Saturday, November 20, 2010

Penghakiman Persetujuan: sejauh mana ianya mengikat


[2010] JH 31/1

DI DALAM MAHKAMAH TINGGI SYARIAH DI SEREMBAN
DALAM  NEGERI SEMBILAN DARUL KHUSUS

Dalam Perkara Tuntutan  Harta Sepencarian

KES MAL NO: 05100-017-0313-2008


ANTARA


SITI KALSAMAH BT SELAMAT                                                                    PLAINTIF
DAN
MOHD ZAIN BIN AHMAD                                                                              DEFENDAN


Tuntutan Harta Sepencarian – Harta yang diperolehi dalam tempoh perkahwinan – sek. 122 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Sembilan) 2003 – Bidangkuasa Mahkamah – sek. 61 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003 – sek. 4 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Sembilan) 2003
Undang-Undang Tatacara Mal - Penyelesaian melalui persetujuan bersama pihak-pihak – sek.94 dan 99 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah – Sama ada persetujuan di luar Mahkamah bukan melalui prosiding sulh boleh direkodkan sebagai perintah Mahkamah
Undang-Undang Keterangan – Sama ada penyelesaian sulh di luar Mahkamah mematuhi kehendak Hukum Syarak – Sek. 17 Enakmen keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003.

Fakta kes 

Dalam kes in, Plaintif telah memfailkan tuntutan untuk mensabitkan harta sepencarian yang dimiliki oleh Plaintif dan Defendan. Tuntutan ini dibuat setelah Plaintif dan Defendan telah disabitkan bercerai oleh Mahkamah pada 23 November 2007. Dalam tempoh perkahwinan tersebut, Plaintif dan Defendan telah memperolehi aset-aset berikut :-

  1. Tanah pertanian lot 12690 seluas 4.038 hektar di FELDA Jelai 2, Mukim Gemencheh, Tampin, Negeri Sembilan.
  2. Tanah tapak rumah lot 77389 seluas 1094 meter persegi di FELDA Jelai 2, Mukim Gemencheh, Tampin, Negeri Sembilan.

Plaintif memohon agar Mahkamah mengisytiharkan bahawa harta-harta tersebut adalah harta sepencarian Plaintif dan Defendan, dan ½ bahagian dari harta dan hasil FELDA tersebut diberikan kepada Plaintif.

Dalam kes ini, Plaintif telah diwakili oleh peguam dari Biro Bantuan Guaman manakala pihak Defendan hadir bersendirian. Kes ini pertama kali disebut pada 10/07/08, bagaimanapun Defendan tidak hadir disebabkan Defendan ditahan di wad Hospital Kuala Pilah. Fax dari Hospital ada disertakan oleh Peguam Plaintif. Kes kemudiannya ditangguhkan kepada 28/8/08 kerana sebab yang tak dapat dielakkan. Pada 11/9/2008, Kes disebut semula buat kali yang kedua dan kedua-dua pihak hadir. Pada hari tersebut, Peguam Plaintif, En. Asrul Azlan Embung dari Biro Bantuan Guaman Cawangan Negeri Sembilan memaklumkan kepada mahkamah terdapat persetujuan antara Plaintif dan Defendan. Memandangkan terma persetujuan yang tidak lengkap, Mahkamah mengarahkan kes ditangguhkan pada tarikh lain dan meminta Peguam Plaintif menyediakan terma persetujuan secara lengkap. Pada 23/10/2008, Peguam Plaintif sekali lagi maklumkan bahawa terdapat persetujuan antara kedua-dua belah pihak. Bagaimanapun terma persetujuan dibuat secara lisan dan Peguam plaintif tidak menyediakan secara bertulis.  Antara terma persetujuan yang dicapai ialah:

  1. Sebidang tanah kebun  Lot 12690 seluas 10 ekar, di Felda Jelai 2, Mukim Gemencheh, Tampin, Negeri Sembilan adalah diisytiharkan sebagai harta sepencarian.

  1. Dipersetujui  ½ bahagian daripada pendapatan hasil kebun tersebut diserah kepada Plaintif Puan Kalsamah binti Selamat dan nama Plaintif diletakan sebagai pemegang bersama dalam Buku Daftar Pegangan.

  1. Defendan juga membenarkan Plaintif membina sebuah rumah dibelakang rumah asal dalam lot 77939 seluas 1094 meter persegi di FELDA Jelai 2, Mukim Gemencheh, Tampin, Negeri Sembilan.

Selepas mendapat pengesahan dari kedua-dua belah pihak, Mahkamah membenarkan persetujuan tersebut direkodkan dan seterusnya dijadikan perintah Mahkamah.

Diputuskan :

Atas persetujuan bersama kedua-dua belah pihak, Maka Mahkamah dengan ini memerintahkan seperti berikut :-

  1. Mahkamah memutuskan bahawa sebidang tanah kebun lot 12690 seluas 4.038 hektar di FELDA Jelai 2, Mukim Gemencheh, Tampin, Negeri Sembilan adalah diisytiharkan sebagai harta sepencarian.

  1. Mahkamah memutuskan ½ bahagian daripada pendapatan hasil kebun tersebut diserah kepada Plaintif Puan Kalsamah binti Selamat dan nama Plaintif diletakan sebagai pemegang bersama dalam Buku Daftar Pegangan.

