Monday, September 28, 2009

ex parte, injunksi dan bidangkuasa mahkamah syariah

Kes ini adalah melibatkan isu mengenai undang-undang keluarga Islam iaitu mengenai hak jagaan anak sementara. Permohonan telah dibuat oleh Pemohon, iaitu isteri yang masih dalam perkahwinan dengan suaminya, seorang warganegara Jerman.  Satu Perintah interim Ex Parte Hadhanah telah dipohon ke mahkamah Tinggi Syariah Seremban  supaya  tegahan dari  menganggu dan membawa anak keluar dari Malaysia dikeluarkan ke atas suami. Kes ini telah dilaporkan di dalam Jurnal Hukum jilid 27 tahun 2009. Ulasan terhadap kes ini banyak mengupas mengenai keperluan kepada perintah injunksi dan interim secara sebelah pihak.


 

ANTARA
RADZIAH BINTI IBRHIM………………………..………PEMOHON
DAN
PETER R. GOTTSCHALK @ YUSUFF BIN ABDULLAH .…. RESPONDEN

fakta kes


  1. Pemohon dan Responden adalah pasangan suami isteri. Pasangan ini telah berkahwin pada 11hb Jun 1994 di kuala Lumpur dan mempunyai seorang anak bernama Julia Aida bt. Peter Rudolph Gottschalk yang lahir pada 27hb November 1995.

  1. Hubungan antara Pemohon dan Responden telah mulai retak dan mereka telah tidak tinggal bersama sejak dua tahun kebelakangan ini. Pemohon buat masa ini tinggal di tempat asalnya di No 6, jalan 1/16, Taman Tuanku Jaafar, 71450 Seremban manakala Responden tinggal di No. 18, Jalan polo Air 13/568A, seksyen 13, Shah Alam Selangor.

  1. Responden, Peter Rudolph Gottschalk @ Yusuff bin Abdullah adalah warganegara Jerman dan alamat kekalnya ialah di Rheinstrasse 19, Ransbach Baumbach, 56235 Germany memegang passport no. 3326026972 & 2117011588 dan menggunakan visa pemohon untuk terus menetap di Malaysia.

  1. Pada 23hb April 2007 Pemohon telah memasukkan permohonan untuk mendapatkan perintah ex parte dengan sokongan Afidavit yang diikrarkan pada pada hari yang sama beserta sijil perakuan segera yang ditanda tangani oleh Peguam syarie Pemohon. Pada 24hb April 2007, kes ini didengar dan diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Sembilan.
DIPUTUSKAN

1.            Permohonan Pemohon untuk mendapatkan perintah ex parte hak jagaan anak sementara dibenarkan. 

2.            Responden, keluarganya, ejennya (wakil) atau sesiapa saja yang berkenaan adalah dihalang daripada menganggu anak bernama Julia Aida binti Peter Rudolph Gottschalk @ Yusuff bin Abdullah dengan apa cara sekali pun, dan menegah responden, keluarganya, ejennya (wakil) atau sesiapa sahaja yang berkenaan menahan diri daripada menganggu, mengacau dan menceroboh ke atas diri Pemohon dan anak tersebut dengan apa cara sekali pun dibenarkan oleh Mahkamah.

3.            Anak tersebut, Julia Aida binti Peter Rudolph Gottschalk @ Yusuff bin Abdullah tidak dibenarkan dibawa keluar daripada semenanjung Malaysia.

4.            Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan, Kuala Lumpur (Wilayah persekutuan) dan Selangor hendaklah memberi kerjasama untuk menyenarai hitamkan perjalanan responden dan anak tersebut, dan Jabatan Agama Islam melalui Penguatkuasa Agama Islam negeri-negeri tersebut tersebut hendaklah membantu Pemohon sekiranya keadaan memerlukan untuk menguatkuasakan perintah Mahkamah.


PEGUAM SYARIE

1.            Pemohon diwakili oleh Dr Rafie bin Mohd Shafie
Dari Tetuan Rafie Mohd Shafie & Associates


NAS YANG DIRUJUK

1.     Hadis riwayat Ibnu Abbas
2.     Hadis riwayat Abu Dawud
3.     Hadis riwayat Bukhari dan al-Nasa’i


PERUNDANGAN YANG DIRUJUK

1.            Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) No 14 Tahun 2003.

2.            Arahan Amalan No.4 tahun 2000, No. 2 tahun 2002, No.11 Tahun 2003 dan No.14 Tahun 2006.
KITAB YANG DIRUJUK

1.            Imam Jalaluddin Abdul Rahman, al Ashbah wa al-Nazair Fi Qawaid al-Fiqhiah.
2.            al-Shaukani, Nail al-Authar.
3.            Harith Suleiman Faruqi, Mu’jam al-Qanuni.
4.            Muhammad Sidqi bin Ahmad bin Muhammad al Burnu, al wafiz Fi Idhah Qawaid al-Fiqh al-Kulliyyah.

KES YANG DIRUJUK

1.            Haslinda binti Alias v Johdy Mathew Byrne @ Yahya bin Abdullah (1999) 13 JH 47
2.    Wan Puziah binti Wan Awang v Abdullah bin Muda (2000) 14 JH 235


ALASAN PENGHAKIMAN

Kes ini merupakan satu permohonan yang dibuat oleh Pemohon untuk mendapatkan keizinan Mahkamah bagi mendengar permohonan beliau secara  ex parte untuk mendapatkan perintah-perintah berikut:


i)             hak penjagaan sementara terhadap anak bernama Julia Aida binti Peter Rudolph Gottschalk @ Yusuff bin Abdullah (12 tahun) demi menjaga akidah dan kebajikan anak tersebut;
ii)            satu perintah tegahan sementara bagi mencegah Responden, keluarganya, ejennya (wakil), atau sesiapa sahaja yang berkenaan dari mengambil atau menganggu anak tersebut dengan apa cara sekalipun, dan menegah Responden, keluarganya, ejennya (wakil) atau sesaipa sahaja yang berkenaan menahan diri daripada menganggu, mengacau dan menceroboh ke atas diri Pemohon dan anak tersebut dengan apa cara sekalipun;
iii)           menegah anak tersebut daripada dibawa keluar dari Semenanjung Malaysia.
iv)           memohon kerjasama daripada pihak Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia untuk menyenarai hitamkan perjalanan anak tersebut dan Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan, Wilayah persekutuan dan Selangor dengan kerjasama Bahagian penguatkuasaan  Agama agensi-agensi tersebut untuk membantu dan memberi kerjasama apabila diperlukan; dan
v)            lain-lain relief yang difikirkan dan adil dan suai manfaat oleh Mahkamah.


Bagi tujuan ini, Pemohon melalui peguam Syarienya, telah memfailkan satu permohonan secara sebelah pihak (ex parte) dengan memasukkannya ke Mahkamah ini pada 23hb April 2007 beserta affidavit sokongan yang diikrarkan oleh Pemohon pada hari yang sama. permohonan tersebut juga disertakan dengan permohonan perakuan segera yang ditandatangani oleh Peguam Syarie pemohon pada tarikh yang sama iaitu 23hb April 2007.  pada tarikh yang sama juga Pemohon telah memfailkan satu permohonan cerai secara fasakh di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Seremban dan permohonan induk mengenai hadhanah beberapa hari kemudian.

Pemohon melalui peguam Syarienya memohon kes ini didengar seberapa segera kerana bimbangkan Responden akan melarikan anak bernama Julia Aida bt Peter Rudolph Gottschalk @ Yusuff bin Abdullah berdasarkan ugutan-ugutan yang dikemukakan oleh Responden sebelum ini.

Berdasarkan perakuan segera tersebut, dan kepercayaan mahkamah akan risiko yang kuat berlakunya sesuatu yang tidak diingini jika pendengaran kes ini dilambatkan, maka kes ini ditetapkan untuk didengar secara sebelah pihak pada 24hb April 2007.

