Saturday, November 20, 2010

PEMBUBARAN PERKAHWINAN KERANA PEMELUKAN ISLAM




[2010] JH 30/1



DALAM PERKARA  PERISYTIHARAN PEMBUBARAN PERKAHWINAN KERANA PEMELUKAN ISLAM 
NORHAIRY CHEONG BIN ABDULLAH @ CHEONG FOO SIONG………..PEMOHON



ISU

Perlembagaan Persekutuan -  Bidang kuasa Eklusif Mahkamah Syariah – Per. 121(1A)-
Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) - Sama ada perkahwinan Pemohon dengan isterinya mengikut Undang-Undang Sivil masih berterusan – sek. 51 Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) [Akta 164] –
 Undang-Undang Keluarga Islam – Bidangkuasa Mahkamah memutuskan permohonan pengisytiharan pembubaran Perkahwinan Kerana pemelukan Islam -  sek 46 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Sembilan) 2003 - Status agama Pemohon dan isteri Pemohon – Sama ada Pemohon telah memeluk Islam - Sama ada pemelukan Islam telah dimaklumkan kepada isteri - sama ada isteri enggan untuk turut memeluk Islam –
Undang-Undang Keterangansaksi bukan Islam - isteri dipanggil untuk memberi keterangan – sek. 83(2) Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003

FAKTA KES

Pemohon, Norhairy Cheong bin Abdullah @ Cheong Foo Siong (k/p no. 7731128-05-5019), berumur 35 tahun, bekerja sebagai Pegawai Keselamatan di Depoh Tahanan Lenggeng,  telah membuat permohonan supaya Mahkamah ini membuat pengesahan berkuatkuasanya pembubaran perkahwinan antara Pemohon dan isteri Pemohon, Cheok Bee Hun (k/p no. 730408-05-5238)  sebagai akibat daripada perbuatan Pemohon memeluk agama Islam pada 29hb Julai 2008 dan telah tidak diikuti perbuatan masuk Islam oleh Cheok Bee Hun, iaitu isteri Pemohon.

Pemohon telah memfailkan permohonan ini pada 11hb November 2008. Kes ini telah didengar pertama kali pada 1hb Disember 2008 dan Pemohon telah memberi keterangan secara lisan dan mengemukakan seorang saksi. Mahkamah kemudiannya mengarahkan isteri Pemohon, Cheok Bee Hun dipanggil ke mahkamah untuk memberi keterangan. Satu notis pemberitahuan bahawa perkahwinan beliau dengan Pemohon akan terbubar jika sekiranya beliau enggan memeluk Islam telah disampaikan kepada Cheok Bee Hun, melalui  penyampaian kediri. Pada 13hb Januari 2008, isteri Pemohon, Cheok Bee Hun telah hadir ke Mahkamah ini dan member keterangan sebagai saksi.


DIPUTUSKAN

Telah sabit perkahwinan Pemohon Cheong Foo Siong @ Norhairy Cheong bin Abdullah k/p no. 731128-05-5019 dengan Cheok Bee Hun k/p no. 730408-05-5238 mengikut Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 dan didaftarkan mengikut daftar no. 546669 bertarikh 4hb Jun 1996  adalah dibubarkan mengikut Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Sembilan) 2003 mulai hari ini 13hb Januari 2009 bersamaan  16 Muharam 1430H akibat daripada masuknya Cheong Too Siong @ Norhairy Cheong bin Abdullah   ke Agama Islam  pada 29hb Julai 2008 dengan tidak diikuti masuknya ke Agama Islam oleh Cheok Bee Hun.


PEGUAM SYARIE

1.      Pemohon tidak diwakili

PERUNDANGAN YANG DIRUJUK

1.      Perlembagaan Persekutuan Malaysia
2.      Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003
3.      Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 [Akta 164]
4.      Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Sembilan) 2003.
5.      Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan ) 2003

AL-QURAN YANG DIRUJUK

1.      al-Nisa’  : 4:58
2.      al- Mumtahanah : 10

KITAB YANG DIRUJUK

1.      Buhuth wa Fatawa Islamiyyah fi Qadhaya Mua’sarah, juz 2,
2.      I’anah al-Talibin, al-Sayyid al Bikri al Sayyid Abi Bakar Ibnu al Sayyid Muhammad Shataa al-Dimyati, Juz 4,
3.      Tafsir al-Azhar, Haji Abdul Malik Karim Amrullah (Hamka), Jilid 9, , Pustaka Nasional Pte. Ltd, Singapura,
4.      al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuh,  Prof. Dr. Wahbah al-Zuhayli, juz. 9
5.     al-Ahkam al-Sultaniyyah, Abu Ya’la Al-Farra’.
6.     Keputusan Fatwa Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal  
        Ehwal Agama  Islam kali ke 11 pada 16hb Mac 1976