  1. Defendan juga membenarkan Plaintif membina sebuah rumah dibelakang rumah asal dalam lot 77939 seluas 1094 meter persegi di FELDA Jelai 2, Mukim Gemencheh, Tampin, Negeri Sembilan.


Peguam Syarie

Plaintif           : Asrul Azlan bin Embong , Biro Bantuan Guaman Negeri 
  Sembilan.
Defendan      : Tidak diwakili peguam syarie

Surah Al-Quran Yang Dirujuk

1.    Surah al-Nisa’ ayat 32
2.    Surah al-Baqarah ayat 228
3.    surah Ali Imran 81
4.    surah al-Maidah 5: 1

Kitab-kitab Yang Dirujuk

1.    Abi Bakr Osman bin Muhammad Shatta al-Dimyati al-Bakri, I’aanah al-Talibin, Jil. 4
2.    Muhammad bin Muhammmad al-Khatib al-Syarbini, Mughni al-Muhtaj, Jil. 2
3.    Ibnu Qayyim al-Juziyyah, al-Turuq al-Hukmiyyah fi al-Siasah al-Syar’iyyah,   
4.    Imam al-Shafie, al-Umm, 1996, Cetakan Dar al-Qutaibah, Beirut,
5.    Kitab Subul al-Salam, juz.3,
6.    Dr. Wahbah al-Zuhaili, Fiqh dan Perundangan Islam, Dewan Bahasa dan Pustaka, jil.6,

Undang-undang Yang Dirujuk

1.    Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003
2.    Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Sembilan) 2003
3.    Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003
4.    Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003
5.    Arahan Amalan Mahkamah Syariah

Kes-kes Yang Dirujuk

1.    Noor Bee lwn  Ahmad Sanusi (1980) JH Jil. 1 Bah. II, 63
2.    Datin Rohaya bt Hj Mokhsin lwn Dato’ Hj Jamian bin Mohamad [2008] JH 25, bhg.2,
3.    Saleh bin Husin lwn Salamah bte Abdullah [2007], JH 24 bhg.2, 239
 
Alasan Penghakiman  YA , HMTS.

1.    Kes di hadapan Mahkamah ini adalah berkaitan dengan Tuntutan Harta Sepencarian diperolehi bersama semasa dalam tempoh perkahwinan Plaintif dan Defendan. Plaintif dan Defendan telah disabitkan bercerai oleh Mahkamah pada 23 November 2007. Dalam tempoh perkahwinan tersebut, Plaintif dan Defendan telah memperolehi aset-aset berikut :-
a.            Tanah pertanian lot 12690 seluas 4.038 hektar di FELDA Jelai 2, Mukim Gemencheh, Tampin, Negeri Sembilan.
b.            Tanah tapak rumah lot 77389 seluas 1094 meter persegi di FELDA Jelai 2, Mukim Gemencheh, Tampin, Negeri Sembilan.
2.    Plaintif memohon agar Mahkamah mengisytiharkan bahawa harta-harta tersebut adalah harta sepencarian Plaintif dan Defendan, dan ½ bahagian dari harta dan hasil FELDA tersebut diberikan kepada Plaintif.
3.    Pada peringkat awal, kes ini telah dibawa ke Majlis Sulh untuk proses perundingan antara kedua-dua belah pihak bagi mencari jalan penyelesaian secara mudah. Walaubagaimanapun, berdasarkan kepada Laporan Majlis Sulh, proses Sulh adalah gagal kerana Notis Kehadiran Sulh ke atas Defendan telah gagal disempurnakan, dan Defendan juga tidak hadir ke Majlis Sulh tersebut. Plaintif juga mahukan perbicaraan diteruskan.
4.    Kes ini kemudiannya berjaya diselesaikan dalam masa yang singkat apabila peguam Plaintif berjaya mendapatkan persetujuan bersama kedua-dua belah pihak melalui perundingan di luar Mahkamah. Mahkamah kemudiannya merekodkan persetujuan ini dan memerintahkan suatu perintah berkaitan dengan harta sepencarian berdasarkan kepada persetujuan bersama kedua-dua pihak.

Bidangkuasa Mahkamah

1.    Persoalan pertama yang ingin disentuh oleh Mahkamah adalah berkaitan dengan bidangkuasa Mahkamah. Mengenai bidangkuasa ini, Seksyen 4 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Sembilan) 2003 menjelaskan tentang pemakaian undang-undang;

Kecuali sebagaimana yang diperuntukkan dengan nyata selainnya, Enakmen ini terpakai bagi semua orang Islam yang tinggal di dalam Negeri Sembilan dan bagi semua orang Islam yang bermastautin di dalam Negeri Sembilan tetapi tinggal di luar Negeri itu.

2.    Tertakluk kepada Seksyen 61, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003 yang menyatakan tentang bidangkuasa Mahkamah Tinggi syariah, iaitu :

(1)   Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah mempunyai bidang kuasa di seluruh Negeri Sembilan dan hendaklah diketuai oleh seorang Hakim Mahkamah Tinggi Syariah.

(2)   Walau apa pun subseksyen (1), Ketua Hakim Syarie boleh bersidang sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Syariah dan mengetuai Mahkamah itu.

