudah mencapai umur 18 tahun dan beliau sudah dianggap orang dewasa dan berhak memulakan tindakannya sendiri tanpa memerlukan bantuan ad litem atau wakil.
65. Kepentingan kepada pliding atau tuntutan yang jelas dan terang adalah perlu di Mahkamah. Menurut Hamid Sultan Abu Backer, di dalam Janab’s key to Civil Procedure In Malaysia And Singapore, hal. 280;
Tujuan sesuatu pliding itu ialah untuk:
a) Untuk menyatakan dengan terang, jelas dan tepat isu yang dipertikaikan;
b) Untuk memuaskan hati setiap pihak dan memberi keadilan serta notis yang munasabah kepada pihak lawan, dalam memudahkan pihak lawan menyediakan kesnya; dan
c) Untuk memberitahu Mahkamah isu-isu yang dipertikaikan, yang mana mahkamah perlu menentukan isu-isu tersebut.
66. Kepentingan kepada pliding ini juga telah ditegaskan oleh Mahkamah Agung di dalam kes Lee Ah Chor lwn Southern Bank Bhd (1991) 1 MLJ 428. Mahkamah telah menyatakan bahawa isu penting yang tidak dikemukakan di dalam pliding adalah tidak dibenarkan untuk dihujahkan. Apabila isu itu tidak dinyatakan dengan jelas, maka sudah tentulah akan menyebabkan kes tersebut cacat dan mengelirukan.
67. Undang-undang Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003 juga ada menjelaskan mengenai penyata tuntutan yang perlu disediakan dalm sesuatu kes. Seksyen 63 (1) dan (2) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003 (ETTCMMS) memperuntukkan:
(1) Tiap-tiap pernyataan tuntutan hendaklah ditandatangani oleh plaintif atau Peguam Syarienya dan hendaklah mengandungi—
(a) suatu pernyataan yang ringkas lagi padat, dalam perenggan-perenggan yang bernombor, tentang fakta-fakta yang dijadikan sandaran oleh plaintif dan menunjukkan kausa tindakannya, termasuk butir-butir mengenai apa-apa sifat khas yang atasnya plaintif mendakwa, jika ada;
(b) butir-butir tuntutan yang mencukupi;
(c) suatu pernyataan tentang relief yang dituntut; dan
(d) butir-butir mengenai apa-apa permohonan lain.
(2) Jika lebih daripada satu kausa tindakan dijadikan sandaran, alasan bagi setiap satu tindakan dan relief yang dituntut berdasarkan kausa itu hendaklah dinyatakan secara berasingan.
71. Kepentingan kepada sesuatu tuntutan yang jelas dan terang ini juga ada disentuh di dalam Hukum Syarak. Mengikut Hukum Syarak, sesuatu tuntutan atau dakwaan itu dikira sah apabila ia memenuhi syarat-syarat dakwaan atau tuntutan. Kadangkala tuntutan itu dikira fasid walaupun wujudnya syarat sah dakwaan atau tuntutan pada asalnya. Ini adalah kerana terdapat kecacatan pada beberapa dakwaan atau tuntutan tersebut. Kadangkala tuntutan atau dakwaan itu mungkin akan batal sama sekali.
72. Menurut Dr Abdul Karim Zaidan di dalam Nizam al-Qadha’ Fi al-Syariah al-Islamiyyah, apabila ditinjau sah atau tidaknya sesuatu dakwaan atau tuntutan tersebut, maka didapati ia mempunyai tiga bahagian, iaitu dakwaan atau tuntutan yang sah, dakwaan atau tuntutan yang fasidah, dakwaan atau tuntutan yang batal dan dakwaan hisbah. (Lihat Mohd Salleh Hj Ahmad, Sistem Kehakiman Islam, Pustaka Haji Abdul Majid, 1997, hal. 8. Lihat juga Ibn ‘Abidin, Radd al Mukhtar, jld. 5, hal. 544, dan Ibn Farhun, Tabsirah al-Hukkam, jld.1, hlm. 127-129).
73. Menurut Dr Abdul Karim Zaidan juga, dakwaan atau tuntutan yang fasid ialah tuntutan yang pada asalnya adalah sah tetapi tidak dikira sebagai syar’ie disebabkan terdapatnya kecacatan pada sebahagian daripada sifat-sifat luarannya, contohnya benda yang didakwa atau dituntut itu sesuatu yang ‘majhul’ atau tidak jelas, dalam keadaan ini hakim tidak boleh menolak dakwaan itu begitu sahaja dan tidak pula mendengar tuntutan itu, bahkan hakim akan meminta supaya pihak yang mendakwa atau yang menuntut memperbetulkan dakwaannya atau tuntutannya dan setelah diperbetulkan tuntutan tersebut dari sesuatu yang boleh menyebabkan tuntutan itu ‘fasid’, maka hakim dapat menerima tuntutan tersebut.