KES YANG DIRUJUK

1.         Permohonan Perisytiharan Pembubaran Perkahwinan Di Sebabkan Pertukaran Agama Oleh Siti Aisyah Janthip Aisam JH XXI/II (2006) 262.
2.         Pedley lwn Majlis Agama Islam Pulau Pinang (1990) 2 MLJ 307.
3.         Mohamed Habibullah b. Mahmood v Faridah bt. Dato’ Talib, (1992) 2 MLJ 793.
4.         Permohonan Perisytiharan Pembubaran Perkahwinan  kerana Pemelukan Islam Nur Adryana Qestina bt Abdullah JH( 2008) 25/1,157
5.         Letchumy lwn Ramadason, [1984] 1 MLJ 143,
6.         Ng Siew Pian lwn Abdul Wahid bin Abu Hassan, Kadi daerah Bukit mertajam dan Satu Yang Lain [1992] 2 MLJ 425
7.         Tan Sung Mooi lwn Too Miew Kim [1994] 3 MLJ 117.
8.         Permohonan Perisytiharan Status Agama Simati Nyonya binti Tahir, JH XXI/II (2006) 221


Penghakiman YA ................................................ HMTS


Pemohon, Cheong Foo Siong @ Norhairy Cheong bin Abdullah telah mengemukakan  satu permohonan  di Mahkamah Tinggi Syariah Seremban pada 11 hb November 2008  supaya Mahkamah ini membuat pengesahan berkuatkuasanya pembubaran perkahwinan antara Pemohon dengan isterinya Cheok Bee Hun akibat daripada perbuatan Pemohon memeluk Islam pada 29hb Julai 2008 dan telah tidak diikuti perbuatan masuk Islam oleh isterinya  Cheok Bee Hun.

Pemohon sewaktu memberi keterangan sama ada secara ikrar melalui affidavit yang difailkan bersama-sama dengan permohonan ini dan keterangan secara lisan yang telah dikemukakan ke Mahkamah ini  menyatakan  bahawa Pemohon, seorang yang beragama Budha sejak lahir, telah berkahwin dengan Cheok Bee Hun pada 4hb Jun 1996  mengikut adat dan kepercayaan tradisi ugama Budha. Perkahwinan tersebut telah didaftarkan mengikut kehendak Akta membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dsan Perceraian) 1976 di Jabatan pendaftaran Negara melalui Daftar bil No. 0505101-240/96 (546669) di hadapan Pendaftar perkahwinan Krishnakumari Naidu. Hasil daripada perkongsian hidup antara Pemohon dan isterinya, mereka telah memperolehi seorang anak perempuan iaitu Cheong Pei Yei yang dilahirkan pada 26 hb Disember 1999.


Selepas berkahwin, Pemohon dan Cheok Bee Hun hidup bersama dan mereka menetap di No. 199 Taman Templer, sebelum berpindah ke Taman Duyong, Seremban.  Menurut Pemohon, hubungan beliau dengan isterinya  adalah kurang baik. Mereka pernah berpisah atau tinggal berasingan sejak beberapa  tahun yang lalu, iaitu sekitar bulan Oktober 2005.

Sejak bulan Oktober 2005, Pemohon tinggal bersama orang tuanya di Taman Templer, Seremban. Manakala isteri Pemohon tinggal di Taman Permai II, Jalan Kaloi 18, Seremban bersama keluarganya. Pada 29hb Julai 2008, Pemohon tanpa paksaan mana-mana pihak dan dengan kerelaan diri Pemohon sendiri, telah memeluk agama Islam di Pusat Dakwah Islamiah, Paroi, Negeri Sembilan. Pemohon telah menukar nama ke pada nama Islam sebagai Norhairy Cheong bin Abdullah dan pemelukan Islam tersebut telah didaftarkan dengan nombor daftar  PANS. 196 (06) 425/2008/160(S).

Pada masa yang lain, isteri Pemohon, Cheok Bee Hun telah mengemukakan petisyen perceraian bagi tujuan membubarkan perkahwinan mereka. Permohonan petisyen perceraian tersebut diuruskan oleh peguam dari Biro Bantuan Guaman cawangan Negeri Sembilan.