(3)   Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah —

(a) ……

(b) dalam bidang kuasa malnya, mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding jika semua pihak dalam tindakan atau prosiding itu ialah orang Islam dan tindakan atau prosiding itu adalah berhubungan dengan—
                                                                                                                                   
(i)         ……
(ii)        ……
(iii)       ……
(iv)      pembahagian atau tuntutan harta sepencarian;

3.    Di dalam memberikan apa-apa keputusan terhadap semua tuntutan ini, Mahkamah perlu melihat sama ada wujud atau pun tidak peruntukan yang berkaitan dengan kes ini. Seksyen 122 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Sembilan) 2003 yang berkaitan dengan pembahagian harta sepencarian;

(1)           (Mahkamah hendaklah mempunyai kuasa apabila membenarkan lafaz talaq atau apabila membuat suatu perintah perceraian untuk memerintahkan supaya apa-apa aset yang diperoleh oleh pihak-pihak itu masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagikan antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagikan antara pihak-pihak itu.

(2)           Dalam menjalankan kuasa yang diberikan oleh subseksyen (1), Mahkamah hendaklah mengambil kira—

(a)    takat sumbangan yang telah dibuat oleh tiap-tiap satu pihak dalam bentuk wang, harta, atau kerja bagi memperoleh aset-aset itu;
(b)    apa-apa hutang yang terhutang oleh salah satu pihak yang telah dilakukan bagi manfaat bersama mereka;
(c)    keperluan anak-anak yang belum dewasa daripada perkahwinan itu, jika ada,

dan, tertakluk kepada pertimbangan-pertimbangan itu, Mahkamah hendaklah membuat pembahagian yang sama banyak, aset atau hasil jualan aset itu.

4.    Berdasarkan peruntukan-peruntukan yang telah Mahkamah nyatakan di atas, Mahkamah berpendapat bahawa Mahkamah ini adalah berbidangkuasa untuk mendengar dan memutuskan kes yang telah dibicarakan ini.
5.    Dalam  kes ini, pihak Plaintif telah membuat tuntutan harta sepencarian di Mahkamah ini ke atas aset-aset yang dimiliki oleh Defendan. Aset-aset yang dimaksudkan ialah :-
1.    Tanah pertanian lot 12690 seluas 4.038 hektar di FELDA Jelai 2, Mukim Gemencheh, Tampin, Negeri Sembilan.
2.    Tanah tapak rumah lot 77389 seluas 1094 meter persegi di FELDA Jelai 2, Mukim Gemencheh, Tampin, Negeri Sembilan.
6.    Plaintif memohon kepada Mahkamah ini perintah-perintah seperti berikut :-
1.    Harta-harta yang tersebut di atas diisytiharkan sebagai harta sepencarian
2.    ½ bahagian daripada harta dan hasil FELDA tersebut diberikan kepada Plaintif.
7.    Merujuk kepada tuntutan-tuntutan yang dikemukakan oleh Plaintif dalam kes ini, Mahkamah perlu memutus terlebih dahulu adakah Plaintif berhak ke atas harta-harta yang dituntut itu. Oleh itu, Mahkamah telah melihat takrifan harta sepencarian sebagaimana yang terdapat di dalam Seksyen 2 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Sembilan) 2003 yang menyatakan bahawa :-
“Harta Sepencarian” ertinya harta yang diperolehi oleh suami dan isteri sama ada secara langsung atau tidak langsung semasa perkahwinan berkuatkuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak.

8.    Apabila kes ini di bawa ke Mahkamah, maka menjadi tugas Mahkamah untuk menilai apakah sumbangan langsung dan sumbangan tidak langsung Plaintif bagi memastikan bahagian yang berhak Plaintif perolehi terhadap harta berkenaan. Asas pertimbangan bagi bahagian yang akan menjadi hak kepada isteri adalah apakah sumbangan isteri dalam memperolehi harta tersebut, dan berapa lama tempoh kehidupan bersama suami isteri dalam memperolehi harta itu.
9.    Mahkamah  berpandangan bahawa apabila salah satu pihak turut memberi sumbangan dalam memiliki sesuatu harta samada sumbangan itu untuk mencukupkan jumlah kewangan, atau untuk melengkapkan keperluan, atau menyempurnakan keperluan, maka itu boleh dikira sebagai sumbangan secara langsung. Manakala tindakan isteri dalam menguruskan rumah tangga, menjaga anak-anak, menjaga dan melayan keperluan suami, maka tindakan itu boleh dikiran sebagai sumbangan tidak langsung seorang isteri dalam membantu suaminya memperolehi sesuatu harta.
10. Sumbangan secara tidak langsung oleh pihak isteri bagi sesebuah rumahtangga itu boleh diibaratkan sebagai muamalah upah. Maka apabila seseorang isteri bertugas di rumah melebihi dari tugas-tugasnya yang diwajibkan ke atas dirinya menurut hukum Syarak maka ianya perlu diberi upah. Mengenai perkara ini, firman Allah s.w.t dalam surah al-Nisaa 4 : 32

Yang bermaksud;
(Kerana telah tetap) Bagi orang laki-laki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan

Firman Allah dalam surah al-Baqarah 2 : 228


Yang bermaksud;
Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh Syarak), dalam pada itu orang lelaki (suami-suami itu) mempunyai satu darjah kelebihan atas orang-orang perempuan (isterinya). Dan ingatlah Allah Maha Berkuasa lagi Maha Bijaksana.