74. Jika orang yang menuntut dapat menentukan apa yang dituntutnya dan tidak ada apa-apa yang menyebabkan kesamaran tetapi jika ia tidak memperbetulkan tuntutan yang ‘fasid’ tersebut, maka hakim tetap akan menolak dakwaannya itu. Walau bagaimanapun, penolakan ini tidak semestinya menggugurkan hak pihak yang menuntut atau yang mendakwa bagi mengemukakan tuntutannya atau dakwaanya buat kali kedua kerana ia masih mempunyai hak untuk mengemukakan dakwaannya atau tuntutannya setelah diperbetulkan kesalahannya supaya menjadi sah dan dapat diterima oleh hakim. (Ali Haidar Afandi, Usul Istima’ al-Da’wa al-Huquqiyyah, hal. 43-44, lihat juga Mohd Salleh Hj Ahmad, Sistem Kehakiman Islam, Pustaka Haji Abdul Majid, 1997, hal. 10)
75. Setiap tuntutan yang dikemukakan oleh orang yang menuntut hendaklah memenuhi syarat yang sah di sisi syarak, antaranya hendaklah tuntuan itu mengenai sesuatu yang diketahui. Oleh itu orang yang menuntut hendaklah menjelaskan tuntutannya secara detail tanpa menimbulkan sebarang keraguan. Tujuan sesuatu dakwaan itu ialah untuk memutuskan pertikaian mengikut prosedur mahkamah, justeru menjadi kewajipan ke atas pendakwa memperincikan isi kandungan dakwaannya, jika tidak, tuntutan itu boleh diketepikan. (lihat Shams al-Din Muhammad ibn Abi al-‘Abbas Ahmad ibn Hamzah ibn Shib al-Din al-Ramliy, Nihayat al-Muhtaj ‘ila Sharh al-Minhaj, Mesir: Sharikat Maktabat wa Matba’ah Mustafa al-Babi al-Halabi wa Awladih, 1938, Juz VII, hlm 103. Lihat juga Amin al-Jarumi,Prinsip-Prinsip Prosiding Mahkamah Dalam Syariat Islam, Shah Alam: UPENA, 2006, hal.33).
Ketakuran lain
76. Saman yang difailkan juga tidak disediakan dengan cermat serta terdapat beberapa fakta yang bercanggah. Misalnya perenggan 5 penyata tuntutan menyebut pada 12 haribulan Julai 2005, Mahkamah Tinggi Syariah Seremban, Negeri Sembilan telah mengeluarkan perintah terhadap defendan untuk membayar nafkah anak tersebut sebanyak RM500 sebulan sehingga satu perintah lain dikeluarkan oleh Mahkamah. Sedangkan Mahkamah yang mengeluarkan perintah tersebut adalah Mahkamah Rendah Syariah Daerah Seremban, dan ‘satu perintah lain dikeluarkan oleh mahkamah’ tidak pernah dijadikan atau dimasukkan sebagai terma perintah. Tidak ada pindaan dibuat mengenai perkara ini. Ianya juga menjadi isu yang ditimbulkan oleh Pemohon (atau defendan) dalam bantahannya. Saya tidak mengatakan ini satu kesilapan teknikal atau disengajakan yang berniat memerangkap perhatian hakim bicara, tetapi ini adalah satu kecuaian yang serius dan tidak sepatutnya berlaku. Mahkamah dibawa ke satu sessi yang panjang untuk selesaikan isu yang salah diplidkan dan sudah tentunya membuang banyak masa Mahkamah.
77. Dalam sistem perundangan kita,khususnya di Mahkamah Syariah, setiap tindakan boleh dimulakan hanya dengan dua cara, iaitu; Melalui saman dan permohonan. Setiap saman perlu disertakan dengan penyata tuntutan dan penyata tuntutan hendaklah mematuhi kehendak Bahagian III bab 2 ETTCMMS dan mematuhi sepenuhnya sek 63 Enakmen.
78. Setiap tindakan yang dimulai dengan saman juga hendaklah jelas dari segi kedudukan pihak-pihak. Jika berlakunya ketakuran atau kesilapan pada saman atau penentuan pihak-pihak, pindaan boleh dibuat kepada saman atau pliding tersebut pada mana-mana peringkat prosiding sebagaimana yang diperuntukkan di bawah sek 80 ETTCMMS. Pindaan yang dibuat pula perlu mematuhi kehendak keseluruhan sek yang diperuntukkan sepertimana di bawah Bahagian X Enakmen. Perkara ini tidak dilakukan oleh pihak-pihak khususnya Responden (atau Plaintif).