Fakta-fakta yang dibentangkan dalam  affidavit yang diikrarkan oleh pemohon dan penjelasan lisan yang dikemukakan oleh Peguam Syarie pemohon dihadapan Mahkamah ini ialah seperti berikut:

(1)          bahawa pemohon, Radziah binti Ibrhim, kad pengenalan no. 550829-08-5250 beralamat di No. 6, jalan 1/16, Taman Tuanku Jaafar, 71450 Seremban mengaku dan berikrar sebagai pembuat affidavit tersebut dan masih seorang isteri yang sah kepada responden;
(2)          Responden, Peter Rudolph Gottschalk @ Yusuff bin Abdullah adalah warganegara Jerman dan alamat kekalnya ialah Rheinstrasse 19, Ransbach Baumbach, 56235 Germany memegang passport no. 3326026972 & 2117011588 dan menggunakan visa pemohon untuk terus menetap di Malaysia.
(3)          Responden tinggal dan menetap di Malaysia di alamat No. 18, Jalan Polo Air 13/568A, Seksyen 13, Shah Alam Selangor;
(4)          Pemohon dan Responden telah berkahwin pada 11hb jun 1994 di Kuala Lumpur;
(5)          hasil daripada perkahwinan tersebut, Pemohon dan Responden telah dikurniakan seorang anak perempuan berusia 12 tahun bernama Julia Aida binti Peter Rudolph Gottschaklk @ Yusuff bin Abdullah yang lahir pada 27hb November 1995;
(6)          Pemohon memohon perintah interim hadhanah bagi menjaga anak tersebut demi keselamatan dan kebajikan anak terutamanya dari segi akidah islamiah dan perintah interim injunksi bagi menghalang Responden dari menganggu dan melarikan anak tersebut keluar dari Malaysia;
(7)          Anak tersebut setakat ini masih tinggal bersama Pemohon di alamat tempat tinggal pemohon  dan telah tidak bersekolah sejak beberapa hari yang lalu. Anak tersebut adalah seorang warganegara Malaysia yang lahir di Malaysia telah tidak pergi ke sekolah sejak beberapa hari lalu kerana bimbang dilarikan oleh Responden;
(8)          pemohon bimbang dan khuatir jika responden yang menjaga anak tersebut, akan memberikan impak yang negatif kepada anak dari sudut fizikal dan mental;
(9)          Pemohon beralasan perintah interim tersebut perlu dikeluarkan kerana bimbangkan akidah anak akan tergugat jika dijaga oleh Responden yang telah tidak mengamalkan ajaran Islam, minum arak, berperangai keji, makan babi, tidak berpuasa dan tidak bersembahyang;
(10)       wujudnya kebimbangan oleh Pemohon bahawa Responden akan membawa anak tersebut keluar dari Malaysia berdasarkan terdapatnya ugutan  oleh responden untuk berbuat demikian dengan membawa anak ke Jerman.

Isu pokok yang perlu diputuskan oleh Mahkamah ini adalah:

1)         adakah mahkamah mempunyai bidangkuasa untuk memutuskan kes ini secara ex parte;

2)            Jika Mahkamah ini berbidangkuasa, apakah wajar perintah interim dalam kes ini diberikan secara ex parte?
3)            Jika wajar, apakah kriteria-kriteria yang perlu diambil kira; dan
4)            sejauhmanakah piawaian atau standard kriteria tersebut perlu dipertimbangkan oleh Mahkamah untuk mengeluarkan perintah interim.

 i)          Bidangkuasa Mahkamah

Sebelum mengulas mengenai perkara ini, eloklah Mahkamah ini mengambil peluang untuk menyentuh mengenai ex parte dan konsepnya secara ringkas, seterusnya menyentuh mengenai perintah interim hadhanah secara ex parte dan sedikit mengenai injunksi serta sejauh mana Mahkamah ini berbidangkuasa memutuskannya.

Permohonan ex-parte atau permohonan satu pihak merupakan satu permohonan di mana Mahkamah membuat sesuatu keputusan setelah mendengar keterangan sebelah pihak sahaja. Lazimnya perintah atau keputusan yang dikeluarkan dalam permohonan ex-parte tersebut adalah bersifat sementara atau Interim.

Pada dasarnya, semua sistem perundangan menetapkan bahawa segala pertikaian hendaklah diputuskan setelah kedua-dua belah pihak diberi peluang untuk memberi keterangan masing-masing. Peraturan ini dibuat bagi menjamin keadilan kepada semua pihak. Islam amat menitik beratkan peraturan ini, sehinggalah terdapat banyak sunnah-sunnah Rasulullah s.a.w. yang juga merupakan sumber kedua perundangan Islam menyatakan betapa penting dan perlunya seseorang hakim mendengar keterangan kedua-dua belah pihak. Sebagai contoh, satu riwayat daripada Abu Daud bahawa Saidina Ali berkata kepada Rasulullah  s.a.w. yang bermaksud :-

“Ya Rasulullah, tuan mengutuskan aku ke Yaman untuk menjadi Qadi sedangkan aku masih muda dan tidak mengetahui tentang kehakiman.” Rasulullah bersabda : “Sesungguhnya Allah akan memberikan hidayah-Nya kepada hati engkau dan menetapkan lidah mu. Jika datang 2 orang yang bertikai duduk di hadapan kamu, maka janganlah engkau menjatuhkan hukuman sehinggalah engkau mendengar hujah dan keterangan pihak kedua seperti  engkau mendengar  pihak pertama, kerana itulah yang lebih layak dilakukan agar jelas bagi kamu untuk menjatuhkan hukuman.”

Prinsip ini dapat dilihat  di dalam kes Haslinda binti Alias v Johdi Mathew Byrne @ yahya bin Abdullah (1999) 13 JH 47. Dalam memutuskan sama ada Mahkamah boleh  memberi keizinan kes ini didengar secara sebelah pihak (ex-parte) dan seterusnya mengeluarkan perintah ex-parte, YA Hakim Bicara telah merujuk kepada hadis di atas dan menyatakan bahawa:

“Hadis tersebut dengan jelas memberikan panduan kepada seseorang hakim dalam mengendalikan proses perbicaraan iaitu hukuman tidak boleh dijatuhkan dan penghakiman tidak boleh diberikan melainkan semua pihak telah diberi peluang yang sama untuk membela membela diri dan mengemukakan keterangan dan hujahnya, kerana hukuman yang adil tidak dapat ditegakkan jika keterangan dan hujah semua pihak tidak diberikan dengan jelas dan memuaskan dan mereka diberikan peluang secara adil.”

 Berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud, hukum Syarak pada asasnya tidak menggalakkan permohonan ex-parte, yang cuma mendengar hujah sebelah pihak sahaja.

Walaupun syariat Islam menghendaki setiap kes itu diputuskan dengan kehadiran kedua-dua belah pihak, terdapat pengecualian yang membolehkan permohonan ex-parte ini dibuat. Berdasarkan prinsip ‘dharurat’ yang mengharuskan perkara yang dilarang jika terdapat keperluan dan keterdesakkan dan prinsip ‘Mashaqqah’ yang membenarkan sesuatu kewajipan itu dipermudahkan dalam keadaan tertentu. (Lihat Majalah al-Ahkam al-Adlyyah, perkara 21, 22, dan 27 untuk keterangan lanjut). Imam Jalaluddin Abdul Rahman di dalam kitabnya Ashbah wa al-Nazair fi Qawaid al-Fiqhiyyah, pula menyebut  الضرر يزال (Kemudaratan hendaklah dihilangkan). Maka bagi menghilangkan kesukaran itu, adalah harus untuk tidak menggunakan kaedah asal.

Selain dari itu terdapat satu hadis yang diriwayatkan di dalam Sahih Muslim di mana Hindun  telah mengadu kepada Rasulullah s.a.w. akan suaminya yang kedekut sehingga beliau tidak mendapat nafkah yang sewajarnya untuk diri sendiri dan anak-anak kecuali ia mengambil nafkah tersebut tanpa diketahui oleh suaminya. Rasulullah s.a.w. lalu membenarkannya mengambil daripada harta suaminya sekadar bagi memenuhi keperluan diri dan anak-anak. (lihat  juga al-Shaukani, Nail al Authar, kitab al-Nafaqah, 1997, hlm. 870).  Hadis ini juga adalah sebagai satu sandaran kepada Mahkamah ini untuk membenarkan permohonan dibuat secara ex parte.

Selain daripada hukum syarak, Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003 menyatakan secara nyata bahawa suatu perintah interim dan ex parte dibolehkan apabila wujudnya keperluan kepada perkara tersebut demi keadilan kepada pihak-pihak yang memerlukannya. Seksyen 201(1) dan (2) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003  memperuntukkan berkenaan dengan perintah interim tentang hadhanah.   Seksyen tersebut menyebut:
                                                                                                                  
(1)   Tertakluk kepada Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Sembilan) 2003, jika Mahkamah berpuas hati, atas permohonan mana-mana pihak untuk mendapatkan hadhanah seseorang kanak-kanak dalam apa-apa kausa atau perkara, bahawa hal keadaan memerlukan dibuat suatu perintah interim tentang hadhanah kanak-kanak itu, maka Mahkamah boleh membuat perintah sedemikian yang hendaklah berkuat kuasa serta-merta dan hendaklah terus berkuat kuasa sehingga Mahkamah membuat keputusan atas kausa atau perkara itu.