11. Dalam kitab I’aanah al-Talibin, Jil. 4 hlm. 87.ada memperuntukkan matan Fathu al-Muin yang bererti:

Adapun perkara-perkara yang tidak khusus kepada isteri melakukannya seperti memasak makanan suami dan mencuci pakaian suami, maka tidak menjadi kewajipan ke atas isteri mahupun orang gaji ke atas isteri, tetapi kewajipan tersebut menjadi tugas suami. Oleh yang demikian suami kenalah menanganinya sendiri atau ditangani oleh orang lain iaitu dengan suami membayar upah dan sebagainya.

Seterusnya Mahkamah merujuk kepada kitab al-Umm, 1996, Cetakan Dar al-Qutaibah, Beirut, hlm. 328, yang menyebut bahawa :-

Imam Syafie telah berkata : Apabila berlaku pertelingkahan antara seorang lelaki dengan seorang perempuan terhadap perkakas rumah yang mana keduanya mendiami rumah berkenaan, dan mereka berpisah atau sekalipun tidak berpisah, atau kedua suami isteri itu meninggal dunia, atau salah seorang daripada mereka meninggal dunia, maka berlaku pertelingkahan di antara waris kepada kedua-dua pihak atau pertelingkahan oleh waris kepada salah satu pihak, maka penyelesaiannya adalah sama ; iaitu ; bagi perkakas rumah apabila kedua-duanya sama menduduki sebuah rumah yang mana perkakas yang menjadi milik bersama mereka, maka zahirnya perkakas-perkakas di dalam rumah itu adalah menjadi milik bersama suami isteri itu, atau berada di dalam pegangan dua orang lelaki lain, andainya setiap orang daripada keduanya minta masing-masing bersumpah di atas kebenaran tuntutannya, maka jika keduanya bersumpah, perkakas itu dibahagi dua masing-masing mendapat separuh, kerana ada kemungkinan orang lelaki dapat memiliki perkakas orang perempuan dengan cara beli, menerima pusaka, dan lain-lain. Begitu juga dengan orang perempuan dapat memiliki perkakas orang lelaki dengan cara beli, menerima pusaka dan lain-lain. Oleh kerana keadaan demikian boleh berlaku, dan perkakas yang dipertikai itu berada di dalam milikan bersama, ia tidak boleh dihukum kecuali dengan cara ini kerana sesuatu itu berada di dalam milik bersama.

12, Bagi mengukuhkan lagi hujah ini, Mahkamah telah merujuk kes Noor Bee lwn  Ahmad Sanusi (1980) JH Jil. 1 Bah. II Hlm. 63, YA Tuan Hakim Haji Harussani bin Haji Zakaria, Kadi Besar Negeri Pulau Pinang pada masa itu telah menyatakan bahawa :

“Harta sepencarian diluluskan oleh Syarak atas dasar khidmat dan perkongsian hidup suami isteri. Isteri telah mengurus dan mengawal rumah tangga, suami keluar mencari nafkah. Isteri, menurut Syarak berhak mendapat orang gaji dalam mengurus rumah tangga, jika tidak, maka kerja memasak, membasuh, dan mengurus rumah hendaklah dianggap sebagai sebahagian dari kerja yang mengurangkan tanggungan suami.”

13. Mahkamah berpandangan bahawa, apabila seorang perempuan secara sah telah menjadi isteri kepada seorang lelaki, maka dia adalah berhak ke atas sebahagian daripada harta yang dimiliki oleh suaminya yang mana harta-harta berkenaan telah diperolehi mereka selepas perkahwinan yang sah menurut hukum Syarak. Asas pertimbangan bagi bahagian yang akan menjadi hak kepada isteri adalah apakah sumbangan isteri dalam memperolehi harta tersebut, dan berapa lama tempoh kehidupan bersama suami isteri dalam memperolehi harta itu.
14. Harta sepencarian adalah harta yang diperolehi oleh suami isteri semasa dalam tempoh perkahwinan mereka sama ada melalui sumbangan langsung atau secara tidak langsung. Tiada dalil yang khusus di dalam al-Quran dan al-Sunnah yang menerangkan kedudukan harta sepencarian dalam Islam. Pemakaian kaedah pemberian harta sepencarian ini adalah diambil dari segi kaedah uruf. Rasululah s.a.w apabila berhadapan dengan permasalahan yang berkaitan dengan uruf ini, Baginda akan mengambil pendekatan yang berbeza-beza antara satu adat dengan adat yang lain sama ada Baginda menerima atau menolak adat itu atau menerima dengan pindaan terhadap sesuatu adat itu sebelum ia menjadi hukum. Berdasarkan kepada prinsip keadilan, maka hak terhadap harta sepencarian ini dibolehkan di dalam hukum syarak. Suami isteri atau bekas suami isteri tidak boleh menafikan hak masing-masing ke atas sebahagian harta yang mereka perolehi semasa dalam tempoh perkahwinan di mana harta-harta itu diperolehi secara usaha bersama.
15. Mahkamah juga ingin mengucapkan terima kasih kepada peguam syarie Plaintif kerana berusaha untuk menyelesaikan kes ini dengan cara yang mudah dan masa yang singkat melalui perundingan dan perbincangan luar mahkamah antara Plaintif dan Defendan. Mahkamah amat menghargai kerjasama dan tolak ansur yang diberikan oleh Plaintif dan Defendan dalam kes ini, sikap ini amat digalakkan di dalam Islam. Firman Allah s.wt. di dalam surah al-Nisa’ 4 ayat 128:
(3)  