79. Kecacatan-kecacatan ini akan menimbulkan kekeliruan seperti yang dihadapi dalam kes ini. Isu-isu yang ditimbulkan menjadi tidak relevan dengan kehendak kes dan penyelesaiannya sukar ditemui.
80.Bagi tujuan semakan ini, saya berpendapat, persoalan yang ditimbulkan oleh Pemohon tidak boleh diputuskan selagi tuntutan sebenarnya tidak jelas atau kabur. Isu siapa yang berhak memulakan tindakan bergantung atas jenis saman dan tuntutan yang difailkan. Ia memberi kesan yang berbeza jika saman tersebut adalah bertujuan mengubah perintah, membatalkan perintah, melanjutkan perintah atau satu saman baru mengenai nafkah anak.
81. Penentuan pihak-pihak ini adalah penting dan akan menjejaskan sesuatu kes jika penentuan kearahnya tidak dibuat dengan tepat. Pihak-pihak yang dimaksudkan boleh jadi plaintif ataupun defendan. Terdapat banyak kes diputuskan oleh Mahkamah dimana kes-kes tersebut telah ditolak akibat penentuan pihak-pihak tersebut tidak dilihat secara serius.
82. Satu contoh yang baik mengenai penentuan pihak-pihak ini dapat dilihat dalam satu kes di Mahkamah Rayuan Syariah, Kota Bharu , Kelantan iaitu kes Nik Mansor bin Nik Ali lwn Tuan Hafsah binti Tuan Man (2006) JH XXI/II 240. Sewaktu kes ini didengar di Mahkamah Tinggi Syariah, YA Hakim Bicara telah menolak dan membuang tuntutan plaintif, iaitu Nik Mansor bin Nik Ali kerana menuntut aset-aset sebagai harta sepencarian yang bukan hak milik plaintif atau defendan. Perayu yang tidak berpuashati telah mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan Syariah Kota Bharu Kelantan. Panel rayuan yang dipengerusikan oleh YAA Dato’ Haji Daud bin Muhammad, KHS sebulat suara bersetuju dan mengekalkan perintah yang diputuskan YA Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu. Fakta kes ini ialah, perayu, Nik Mansor bin Nik Ali telah mengemukakan rayuan Ke Mahkamah Rayuan mengenai aset-aset yang didakwanya sebagai harta sepencarian, iaitu sebuah rumah dua tingkat di atas tanah lot no. 2207 Mukim Binjai, Kota Bharu, sebuah rumah teres 2 dan sebidang tanah lot no. 1354, Mukim Binjai Kota Bharu. Sewaktu perbicaraan, Mahkamah dapati asset-aset adalah hak milik Nik Amani bt nik Mansor, bukan milik plaintif (Nik Mansor) atau milik defendan (Tuan Hafsah), rumah teres dua tingkat di atas tanah lot 2207, pula adalah hak milik Nik Amani bt Nik mansor , bukan milik plaintif atau defendan, dan tanah lot no 1354, Mukim Binjai, kota Bharu pula adalah di bawah hak milik Nik Ahmad bin Nik Mansor, juga bukan hak milik plaintif mahu pun defendan. YA Hakim bicara memutuskan bahawa tuntutan Nik Mansor adalah salah dan tidak menepati maksud ‘harta sepencarian’ kerana tanah-tanah itu bukan milik plaintif atau defendan maka adalah tidak tepat defendan (responden di dalam kes rayuan tersebut) dijadikan plaintif kerana tidak mematuhi rukun dakwaan mengikut Hukum Syarak.
83. Di dalam satu kes lain, Bakhtiar bin Adnan lwn Mohd Fawzi bin Nahrawi dan 6 yang Lain (2006) JH XXI/I 19, Pemohon, Bakhtiar bin Adnan merupakan Pengerusi jawatankuasa bertindak Pembangunan Surau Madrasatul Awwaliah di kampung Segambut Dalam, Kuala Lumpur, manakala responden dan 6 yang lain adalah pemilik berdaftar ke atas sebidang tanah yang dikenali sebagai GM 6209 lot 1596 mukim Batu Wilayah persekutuan. Responden-responden telah mewakafkan sebahagian tanah lot 1596 sebanyak 1/7 bahagian kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP). MAIWP kemudiannya telah membangunkan di atas tapak tanah wakaf tersebut sebuah surau yang dinamakan Madrasatul Awwaliah di mana Pemohon adalah Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Surau tersebut. Pada 11hb April 2005, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan telah menghantar notis meroboh dan mengalihkan bangunan surau tersebut untuk dibangun dan dimajukan. Notis tersebut telah dihantar kepada ahli jawatankuasa surau tersebut. Pemohon yang tidak berpuashati dengan keputusan Jabatan Agama Islam Wilayah persekutuan berdasarkan notis tersebut, telah memohon satu perintah interim injunksi bagi menghalang apa-apa tindakan untuk merobohkan dan mengalihkan surau tersebut. Diputuskan bahawa permohonan ex-parte perintah interim injunksi yang dibuat oleh pemohon adalah salah aturan dan ditolak oleh Mahkamah kerana Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan yang merupakan tuan tanah kepada tapak surau yang telah diwakafkan itu sepatutnya dijadikan sebagai responden dalam kes ini dan bukannya pemilik tanah yang asal.