(2)   Permohonan di bawah seksyen ini tidak boleh dibuat sebelum tindakan dimulakan kecuali dalam hal yang mendesak dan demi kepentingan keadilan atau perlindungan pemohon atau kanak-kanak itu didapati bahawa campur tangan serta-merta Mahkamah perlu.

Berdasarkan kepada seksyen 201(1), sesuatu perintah interim tersebut boleh dikeluarkan oleh Mahkamah jika Mahkamah berpuas hati, atas permohonan mana-mana pihak  yang memerlukan dibuat suatu perintah interim tentang hadhanah terhadap kanak-kanak itu, dan perintah interim tersebut  berkuat kuasa serta-merta sehinggalah  Mahkamah membuat keputusan atau memberikan satu perintah kekal terhadap kes tersebut.


Mengenai perintah interim secara ex parte pula, Mahkamah ini merujuk kepada seksyen 201(3) Enakmen yang sama yang memperuntukkan:

(3) Jika pemohon ialah plaintif dan kes itu suatu kes yang mendesak, permohonan itu boleh dibuat secara ex parte yang hendaklah disokong dengan afidavit dan affidavit itu hendaklah mengandungi suatu pernyataan yang jelas dan ringkas lagi padat—

(a) tentang fakta-fakta yang membawa kepada tuntutan terhadap defendan dalam prosiding itu;
(b) tentang fakta-fakta yang membawa kepada tuntutan untuk mendapatkan perintah interim itu;
(c) tentang fakta-fakta yang menjadi sandaran bagi mewajarkan permohonan secara ex parte itu;
(d) tentang apa-apa fakta yang diketahui oleh pemohon yang mungkin menyebabkan Mahkamah tidak memberikan perintah interim itu;
(e) tentang sama ada mana-mana permohonan ex parte terdahulu yang seumpamanya telah dibuat kepada mana-mana Hakim dan, jika demikian, perintah yang dibuat dalam permohonan terdahulu itu; dan
(f) tentang relief yang sebenarnya dipohon.

Seksyen ini membenarkan Mahkamah mengeluarkan suatu perintah interim secara ex parte di mana permohonan kearah itu hendaklah dibuat dengan mengemukakan suatu permohonan berserta dengan affidavit sokongan yang mengandungi fakta-fakta di atas.

Arahan Amalan No. 2 Tahun 2002 pula menyebut mengenai permohonan ex parte yang hendaklah dimulakan prosidingnya di Mahkamah Tinggi Syariah. Arahan Amalan tersebut menyebut;

“…..berhubung kes–kes yang melibatkan tuntutan Hadhanah, Harta Sepencarian tak alih dan permohonan ex-parte hendaklah dimulakan prosiding di Mahkamah Tinggi Syariah.”

Arahan Amalan tersebut diperkukuhkan lagi dengan Arahan Amalan No. 11 Tahun 2003 yang berbunyi:

”Permohonan ex-parte bagi apa-apa perintah sementara boleh difailkan dalam mana-mana keadaan yang memerlukan perintah segera dengan syarat sekiranya kes induk belum difailkan pada masa permohonan ex-parte itu difailkan, Pemohon itu hendaklah memfailkan kes induknya dalam tempoh 14 hari dari tarikh permohonan itu difailkan.”


Manakala mengenai Injunksi atau tegahan pula, dari segi definisinya injunksi ialah satu remedi atau relief (judicial remedy) yang boleh dipohon di mahkamah dalam semua aspek perundangan. Secara praktikalnya dipakai dalam undang-undang harta, tort, pensyarikatan, perkahwinan dan perceraian dan lain-lain lagi termasuklah undang-undang prosedur. Secara umumnya injunksi ini ialah perintah  untuk menghalang seseorang daripada melakukan sesuatu perbuatan yang boleh membawa kecederaan  atau kerosakan kepada orang lain (injunksi prohibitori) atau menyuruh seseorang melakukan perbuatan tersebut bagi mengelakkan berlakunya kerosakan yang lebih serius kepada orang lain (injunksi mandatori). Injunksi ini juga boleh berlaku dalam dua bentuk, iaitu injunksi sementara  (unterlocutori or interim) dan injunksi secara kekal. (Roger Bird, Osborn’s Concise Law Dictionary, edisi 7, London: Sweet and Maxwell, 1983, hal.710-714, lihat juga Dr Najibah Mohd Zain dalam Injunksi dalam Undang-Undang Islam Dan Pemakaian di Mahkamah Syariah, dalam Harta sepencarian, Prosiding Ex Parte, Perintah Injunksi, UIAM, hal.106).

Di dalam perundangan Islam, injunksi ini adalah tidak asing lagi, menurut Harith Suleiman Faruqi di dalam Mu’jam al Qanuni, injunksi disebut sebagai satu perintah (kehakiman) yang melarang atau menegah (mengikat seseorang daripada melakukan sesuatu yang bersalahan dengan undang-undang): perintah ini terbentuk berdasarkan kepada sesuatu tuntutan terhadap sesuatu perkara terhadap seseorang yang lazimnya akan terhalang daripada melakukan perkara tertentu yang mudharat dan boleh dijangka atau yang tidak boleh dijangkakan kerana perbuatannya atau apa yang diniatkannya pada kebiasaannya dengan melihat kepada kezaliman yang akan dilakukannya atau kezaliman yang terdahulu. (Lihat Harith Suleiman Faruqi, Mu’jam al-Qanuni, Beyrut, Maktabah Lubnan (Librairie Du Liban) 2000, hal 366). Menurut Muhammad Sidqi bin Ahmad bin Muhammad al Burnu di dalam al Wafiz Fi Idhah qawaid al-Fiqh al Kulliyyah, 1997, hal 265, pula, injunksi di dalam perundangan Islam adalah berdasarkan kaedah fiqh iaitu menolak kerosakan didahulukan dari mengambil kemaslahatan (dar al mafasid muqaddam ’ala jalbi al-masalih). Kaedah ini  didasarkan daripada Hadis Rasulullah SAW dari pada Samurah bin Jundab yang mempunyai sepohon tamar yang mana dahannya condong ke kawasan rumah seorang lelaki Ansar. Samurah masuk ke kawasan rumah tersebut untuk mengambil buah tamarnya. Keadaan ini telah menganggu ketenteraman lelaki Ansar dan keluarganya dan dia telah meminta supaya Samurah menjual pokok tamarnya tetapi Samurah enggan. Lelaki Ansar itu berjumpa dengan Rasulullah SAW dan baginda telah meminta Samurah menjual tamarnya tetapi Samurah masih enggan. Rasulullah SAW kemudiannya bersabda ”hadiahkanlah pokok tersebut kepadanya dan kamu akan mendapat ganjaran sekian atau diberi sekian” untuk mengelakkan Samurah mengalihkan pokok itu, Samurah masih enggan memindahkan pokok tersebut dan Rasulullah SAW berkata ”kamu menyebabkan mudharat” dan bersabda kepada lelaki Ansar itu ”pergilah dan potonglah pokok tamarnya”. Perintah yang diberikan oleh Rasulullah SAW itu adalah merupakan injunksi dalam bentuk suruhan untuk menghalang kerosakan dalam bentuk gangguan (nuissance) kepada tuan tanah yang juga mempunyai hak ke atas tanahnya dari diganggu. ( Sunan Abu Dawud, Kitab al-Aqdiyyah,  ulasan lanjut sila lihat juga Dr. Najibah Mohd Zain, ibid, hal. 110).