Bermaksud : dan jika seorang perempuan bimbang akan timbul dari suaminya "nusyuz" (kebencian), atau tidak melayaninya, maka tiadalah salah bagi mereka (suami isteri) membuat perdamaian di antara mereka berdua (secara Yang sebaik-baiknya), kerana perdamaian itu lebih baik (bagi mereka daripada bercerai-berai);

16.  Walaupun perdamaian di dalam ayat ini lebih dikhususkan kepada hubungan suami isteri, namun Mahkamah berpandangan bahawa perdamaian atau pun tolak ansur ini boleh digunakan dalam semua urusan dan pertelingkahan yang berlaku. Melalui kaedah perdamaian, tolak ansur atau persetujuan bersama ini, sesuatu masalah itu dapat diselesaikan dengan mudah dan cepat.
17. Dalam kes ini, sebelum keterangan penuh kedua-dua belah pihak diambil, Peguam Plaintif memaklumkan bahawa telah wujud satu persetujuan mengenai hal perkara yang dituntut. Sewaktu persetujuan tersebut pertama kali dimaklumkan kepada Mahkamah, Mahkamah tidak merekodkan persetujuan lisan tersebut kerana terma yang dinyatakan tidak teratur dan sempurna. Pihak-pihak dinasihatkan supaya hadir semula pada tarikh seterusnya untuk merekodkan terma persetujuan secara lebih spesifik dan lengkap.
18. Ekoran daripada persetujuan tersebut, keterangan penuh mengenai harta sepencarian ini telah tidak diambil dan Mahkamah tidak dapat membuat pertimbangan sewajarnya berkaitan dengan bahagian atau kadar yang berhak diterima oleh kedua-dua belah pihak dan tiada apa-apa keterangan yang berkaitan dengan kes ini.  Mahkamah beranggapan kedua-dua belah pihak telah diberi masa yang cukup untuk mempertimbangkan persetujuan lisan tersebut.

Persetujuan Bersama Pihak-pihak.

1.    Kes ini telah dimulakan dengan Majlis Sulh pada 25 Jun 2008. Namun mengikut Laporan Majlis Sulh yang telah dikemukakan oleh Pegawai Sulh ke Mahkamah ini, proses sulh kedua-dua pihak tersebut adalah gagal kerana Notis Kehadiran Sulh telah gagal disempurnakan dan Defendan juga gagal hadir ke Majlis Sulh. Seterusnya Plaintif memohon agar kes ini terus dibicarakan.
2.    Apabila proses Sulh gagal, kes ini telah dibawa ke Mahkamah ini untuk dibicarakan. Sewaktu kes ini masih diperingkat sebutan,  pihak-pihak telah mencapai satu jalan penyelesaian melalui persetujuan bersama yang diperolehi hasil perbincangan diluar Mahkamah antara peguam syarie Plaintif, Plaintif dan Defendan. Pada tarikh 11 September 2008, peguam syarie Plaintif memaklumkan secara lisan kepada Mahkamah bahawa pihak-pihak telah mencapai persetujuan bersama dalam kes ini di mana terma-terma persetujuan adalah seperti berikut :-
a)            Hasil atau pendapatan bulanan di FELDA Jelai 2 sebagai harta sepencarian berdasarkan ½ bahagian kepada Plaintif dan ½ bahagian kepada Defendan
b)            Harta-harta tersebut hendaklah diisytiharkan sebagai harta sepencarian antara Plaintif dan Defendan dan pembahagian hendaklah diberi secara samarata.
3.     Merujuk kepada persetujuan lisan yang dicapai ini, Mahkamah telah menangguhkan kes ini ke tarikh 23 Oktober 2008 untuk memberi masa kepada peguam syarie Plaintif untuk menyediakan draf persetujuan bersama serta tentukan terma-terma yang sesuai bagi persetujuan ini secara lebih lengkap.
4.     Pada tarikh 23 Oktober 2008, dengan kehadiran Plaintif dan Defendan, peguam syarie Plaintif telah mengemukakan kepada Mahkamah ini draf persetujuan bersama secara lisan yang dipersetujui pihak-pihak dan mohon agar Mahkamah merekodkan persetujuan ini sebagai satu perintah. Terma-terma yang dipersetujui ialah :-
1.    Sebidang tanah kebun Lot 12690 seluas 10 ekar di FELDA Jelai 2, Mukim Gemencheh, tampin, Negeri Sembilan Darul Khusus diisytiharkan sebagai harta sepencarian;
2.    Dipersetujui ½ bahagian daripada pendapatan hasil kebun tersebut diserahkan kepada Plaintif Puan Siti Kalsamah binti Selamat dan nama Plaintif diletakkan sebagai pemegang bersama dalam Buku Daftar Pegangan FELDA tersebut.
3.    Defendan Mohd Zain bin Ahmad membenarkan Plaintif Siti Kalsamah binti Selamat membina sebuah rumah di belakang rumah asal dalam lot yang sama iaitu Lot 77939 FELDA Jelai 2, Mukim Gemas, Tampin.
5.     Oleh kerana prsetujuan tersebut masih dibuat secara lisan, mahkamah kemudiannya bertanyakan kepada pihak-pihak tersebut secara terus mengenai terma-terma yang dipersetujui dan diakui oleh kedua-dua pihak.
6.     Apabila pihak-pihak mencapai persetujuan bersama, dan persetujuan tersebut diasaskan kepada ikrar pihak-pihak serta didapati tidak ada unsur-unsur paksaan, Mahkamah ini berpendapat tidak ada apa-apa lagi halangan yang boleh menghalang  persetujuan tersebut dari direkodkan dan dijadikan perintah.
7.     Mahkamah telah membaca semula terma-terma yang dipersetujui pihak-pihak  agar pihak-pihak benar-benar memahami terma yang dipersetujui mereka, kerana apa-apa keputusan yang diputuskan oleh Mahkamah melalui persetujuan bersama ini tidak  boleh ditarik balik dan dirayu oleh pihak-pihak. Ini adalah selaras dengan Arahan Amalan No.5 Tahun 2006 yang menyatakan :-
Kesan perjanjian persetujuan Sulh yang menepati kehendak Hukum Syarak yang telah direkodkan dan disahkan oleh Mahkamah tidak boleh ditarik balik dan tidak boleh dirayu oleh pihak-pihak yang terlibat dengan perjanjian persetujuan tersebut.