Beberapa bulan selepas memeluk Islam, Pemohon  telah memaklumkan kepada isterinya, Cheok Bee Hun mengenai pemelukan Islam tersebut. Kesempatan tersebut diambil sewaktu Cheok Bee Hun dan Pemohon berjumpa di Pejabat Biro Bantuan Guaman Cawangan Seremban Negeri Sembilan sewaktu mereka hadir untuk menandatangani dokumen petisyen perceraian tersebut. Sewaktu memaklumkan pemelukan Islamnya, menurut Pemohon, isterinya Cheok Bee Hun tidak memberikan apa-apa reaksi sama ada terkejut atau marah.


Sebelum Mahkamah memutuskan permohonan ini, adalah terlebih dahulu saya menyingkap bidangkuasa Mahkamah untuk mendengar permohonan ini sebelum kriteria-kriteria lain diambil kira.


i)     Bidangkuasa Mahkamah

Berdasarkan permohonan Pemohon dan fakta-fakta yang dinyatakan di atas, saya berpendapat, beberapa persoalan perlu diputuskan sebelum Mahkamah ini membenarkan permohonan ini. Dari segi bidangkuasa, saya merujuk kepada seksyen 46 (2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Sembilan) 2003 yang memperuntukkan:

(2) Jika salah satu pihak kepada sesuatu perkahwinan bukan Islam memeluk agama Islam, maka perbuatan yang demikian tidak boleh dengan sendirinya berkuat kuasa untuk membubarkan perkahwinan itu melainkan jika dan sehingga disahkan sedemikian oleh Mahkamah.


Mengikut seksyen tersebut, sesuatu perkahwinan bukan Islam itu tidak akan terbubar dengan sendirinya apabila salah satu pihak telah memeluk Islam melainkan dan sehingga disahkan oleh Mahkamah (penekanan ditambah).  Mahkamah yang dimaksudkan ialah Mahkamah Syariah seperti mana yang dijelaskan di dalam tafsiran seksyen 2 Enakmen yang sama iaitu:

“Mahkamah Syariah” atau “Mahkamah” ertinya Mahkamah Rendah Syariah atau Mahkamah Tinggi Syariah, mengikut mana-mana yang berkenaan, yang ditubuhkan di bawah subseksyen 55(1) atau 55(2) Enakmen Pentadbiran;


Kuasa Mahkamah Syariah ini pula, telah diberikan secara eklusif oleh Perlembagaan Malaysia Melalui Jadual Kesembilan Senarai II yang memperuntukkan:

“Kecuali mengenai Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, hukum Syarak dan undang-undang diri dan keluarga bagi orang yang menganut agama Islam, termasuk hukum Syarak yang berhubungan dengan pewarisan, berwasiat dan tidak berwasiat, pertunangan, perkhawinan, perceraian, mas kahwin,nafkah, pengangkatan, kesahtarafan, penjagaan, alang, pecah milik dan amanah bukan khairat; Wakaf dan takrif serta pengawalseliaan amanah khairat dan agama, pelantikan pemegang amanah dan pemerbadanan orang berkenaan dengan derma kekal agama dan khairat, institusi, amanah, khairat dan institusi khairat Islam yang beroperasi keseluruhannya di dalam Negeri; adat Melayu; Zakat, Fitrah dan Baitulmal atau hasil agama Islam yang seumpamanya; masjid atau mana-mana tempat sembahyang awam untuk orang Islam, pewujudan dan penghukuman kesalahan yang dilakukan oleh orang yang menganut agama Islam terhadap perintah agama itu, kecuali berkenaan dengan perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan; keanggotaan, susunan dan tatacara mahkamah Syariah, yang hendaklah mempunyai bidang kuasa hanya ke atas orang yang menganut agama Islam dan hanya berkenaan dengan mana-mana perkara yang termasuk dalam perenggan ini, tetapi tidak mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan kecuali setakat yang diberikan oleh undang-undang persekutuan; mengawal pengembangan doktrin dan kepercayaan di kalangan orang yang menganut agama Islam; penentuan perkara mengenai hukum dan doktrin Syarak dan adat Melayu.”


Perkara 121(1A)  Perlembagaan pula mengukuhkan lagi kuasa tersebut di mana mahkamah-mahkamah awam tidak boleh mengganggu atau mempertikaikan bidangkuasa tersebut.