Selain daripada hadis yang diriwayatkan oleh ’Aishah mengenai Hindun isteri kepada Abu Sufyan yang diberi kebenaran oleh Rasulullah SAW mengambil harta sekadar keperluannya, terdapat satu lagi hadis yang diriwayatkan  oleh Ibnu Abbas yang  bermaksud:

”Sesungguhnya isteri Thabit bin Qais datang kepada Rasulullah SAW dan berkata: ”Wahai Rasulullah SAW sesungguhnya saya tidak mengaibkan akhlak dan agama (suami saya Qais), tetapi saya tidak menyukainya dan tidak mahu hidup bersamanya menyebabkan saya melakukan maksiat (atau kerana kebencian yang bersangatan akan mendorongnya menzahirkan kekufuran supaya terfasakh perkahwinan)”, maka Rasulullah SAW bersabda, ”mahukah kamu kembalikan kepadanya kebun (yang dijadikan maharmu)”, isteri qais menjawab, ”ya”, Kemudian Baginda Rasulullah SAW  bersabda (kepada suaminya), ”terimalah kembali kebun itu, dan cerailah dia satu talaq

( hadis diriwayatkan oleh Bukhari dan al-Nasa’i, lihat al-Shaukani, Nail al-Authar, Jil.vi, hal.246).

Kedua-dua nas ini menunjukkan perintah injunksi dikeluarkan oleh Baginda Rasulullah SAW dalam bentuk suruhan bagi mengelakkan berlakunya dharar kepada pihak isteri.

Di Mahkamah Syariah, peruntukan mengenai injunksi ini ada disentuh dan diperuntukkan dalam seksyen 200 Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003.  Seksyen tersebut memperuntukkan:

200. (1) Atas permohonan mana-mana pihak dalam mana mana kausa atau perkara, sebelum atau selepas pendengaran kausa atau perkara itu, Mahkamah boleh memberikan injunksi, sama ada atau tidak tuntutan untuk mendapatkan injunksi itu telah dimasukkan dalam saman, tuntutan balas atau notis pihak ketiga, mengikut mana-mana yang berkenaan.

(2) Permohonan di bawah seksyen ini tidak boleh dibuat sebelum tindakan dimulakan kecuali dalam keadaan yang mendesak.

(3) Jika pemohon ialah plaintif dan kes itu suatu kes yang mendesak, permohonan itu boleh dibuat secara ex parte yang disokong dengan afidavit dan afidavit itu hendaklah mengandungi suatu pernyataan yang jelas dan ringkas lagi padat—

(a) tentang fakta-fakta yang membawa kepada tuntutan terhadap defendan dalam prosiding itu;
(b) tentang fakta-fakta yang membawa kepada tuntutan untuk mendapatkan injunksi itu;
(c) tentang fakta-fakta yang menjadi sandaran bagi mewajarkan permohonan secara ex parte itu, termasuk butir-butir terperinci mengenai apaapa notis yang diberikan kepada defendan atau, jika butir-butir itu tidak diberikan, sebab butirbutir itu tidak diberikan;
(d) tentang apa-apa jawapan yang ditegaskan oleh defendan, atau yang difikirkan mungkin akan ditegaskan olehnya, sama ada kepada tuntutan dalam tindakan itu atau kepada tuntutan bagi injunksi itu;
(e) tentang apa-apa fakta yang diketahui oleh pemohon yang mungkin menyebabkan Mahkamah tidak memberikan injunksi secara ex parte;
(f) tentang sama ada mana-mana permohonan secara ex parte terdahulu yang seumpamanya telah dibuat kepada mana-mana Hakim dan, jika demikian, perintah yang dibuat dalam permohonan terdahulu itu; dan
(g) tentang relief yang sebenarnya dipohon.


Selain daripada peruntukan seksyen tersebut, amalan injunksi ini diperkukuhkan lagi dengan Arahan Amalan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia melalui Arahan Amalan No.  4 Tahun 2000 yang menyebut:

”Permohonan Injunksi boleh difailkan dengan syarat dalam tempoh 14 hari dari tarikh permohonan itu pemohon/plaintif mestilah memfailkan kes induknya. Sebarang perintah yang dikeluarkan berhubung permohonan Injunksi ini hanya berkuatkuasa selama 30 hari dari tarikh perintah tersebut dimeteraikan oleh Mahkamah.”

Bagaimana pun Arahan Amalan ini telah dibatalkan dengan Arahan Amalan yang dikeluarkan kemudiannya, iaitu Arahan Amalan No. 11 Tahun 2003. Arahan Amalan itu berbunyi:

“Permohonan ex-parte bagi apa-apa perintah sementara boleh difailkan dalam mana-mana keadaan yang memerlukan perintah segera dengan syarat sekiranya kes induk belum difailkan pada masa permohonan ex-parte itu difailkan, Pemohon itu hendaklah memfailkan kes induknya dalam tempoh 14 hari dari tarikh permohonan itu difailkan.”

Permohonan ex parte dan perintah sementara disini termasuklah permohonan untuk mendapatkan perintah injunksi kerana kebiasaannya injunksi adalah dibuat secara ex parte dan secara sementara.

Dari penjelasan tersebut, saya berpuashati bahawa Mahkamah ini berbidangkuasa untuk mendengar permohonan perintah interim mengenai hadhanah dan injunksi atau tegahan terhadap Responden yang dibuat oleh pemohon secara ex parte. Pada hemat saya, dalam kes ini, permohonan Pemohon untuk mendapatkan perintah interim hadhanah dan injunksi terhadap responden adalah tidak menyalahi syarak dan selaras dengan kehendak peruntukan undang-undang yang berkuatkuasa.

ii)         Isu seterusnya yang perlu diputuskan oleh Mahkamah ini ialah sama ada  perintah interim ini wajar dikeluarkan secara ex parte atau tidak. Jika wajar, apakah kriteria-kriteria yang perlu diambil kira; dan sejauhmanakah piawaian atau standard kriteria tersebut perlu dipertimbangkan oleh Mahkamah untuk mengeluarkan sesuatu perintah interim.

Bagi menjawab persoalan ini, secara peribadi saya menyatakan bahawa kebanyakan perintah interim secara ex parte adalah sesuatu yang tidak adil, tidak munasabah dan diputuskan berdasarkan fakta zahir yang tidak jelas pembuktiannya, ianya juga menimbulkan prejudis kepada satu pihak lagi yang tidak berpeluang untuk membela diri. Bagaimana pun ianya boleh dibenarkan jika terdapat alasan-alasan khas yang munasabah pada pertimbangan Mahkamah demi kepentingan keadilan, perkara-perkara yang mendesak dan perlindungan kepada Pemohon dan kanak-kanak. Ringkasnya perintah interim secara ex parte ini tidak wajar untuk diamalkan oleh Mahkamah dan ianya tidak patut dibenarkan jika tidak wujudnya kriteria-kriteria yang disebutkan tadi.  Ianya perlulah dipertimbangkan secara ketat sebelum kebenaran dikeluarkan. Pandangan ini  adalah disandarkan kepada Arahan amalan No.10 tahun 2006 yang berbunyi:

“bahawa permohonan Hak Jagaan Sementara Secara ex-parte tidak dibenarkan kecuali atas alasan-alasan khas. Pihak-pihak boleh mengemukakan permohonan hak jagaan sementara semasa prosiding kes induk hak jagaan kepada Mahkamah.”

Manakala seksyen 201(4) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003 pula memperuntukkan:

Permohonan di bawah seksyen ini tidak boleh dibuat sebelum tindakan dimulakan kecuali dalam hal yang mendesak dan demi kepentingan keadilan atau perlindungan pemohon atau kanak-kanak itu didapati bahawa campur tangan serta-merta Mahkamah perlu.

Walaupun peruntukan-peruntukan ini menghalang sesuatu permohonan secara ex parte itu dibuat, tetapi secara tersiratnya ianya adalah dibenarkan jika terdapat kriteria-kriteria yang dibenarkan, iaitu alasan-alasan khas yang mendesak dan demi kepentingan keadilan atau bagi memberikan perlindungan kepada pemohon atau kanak-kanak.

Seksyen 201(4) ini menggariskan halangan kepada sesuatu perintah interim yang dipohon tersebut. Seksyen tersebut menyatakan bahawa permohonan interim tersebut tidaklah boleh dibuat sebelum tindakan dimulakan (kes induk  difailkan) kecuali dalam hal keadaan yang mendesak dan demi keadilan atau untuk perlindungan pemohon atau kanak-kanak.  Boleh difahami daripada seksyen ini, terdapat dua elemen yang membolehkan sesuatu perintah interim tersebut dikeluarkan oleh Mahkamah, iaitu:
i.              berlakunya hal keadaan yang mendesak; dan
ii.            demi kepentingan keadilan atau perlindungan kepada pemohon atau kanak-kanak.

