Sunday, July 18, 2010

harta sepencarian Felda

DALAM MAHKAMAH TINGGI SYARIAH DI SEREMBAN
DALAM NEGERI SEMBILAN DARUL KHUSUS
KES MAL NO 05100-017-0399 TAHUN 2007

ANTARA
AMNAH BT ARIFFIN………..……………………....PLAINTIF
DAN
NOOR AZHAR BIN UMAR…………………………….DEFENDAN


Undang-Undang Keluarga - Tuntutan Harta Sepencarian – Harta yang diperolehi dalam tempoh perkahwinan – sama ada tanah Felda adalah harta bersama atau harta satu pihak – Sama ada bekas isteri berhak terhadap tanah Felda - sumbangan pihak-pihak bagi memperolehi harta – sek. 122 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Sembilan) 2003 – kemasukan ke Felda adalah sumbangan secara langsung bekas isteri - Pekeliling Jabatan Tanah Bil. 1/2006 - Defendan telah disingkirkan dari Felda – Perceraian berlaku sewaktu dalam tempoh penyingkiran – Rayuan kemasukan semula ke Felda dilakukan secara bersendirian – Geran hakmilik diperolehi setelah berlaku perceraian – Sama ada Isteri berhak untuk memasukkan nama dalam Buku Daftar Pegangan – sek. 12 Akta Tanah 1960 ( Penempatan kawasan Berkelompok) Pindaan 2002 - Sama ada Plaintif berhak terhadap setengah bahagian dari hasil Felda – Sumbangan suami melebihi sumbangan isteri dalam memperolehi harta - Undang-Undang Pentadbiran - Bidangkuasa Mahkamah – sek. 61 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003 – sek. 4 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Sembilan) 2003 –

FAKTA KES

Plaintif dan Defendan dalam kes ini adalah bekas pasangan suami isteri. Mereka berkahwin pada 21hb Julai 1979. Pasangan ini memasuki Tanah Rancangan Felda Jelai 2 pada 16hb April 1981. Sebagai peneroka, Mereka telah diberikan suku ekar tanah tapak rumah dan sebuah rumah beserta 8 ekar ladang getah untuk diusahakan. Pada peringkat awal kemasukan mereka ke Felda, ladang getah masih belum mengeluarkan hasil. Defendan telah mengerjakan ladang tersebut dengan bantuan Plaintif sehinggalah hasil diperolehi. 

Bagi mendapatkan hasil yang lebih, Defendan dikatakan telah bertindak melanggar peraturan Felda dengan menjual hasil ladang kepada pihak lain. Perlakuan tersebut tidak disenangi oleh pihak Felda dan selepas beberapa amaran, Defendan akhirnya telah disingkirkan dari Felda Jelai 2 pada 21hb April 1997.

Plaintif dan defendan kemudiannya telah bercerai secara talak rajie kali pertama pada 22hb Mac 2000, iaitu kurang lebih 3 tahun selepas beliau disingkirkan dari Felda kerana kesalahan tatatertib. 

Selepas bercerai, Defendan masih kekal tinggal di Felda Jelai 2 bersama anak-anak manakala Plaintif telah keluar dari Felda Jelai dan tinggal berasingan.

Defendan, selepas disingkirkan dari Felda Jelai 2, telah membuat rayuan dan akhirnya diterima masuk semula ke Tanah Rancangan Felda Jelai 2 pada 23hb Januari 2002. Semasa kemasukan semula Defendan ke Tanah Rancangan Felda Jelai 2, baki hutangnya masih tertanggung sebanyak RM19,785.69. Bagaimanapun, baki hutang itu telah dilupuskan oleh pihak Felda.

Pasangan ini berkahwin semula pada 27hb Disember 2005, bagaimanapun telah bercerai buat kali kedua pada 29hb Jun 2007. Pada tahun 2005 juga geran hak milik telah diperolehi atas nama Defendan.

Selepas perceraian kali kedua pada 29hb Jun 2007, Plaintif yang merasakan berhak terhadap harta-harta Felda tersebut kemudiannya telah memfailkan permohonan ke Mahkamah ini bagi menuntut harta-harta sepencarian yang diperolehi di Tanah Rancangan tersebut. Antara lain harta-harta yang dituntut oleh Plaintif ialah:
i- Sebuah rumah dan 8 ekar tanah ladang di Felda Jelai 2 atas nama Defendan diisytiharkan sebagai harta sepencarian antara Plaintif dan Defendan;
ii- Agar Plaintif diberikan ½ bahagian daripada nilaian hartanah dan/ atau hasil yang diusahakan daripada tanah tersebut.

Defendan bagaimanapun tidak bersetuju dengan tuntutan plaintif agar ½ bahagian daripada nilai hartanah dan/atau hasil daripada hartanah tersebut.

DIPUTUSKAN
Selepas mempertimbangkan permohonan Plaintif dan setelah mendengar keterangan-keterangan yang dikemukakan, Mahkamah ini berpuashati dan meluluskan tuntutan Plaintif.
1. Adalah diperintahkan bahawa ;

         i) Sebuah rumah dan 8 ekar tanah ladang di Felda Jelai 2 atas nama Defendan Nor  
            Azhar bin Umar diisytiharkan sebagai harta sepencarian antara Plaintif dan Defendan;

2. Bahawa nama Plaintif Amnah bt Arifin k/p No 550320-01-5698 hendaklah dimasukkan sebagai pemegang bersama di dalam Buku Daftar Pegangan tanah-tanah tersebut.