(1A) Mahkamah-mahkamah  yang disebutkan dalam fasal (1) tidaklah boleh mempunyai bidangkuasa berkenaan dengan apa-apa perkara dalam bidangkuasa Mahkamah Syariah

Mengenai bidangkuasa eklusif ini, diperjelaskan lagi oleh satu kes yang mashur iaitu, Mohamed Habibullah b. Mahmood v Faridah bt. Dato’ Talib, (1992) 2 MLJ 793, dimana Mahkamah Agung telah memutuskan bahawa tujuan Parlimen dalam Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan adalah untuk menyingkirkan bidangkuasa Mahkamah Tinggi mengenai apa-apa perkara dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah. Kes ini kemudiannya menjadi ikutan kepada kes-kes lain di Malaysia kerana Mahkamah sivil tidak lagi campurtangan dalam perkara-perkara dibawah bidangkuasa Mahkamah Syariah.

Dari segi peruntukan yang telah diberikan oleh statut dan dikuatkan oleh kes tadi, saya berpuashati bahawa Mahkamah ini mempunyai bidangkuasa untuk memutuskan permohonan ini.

Perkara ini dikuatkan lagi dengan nas-nas syarak yang membenarkan sesorang Hakim menjalankan dan memutuskan hukuman dengan adil dan mengarahkan segala jenis amanah kepada mereka yang berhak menerimanya. Firman Allah SWT dalam surah al Nisa’ (4: 58):



Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan Segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum Dengan adil. Sesungguhnya Allah Dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran Yang sebaik-baiknya kepada kamu.        Sesungguhnya    Allah     sentiasa    Mendengar,     lagi   sentiasa Melihat. 
                                                                                               
  

Ayat ini memberi ruang kepada Mahkamah ini sebagai satu-satunya institusi yang berhak memutuskan perkara demikian kerana Pemohon sebaik sahaja memeluk Islam, tiada lagi tempat untuk menyelesaikan masalah rumahtangganya kerana kehadirannya sebagai seorang Muslim bermula pada 29hb Julai 2008 menyebabkan Pemohon telah tersisih dan tidak lagi diiktiraf mengikut undang-undang diri asal pemohon sebelum Pemohon memeluk Islam, iaitu di bawah Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 [Akta 164]. Seksyen 51 Akta tersebut memperuntukkan:


(1) Where one party to a marriage has converted to Islam, the other party who has not so converted may petition for divorce:

Provided that no petition under this section shall be presented before the expiration of the period of three months from the date of the conversion.

(2) The Court upon dissolving the marriage may make provision for the wife or husband, and for the support, care and custody of the children of the marriage, if any, and may attach any conditions to the decree of the dissolution as it thinks fit.

Ini bermakna, jika pihak yang tidak memeluk Islam tidak membuat petisyen perceraian, perkahwinan itu masih dianggap wujud walau pun kedua-dua pihak berlainan agama. Dalam hal ini, peruntukan seksyen 51 Akta 164 tersebut secara sendirinya memberi hak kepada pihak yang telah memeluk Islam dan menjadikan Mahkamah ini sebagai satu-satunya ruang untuk Pemohon menyelesaikan kemelut rumahtangganya. Walaupun penyelesaian di Mahkamah Syariah bukanlah satu penyelesaian mutlak bagi masalah ini, tetapi sekurang-kurangnya hak Pemohon untuk mendapatkan perceraian dan sebahagian belenggu masalahnya dapat dirungkaikan.

Dalam kes Pedley v Majlis Agama Islam Pulau Pinang (1990) 2 MLJ 307, Pemohon, iaitu isteri telah mendapat perisytiharan pembubaran perkahwinan daripada Mahkamah Syariah Pulau Pinang setelah Mahkamah berpuashati suami Pemohon telah enggan turut sama memeluk Islam pada masa yang ditetapkan. Perintah Pembubaran Perkahwinan tersebut telah tidak diterima oleh Mahkamah Tinggi Malaya selagi pihak yang tidak memeluk agama Islam tersebut tidak memfailkan petisyen perceraian di Mahkamah Sivil. Keadaan yang sama berlaku dalam kes-kes lain seperti Letchumy lwn Ramadason, [1984] 1 MLJ 143, Ng Siew Pian lwn Abdul Wahid bin Abu Hassan, Kadi daerah Bukit mertajam dan Satu Yang Lain [1992] 2 MLJ 425, dan kes Tan Sung Mooi lwn Too Miew Kim [1994] 3 MLJ 117.

keadaan ini meninggalkan kekosongan kepada Pemohon yang tiada tempat untuk menyelesaikan masalah perceraiannya, maka ruang kosong tersebut diisi oleh Mahkamah Syariah bagi pihak Pemohon yang beragama Islam. keadaan ini juga bertepatan dengan firman Allah  yang dinyatakan tadi iaitu sebahagian dari ayat 58 surah al-Nisa’ iaitu:

                                   
dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum Dengan adil.