Bolehlah difahami secara literal bahawa semua peruntukan yang dinyatakan tadi pada dasarnya tidak membenarkan sesuatu perintah interim itu dikeluarkan secara sebelah pihak atau sebelum tindakan sebenar mengenai kes tersebut dimulakan. Bagaimanapun perintah interim tersebut boleh dikeluarkan oleh mahkamah jika terdapat alasan-alasan khas yang pada pendapat mahkamah wajar perintah tersebut dikeluarkan. Persoalannya, apakah alasan-alasan khas tersebut? Apakah degree atau tahap sesuatu alasan tersebut boleh disifatkan  sebagai khas hingga membolehkan mahkamah mengeluarkan perintah interim tersebut? Bagi menjawab persoalan ini, tidak terdapat peraturan yang jelas untuk mengukur apakah sebenarnya alasan khas sehingga mahkamah boleh membenarkan sesuatu perintah interim tersebut dikeluarkan. Bagaimanapun seksyen 201(4) memberikan sedikit panduan dalam mengukur standard atau piawaian sesuatu alasan tersebut yang dianggap istimewa sehingga mahkamah boleh mengeluarkan perintah tanpa mendengar keterangan pihak satu lagi, iaitu  berlakunya hal keadaan yang mendesak; dan demi kepentingan keadilan atau perlindungan kepada pemohon atau kanak-kanak.

Dalam menjelaskan mengenai alasan-alasan khas ini, faktor keterdesakan dan perlindungan adalah asas utama yang perlu diambil kira. Prinsip ini boleh dilihat didalam satu kes Haslinda binti Alias v Johdi Mathew Byrne @ Yahya bin Abdullah (1999) 13 JH 47. Dalam kes ini, Mahkamah telah meluluskan permohonan plaintif untuk mendapatkan perintah sementara mengenai hadhanah, menegah dan melarang defendan dari menganggu, menceroboh, mengugut  dan mengancam plaintif dan menegah defendan daripada membawa anak-anak keluar dari Malaysia.

Asas kepada permohonan ini adalah terdapat risiko yang kuat bahawa defendan (Responden) akan melarikan anak ke luar negara sebelum proses perceraian dan tuntutan penjagaan anak-anak diputuskan oleh Mahkamah. Defendan dalam kes ini adalah berasal dari Filipina dan terdapat kebimbangan yang nyata bahawa anak-anak akan dibawa kembali ke Filipina oleh Responden berdasarkan tindakan Responden yang pernah mengugut Plaintif akan berbuat demikian sebelum ini. Berdasarkan risiko yang ada, perlu ada satu tindakan yang segera dan pantas diambil untuk menghalang hasrat Responden tersebut. Jika kaedah asal iaitu dengan mendengar keterangan kedua-dua belah pihak , maka Responden  berkemungkinan akan melarikan anak tersebut sebaik sahaja menerima saman. Dalam situasi sebegini, perlaksanaan kaedah asal  akan menimbulkan kesukaran (mashaqqah) kepada pemohon. Keterdesakan pemohon untuk mendapatkan perintah menegah Responden dari membawa anak keluar dari Malaysia adalah satu bentuk darurat yang perlu ditangani segera.

Dalam satu kes lain yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, iaitu Wan Puziah binti Wan Awang v Wan Abdullah bin Muda dan seorang lagi (2000) 14 JH 235, unsur keterdesakan dan perlindungan  ini boleh dilihat apabila YA Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu meluluskan permohonan ex parte pemohon dengan mengeluarkan satu perintah sementara yang melibatkan wang simpanan di Lembaga Urusan Tabung Haji bagi menghalang Responden daripada memindahmilik harta pusaka yang menjadi pertikaian sebelum kes tersebut diputuskan. Perintah interim tersebut dikeluarkan oleh Mahkamah bagi menyelamatkan mana-mana harta yang menjadi persoalan, atau menjaga hak-hak kepentingan mana-mana pihak. Tindakan tersebut adalah berpaksikan kepentingan keadilan kepada semua pihak. Unsur keterdesakan dan perlindungan kepada pemohon (atau kanak-kanak dalam kes hadhanah) adalah jelas dan boleh diukur berdasarkan kes-kes yang dinyatakan tadi.

Di dalam kes di hadapan saya ini wujudnya kebimbangan oleh Pemohon bahawa anak bernama Julia Aida akan dibawa pulang ke Jerman oleh Responden pada bila-bila masa. Kebimbangan yang kuat tersebut menyebabkan anak itu terpaksa meninggalkan persekolahan selama beberapa hari kerana dikhuatiri akan dibawa lari oleh responden. Kebimbangan ini adalah berasas kerana Responden pernah mengugut akan membawa keluar anak tersebut dari Malaysia ke negara asalnya di Jerman. Pada masa yang sama, Responden digambarkan sebagai seorang yang tidak megamalkan ajaran Islam, seorang yang suka minum arak, makan babi, tidak berpuasa dan tidak sembahyang. Dikhuatiri anak tersebut akan terjejas akidahnya jika ia diambil dan seterusnya dibawa keluar dari Malaysia, dibesar, dididik dan dijaga oleh Responden dalam suasana dan persekitaran yang tidak sihat dari sudut hukum syarak. Mahkamah beranggapan wujudnya faktor keterdesakan yang membolehkan mahkamah campur tangan serta-merta bagi menyelamatkan keadaan anak tersebut . Mahkamah ini tidak perlu menunggu lebih lama untuk membuat sebarang keputusan yang boleh menjejaskan anak tersebut di dalam pelajarannya atau akidahnya.  Walaupun elemen keterdesakan di dalam kes ini tidaklah sampai ke tahap yang benar-benar meruncing dan ianya masih belum berlaku atau dibuktikan akan berlaku,  tetapi saya berpendapat standard atau piawaian alasan-alasan khas itu telah pun dipenuhi. Dengan kata lain, piawaian alasan-alasan khas itu cukuplah memadai dengan “kebimbangan yang kuat bahawa mudharat akan berlaku”  dan ianya disokong oleh faktor keterdesakan yang boleh diukur dengan masa yang suntuk dan perlukan kesegeraan serta perlindungan kepada kanak-kanak, dalam kes ini itu iaitu Julia Aida untuk diselamatkan akidahnya.

Berdasarkan prinsip inilah, Mahkamah meluluskan dan membenarkan permohonan  ex-parte yang dibuat oleh Pemohon. Prinsip ini dikukuhkan lagi dengan peruntukan seksyen 201 (1) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003 yang membenarkan suatu perintah interim dikeluarkan. Seksyen tersebut memperuntukkan:

201. (1) Tertakluk kepada Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Sembilan) 2003, jika Mahkamah berpuas hati, atas permohonan mana-mana pihak untuk mendapatkan hadhanah seseorang kanak-kanak dalam apa-apa kausa atau perkara, bahawa hal keadaan memerlukan dibuat suatu perintah interim tentang hadhanah kanak-kanak itu, maka Mahkamah boleh membuat perintah sedemikian yang hendaklah berkuat kuasa serta-merta dan hendaklah terus berkuat kuasa sehingga Mahkamah membuat keputusan atas kausa atau perkara itu.


KEPUTUSAN

SETELAH MAHKAMAH meneliti Permohonan Pemohon yang disokong oleh Afidavitnya dan eksibit-eksibit yang dirujuk secara sebelah pihak, MAKA MAHKAMAH berpuas hati dan memerintahkan seperti berikut :-

1.    Permohonan Pemohon untuk mendapatkan perintah ex parte hak jagaan anak sementara dibenarkan.

2.    Bahawa Pemohon Radziah binti Ibrahim kad pengenalan no. 550829-08-5250 diberikan hak jagaan sementara  terhadap anak bernama Julia Aida Binti peter R. Gottschalk @ Yusuff bin Abdullah.

3.    bahawa responden, keluarganya, ejennya (wakil) atau sesiapa saja yang berkenaan adalah dihalang daripada menganggu anak bernama Julia Aida binti Peter Rudolph Gottschalk @ Yusuff bin Abdullah dengan apa cara sekali pun, dan menegah responden, keluarganya, ejennya (wakil) atau sesiapa sahaja yang berkenaan menahan diri daripada menganggu, mengacau dan menceroboh ke atas diri Pemohon dan anak tersebut dengan apa cara sekali pun.

4.    bahawa anak tersebut, Julia Aida binti Peter Rudolph Gottschalk @ Yusuff bin Abdullah tidak dibenarkan dibawa keluar daripada semenanjung Malaysia.