3. Bahawa Plaintif adalah berhak terhadap 1/3 daripada hasil yang diperolehi daripada tanah-tanah tersebut manakala 2/3 lagi hendaklah diberikan kepada Defendan

Peguam Syarie
1. En. Shahriman bin Mahmud dari Tetuan Shahriman & Associates bagi pihak Plaintif, d
2. Puan Halijah bt Shariff dari Tetuan Halijah Shariff & Associates bagi pihak Defendan

Al-Quran Yang Dirujuk
1. Surah al-Nisa’ 4: 32

Kitab-kitab Yang Dirujuk
1. Abi Bakr Osman bin Muhammad Shatta al-Dimyati al-Bakri, I’aanah al-Talibin, Jil. 4
2. Muhammad bin Muhammmad al-Khatib al-Syarbini, Mughni al-Muhtaj, Jil. 2
3. Imam al-Shafie, al-Umm, 1996, Cetakan Dar al-Qutaibah, Beirut.
4. Prof. Ahmad Ibrahim, Undang-undang Keluarga Islam Di Malaysia, 1999, Kuala Lumpur, Malayan Law Jurnal Sdn. Bhd.
5. Norliah Ibrahim, Masalah Tuntutan Harta Sepencarian, dalam Undang-Undang Keluarga (Islam), Najibah Mohd Zin, et.al, 2007, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Undang-undang Yang Dirujuk
1. Akta Tanah (Penempatan Kawasan Berkelompok) 1960, Pindaan Tahun 2002
2. Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003
3. Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Sembilan) 2003
4. Pekeliling Jabatan Tanah Bil. 1/2006

Kes-kes Yang Dirujuk
1. Noor Bee lwn Ahmad Sanusi (1980) JH Jil. 1 Bah. II, 63
2. Boto’ bt Taha lwn Jaafar bin Mohamed(1987) JH Jil. V, 61
3. Ramah lwn Laton [1927] FMSLR 116,
4. Hajjah Lijah bt Jamal lwn Fatimah bt Mat Diah[1930] 6 MLJ 63
5. Anita bt Abdullah lwn Zainuddin bin Hj Ariffin [1982] 4 JH 73,
6. Mansjur bin Abdul Rahman lwn kamariah bte Nordin [1988] 3 MLJ xlix,
7. Zainon lwn Nordin [1980] 2 JH 160
8. Sabariah binti Md Tan lwn Busu bin Md Tan [2009] 27/II JH 303,


[YA MOHD NADZRI BIN ABDUL RAHMAN (HAKIM MTS) MEMBERIKAN PENGHAKIMAN]

Plaintif dan Defendan dalam kes ini adalah bekas pasangan suami isteri. Mereka berkahwin pada 21hb Julai 1979. Mereka memasuki Tanah Rancangan Felda Jelai 2 pada 16hb April 1981. Sebagai peneroka, Mereka telah diberikan suku ekar tanah tapak rumah dan sebuah rumah beserta 8 ekar ladang getah untuk diusahakan. Pada peringkat awal kemasukan mereka ke Felda, ladang getah masih belum mengeluarkan hasil. Defendan telah mengerjakan ladang tersebut dengan bantuan Plaintif sehinggalah hasil diperolehi. 

Bagi mendapatkan hasil yang lebih, Defendan dikatakan telah bertindak melanggar peraturan Felda dengan menjual hasil ladang kepada pihak lain. Perlakuan tersebut tidak disenangi oleh pihak Felda dan selepas beberapa amaran, Defendan akhirnya telah disingkirkan dari Felda Jelai 2 pada 21hb April 1997.

Plaintif dan Defendan kemudiannya telah bercerai secara talak rajie kali pertama pada 22hb Mac 2000, iaitu kurang lebih 3 tahun selepas beliau disingkirkan dari Felda kerana kesalahan tatatertib. 

Selepas bercerai, Defendan masih kekal tinggal di Felda Jelai 2 bersama anak-anak manakala Plaintif telah keluar dari Felda Jelai dan tinggal berasingan.

Defendan, selepas disingkirkan dari Felda Jelai 2, telah membuat rayuan secara bersendirian dan akhirnya diterima masuk semula ke Tanah Rancangan Felda Jelai 2 pada 23hb Januari 2002. Semasa kemasukan semula Defendan ke Tanah Rancangan Felda Jelai 2, baki hutangnya masih tertanggung sebanyak RM19,785.69. Bagaimanapun, baki hutang itu telah dilupuskan oleh pihak Felda.

Pasangan ini berkahwin semula pada 27hb Disember 2005, bagaimanapun telah bercerai buat kali kedua pada 29hb Jun 2007. Pada tahun 2005 juga geran hak milik telah diperolehi oleh Defendan.

Selepas perceraian kali kedua pada 29hb Jun 2007, Plaintif yang merasakan berhak terhadap harta-harta Felda tersebut kemudiannya telah memfailkan permohonan ke Mahkamah ini bagi menuntut harta-harta sepencarian yang diperolehi di Tanah Rancangan tersebut. Antara lain harta-harta yang dituntut oleh Plaintif ialah:
i- Sebuah rumah dan 8 ekar tanah ladang di Felda Jelai 2 atas nama Defendan diisytiharkan sebagai harta sepencarian antara Plaintif dan Defendan;
ii- Agar Plaintif diberikan ½ bahagian daripada nilaian hartanah dan/ atau hasil yang diusahakan daripada tanah tersebut.
Defendan bagaimanapun tidak bersetuju dengan tuntutan plaintif agar ½ bahagian daripada nilai hartanah dan/atau hasil daripada hartanah tersebut.

Bidangkuasa Mahkamah
Persoalan pertama yang perlu Mahkamah pastikan terlebih dahulu adalah berkaitan dengan bidangkuasa Mahkamah. Seksyen 4 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Sembilan) 2003 telah menjelaskan tentang pemakaian undang-undang ;
Kecuali sebagaimana yang diperuntukkan dengan nyata selainnya, Enakmen ini terpakai bagi semua orang Islam yang tinggal di dalam Negeri Sembilan dan bagi semua orang Islam yang bermastautin di dalam Negeri Sembilan tetapi tinggal di luar Negeri itu.
Tertakluk kepada Seksyen 61, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003 yang menyatakan tentang bidangkuasa Mahkamah Tinggi Syariah, iaitu :
(1) ….
(2) …..
(3) Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah —
(a) ……
(b) dalam bidang kuasa malnya, mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding jika semua pihak dalam tindakan atau prosiding itu ialah orang Islam dan tindakan atau prosiding itu adalah berhubungan dengan—
(iv) pembahagian atau tuntutan harta sepencarian;

Di dalam memberikan apa-apa keputusan terhadap semua tuntutan ini, Mahkamah perlu melihat sama ada wujud atau pun tidak peruntukan yang berkaitan dengan kes ini. Seksyen 122(1) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Sembilan) 2003 yang berkaitan dengan Kuasa Mahkamah untuk memerintahkan pembahagian harta sepencarian, menyebutkan bahawa :
Mahkamah hendaklah mempunyai kuasa apabila membenarkan lafaz talaq atau apabila membuat suatu perintah perceraian untuk memerintahkan supaya apa-apa aset yang diperoleh oleh pihak-pihak itu masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagikan antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagikan antara pihak-pihak itu.