Berdasarkan peruntukan undang-undang dan nas Syarak yang dinyatakan tadi, saya berpuashati bahawa Mahkamah ini berbidangkuasa untuk mendengar permohonan ini.


ii)    Isu kedua yang perlu diputuskan oleh Mahkamah ini ialah mengenai status perkahwinan Pemohon.

Pemohon dalam affidavitnya menyatakan bahawa beliau telah berkahwin dengan Cheok Bee Hun pada 4hb Jun 1996  mengikut agama Budha dan didaftarkan di bawah Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 di bawah nombor daftar 0505101-240/96. Selain daripada mengakuinya di dalam keterangan lisan, status perkahwinan Pemohon juga telah disahkan oleh saksi, iaitu isteri Pemohon sendiri yang dipanggil oleh Mahkamah untuk memberikan keterangan. Isteri Pemohon mengakui beliau dan Pemohon telah berkahwin pada 4hb Jun 1996 di Pejabat Pendaftaran Negara, Seremban Negeri Sembilan. Perkahwinan tersebut dibuat mengikut tradisi Budha dan didaftarkan pada hari yang sama.  Mahkamah juga merujuk kepada eksibit yang dilampirkan berupa Borang I iaitu Daftar Perkahwinan  daftar no. 0505101-240/96 yang dibuat di hadapan Pendaftar Perkahwinan Sivil, Krishnakumari Naidu. Berdasarkan keterangan ini, saya berpuashati bahawa perkahwinan antara Pemohon dan isterinya, Cheok Bee Hun telah berlaku.

Arahan supaya isteri Pemohon yang bukan beragama Islam ini dipangil ke Mahkamah bagi memberi keterangan adalah bagi mengelakkan berlakunya konflik yang mungkin timbul dan bertujuan mengesahkan keengganan isteri memeluk agama Islam. Beliau tidak dijadikan pihak dalam kes ini kerana sekatan undang-undang tetapi boleh dijadikan sebagai saksi atas dasar bayyinah sepertimana diperuntukkan di bawah seksyen 83 Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003 yang memperuntukkan:

(2) Seorang yang bukan Islam adalah berwibawa untuk memberikan bayyinah untuk orang Islam jika keterangannya boleh diterima mengikut Hukum Syarak.


Mahkamah juga merujuk kepada kes Permohonan Perisytiharan Status Agama Simati Nyonya binti Tahir, JH XXI/II (2006) 221, Di dalam kes ini  Majlis Agama Islam Negeri Sembilan, Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan dan Pegawai Agama Islam Daerah Tampin telah mengemukakan permohonan ke Mahkamah Tinggi Syariah Seremban untuk menentukan status agama si mati iaitu Nyonya binti Tahir. YA Hakim telah menerimapakai keterangan lisan yang dikemukakan oleh keluarga simati iaitu Chiang Ah Fatt, seorang yang bukan beragama Islam. Selain dari Chiang Ah Fatt, Mahkamah juga mendengar keterangan anak perempuan si mati iaitu Chiang Kwai Ying yang juga bukan beragama Islam. Mahkamah selanjutnya memutuskan bahawa simati adalah bukan beragama Islam. Dalam kes ini, walaupun affidavit Chiang Ah Fatt tidak diterima pakai oleh Mahkamah kerana ianya tidak mematuhi kehendak  seksyen 112 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003 tetapi keterangan lisannya telah membantu YA Hakim membuat keputusan yang tepat.

Lebih jauh dari itu, Mahkamah ini merujuk kepada sejarah Perundangan Islam dimana Hakim Syuraih yang mengadili perbicaraan anatara Saidina Ali r.a dan seorang lelaki yahudi yang dituduh mencuri baju besi baginda. Dalam kes tersebut, Hakim Syuraih telah menolak dakwaan Saidina Ali kerana kekurangan bukti dan memberikan hak kepada orang bukan Islam iaitu lelaki Yahudi tersebut.
kes ini menunjukkan secara jelas bahawa Mahkamah berlaku adil walaupun terpaksa memberikan kepentingan atau hak kepada orang yang bukan Islam (lihat, Abu Ya’la Al-Farra’,  al-Ahkam al-Sultaniyyah, hal. 66).