5.    bahawa Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan, Kuala Lumpur (Wilayah persekutuan) dan Selangor dan penguatkuasa Agama Islam negeri-negeri tersebut untuk  menyenarai hitamkan perjalanan responden dan anak tersebut, dan agensi-agensi tersebut hendaklah membantu Pemohon sekiranya keadaan memerlukan untuk menguatkuasakan perintah Mahkamah.

6.    Bahawa mana-mana pihak yang terlibat (affected)  oleh perintah sementara ini  berhak memohon secara inter parte bagi membatalkan atau mengubah perintah sementara ini atau Pemohon tidak menzahirkan atau salah nyatakan mana-mana fakta yang berkaitan;

7.    Selanjutnya Pemohon memberi akujanji  akan membayar apa-apa gantirugi yang ditaksirkan atas kerugian kepada mana-mana pihak akibat memperolehi perintah sementara ini yang  tidak sepatutnya dikeluarkan.

8.    Pemohon hendaklah menyerahkan perintah ini bersama-sama salinan permohonan, affidavit dan perakuan segera yang difailkan  kepada semua pihak yang terlibat  oleh perintah sementara ini dan hendaklah memfailkan tuntutan induk secara inter partes dalam masa 14 hari.

9.    Perintah ini hendaklah berkuatkuasa selama  tiga puluh (30) hari daripada tarikh perintah ini dikeluarkan dan boleh dilanjutkan atau diubah berdasarkan permohonan pihak-pihak;

Hakim
Mahkamah Tinggi Syariah
Negeri Sembilan Darul Khusus

Bertarikh 24hb April 2007

Sunday, September 27, 2009

PERMOHONAN EX PARTE PENGISYTIHARAN STATUS AGAMA SIMATI AMIR GAN BIN ABDULLAH @ GAN ENG GOR

kes ini satu ketika dulu pernah menjadi perdebatan hangat dan disiarkan didada akhbar-akhbar tempatan khususnya di zon tengah dan selatan. kes ini belum lagi dilaporkan ,bagaimanapun ada dalam simpanan saya.  sewaktu kes ini diputuskan, penghakimannya dibaca secara terbuka. Terdapat beberapa isu yang ditimbulkan oleh pihak-pihak telah dikupas oleh Mahkamah secara terbuka. Dalam kes ini semua ahli keluarga simati tidak menghadirkan diri walaupun notis kehadsiran disampaikan kepada mereka. Antara isu yang timbul dalam kes ini ialah;

Undang-Undang Pentadbiran - Bidang kuasa Mahkamah Syariah untuk mengisytiharkan status agama orang yang telah mati – kehendak-kehendak bagi pemelukan Agama Islam – sama ada penurunan cop jari atau tandatangan sebagai salah satu syarat sah pemelukan Islam

Undang-Undang Tatacara – keterangan diberikan secara affidavit - Kuasa sedia ada Mahkamah – Pemakaian Hukum Syarak apabila tidak terdapat dengan nyata peruntukan di dalam Enakmen - Seksyen 9, 10, 11 dan 12 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah adalah terpakai bagi sesuatu permohonan dengan ubahsuaian yang perlu

Arahan Amalan – Permohonan Perakuan Segera bagi mengebumikan jenazah mengikut kehendak Hukum syarak

Undang Keterangan Mahkamah Syariah –– penerimaan keterangan – pengiktirafan kehakiman ke atas dokumen-dokumen yang dikemukakan - keterangan orang bukan Islam sebagai bayyinah - Notis dikeluarkan kepada keluarga yang bukan beragama Islam.




DI DALAM MAHKAMAH TINGGI SYARIAH DI SEREMBAN
DI DALAM NEGERI SEMBILAN
KES MAL NO. 05100-099-0037-2008


Permohonan ex parte


MAJLIS AGAMA ISLAM NEGERI SEMBILAN
JABATAN HAL EHWAL AGAMA ISLAM NEGERI SEMBILAN
PENDAFTAR MUALLAF
ABDUL RAHMAN GAN BIN ABDULLAH………………..........................PEMOHON-PEMOHON


[Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Sembilan Darul Khusus (Yang Arif Mohd Nadzri bin Haji Abdul Rahman Ibrahim, HMTS) 24hb Januari 2008 bersamaan 15 Muharam 1429]


Fakta kes

Simati, Amir Gan bin Abdullah @ Gan Eng Gor, berumur 74 tahun telah meninggal dunia pada 20hb Januari 2008. Semasa hayatnya, disekitar bulan Jun 2007, Si Mati telah memeluk Islam secara sukarela dirumahnya yang beralamat di No 451, Taman Megaway, Sikamat, 70400 Seremban, Negeri Sembilan Darul Khusus.

Si Mati kemudiannya telah sempurna didaftarkan memeluk Islam pada 3hb Julai 2007 dan didaftarkan dengan no. daftar PANS.196(06) 425/2007/146(s) dan telah disahkan oleh Pendaftar Saudara Baru atau Registrar Of Muallaf, En Mohd Fadzil bin Abu kassim (Pemohon ke 3) pada 3hb Julai 2007.

Satu kad akuan memeluk Islam juga telah dikeluarkan pada tarikh yang sama iaitu 3hb Julai 2007 dengan memakai no. siri 2868. Pendaftaran tersebut telah dibuat mengikut kehendak sek. 111(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003 setelah memenuhi kehendak seksyen 107 Enakmen tersebut, iaitu selepas Pendaftar berpuashati dan catatan di dalam buku daftar muallaf juga telah dibuat. Pada 20hb Januari 2008, jam 10.30 pagi, Si Mati telah meninggal dunia dirumah salah seorang anaknya yang bernama Gan Hok Ming, di Taman Bandar Puteri, Klang Selangor. Pemohon-Pemohon menghadapi masalah dalam urusan untuk mengebumikan Si Mati berhubung dengan kedudukan agama Si Mati yang perlu kepada satu perintah Mahkamah dikeluarkan. Pada peringkat ini, pemohon ke 4, Abdul Rahman Gan bin Abdullah yang juga merupakan anak pertama kepada Si Mati, telah membuat dua repot polis sebelum kes ini dikemukakan ke Mahkamah ini apabila hasratnya untuk mengebumikan jenazah Si Mati telah dihalang oleh ahli keluarga yang lain.

Pemohon-Pemohon telah mengemukakan permohonan ini dengan menyertakan affdavit-afidavit bagi setiap pemohon beserta afidavit tambahan yang diikrarkan oleh Encik Shassainie Siau bin Abdullah, Pembantu Hal Ehwal Islam, bagi menyokong permohonan tersebut. Pemohon-Pemohon juga memfailkan satu Perakuan Segera pada tarikh yang sama iaitu 22hb Januari 2008 dengan alasan Mahkamah ini perlu membuat suatu keputusan yang segera bagi mengelakkan jenazah lewat disemadikan mengikut Hukum Syarak.


Diputuskan

1. Bahawa Si Mati Amir Gan bin Abdullah @ Gan Eng Gor, kad pengenalan no. 331130-05-5197 adalah didisytiharkan sebagai seorang Islam;
2. Si Mati Amir Gan bin Abdullah @ Gan Eng Gor, kad pengenalan no. 331130-05-5197 hendaklah dikebumikan menurut kehendak Agama Islam dan Hukum Syarak;
3. Perintah injunksi ex-parte kes Mal No. 05110-099-0035-08 bertarikh 22hb Januari 2008 adalah dibatalkan. Pihak yang menyimpan jenazah Si Mati hendaklah menyerahkan mayat Si Mati kepada Pemohon-Pemohon untuk dikebumikan;
4. Polis Diraja Malaysia (PDRM) hendaklah memberi kerjasama untuk melaksanakan perintah ini.