Berdasarkan peruntukan-peruntukan yang dinyatakan di atas, adalah jelas Mahkamah ini berbidangkuasa untuk mendengar dan memutuskan kes ini.

Tuntutan Harta sepencarian
Tuntutan untuk mendapatkan sebahagian harta sepencarian pada mulanya didasarkan atas adat Melayu dan tuntutan itu boleh dibuat di Mahkamah Sivil juga di Mahkamah Syariah. Mahkamah Sivil telah memutuskan bahawa hak itu adalah muncul dari adat Melayu. Kes-kes yang lama telah diringkaskan dalam kes Ramah lwn Laton [1927] FMSLR 116, Boto’ bte Taha lwn Jaafar [1985] 2 MLJ98, Hajjah Lijah bt Jamal lwn Fatimah bt Mat Diah [1930] 6 MLJ 63 dan lain-lain.

Bagaimanapun dalam kes-kes seperti Anita bt Abdullah lwn Zainuddin bin Hj Ariffin [1982] 4 JH 73, Mansjur bin Abdul Rahman lwn kamariah bte Nordin [1988] 3 MLJ xlix, Zainon lwn Nordin [1980] 2 JH 160 memutuskan harta sepencarian adalah sebahagian dari Hukum Syarak dan pemakaian kaedah tersebut adalah merujuk kepada kitab-kitab fiqh seperti al Umm, Bughyatul Mustarshidin, I‘anat al-Talibin dan sebagainya (Rujuk Norliah Ibrahim, Masalah Tuntutan Harta Sepencarian, dalam Undang-Undang Keluarga (Islam), Najibah Mohd Zin, et.al, 2007, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hal. 223-224).

Profesor Tan Sri Datuk Ahmad Ibrahim, di dalam bukunya, Undang-undang Keluarga Islam di Malaysia, menyebutkan bahawa pada masa sekarang nampaknya tuntutan harta sepencarian hanya boleh dibawa di Mahkamah Syariah setelah berlaku pindaan kepada Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan, yang memperuntukkan bahawa Mahkamah Tinggi Sivil dan mahkamah-mahkamah di bawahnya tidak mempunyai bidangkuasa dalam mana-mana perkara yang termaktub dalam bidangkuasa Mahkamah Syariah.

Pihak Plaintif dalam kes ini melalui penyata tuntutan yang telah difailkan telah membuat tuntutan kepada Mahkamah agar :-
i- Sebuah rumah dan 8 ekar tanah ladang di Felda Jelai 2 atas nama Defendan diisytiharkan sebagai harta sepencarian antara Plaintif dan Defendan;
ii- Agar Plaintif diberikan ½ bahagian daripada nilaian hartanah dan/ atau hasil yang diusahakan daripada tanah tersebut.

Defendan dalam pembelaannya menegaskan bahawa beliau tidak bersetuju dengan tuntutan Plaintif agar ½ bahagian daripada nilaian tanah tersebut diberikan kepada plaintif.
Sebelum Mahkamah ini memutuskan kes ini, terdapat beberapa isu yang perlu diberikan pertimbangan yang sewajarnya sebelum Mahkamah mensabitkan permohonan Plaintif di dalam tuntutan harta sepencarian ini. Antara isu-isu yang perlu diberi perhatian ialah:-
a) Sama ada harta-harta tersebut adalah harta sepencarian antara Plaintif dan Defendan;
b) Sama ada Plaintif ada memberi sumbangan terhadap harta-harta tersebut;
c) Sama ada kemasukan semula Defendan secara bersendirian adalah usaha tunggal yang menjadikan Plaintif tidak layak untuk memiliki hartanah-hartanah tersebut;
d) sama ada Plaintif berhak terhadap ½ bahagian daripada harta-harta tersebut;

a) Sama ada harta-harta tersebut merupakan harta sepencarian

Merujuk kepada tuntutan-tuntutan yang dikemukakan oleh Plaintif dan Defendan dalam kes ini, Mahkamah perlu memutus terlebih dahulu adakah hak-hak Plaintif dan Defendan ke atas harta-harta yang dituntut itu. Oleh itu, Mahkamah telah melihat takrifan harta sepencarian sebagaimana yang terdapat di dalam Seksyen 2 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Sembilan) 2003 yang menyatakan bahawa :-
“Harta Sepencarian” ertinya harta yang diperolehi oleh suami dan isteri sama ada secara langsung atau tidak langsung semasa perkahwinan berkuatkuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak.

Syarat utama sesuatu harta sepencarian itu adalah harta tersebut hendaklah diperolehi dalam tempoh perkahwinan berkuatkuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum syarak. Dalam hal ini Plaintif mendakwa harta tersebut diperolehi sebaik sahaja Plaintif dan Defendan diterima masuk untuk menyertai tanah rancangan Felda Jelai 2 pada 16hb April 1981. Plaintif dan Defendan diberikan sebidang tanah beserta tapak rumah dan sebuah rumah (harta yang dipertikai). Apabila memasuki tanah rancangan tersebut, harta-harta tersebut diperolehi secara automatik. Tanah ladang pula baru ditanam dengan getah dan belum mengeluarkan hasil. Plaintif dan Defendan belum mendapat apa-apa hasil daripada tanah-tanah tersebut sehinggalah beberapa tahun kemudian, barulah bayaran kembali dibuat setelah ladang mengeluarkan hasil.