8.    Mahkamah kemudiannya mendapatkan pengesahan dan persetujuan pihak–pihak berkaitan dengan terma-terma yang dipersetujui mereka. Defendan dengan sukarela telah mengesahkan persetujuan tersebut dan menerimanya.
9.     Bagaimanapun, Mahkamah tidak boleh membuat keputusan tanpa Mahkamah sendiri mendapatkan persetujuan daripada pihak-pihak dan merekodkan persetujuan ini. Persetujuan bersama ini juga tidak boleh dikuat kuasakan tanpa terlebih dahulu mendapat perintah Mahkamah. Perkara ini adalah berdasarkan  kepada Arahan Amalan No. 4 Tahun 2006, yang  menyatakan  bahawa :-
1.    Mana-mana perjanjian persetujuan Sulh tidak boleh dilaksanakan atau  dikuatkuasakan tanpa terlebih dahulu memperolehi perintah Mahkamah.

2.    Jika kedua-dua pihak telah mencapai persetujuan untuk menyelesaikan tindakan itu, keseluruhan atau sebahagian, Pengerusi Majlis Sulh hendaklah menyediakan draf persetujuan dan mengemukakannya kepada pihak-pihak untuk disahkan dan ditandatangani, selepas itu Pengerusi hendaklah menyampaikan draf persetujuan tersebut kepada Mahkamah untuk direkodkan sebagai penghakiman persetujuan.

10. Dalam kes ini, persetujuan tersebut dibuat dihadapan peguam syarie Plaintif dan  bukan di hadapan Pengerusi Majlis Sulh sebagaimana yang dikehendaki di dalam Arahan Amalan No.4 Tahun 2006. Mahkamah berpandangan bahawa Majlis Sulh ini merupakan satu medium rasmi bagi pihak-pihak menyelesaikan masalah mereka tanpa perlu mengikuti perbicaraan yang panjang. Persetujuan di dalam Majlis Sulh ini hanya perlu diendorskan ke Mahkamah untuk mendapatkan perintah yang berkaitan. Mahkamah juga berpandangan bahawa sesiapa sahaja boleh menjadi pengantara secara tidak resmi bagi pihak-pihak  menyelesaikan kes mereka, dan sekiranya berlaku persetujuan di hadapan pengantara ini atau di luar Majlis Sulh atau di luar Mahkamah, maka persetujuan ini boleh direkodkan di hadapan Hakim Mahkamah selagi ianya tidak bercanggah dengan Hukum Syarak dan undang-undang yang berkuatkuasa.
11. Melalui draf terma-terma persetujuan bersama yang dikemukakan oleh peguam syarie Plaintif ke Mahkamah ini, pihak-pihak dalam kes ini telah menyatakan persetujuan masing-masing di hadapan Hakim pada 23 Oktober 2008 untuk menerima pakai terma-terma tersebut, dan persetujuan ini adalah tertakluk kepada seksyen 17 Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003 yang menyatakan bahawa :-

(1)   Iqrar ialah suatu pengakuan yang dibuat oleh seseorang, secara bertulis atau lisan atau dengan isyarat, menyatakan bahawa dia mempunyai obligasi atau tanggungan terhadap mana-mana orang lain berkenaan dengan sesuatu hak.

(2)   Apa-apa iqrar hendaklah dibuat—

(a)   di dalam Mahkamah, di hadapan Hakim; atau
(b)   di luar Mahkamah, di hadapan dua orang saksi lelaki yang ‘aqil, baligh dan ‘adil.

12.  Apabila pihak-pihak di dalam kes ini telah menyatakan persetujuan mereka di hadapan Hakim, dan Hakim merekodkan persetujuan tersebut serta menjadikannya perintah, maka pihak-pihak adalah terikat dengan persetujuan yang telah mereka lakukan. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Ali Imran 3 : 81 –



Bermaksud : Allah berfirman lagi (bertanya kepada mereka): "Sudahkah kamu mengakui dan sudahkah kamu menerima akan ikatan janjiKu secara Yang demikian itu?" mereka menjawab: "Kami berikrar (mengakui dan menerimanya)". Allah berfirman lagi: "Jika demikian, maka saksikanlah kamu, dan Aku juga menjadi saksi bersama-sama kamu."