Kehadiran Cheok Bee Hun dalam kes ini telah membantu mahkamah menyelesaikan beberapa perkara. Antaranya penentuan agama Pemohon dan isteri, menganjurkan isteri memeluk Islam dan mengesahkan keengganannya untuk berbuat demikian. Kehadirannya bagi member kesaksian dalam bentuk bayyinah membantu Mahkamah ini membuat keputusan yang tepat dan selari dengan kehendak undang-undang dan Hukum Syarak.

iii)  Status agama Pemohon.

Mengikut keterangan Pemohon, beliau telah memeluk Islam dan mengucap dua kalimah shahadah pada 29 hb Julai 2008 di hadapan En Muhammad Ridzuan Lau Abdullah di Pusat Dakwah Islamiah, Paroi, Negeri Sembilan. Pemelukan Islam ini diperkuatkan lagi dengan Sijil Akuan memeluk Islam yang dilampirkan oleh Pemohon sebagai eksibit bertanda P-2 yang dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan Darul Khusus pada 2hb September 2008 pendaftran no. PANS.196( 06) 425/2008/160 (s). Manakala Eksibit P-3 pula disertakan kad akuan Islam pula dengan No. Siri 3426. Kedua-dua dokumen tersebut telah ditanda tangani oleh Mohd Fadzil bin Haji Abu Kassim ANS PMC, Pendaftar Saudara Baru, Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan.

Walaupun Pendaftar Saudara Baru tidak dipanggil untuk memberi keterangan mengenai kesahihan pemelukan Islam oleh Pemohon, dokumen-dokumen tersebut telah cukup untuk membuktikan kemasukan ke agama Islam oleh Pemohon. Mahkamah ini memberikan pengiktirafan kehakiman terhadap dokumen-dokumen tersebut dan tidak perlu dibuktikan selanjutnya sesuai dengan maxim yang berbunyi:



tulisan sepertimana percakapan.


Selain daripada dokumen sokongan tersebut, keterangan saksi Pemohon sebagai bayyinah turut diterima oleh Mahkamah ini. Keterangan saksi pertama Pemohon iaitu Abdul Majid bin Mustafa mengesahkan lagi pemelukan Islam oleh Pemohon.  SP1, mengakui mengenali Pemohon beberapa tahun sebelum ini, beliau selaku Pegawai RELA daerah mengakui Pemohon yang juga seorang anggota RELA dan adalah dibawah seliaan SP1. Beliau mengesahkan Pemohon seorang yang beragama Islam di mana beliau terpaksa membuat semakan semula rekod kerja Pemohon dan memasukkan data-data baru terutamannya yang melibatkan perubahan nama, alamat dan agama di dalam kad pengenalan baru Pemohon.


Berdasarkan fakta-fakta tersebut, Mahkamah ini berpuashati bahawa perbuatan  pemelukan Islam oleh Pemohon telah berlaku secara resmi apabila Pemohon mengucap dua kalimah syahadah dan diperakukan oleh Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam, Unit Ukhuwah, Jabatan Hal Ehwal Islam, Negeri Sembilan pada 29hb Julai 2008.

Di dalam kitab I’anah al talibin, oleh al-Sayyid al Bikri al Sayyid Abi Bakar Ibnu al Sayyid Muhammad Shataa al-Dimyati, Juz 4, dar al-Fikr, Lebanon, (t/t) hal.139 menyebut:

“hanya sa nya terhasil ke Islaman seseorang kafir atau seseorang murtad itu dengan pengucapan dua kalimah syahadah, bagi orang yang boleh bercakap”

iv)  Sama ada perbuatan pemelukan Islam oleh Pemohon diikuti oleh perbuatan pemelukan Islam oleh isteri Pemohon, iaitu Cheok Bee Hun.