Fakta ini diakui oleh Defendan dan semua saksi-saksi Defendan. Dikuatkan lagi dengan surat Pekeliling No. 1/06 perenggan 4 yang menetapkan syarat kelayakan ialah bekas isteri itu (Plaintif) hendaklah sama-sama masuk rancangan dan tinggal bersama sehingga berlakunya perceraian. Fakta ini tidak dinafikan. Sehinggalah pihak-pihak bercerai pada 22hb Mac 2000, harta-harta tersebut masih tidak terlepas milik kepada orang lain walaupun berlaku penyingkiran pada tahun 1997 sehinggalah diberi geran hak milik pada tahun 2005.
Perenggan 4 Pekeliling Bil. 1/2006 yang dikeluarkan oleh Jabatan Tanah berkenaan dengan Peraturan Tuntutan Harta Sepencarian, Nafkah dan Hak Bekas Isteri, ada menyatakan bahawa:-
Bekas isteri sama ada bercerai hidup atau bercerai mati layak menuntut harta sepencarian. Bagi yang bercerai hidup, kelayakan tuntutan harta sepencarian ini tanpa melihat kepada sebab-sebab berlakunya penceraian tersebut.

Dalam konteks FELDA, syarat kelayakan tuntutan harta sepencarian ialah bekas isteri itu mestilah sama-sama masuk ke tanah rancangan bersama suami dan tinggal bersama di tanah rancangan sehinggalah berlaku penceraian.

Selain itu, faktor lain yang perlu diambil kira dalam kes ini untuk menentukan sama ada harta-harta tersebut sebagai harta sepencarian atau tidak ialah adanya sumbangan bersama antara kedua-dua belah pihak. Sumbangan bersama ini adalah sama ada sumbangan secara langsung atau tidak langsung oleh kedua pihak.

Mengenai sumbangan bersama ini, kemasukan ke Felda itu sendiri adalah disyaratkan berkeluarga. Dalam hal ini Defendan telah beristeri pada 21hb Julai 1979. Mereka telah memasuki Tanah Rancangan Felda Jelai 2 pada 16hb April 1981 dan isteri Defendan pada masa material adalah Plaintif. Fakta ini tidak dinafikan. Kenyataan Plaintif dan Defendan mengenai syarat beristeri sebagai syarat untuk memasuki Felda diakui oleh SD3, iaitu En Rosebi bin Ibrahim, Pengurus Felda Jelai 2 yang mengesahkan peraturan untuk menjadi ahli peneroka mestilah berkahwin. 

Dalam keadaan ini, Defendan telah berkahwin dengan Plaintif dan Plaintif adalah isteri Defendan yang sah. Mereka juga mengakui pasangan ini telah memasuki tanah Rancangan Felda pada tahun 1981 iaitu pada tarikh 16hb April 1981. Tanpa berkahwin pada masa itu, Defendan atau Plaintif tidak layak untuk memiliki harta tersebut. Dalam hal ini, Plaintif dan Defendan telah memberi sumbangan secara langsung untuk memperolehi harta-harta tersebut.
Dalam kes Sabariah binti Md Tan lwn Busu bin Md Tan [2009] 27/II JH 303, Mahkamah berpuashati bahawa tanah dan tapak rumah serta dua bidang tanah di Felda Jelai 3 adalah harta sepencarian antara Plaintif dan Defendan berdasarkan kemasukan bersama antara Plaintif dan Defendan ke tanah rancangan tersebut yang mensyaratkan pasangan mestilah berkahwin adalah merupakan sumbangan secara langsung kedua-dua pihak dalam memperolehi harta tersebut.

Berdasarkan ulasan ringkas tersebut, Mahkamah ini berpuashati bahawa harta-harta tanah dan rumah tersebut adalah harta sepencarian yang diperolehi bersama secara langsung oleh Plaintif dan Defendan.

b) Sama ada Plaintif memberi sumbangan terhadap pemerolehan harta-harta tersebut.
Seperti yang disebut sebelum ini, penentuan suatu harta itu sebagai harta sepencarian adalah berkait rapat antara perkahwinan pihak-pihak dan sumbangan dalam memperolehi harta tersebut. Dalam hal ini sek 2 dan sek 122 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Sembilan) 2003 hendaklah dibaca bersama. Ini bermakna, apabila sesuatu harta yang diperolehi dalam tempoh perkahwinan tersebut telah diperolehi melalui sumbangan pihak-pihak, maka ianya adalah harta sepencarian. Perkahwinan semata-mata tidaklah menjadikan harta tersebut sebagai harta sepencarian. Apabila Mahkamah mengesahkan harta-harta seperti rumah dan tapak rumah serta tanah kebun seluas 8 ekar tersebut sebagai harta sepencarian, bermakna Plaintif mahupun Defendan mempunyai sumbangan sama ada secara langsung atau tidak langsung terhadap harta tersebut.

Sumbangan secara langsung ialah apabila Plaintif bersetuju mengikuti Defendan menjadi peneroka di Felda Jelai 2. Sebagai isteri yang sah kepada Defendan, melayakkan Defendan menjadi peneroka dan memperolehi rumah dan tanah ladang tersebut.

Keterangan menunjukkan Plaintif dan Defendan telah mengusahakan ladang tersebut sama ada pada peringkat awal atau setelah ladang mengeluarkan hasil. Keterangan juga menun jukkan Plaintif ada mengusahakan kebun atau ladang tersebut dan keluar bekerja dari jam 6.30 pagi sehingga jam 2.00 petang untuk menoreh, mengangkat getah cair, mengumpulkan getah dan menjualnya. Disamping itu, plaintif juga melakukan kerja-kerja rumah yang lazim sepertimana tugas sebagai seorang isteri seperti menguruskan makan minum, membasuh pakaian, mengemas rumah tangga dan sebagainya tanpa ada bantuan pembantu rumah. Fakta ini dibuktikan sebaiknya oleh Plaintif melalui keterangan SP1 dan SP2. Dari kemasukan pasangan ini ke Felda Jelai 2 pada 16hb April 1981, harta-harta ini telah diusahakan secara bersama oleh Plaintif dan Defendan. Fakta ini tidak dinafikan.