Seterusnya Mahkamah merujuk  surah al-Maidah 5: 1, firman Allah s.w.t. :-

Bermaksud: Wahai orang-orang Yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian.


13.  Mahkamah berpandangan bahawa terma-terma yang dipersetujui oleh pihak-pihak di dalam draf persetujuan bersama secara lisan yang dikemukakan oleh peguam ke Mahkamah ini tidaklah menyalahi hukum syarak dan dalam lingkungan yang harus sahaja. Hadis riwayat al-Tarmizi di dalam Kitab Subul al-Salam, juz.3, hlm. 119 bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda :-

عن عمرو بن عوف المزان رضي الله تعالى عنه ، أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال :- الصاح جائز بين المسلمين إلا صلحا حرم حلالا أو أحل حراما.  والمسلمون على شروطهم ، إلا شرطا حرم حلالا ، أو أحل حرام.
Yang bermaksud : Dari Amr bin Auf al-Muzani r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda :- Perdamaian adalah harus di kalangan Muslimin kecuali perdamaian untuk mengharamkan perkara yang halal atau menghalalkan perkara yang haram. Orang Islam terikat dengan perjanjian yang dibuat di anatara mereka kecuali perjanjian untuk mengharamkan perkara yang halal atau menghalalkan perkara yang haram.


14.  Dr. Wahbah al-Zuhaili di dalam Kitab Fiqh dan Perundangan Islam, jil.6, hlm. 276 menyatakan perkara yang berkaitan dengan hukum iqrar :-

Hukum ikrar ialah lahirnya apa yang diikrarkan itu. Bukan sabitan hak dan pembentukannya daripada awal. Oleh itu, tidak sah ikrar penceraian yang dipaksakan, walaupun pembentukan (insha’) itu sah dalam keadaan dipaksa, mengikut pendapat ulama Mazhab Hanfi. Jadi sesiapa yang berikrar mengenai mengenai sesuatu harta sebagai kepunyaan orang lain, sedangkan orang yang diikrarkan untuknya itu mengetahui bahawa orang yang berikrar itu dusta maka di atidak boleh mengambilnya secara paksa.

Ikrar hanya menjadi hujah yang terkena ke atas orang yang berikrar sahaja. Kesannya tidak melewati orang lain, kerana orang yang berikrar itu tidak mempunyai kuasa ke atas orang lain. Oleh itu, kesan ikrar itu hanya terbatas ke atas dirinya sahaja. Ikrar juga merupakan bukti atau dalil yang paling kuat kerana sesuatu ikra itu tidak mengandungi tohmahan atau keraguan, dan ikrar mensabitkan milik pada perkara yang diberitakan itu.


15.  Dalam kes ini, Plaintif dan Defendan masing-masing telah membuat pengakuan atau ikrar di hadapan Hakim bahawa mereka telah bersetuju dengan draf terma-terma persetujuan bersama yang telah disediakan oleh peguam Syarie Plaintif. Persetujuan yang dibuat oleh kedua-dua pihak dihadapan Hakim adalah sah dan persetujuan ini juga bertepatan dengan kehendak Seksyen 17 (2) Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003.
16.  Dr. Wahbah al-Zuhaili di dalam Fiqh dan Perundangan Islam jil.6, hlm. 681 telah menyatakan bahawa :-

Ahli-ahli fiqh bersepakat menyatakan bahawa sesuatu ikrar mengenai hak menjadi sah hanya apabila dibuat oleh orang yang baligh, berakal dan pilihan sendiri (bukan paksaan) yang tidak diragui tentang ikrarnya.

Di dalam kitab yang sama di halaman 686, Mahkamah merujuk kepada pendapat penulis berkaitan dengan ikrar tentang harta :-

Sah dibuat ikrar mengenai sesuatu harta, tidak kira sama ada harta itu berbentuk barang (a’yan) atau berbentuk hutang yang sabit dalam tanggungan, juga tidak kira sama ada harta yang diikrarkan itu diketahui (dikenalpasti) atau tidak dapat diketahui, kerana ketiadaan pengetahuan tentang perkara yang diikrarkan tidak menghalang kesahihan ikrar. Sebab sesuatu hak itu kadang-kadang mengenakan tanggungan ke atas seseorang yang tidak mengetahui keadaan perbuatannya, seperti dia merosakkan suatu harta yang dia tidak mengetahui nilainya.


17.  Mahkamah juga berpeluang merujuk sek. 99 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003 yang memperuntukkan:
“Pihak-pihak dalam apa-apa prosiding boleh, pada mana-mana peringkat prosiding itu, mengadakan sulh bagi menyelesaikan pertikaian mereka mengikut apa-apa kaedah sebagaimana yang ditetapkan atau, jika tiada kaedah sedemikian, mengikut Hukum Syarak“

Sek 99 tersebut memberikan hak kepada pihak-pihak yang bertikai untuk mengadakan sulh atau perdamaian atau apa-apa penyelesaian pada mana-mana peringkat, sama ada sebelum atau semasa prosiding kes tersebut sedang berjalan. Penyelesaian tersebut bolehlah dilaksanakan oleh pihak-pihak atau peguam Syarie pihak-pihak atau oleh sesiapa sahaja yang berkepentingan di dalam kes tersebut mengikut kaedah yang telah ditetapkan oleh undang-undang, iaitu antaranya  melalui prosiding sulh, dan jika penyelesaian itu dicapai selain dari prosiding sulh (majlis sulh) ianya hendaklah tidak bertentangan dengan Hukum Syarak.