Dalam memutuskan sama ada perkahwinan antara Pemohon dan isteri Pemohon masih berterusan atau terputus akibat perbuatan pemelukan Islam oleh pemohon, Mahkamah ini perlu meneliti  dan mengesahkan status agama isteri Pemohon iaitu Cheok Bee Hun sama ada masih terus kekal dengan agama asalnya iaitu Budha atau sebaliknya. Jika Cheok Bee Hun masih terus kekal dengan agama asalnya iaitu Budha dan enggan memeluk Islam, maka perkahwinan antara Pemohon dan isterinya akan terputus dan Mahkamah boleh membubarkan perkahwinan Pemohon dan isterinya. Seksyen 46 (2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Sembilan) 2003  memperuntukkan:


(2) Jika salah satu pihak kepada sesuatu perkahwinan bukan Islam memeluk agama Islam, maka perbuatan yang demikian tidak boleh dengan sendirinya berkuat kuasa untuk membubarkan perkahwinan itu melainkan jika dan sehingga disahkan sedemikian oleh Mahkamah.

Bagi menjelaskan keadaan ini, isteri Pemohon telah dipanggil ke Mahkamah ini. Beliau telah memberikan kerjasama yang baik dengan hadir dan memberi keterangan bagi pihak Pemohon. Menurut Cheok Bee Hun, beliau mengakui beliau dan Pemohon telah berkahwin mengikut adat dan agama Budha pada 4 hb Jun 1996 dan didaftarkan mengikut kehendak Akta Membaharui Undang-Undang 1976. Pendaftaran tersebut dibuat di hadapan Krishnakumari Naidu di Pejabat Pendaftaran Negara pada hari yang sama. Menurut Cheok Bee Hun, hubungan beliau dengan Pemohon kurang baik dan tidak tinggal bersama sejak tahun 2005 atau 2006. Pada pertengahan  tahun 2008, beliau ada membuat permohonan bagi tujuan memfailkan petisyen perceraian melalui Biro Bantuan Guaman Negeri Sembilan. Sekitar bulan September 2008, sewaktu beliau hadir untuk menandatangani dokumen di pejabat Biro Bantuan Guaman, Pemohon telah memaklumkan kepadanya mengenai pemelukan Islam oleh Pemohon. Beliau tidak terkejut mendengar berita tersebut kerana beliau sendiri memang berhasrat untuk bercerai dengan Pemohon. Bagaimanapun beliau tidak bersetuju untuk turut mengikut Pemohon memeluk Agama Islam walau pun Pemohon ada memintanya berbuat demikian. Sewaktu menjawab soalan Mahkamah, Cheok Bee Hun sekali lagi menyatakan keenggananya untuk memeluk Islam dan dia tiada bantahan dengan permohonan yang dibuat oleh Pemohon. Saksi juga mengakui faham bahawa perkahwinannya dengan Pemohon akan berterusan jika beliau turut memeluk Islam, bagaimanapun beliau kekal dengan pendiriannya untuk tidak memeluk Islam dan ingin bercerai.


Notis supaya isteri Pemohon hadir ke mahkamah adalah bertepatan dengan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan melalui Fatwa Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam kali ke 11 pada 16hb Mac 1976 yang menyebut:

“a-        Nikah pasangan suami isteri yang bukan beragama Islam akan terputus jika salah seorang  daripadanya memeluk agama Islam tetapi jika yang seorang lagi memeluk agama Islam juga dalam masa iddah itu maka kekal nikah mereka.
b-         dalam keadaan di mana salah seorang daripada pasangan suami isteri yang bukan beragama Islam memeluk agama Islam maka hendaklah diberi penerangan kepada mereka mengenai terpisahnya yang akan berlaku (tertalak) jika seorang lagi tidak memeluk agama Islam dan hendaklah dinasihat dan dipujuk yang seorang lagi itu dengan hikmah supaya ia memeluk agama Islam juga”
           
Dari segi syarak pula saya merujuk kepada satu kes yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu iaitu Permohonan Perisytiharan pembubaran perkahwinan Di Sebabkan Pertukaran Agama Oleh Siti Aisyah Janthip Aisam JH XXI/II (2006) 262. Dalam kes ini, YA Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu telah merujuk kepada beberapa nas al-Quran dan kitab-kitab muktabar mengenai perkara ini. Antaranya YA Hakim merujuk kepada sebahagian ayat 10 surah al Mumtahanah:

bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila orang-orang perempuan yang mengaku beriman datang berhijrah kepada kamu, maka ujilah (iman) mereka; Allah lebih mengetahui akan iman mereka; dengan yang demikian, sekiranya kamu mengetahui bahawa mereka beriman, maka janganlah kamu mengembalikan mereka kepada orang-orang kafir. Mereka tidak halal bagi orang-orang kafir itu (sebagai isteri), dan orang-orang kafir itu pula tidak halal bagi mereka (sebagai suami)….”