Pada 21hb April 1997, Defendan telah disingkirkan dari Felda Jelai 2 kerana melanggar peraturan Felda. Penyingkiran dari Felda menyebabkan Defendan tidak lagi dianggap sebagai peneroka dan kesan yang sama ditanggung oleh keluarga Defendan, termasuklah Plaintif. Dengan kata lain, penyingkiran kerana kesalahan tatatertib oleh Defendan, memberi kesan yang sama kepada Plaintif, iaitu disingkir keluar dari Felda Jelai 2 dan tidak lagi dianggap sebagai peneroka dan penerokawati. Secara jelasnya, Plaintif telah bersama-sama Defendan dalam jatuh bangun di Felda Jelai 2, sama-sama memperolehi rumah dan tanah ladang tersebut serta sama-sama disingkir keluar.

Dari sudut ini, saya melihat sumbangan Plaintif dan Defendan saling kait mengait sama ada secara langsung atau tidak langsung. Mereka telah sama-sama memperolehi harta-harta tersebut dengan usaha secara bersama dan menggunakan kudrat tulang empat kerat bagi mengekalkan harta tersebut dan membayar baki pinjaman bayaran kembali (BK) sehinggalah mereka disingkirkan.

c) Sama ada kemasukan semula Defendan secara bersendirian adalah usaha tunggal yang menjadikan Plaintif tidak layak untuk memiliki hartanah-hartanah tersebut
Antara isu utama yang perlu diputuskan disini ialah sama ada kemasukan semula Defendan ke Felda Jelai 2 selepas rayuannya diterima oleh pihak Pengurusan Felda tanpa bantuan Plaintif yang mana adalah hasil dari usaha Tunggal Defendan menjadikan Plaintif tidak layak untuk memiliki hartanah-hartanah yang dituntut.

Defendan menghujahkan, kemasukan semula beliau ke Felda Jelai 2 pada 23hb Januari 2002 adalah hasil usaha bersendirian dan tanpa bantuan Plaintif, adalah suatu fakta yang tidak dinafikan oleh Plaintif malah dibuktikan sebaiknya oleh Defendan. Bagaimanapun, ianya tidaklah menafikan sumbangan dan usaha Plaintif bagi mendapatkan harta tersebut. Saya percaya, jika Defendan tidak disingkirkan pada tahun 1997, hutang bayaran kembali tetap akan dilupuskan oleh pihak Felda pada tahun 2000 sebagaimana keterangan SD2, iaitu En. Rosebi. Penyingkiran semula disebabkan oleh Defendan melanggar tatatertib peneroka memberi kesan yang sama kepada Plaintif. Usahanya bagi membantu menyelesaikan bayaran kembali tersebut juga terbantut. Manakala pasangan ini bercerai pada 22hb Mac 2000, iaitu tahun yang sepatutnya bayaran kembali dilupuskan.

Kecuali rayuan kemasukan semula Defendan ke Felda Jelai 2, tidak ada keterangan lain yang menunjukkan Defendan membuat usaha yang lebih bagi mendapatkan harta-harta tersebut. Bagi Plaintif pula, sebarang usahanya bagi membantu Defendan mendapatkan kembali harta-harta tersebut adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku kerana ia bukan lagi isteri kepada Defendan. Jika adapun usaha beliau, sudah tentunya usaha tersebut tidak lagi diiktiraf oleh Felda kerana beliau bukan lagi penerokawati. Maka adalah tidak munasabah bagi Plaintif membantu bekas suaminya untuk masuk kembali ke Felda selepas disingkirkan kecuali pasangan ini masih dalam perkahwinan yang sah. Adalah menjadi satu tanggungjawab bagi Defendan untuk mengusahakan kemasukan semula tersebut kerana dia adalah peneroka asal, dan usaha tersebut terpaksa dibuat sendirian kerana telah berlaku perceraian. Secara mudahnya, jika Defendan tidak mengusahakan rayuan kemasukan semula, bermakna Defendan dan Plaintif akan menanggung kerugian kerana bakal kehilangan tanah-tanah tersebut yang telah sekian lama mereka usahakan. Maka tidak dapat tidak, usaha kemasukan semula tersebut perlu dilakukan oleh Defendan bagi mengembalikan hak mereka. Perceraian dalam konteks ini tidak menafikan hak masing-masing, tapi perceraian telah menghadkan tindakan Plaintif kerana sumbangannya tidak lagi diiktiraf oleh Felda.

Kemasukan semula Defendan ke Felda Jelai 2 pada tahun 2002 akan memberi impak yang berbeza jika hutang bayaran kembali tersebut tidak dilupuskan. Menurut keterangan SD2, hutang bayaran kembali yang dilupuskan pada tahun 2000 adalah menyeluruh kepada semua peneroka. Jika ditakdirkan Defendan tidak diterima masuk semula sekalipun, peneroka yang baru mungkin akan mengambil alih tanah yang diusahakan oleh Plaintif dan Defendan tersebut, dan boleh jadi juga peneroka baru tersebut akan mendapat manfaat yang sama, iaitu hutang bayaran kembali dilupuskan. Dalam hal ini, sama ada Defendan masuk semula atau tidak ke tanah rancangan tersebut, dasar pihak Felda yang melupuskan hutang bayaran kembali dibuat secara menyeluruh dan tidak kepada sebahagian peneroka sahaja. Bermakna, sesiapa sahaja yang mengusahakan tanah tersebut atau mana-mana tanah di Felda Jelai 2, baik baru bergelar peneroka atau sudah lama, tidak terkecuali dari pelupusan hutang tersebut. 

Dalam hal ini juga, Meskipun Mahkamah ini memperakukan usaha bersendirian Defendan bagi kemasukan semula ke Felda Jelai 2 pada tahun 2002, tidaklah bermakna tanah itu diperolehi oleh Defendan secara usaha berseorangan. Usaha bersendirian Defendan dalam mengemukakan rayuan adalah menjadi tanggungjawab Defendan kerana beliau adalah Peneroka, tapi tanggungjawab itu tidak akan berlaku atau terhasil jika Defendan bukan seorang peneroka asal. Sekalipun Defendan tidak bercerai dengan Plaintif pada ketika itu, orang yang boleh membuat rayuan hanyalah Defendan kerana ia adalah peneroka yang dinamakan semasa perjanjian asal kemasukan ke Felda tersebut pada tahun 1981. 