83. Dalam kes lain, Hasan Arif Hafiz Ahmed lwn Hasimah Hafiz Ahmed & Hasnah Hafiz Ahmed (2006) JH XXII/I, 61, Panel Rayuan sebulat suara menolak rayuan pemohon dan berpendapat bahawa responden-responden bukanlah pihak-pihak yang sepatutnya dikaitkan dalam urusan harta pesaka kerana mereka telah jelas bukan disenaraikan sebagai ahli waris.
84. Melihat kepada kes-kes yang telah diputuskan, dalam hal ini saya bersetuju dengan hujah pemohon mengenai isu ‘locus standi’, dimana orang yang sepatutnya bertindak sebagai Plaintif dalam kes ini ialah anak yang berusia lebih 18 tahun, iaitu Afiq zain Azrai bin Mohammad.
85. Selain dari itu, saya juga berpendapat isu mengenai umur dewasa bagi anak yang mencapai umur 18 tahun samada perintah nafkah keatasnya tamat secara automatik atau tidak juga tidak sepatutnya disentuh kerana ianya jelas telah diperuntukkan di bawah sek 80 EUUKINS dan dengan hormat juga disebut disini, isu itu akan timbul jika saman kes ini mengenai tuntutan lanjutan nafkah.
85.Adalah satu penyalahgunaan kepada kuasa mahkamah untuk mengheret mahkamah membincangkan isu yang tidak berkaitan dengan kes yang difailkan. Saya berpendapat adalah salah kepada mahkamah ini untuk membuat anggapan-anggapan berdasarkan tuntutan yang kabur, kecuali saman dan kehendak tuntutan itu adalah jelas atau pindaan kearahnya dibuat.
86.Berdasarkan ulasan-ulasan yang dinyatakan sebelum ini, dengan bersandarkan otoriti-otoriti yang dikutip dari kes-kes sivil dan syariah, serta nas-nas syarak, saya berpuas hati bahawa tuntutan nafkah anak melalui kes Mal No. 05005-024-0769-2008 yang difailkan oleh Responden adalah kabur, tidak jelas dan cacat dari segi plidingnya yang menyebabkan berlakukanya kekeliruan dalam kes ini.
Keputusan
Permohonan semakan oleh Pemohon adalah dibenarkan.
Mahkamah mendapati tuntutan dalam saman kes Mal No. 05005-024-0769-2008 adalah kabur dan terdapat kecacatan yang serius dan boleh menjejaskan hak pihak-pihak dan keadilan dalam kes ini. Saman tersebut hendaklah dibatalkan.
Tuntuan bolehlah difailkan semula dengan mematuhi perkara berikut;
i) Relief-relief yang dituntut hendaklah dinyatakan secara jelas dalam pliding;
ii) Perintah nafkah anak adalah tamat apabila anak mencapai umur 18 tahun;
iii) Tindakan hendaklah dimulakan oleh anak bagi kes tuntutan nafkah;
iv) Tindakan boleh dimulakan oleh Plaintif atau anak bagi kes tuntutan melanjutkan perintah nafkah;
Mohd Nadzri Bin Abdul Rahman
Kamar Hakim
Mahkamah Tinggi Syariah Seremban, Negeri Sembilan Darul Khusus
20hb Oktober 2009
DALAM KAMAR HAKIM
MAHKAMAH TINGGI SYARIAH NEGERI SEMBILAN
SURAT KEPUTUSAN SEMAKAN KES
KES MAL NO. 05100-003-0245 TAHUN 2009
Arahan Amalan No 3 Tahun 2007
Tuan Hakim
Mahkamah Rendah Syariah Seremban
Negeri Sembilan darul Khusus
Assalamualaikum wbt.
SETELAH MAHKAMAH membuat semakan ke atas Kes Mal Bil. 05005-024-0769-2008 yang difailkan oleh Pemohon melalui permohonan bertarikh 18hb Mei 2009, Mahkamah mendapati terdapat kesilapan atau ketakaturan berhubung pliding kes berkenaan.
2. MAHKAMAH dengan itu menyertakan alasan penghakiman bagi semakan berkenaan dan memulangkan fail kes tersebut kepada Tuan untuk tindakan selanjutnya.
______________________________________
Mohd Nadzri bin Abdul Rahman
Hakim Mahkamah Tinggi Syariah