Peguam Syarie

Siti Harlina binti Mohd Shahran dan Mohd Fuad bin Mohd Shahran bersamanya dari Tetuan Nizam, Harlina & Co. bagi pihak Pemohon-Pemohon

Surah al-Quran yang dirujuk

1. surah al Baqarah (2:256):


Kitab-kitab yang dirujuk

1. Muhammad Ali bin Muhammad al-Syaukani, Nail al-Authar,
2. Abu Ya’la Al-Farra’, Al-Ahkam al-Sultaniyyah, Beyrut, Lebanon
3. Ibn Nujaym, al-Syeikh zainuddin bin Ibrahim bin Muhammad, al-Asybah wa al-Naza’ir ‘ala Mazhab Abu hanifah al-Nu’man, jil.1, Beyrut: Dar al kitab, 1999.
4. al-Suyuti, Imam Jalaluddin Abdul Rahman bin Abu bakar, al-Asybah wa al-Nazair, Jil. 1, Beyrut: Dar al Kutub al Ilmiah, 1998.
5. Syeikh Ahmad bin al-Syeikh Muhammad al-Zarqa’, Syarh al-Qawaid al-fiqhiah, Damsyik: Dar al-Salam, 1998.
6. Ab. Latif Muda & Rosmawati bt Ali @ Mat Zain, Pembahagian Kaedah-Kaedah Fiqh, Kuala Lumpur: Ilham Abati Ent., 2000.
7. Peter Malanczuk, Akehurst’s Modern Introduction To International Law, London: Routledge, 1997

Undang-undang yang dirujuk

1. Perlembagaan Persekutuan Perkara 121 1(A).
2. Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003
3. Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003
4. Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan ) 2003,
5. ILC’S Articles On The Responsibility Of States, 2001.
6. Arahan Amalan No.3 Tahun 2001


Kes-kes yang dirujuk

1. Majlis Agama Islam Negeri Sembilan lwn Hun Mun Meng (1992) 5 kanun (1) 137,
2. Md Hakim Lee lwn Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (1998) 1 MLJ 681,
3. Soon Singh a/l Bikar Singh lwn Pertubuhan Kebangsaan Islam Malaysia (PERKIM) Kedah & Anor (1994) 1 AMR 17, (1999) 1 MLJ 489,
4. Sia Kwee Hin @ Sia Kooi Ceng lwn Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (1999)2 AMR,
5. Daud bin Mamat & 3 yang lain lwn Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan & Anor (2001) 2 AMR,
6. Majlis Agama Islam Pulau Pinang & Seberang Prai lwn Shaikh Zolkafily bin Shaikh Natar & Ors (2004) 1 SH. LR 46,
7. Lina Joy lwn Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan & Ors (2005) 4 Sh.LR 81.
8. Dalip Kaur lwn Pegawai Polis Daerah Bukit Mertajam & Anor (1992) 1 MLJ 1,
9. Permohonan Perisytiharan Status Agama Si Mati Mohammad Abdullah @ Moorthy a/l Maniam (2006)JH XXI/II, 210,
10. Permohonan Perisytiharan Status Agama Si Mati Nyonya binti Tahir (2006) JH XII/II, 221
11. Dalam Perkara Tuntutan hadhanah Nur Adryana Qestina binti Abdullah @ Audrey Christina Samuel (2007) MTS Seremban, Negeri Sembilan, kes Mal No. 05100-028-0193-2007,
12. Mohamed Habibullah bin Mahmood lwn Faridah bte Dato’ Talib (1992) 2 MLJ 793,
13. Teoh Eng Huat lwn Kadhi Pasir Mas & Anor (1990) 2 MLJ 300.



Mohd Nadzri bin Haji Abdul Rahman Ibrahim HMTS memberikan penghakiman kes

Di hadapan saya ini adalah satu permohonan ex parte yang telah dipohon oleh Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) melalui Setia Usahanya, En kamal Amran Bin kamaruddin, Jabatan hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) melalui pengarahnya En Selamat bin Paigo, sebagai Pemohon ke 2, Pendaftar Muallaf melalui En Mohd Fadzil bin Abu Kassim selaku pendaftar muallaf sebagai Pemohon Ke 3 dan En Abdul Rahman Gan bin Abdullah iaitu anak pertama kepada Si Mati, Gan Eng Gor @ Amir Gan bin Abdullah sebagai Pemohon ke 4. Pemohon-pemohon diwakili oleh Peguam Syarie, Pn. Siti Harlina bt Mohd Shahran dan En. Mohd Fuad bin Mohd Shahran bersamanya, kedua-duanya dari Tetuan Nizam Harlina & Co.

Antara lain Pemohon-Pemohon telah membuat permohonan kepada Mahkamah ini supaya:

1. memutuskan status agama Si Mati, Amir Gan bin Abdullah @ Gan Eng Gor, k/p no.331130-05-5197;
2. meluluskan pengkebumian Si Mati secara Islam sekiranya Mahkamah mengisytiharkan Si Mati sebagai orang Islam; dan
3. relif-relif lain yang difikirkan munasabah oleh mahkamah.


Si Mati, Amir Gan bin Abdullah @ Gan Eng Gor, berumur 74 tahun telah meninggal dunia pada 20hb Januari 2008. Semasa hayatnya, disekitar bulan Jun 2007, Si Mati telah memeluk Islam secara sukarela dirumahnya yang beralamat di No 451, Taman Megaway, Sikamat, 70400 Seremban, Negeri Sembilan Darul Khusus.

Si Mati kemudiannya telah sempurna didaftarkan memeluk Islam pada 3hb Julai 2007 dan didaftarkan dengan no. daftar PANS.196(06) 425/2007/146(s) dan telah disahkan oleh Pendaftar Saudara Baru atau Registrar Of Muallaf, En Mohd Fadzil bin Abu kassim (Pemohon ke 3) pada 3hb Julai 2007.

Satu kad akuan memeluk Islam juga telah dikeluarkan pada tarikh yang sama iaitu 3hb Julai 2007 dengan memakai no. siri 2868. Pendaftaran tersebut telah dibuat mengikut kehendak sek. 111(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003 setelah memenuhi kehendak seksyen 107 Enakmen tersebut, iaitu selepas Pendaftar berpuashati dan catatan di dalam buku daftar muallaf juga telah dibuat. Pada 20hb Januari 2008, jam 10.30 pagi, Simati telah meninggal dunia dirumah salah seorang anaknya yang bernama Gan Hok Ming, di Taman Bandar Puteri, Klang Selangor. Pemohon-Pemohon menghadapi masalah dalam urusan untuk mengebumikan Si Mati berhubung dengan kedudukan agama Si Mati yang perlu kepada satu perintah Mahkamah dikeluarkan. Pada peringkat ini, Pemohon ke 4, Abdul Rahman Gan bin Abdullah yang juga merupakan anak pertama kepada Si Mati, telah membuat dua repot polis sebelum kes ini dikemukakan ke Mahkamah ini apabila hasratnya untuk mengebumikan jenazah Si Mati telah dihalang oleh ahli keluarga yang lain.

Permohonan ini telah difailkan oleh Pemohon-Pemohon pada 21hb Januari 2008 jam 4.00pm dengan menyertakan bersama satu permohonan Perakuan Segera dengan alasan bahawa mayat Si Mati, Amir Gan bin Abdullah @ Gan Eng Gor telah lama disimpan di Bilik mayat iaitu sejak 20hb januari 2008 dan perlu disempurnakan penyemadiannya secepat mungkin. Manakala 23hb Januari pula telah jatuh kepada hari cuti umum (Thaipusam) maka kelewatan perbicaraan akan memberi kesan kepada pihak-pihak yang terlibat. Berdasarkan afidavit yang dikemukakan, Mahkamah membenarkan kes ini didengar pada pagi keesokannya, iaitu 22hb Januari 2008 selepas rujukan dibuat kepada hadis Rasulullah s.a.w di dalam kitab Nail al-Authar, jilid 4, hlm. 114 mengenai perlunya disegerakan penyempurnaan jenazah.


عن أبي هريرةٌ قال : قال رسول الله صلى عليه وسلم أسرعوا بالجنازة فان كانت صالحة قربتمونها إلى الخير وإن كانت غير ذلك فشر تضعونه عن رقابكم (رواه الجماعة)
Maksudnya: Daripada Abu hurairah, berkata Rasulullah s.a.w. “Segerakanlah mengebumikan jenazah, jika dia orang baik, maka segerakanlah kamu hantarnya kepada kebaikan dan jika dia bukan orang baik, maka supaya kejahatan itu segera terlepas daripada tanggungan kamu” (Riwayat Jamaah)


Mahkamah juga merujuk kepada Arahan Amalan No.3 Tahun 2001 yang menyatakan Mahkamah perlu mendengar sesuatu kes dalam tempoh yang segera bergantung kepada alasan yang diberikan.

“ Permohonan Perakuan Segera ini hendaklah terus didengar pada hari difailkan atau paling lewat dalam tempoh 7 hari dari tarikh difailkan bergantung kepada alasan yang dikemukakan.”