Sebelum berlakunya penyingkiran, hartanah-hartanah tersebut adalah hak Plaintif dan Defendan, bukan hak orang lain. Sehinggalah berlakunya penyingkiran, hartanah-hartanah tersebut masih belum diserahkan kepada peneroka lain. Rayuan kemasukan semula Defendan ke Felda Jelai 2 dan diterima masuk semula pada tahun 2002 dan memperolehi kembali hak tersebut menunjukkan hartanah-hartanah itu masih di ’reserve’kan kepada Defendan dan penyingkiran tersebut masih belum disifatkan ‘mutlak’. Kemasukan semula Defendan ke Felda Jelai 2 dan pelupusan hutang pada tahun yang sama adalah langkah terakhir bagi Defendan sebagai peneroka untuk mendapatkan kembali tanah yang telah diusahakan tersebut, manakala pemberian geran hak milik kepada semua peneroka termasuk Defendan pada tahun 2005 menyempurnakan lagi pemilikan tanah tersebut kepada Defendan. 

Peguam Defendan yang terpelajar menghujahkan bahawa sek 12 Akta Tanah (Penempatan Kawasan Berkelompok) 1960, adalah tidak mengikat pasangan Plaintif dan Defendan kerana pasangan ini telah bercerai pada tahun 2000, sedangkan Pindaan berlaku pada tahun 2002. Sek. Tersebut memperuntukkan bahawa:
Bekas isteri yang sama-sama masuk ke rancangan dan tinggal bersama suami sehingga berlaku perceraian, layak dan berhak untuk menuntut memasukkan nama sebagai pemegang bersama”

Dari satu sudut, saya bersetuju dengan pandangan Peguam Defendan yang terpelajar, bagaimanapun seksyen tersebut tidaklah menyatakan secara jelas sama ada berkuatkuasa selepas berlakunya perceraian atau selepas pendaftaran hak milik. Dalam kes ini, sungguhpun perceraian berlaku pada tahun 2000, pemberian geran milik oleh Felda dibuat pada tahun 2005 iaitu selepas tiga tahun pindaan tersebut.

Selain itu, pasangan ini telah berkahwin semula pada tahun 2005 (27/12/2005) sebelum bercerai kembali pada tahun 2007 (29/6/2007). Perkahwinan, walaupun singkat, sudah tentunya memberi kesan kepada pemilikan.

d) sama ada plaintif berhak untuk mendapatkan ½ bahagian daripada hartanah atau hasil yang diusahakan daripada hartanah tersebut.

Dalam mempertimbangkan pembahagian kadar harta sepencarian ini, beberapa fakta perlu diketengahkan. Plaintif di dalam kes ini telah menuntut ½ bahagian daripada harta-harta yang telah dinyatakan diberikan kepada Plaintif. Jesteru dalam memutuskan sama ada Plaintif berhak mendapat harta sebagaimana yang dituntutnya atau pun tidak, maka Mahkamah perlulah melihat kepada sek 122 (1) dan (2) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Sembilan) 2003 :-
(1) Mahkamah hendaklah mempunyai kuasa apabila membenarkan lafaz talaq atau apabila membuat suatu perintah perceraian untuk memerintahkan supaya apa-apa aset yang diperoleh oleh pihak-pihak itu masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagikan antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagikan antara pihak-pihak itu.
(2) Dalam menjalankan kuasa yang diberikan oleh subseksyen (1), Mahkamah hendaklah mengambil kira —
(a) takat sumbangan yang telah dibuat oleh tiap-tiap satu pihak dalam bentuk wang, harta, atau kerja bagi memperoleh aset-aset itu;
(b) apa-apa hutang yang terhutang oleh salah satu pihak yang telah dilakukan bagi manfaat bersama mereka;
(c) keperluan anak-anak yang belum dewasa daripada perkahwinan itu, jika ada,
dan, tertakluk kepada pertimbangan-pertimbangan itu, Mahkamah hendaklah membuat pembahagian yang sama banyak, aset atau hasil jualan aset itu.

Antara fakta utama dalam menentukan bahagian yang berhak dimiliki oleh Plaintif ialah setakat mana sumbangan yang telah diberikan oleh plaintif. Dalam memperolehi harta-harta tersebut, sumbangan secara langsung Plaintif ialah turut sama menyertai skim tanah rancangan pada tahun 1980, iaitu kira-kira 2 tahun selepas mereka bernikah. Tidak ada keterangan yang menyatakan Plaintif dipaksa masuk tanah rancangan, tidak bersetuju atau enggan menyertai tanah rancangan tersebut. Fakta zahir yang boleh ditanggapi disini ialah persetujuan plaintif untuk turut serta membolehkan Defendan menikmati harta-harta yang ada sekarang. Tidak kiralah isteri Defendan pada waktu itu siapa, jika Defendan tidak berkahwin, maka Defendan tidak akan layak untuk dipertimbangkan memasuki tanah rancangan Felda Jelai 2, dan sudah tentunya tidak akan diberi harta-harta tersebut sepertimana yang diperolehi oleh Defendan pada hari ini.

Harta sepencarian yang melibatkan tanah rancangan sedikit sebanyak adalah berbeza dengan harta sepencarian yang diperolehi selain dari tanah rancangan. Kerana harta sepencarian di tanah rancangan diikat oleh peraturan-peraturan tertentu yang tidak menghadkan kepada budibicara Mahkamah. Mengikut GSA (Group Settlement Areas Act) 1960, 50% daripada bayaran kembali adalah layak diperolehi oleh isteri yang diceraikan. Ringkasan kepada seksyen tersebut ada dinyatakan di dalam Pekeliling No 1/2006 perenggan 4.2 Mengenai kadar pembahagian boleh dibuat berasaskan 50% daripada bayaran kembali yang telah dijelaskan oleh peneroka kepada Felda. 50 % bermakna ½ bahagian daripada yang telah dibayar oleh suami. Jika masih di dalam hutang yang mana milik mutlak masih belum diperolehi, isteri atau bekas isteri telah layak 50 %, maka adalah lebih-lebih lagi jika harta itu telah diselesaikan hutangnya.