Dalam mentafsirkan  ayat tersebut, YA Hakim memetik kata-kata Professor Dr. Haji Abdul Malik Abdul Karim Amrullah (Hamka) di dalam kitabnya Tafsir al-Azhar, Jilid 9, cetakan ke 3, 1999, Pustaka Nasional Pte. Ltd, Singapura, hal. 7310 yang menjelaskan:

“Menurut mazhab Imam Abu Hanifah dan Sufyan bin Uyaynah yang disebut juga sebagai mazhab orang Kufah; kalau yang perempuan lebih dahulu masuk Islam, dianjurkan kepada suaminya supaya masuk Islam pula, kalau si suami tidak mau, difaraklah (dipisahkan) diantara keduanya”


Di dalam kes Siti Aisyah tersebut, YA Hakim telah berpuashati bahawa suami Pemohon iaitu Enui a/l Aisom telah tidak memeluk Islam malah telah enggan untuk memeluk agama Islam dan seterusnya membubarkan perkahwinan  antara Pemohon, iaitu Siti Aisyah Janthip Aisam dan suaminya Enui anak lelaki Aisom kerana keengganan suaminya untuk memeluk Islam.

Dalam kes Permohonan Perisytiharan Pembubaran Perkahwinan  kerana Pemelukan Islam Nur Adryana Qestina bt Abdullah JH( 2008) 25/1,157, YA HMTS Seremban telah meluluskan pembubaran perkahwinan Pemohon dengan suaminya setelah Mahkamah berpuashati perkahwinan antara Pemohon dan suaminya mengikut acara sivil masih berterusan, dan usaha yang wajar telah dibuat untuk memaklumkan kepada suaminya,  Gopal a/l Subramaniam tetapi beliau masih enggan untuk memeluk agama Islam walaupun telah ada usaha oleh Pemohon untuk memujuknya. 

Berdasarkan fakta-fakta yang disebut tadi, Mahkamah ini berpuashati bahawa Pemohon, telah sabit berkahwin dengan isterinya, Cheok Bee Hun pada 4hb Jun 1996 mengikut upacara Budha dan didaftarkan di bawah Akta memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976, dan berpuashati bahawa perkahwinan tersebut masih berterusan sehinggalah ke hari ini dan telah sabit pada Mahkamah ini bahawa Pemohon iaitu Norhairy Cheong bin Abdullah telah memeluk Islam pada 29hb Julai 2008 dan sehingga ke hari ini isterinya, Cheok Bee Hun masih enggan untuk memeluk agama Islam sepertimana perbuatan yang telah dilakukan oleh Pemohon dan Mahkamah ini juga berpuashati bahawa segala usaha yang perlu telah dibuat oleh Pemohon termasuklah memaklumkan pemelukan Islam oleh pemohon kepada isterinya dan Mahkamah ini juga berpuashati bahawa isteri Pemohon, Cheok Bee Hun memahami bahawa perkahwinannya dengan Pemohon akan terbubar dengan keengganan masuknya kedalam Agama Islam.



KEPUTUSAN MAHKAMAH

Setelah mempertimbangkan permohonan Pemohon dan berdasarkan affidavit yang difailkan oleh Pemohon serta keterangan saksi-saksi dan hujah yang dikemukakan, maka Mahkamah dengan ini berpuashati dan memutuskan bahawa:


Telah sabit perkahwinan Pemohon Cheong Foo Siong @ Norhairy Cheong bin Abdullah k/p no. 731128-05-5019 dengan Cheok Bee Hun k/p no. 730408-05-5238 mengikut Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 dan didaftarkan mengikut daftar no. 546669 bertarikh 4hb Jun 1996 adalah  dibubarkan mengikut Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Sembilan) 2003 mulai hari ini 13hb Januari 2009 bersamaan  16 Muharam 1430H akibat daripada masuknya Cheong Foo Siong @ Norhairy Cheong bin Abdullah   ke Agama Islam  pada 29hb Julai 2008 dengan tidak diikuti masuknya ke Agama Islam oleh Cheok Bee Hun.


Perintah ini adalah berdasarkan penghakiman satu pihak dan hendaklah berkuatkuasa serta merta.


kamar Hakim Mahkamah Tinggi Syariah
Seremban
13hb Januari 2008
10.30am.

No comments:

Post a Comment