Mahkamah pula mempunyai kuasa untuk merekodkan persetujuan yang dicapai oleh pihak-pihak tersebut dan persetujuan tersebut adalah mengikat pihak-pihak tersebut serta menjadi res judicata  bagi tindakan kemudiannya bagi kausa tindakan  yang sama seperti yang diperuntukkan di bawah sek. 94 Enakmen yang sama. Seksyen tersebut memperuntukkan:
Jika dengan persetujuan pihak-pihak sesuatu tindakan telah diselesaikan, Mahkamah boleh pada bila-bila masa dengan persetujuan pihak-pihak itu merekodkan hakikat penyelesaian itu dengan terma-termanya, dan rekod penyelesaian itu hendaklah menjadi pembelaan dengan cara res judicata dalam tindakan kemudiannya bagi kausa tindakan yang sama, atau bagi kausa tindakan yang pada matannya adalah sama.


18.  Seterusnya Mahkamah merujuk pula kes Saleh bin Husin lwn Salamah bte Abdullah [2007], JH 24 bhg. 2, hal.329, di mana Yang Arif Hakim di dalam penghakimannya telah menyatakan bahawa :-

Pihak Defendan wajarlah dengan seberapa segera menyerahkan rumah, van dan sangkar ikan kepada 3 orang anak perempuan mereka ini tanpa ada keraguan lagi mengikut perjanjian yang telah dibuat ini. Dalam perbicaraan kes ini, pihak Defendan telah pun membuat keputusan bersetuju memindah milik van CAF7327 kepada anak perempuan pertama, Nadilah Saleh dan anak perempuan kedua Nazizah Saleh dalam tempoh 1 bulan selepas perintah persetujuan dibuat pada 25 Ogos 2003. Manakala 1/3 bahagian sebagai amanah milik anak perempuan ketiga, Noraini Saleh.

Manakala di dalam kes Datin Rohaya bt Hj Mokhsin lwn Dato’ Hj Jamian bin Mohamad [2008] JH 25, bhg.2, hlm.261 telah menyatakan bahawa :-

...ini adalah suatu perintah berdasarkan janji setuju yang tertakluk kepada undang-undang dan Hukum Syarak yang hendaklah dilaksanakan. Pihak yang dijanjikan berhak mendapat haknya seperti yang dijanjikan.

19.  Berdasarkan kepada pandangan ulama dan juga kes-kes yang telah dirujuk, Mahkamah berpandangan bahawa persetujuan pihak-pihak ke atas draf terma-terma yang dikemukakan oleh peguam syarie Plaintif boleh dijadikan perintah oleh Mahkamah ini. Mahkamah juga sebelum mengeluarkan perintah berkaitan dengan persetujuan bersama ini telah bertanyakan pihak-pihak sama ada persetujuan mereka ini telah dipengaruhi atau telah dipaksa oleh pihak yang lain, Plaintif dan Defendan telah mengakui di hadapan Mahkamah ini bahawa persetujuan mereka dibuat secara sukarela tanpa dipengaruhi atau dipaksa oleh mana-mana pihak.
20.  Masa yang panjang iaitu 11/9/08 sehingga 23/10/08 iaitu selama 43 hari juga merupakan satu tempoh yang munasabah bagi Mahkamah ini mempercayai bahawa suatu pertimbangan yang wajar telah diperolehi oleh pihak-pihak.
21.  Persetujuan tersebut dikuatkan lagi oleh ikrar Plaintif dan Defendan pada hari terma persetujuan tersebut direkodkan oleh Mahkamah apabila Mahkamah sekali lagi mendapatkan  pengesahan dari pihak-pihak sebelum ianya direkodkan. Pada masa yang sama, Plaintif atau Defendan masih berhak dan mempunyai peluang untuk mempertikaikan persetujuan tersebut selagi ianya masih belum dijadikan perintah oleh Mahkamah, bagaimanapun, pihak-pihak masih mengekalkan persetujuan dan tidak mengemukakan apa-apa bantahan sehinggalah terma keputusan tersebut dibacakan semula oleh Mahkamah sebagai perintah muktamad.

KEPUTUSAN MAHKAMAH

Atas persetujuan bersama kedua-dua belah pihak, Maka Mahkamah dengan ini memerintahkan seperti berikut :-

1.    Mahkamah memutuskan bahawa sebidang tanah kebun lot 12690 seluas 4.038 hektar di FELDA Jelai 2, Mukim Gemencheh, Tampin, Negeri Sembilan adalah diisytiharkan sebagai harta sepencarian.

2.    Mahkamah memutuskan ½ bahagian daripada pendapatan hasil kebun tersebut diserah kepada Plaintif Puan Kalsamah binti Selamat dan nama Plaintif diletakan sebagai pemegang bersama dalam Buku Daftar Pegangan.

3.    Defendan juga membenarkan Plaintif membina sebuah rumah dibelakang rumah asal dalam lot 77939 seluas 1094 meter persegi di FELDA Jelai 2, Mukim Gemencheh, Tampin, Negeri Sembilan.

Disediakan Oleh;


Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Sembilan Darul Khusus
23 Oktober 2008