Dalam kes ini, selepas Plaintif dan Defendan disingkirkan daripada Felda pada 21hb April 1997, bayaran terkumpul yang telah dibuat ialah sebanyak 20,214.31, manakala baki hutang bayaran kembali yang sepatutnya perlu dijelaskan oleh Defendan selaku peneroka ialah RM19,785.69, iaitu dari jumlah keseluruhan Bayaran Kembali sebanyak RM40,000.00.

Defendan telah membuat rayuan dan diterima masuk semula pada tahun 2002. (23hb Januari 2002), rekod menunjukkan bayaran kembali telah dibuat sebanyak RM20,214.31. Pada masa yang sama hutang bayaran kembali sebanyak RM19,785.69 itu telah dilupuskan oleh pihak Felda. Fakta ini telah disahkan oleh SD2, En Rosebi bin Ibrahim, Pengurus Felda Jelai 2.

Dari tempoh penyingkiran pada 21hb April 1997 sehinggalah kemasukan semula Defendan setelah rayuan diterima oleh pihak pengurusan Felda pada 23hb Januari 2002, keterangan menunjukkan Plaintif atau Defendan tidak membuat sebarang bayaran Kembali kerana mereka telah disingkirkan. Tidak ada juga keterangan bahawa Defendan menyambung bayaran kembali selepas diterima masuk semula ke Felda sebelum pelupusan hutang dibuat. Bermakna, dari segi bayaran Kembali, baik Plaintif atau Defendan, bayaran tersebut adalah terhenti setakat RM20,214.31. Jumlah tersebut adalah sumbangan bersama Plaintif dan Defendan sepanjang perkahwinan mereka sehingga pasangan ini disingkirkan pada tahun 1997 dan seterusnya bercerai pada tahun 2000 dan jumlah tersebut kekal sehinggalah hutang dilupuskan pada tahun yang sama.

Meskipun pemberian geran hak milik diperolehi pada tahun 2005, bermula dari tahun 1997 iaitu selepas penyingkiran, sehinggalah geran hak milik diperolehi tahun 2005, tidak ada keterangan menunjukkan Defendan atau Plaintif masih membuat apa-apa bayaran tambahan terhadap pemilikan tanah tersebut. 

Seperti yang disebut lebih awal sebelum ini, kadar pembahagian harta sepencarian di tanah rancangan Felda tidaklah serumit pembahagian harta-harta sepencarian lain kerana pembahagiannya diatur oleh peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh undang-undang atau peraturan yang diterimapakai bagi tujuan tersebut.

Apabila bayaran kembali telah diselesaikan, isteri tidak lagi berhak kepada ½ bahagian daripada bayaran kembali tersebut, malah ia sudah berhak terhadap tanah tersebut sekurang-kurangnya sebahagian atau apa-apa kadar yang patut melihat kepada sumbangannya. Bagaimanapun tanah-tanah rancangan Felda adalah terikat dengan sekatan-sekatan yang tersendiri dan pembahagian terhadap tanah tersebut adalah tidak boleh dibuat. Dalam hal ini saya bersetuju dengan hujah Peguam Syarie Defendan yang terpelajar bahawa tuntutan 1/2 bahagian terhadap tanah tersebut adalah bertentangan dengan sek. 15 Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 dan hasrat Plaintif itu adalah terhalang dengan seksyen ini.
Bagaimanapun, sek. 12 Akta yang sama membenarkan nama isteri dimasukkan sebagai Pemegang bersama dengan perintah Mahkamah. Sek 12 (5) Akta tersebut menyebut:
“Where an order of court made in accordance with the Islamic Family Law Enactment applicable in the state or the Law Reform (Marriage and Divorce) Act 1976 vests a rural holding in the wife, ex wife or next-of-kin of a holder, the Collector shall enter the name of the wife, ex wife or next-of-kin as co-holder in the register of holding accordingly”.

Jadi, meskipun wujud sumbangan oleh Plaintif dan harta itu diisytiharkan sebagai harta sepencarian, harta-harta tersebut tidak lah boleh dipecahbahagi, disewa, digadai, ditukar hakmilik atau sebagainya kerana sekatan oleh sek 12 tersebut. Pun begitu, hak Plaintif masih wujud dengan memasukkan namanya sebagai penama bersama dalam geran hak milik dengan perintah Mahkamah. Memasukkan nama Plaintif bersama dengan Defendan dalam daftar Pegangan tersebut membolehkan Plaintif menikmati apa-apa perolehan daripada hartanah tersebut secara saksama sebagaimana yang diperolehi Defendan.

Peraturan untuk memasukkan nama bekas isteri bagi harta yang telah diselesaikan bayaran kembali ada juga disebut di dalam Pekeliling Jabatan Tanah Bil 1/2006. Dalam kes ini, apabila perceraian berlaku setelah bayaran kembali telah diselesaikan tetapi belum menerima geran hak milik, isteri bolehlah memasukkan namanya dalam Buku Daftar Pegangan dengan nasihat Pengurus dan persetujuan suami. Perenggan 6. A i Pekeliling tersebut menyebut:
i- Bagi kes dimana nama isteri belum dimasukkan dalam daftar pegangan ketika belum bercerai, Pengurus dikehendakki menasihatkan dan mendapatkan persetujuan bekas suami untuk memasukkan nama bekas isteri dalam daftar pegangan.

Bagaimanapun, jika bekas suami tidak bersetuju, perkara tersebut bolehlah dirujukkan ke Mahkamah Syariah atau Sivil. Perenggan 6. A iv Pekeliling yang sama menyatakan:
iv- Dalam kes di mana bekas suami tidak bersetuju, Pengurus hendaklah menasihatkan dan membantu bekas isteri supaya mendapatkan perintah Mahkamah sama ada Mahkamah Syariah atau Sivil supaya namanya dimasukkan dalam Buku Daftar Pegangan. 

Manakala apabila berlaku perceraian setelah bayaran kembali diselesaikan dan selepas menerima geran hak milik pula, isteri berhak memasukkan namanya dalam daftar pegangan dengan syarat adanya persetujuan bekas suami, jika bekas suami tidak bersetuju, Pengurus hendaklah membantu dan menasihatkan isteri supaya mendapatkan perintah mahkamah bagi namanya dimasukkan dalam hakmilik bekas suami. Perenggan 6. C Pekeliling Jabatan Tanah Bil 1/2006 menyebut:
i- Bagi kes dimana nama isteri belum dimasukkan dalam daftar pegangan ketika belum bercerai, Pengurus dikehendakki menasihatkan dan mendapatkan persetujuan bekas suami untuk memasukkan nama bekas isteri dalam hak milik.
ii- Sekiranya bekas suami bersetuju, minta bekas suami merujuk kepada Pejabat Tanah, seterusnya mengisi dan menandatangani Borang Pindahmilik.
iii- Selepas diluluskan dan didaftarkan nama bekas isteri sebagai pemilik bersama, dapatkan salinan hakmilik untuk rekofd dan simpanan.
iv- Dalam kes di mana bekas suami tidak bersetuju, Pengurus hendaklah menasihatkan dan membantu bekas isteri supaya mendapatkan perintah mahkamah sama ada Mahkamah Syariah atau Sivil supaya namanya dimasukkan dalam hakmilik bekas suami.
v- Selepas mendapat perintah mahkamah, Pengurus dikehendakki membantu bekas isteri untuk merujuk kepada Pejabat Tanah bagi mendaftarkan nama bekas isterinya itu sebagai pemilik bersama. Dapatkan salinan hakmilik untuk rekod dan simpanan.

Berdasarkan aturan tersebut, saya berpendapat, dengan sumbangan secara langsung dan tak langsung yang diberikan oleh Plaintif, maka adalah wajar namanya dimasukkan sama dalam Daftar Pegangan Hakmilik bagi kedua-dua tanah tersebut.

Saya juga merujuk kepada perkahwinan semula Plaintif dan Defendan pada 27hb Disember 2005. Pada waktu itu, penebangan semula telah dilakukan oleh pihak Felda dan tanaman semula juga telah dilaksanakan. Urusan tanaman semula diuruskan oleh pihak Felda sepenuhnya. Di bawah peraturan Felda, sebagaimana keterangan SD2, Defendan tidak layak menerima bayaran penebangan pokok getah kerana proses itu dilakukan semasa tempoh penyingkiran. Tanaman semula pula dibuat sebelum Defendan berkahwin semula dengan Plaintif pada tahun 2005 dan sehinggalah perkahwinan semula itu berlaku, tidak ada fakta atau keterangan yang menunjukkan Plaintif ada memberikan sumbangan tambahan. 

Menyentuh mengenai ½ bahagian dari harta atau hasil yang dituntut oleh plaintif, suka saya nyatakan disini ianya adalah berkait rapat dengan sumbangan yang diberikan oleh pihak-pihak. Sumbangan bersama Plaintif dan Defendan sehingga tahun 1997 dinilai dari jumlah bayaran kembali yang terkumpul sebanyak RM20,214.31 sehingga hutang selanjutnya dilupuskan oleh Felda. Separuh dari jumlah tersebut adalah milik Plaintif sebagaimana yang diakui oleh SD2, iaitu Pengurus Felda berkenaan. Secara kebetulannya, baki hutang tersebut yang dianggarkan berjumlah RM19,000 lebih telah dilupuskan dan adalah wajar manfaat tersebut dikongsi bersama secara sama rata oleh Plaintif dan sekurang-kurangnya ia berhak untuk memasukkan namanya di dalam Daftar Pegangan sebagaimana yang dikehendakki oleh undang-undang. 

Meskipun Defendan tidak membuat apa-apa penambahan bayaran sehinggalah pelupusan hutang tersebut dibuat atau sehingga pemberian geran hak milik oleh Felda, Defendan telah membuktikan bahawa sumbangan sebenarnya adalah melebihi Plaintif terutamanya usaha yang dilakukan olehnya bagi mendapatkan kembali hartanah tersebut secara bersendirian terutamanya dalam tempoh beberapa tahun iaitu dari tahun 2002 sehingga 2005 sehinggalah beliau berkahwin semula dengan Plaintif. Jika sumbangan Defendan melebihi Plaintif, maka adalah wajar Defendan memperolehi hasil yang lebih daripada Plaintif.

Setelah Mahkamah meneliti semua fakta dalam kes ini, mahkamah mendapati Plaintif mempunyai hak ke atas tanah-tanah di Felda Jelai 2berdasarkan sumbangan-sumbangan yang telah dibuktikan. Walau apapun sumbangan yang telah diberikan oleh seorang isteri kepada suaminya, isteri berhak mendapat ganjaran dan balasan sepertimana firman Allah s.w.t dalam surah al-Nisa’ 4 : 32


Yang bermaksud;
(Kerana telah tetap) Bagi orang laki-laki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan

KEPUTUSAN
Selepas mempertimbangkan permohonan Plaintif dan setelah mendengar keterangan-keterangan yang dikemukakan, Mahkamah ini berpuashati dan meluluskan tuntutan Plaintif.
1. Adalah diperintahkan bahawa ;

i) Sebuah rumah dan 8 ekar tanah ladang di Felda Jelai 2 atas nama Defendan Nor Azhar bin Umar adalah diisytiharkan sebagai harta sepencarian antara Plaintif dan Defendan;

2. Bahawa nama Plaintif Amnah bt Arifin k/p No 550320-01-5698 hendaklah dimasukkan sebagai pemegang bersama di dalam Buku Daftar Pegangan tanah-tanah tersebut.

3. Bahawa Plaintif adalah berhak terhadap 1/3 daripada hasil yang diperolehi daripada tanah-tanah tersebut manakala 2/3 lagi hendaklah diberikan kepada Defendan

Wallah a’lam



Kamar Mahkamah Tinggi Syariah
6hb Julai 2010