Dalam permohonan ini, terdapat 2 isu penting yang perlu diputuskan oleh Mahkamah, iaitu:
1. Bidang kuasa Mahkamah Syariah
2. Sama ada Simati beragama Islam atau sebaliknya sewaktu berlaku kematian


1. Bidang Kuasa Mahkamah

Menyentuh mengenai bidang kuasa Mahkamah, suka saya merujuk kepada sek 61 (1) dan (3)(b) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003 yang menyebut:

(1) Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah mempunyai bidang kuasa di seluruh Negeri Sembilan dan hendaklah diketuai oleh seorang Hakim Mahkamah Tinggi Syariah.
(2) ………..
(3) Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah—
(a) …………….
(b) dalam bidang kuasa malnya, mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding jika semua pihak dalam tindakan atau prosiding itu ialah orang Islam dan tindakan atau prosiding itu adalah berhubungan dengan—
( i ) ……
(xi) pengisytiharan bahawa seseorang yang telah mati itu ialah seorang Islam atau sebaliknya pada masa kematiannya;

Selain daripada peruntukan Undang-Undang yang jelas di bawah sek 61 tadi, terdapat juga beberapa kes yang menjadi duluan yang memberikan maksud sama ada secara tersirat atau tersurat bagi mengesahkan status atau bidang kuasa Mahkamah Syariah dalam hal ini.

Dalam kes Dalip Kaur lwn Pegawai Polis Daerah Bukit Mertajam & Anor (1992) 1 MLJ 1, Mahkamah Agung telah mengesahkan bahawa forum yang layak untuk memutuskan status Si Mati ialah Mahkamah Syariah. Hakim Mohamed Yusof ketika mengulas kes tersebut berpendapat:

“It is apperent from the observation made by the learnd judicial commissioner that the determination of the question weth a prson was a Muslim or had renounced the faith of Islam before death, transgressed into the realm of Syariah law which needs serious consideration and proper interpretation of such law. Without proper authority to support his contention. It is not sufficient to say wether there is not a condition precedent for a person to become a Muslim; or that if thr deceased were proved to have had said his prayers at a sikh temple he was definitely an apostate.

The present question, in my view, cannot be determined by a simple application of facts as he has been found by the learned judicial commissioner on the basis of veracity and relevancy of evidence according to civil law. Such a serious issues would to my mind, need consideration by eminent jurist who ar properly qualified in the field of Islamic jurisprudence.

On this view, it is imperative that the determination of the question in issue requires substantial consideration on the Islamic Law by relevant jurist qualified to do so. The only forum qualified to do so is the syariah court”


Di dalam kes Soon Singh a/l Bikar Singh lwn Pertubuhan Kebangsaan Islam Malaysia (PERKIM) Kedah & Anor (1999) 1 MLJ 489, dalam kes ini, Perayu, seorang yang dibesarkan sebagai seorang penganut agama Sikh, telah memeluk Islam tanpa pengetahuan dan izin ibunya, seorang balu, semasa ia masih di bawah umur. Setelah mencapai umur 21 tahun, ia telah menjalani suatu upacara pembaptism ke dalam agama sikh, dengan itu meninggalkan agama Islam. Berikutnya ia telah memfailkan satu saman pemula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur meminta suatu perisytiharan bahawa ia tidak lagi merupakan seorang penganut agama Islam. Peguam Jabatan Agama Islam Kedah telah membangkitkan bantahan awal terhadap permohonan dengan menghujahkan bahawa Mahkamah Tinggi tidak mempunyai bidang kuasa kerana hal tersebut diliputi oleh bidang kuasa Mahkamah Syariah. Hakim Mahkamah Tinggi kemudiannya membenarkan bantahan awal tersebut. Perayu yang tidak berpuashati kemudiannya merayu ke Mahkamah Persekutuan. Rayuan tersebut telah ditolak dengan kos. Panel Hakim Mahkamah Persekutuan memutuskan:

“Bidang kuasa Mahkamah–mahkamah Syariah untuk menguruskan penukaran agama ke luar daripada agama Islam, walaupun tidak diperuntukkan secara nyata dalam beberapa Enakmen Negeri, boleh dibaca ke dalam enakmen tersebut secara tersirat yang didapati daripada peruntukan berkenaan dengan penukaran ke agama Islam. Adalah tidak boleh dielakkan bahawa oleh kerana hal-hal tentang penukaran ke agama Islam diliputi oleh bidang kuasa mahkamah-mahkamah Syariah, secara tersirat, penukaran keluar daripada agama Islam juga adalah diliputi oleh bidang kuasa mahkamah-mahkamah yang sama. Justeru itu, permohonan perayu untuk satu perisytiharan bahawa ia bukan lagi seorang penganut agama Islam diliputi oleh bidang kuasa Mahkamah syariah dan bukan bidang kuasa Mahkamah Tinggi (sivil).”

Selain daripada dua kes tersebut, saya juga berpeluang merujuk kepada kes-kes lain seperti :

Majlis Agama Islam Negeri Sembilan lwn Hun Mun Meng (1992) 5 kanun (1) 137, Kes Md Hakim Lee lwn Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (1998) 1 MLJ 681, Sia Kwee Hin @ Sia Kooi Ceng lwn Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (1999)2 AMR, Daud bin Mamat & 3 yang lain lwn Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan & Anor (2001) 2 AMR, Majlis Agama Islam PP & Seberang Prai lwn Shaikh Zolkafily bin Shaikh Natar & Ors (2004) 1 SH. LR 46, Mohamed Habibullah bin Mahmood lwn Faridah bte Dato’ Talib (1992) 2 MLJ 793, Teoh Eng Huat lwn Kadhi Pasir Mas & Anor (1990) 2 MLJ 300.

Kesemua kes-kes yang disebut diatas menyentuh mengenai bidang kuasa Mahkamah Syariah dan sebahagian darinya adalah mengesahkan bidang kuasa eklusif Mahkamah syariah untuk memutuskan dan menentukan sama ada seseorang itu Islam atau sebaliknya. Kes-kes tersebut bukan sahaja menjadi duluan yang mengikat, tetapi juga telah memenuhi kehendak roh dan semangat Perlembagaan Persekutuan Perkara 121 1(A).

Berdasarkan ulasan-ulasan tadi, tidak syak lagi Mahkamah ini berbidangkuasa untuk mendengar permohonan ini.


2. Isu sama ada status Simati seorang Islam atau sebaliknya semasa kematian

Di dalam kes ini keterangan telah diberi secara afidavit mengikut sek 101 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003. Disamping itu Mahkamah juga mencatat keterangan lisan deponen @ pengikrar afidavit secara ringkas bagi fakta-fakta yang memerlukan penjelasan lanjut Mahkamah.

Si Mati telah memeluk Islam pada sekitar awal bulan bulan Jun 2007 di kediamannya di no. 451, Taman Megaway, Sikamat dengan mengucap 2 kalimah syahadah di hadapan Pembantu Hal Ehwal Islam Shassainie Siau bin Abdullah dan disaksikan oleh Setia Usaha Persatuan Darussaadah Pn Nora Ong binti Abdullah, En Navi bin Zainuddin dari sukarelawan Da’wah Majlis Agama Islam Negeri Sembilan dan dan Pn Aslina Pooa bt Abdullah pada 5hb Jun 2007. Fakta ini adalah seperti diikrarkan oleh affidavit Pemohon ke 4, En Abdul Rahman Gan. Fakta-fakta ini juga telah dibuktikan oleh afidavit tambahan yang dibuat oleh En Shassainie Siau bin Abdullah yang mengesahkan bahawa Simati telah melafazkan dua kalimah syahadah dalam bahasa Arab semunasabahnya di hadapan beliau sendiri selepas beliau menerangkan maksud dua kalimah syahadah dalam bahasa Mandarin dan mengajarnya lafaz tersebut sebanyak tiga kali kepada Si Mati dalam keadaan sedar dan waras tanpa dipaksa oleh sesiapa pada ketika itu. kejadian itu disaksikan oleh empat orang rakan kerja seperti nama-nama yang disebut sebelum ini.

kehendak-kehendak bagi pemelukan agama Islam tersebut oleh Si Mati, saya percaya telah memenuhi seksyen 107 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Sembilan 2003 yang menyebut:

(1) Kehendak-kehendak yang berikut hendaklah dipatuhi bagi pemelukan sah agama Islam oleh seseorang:
(a) orang itu mestilah mengucapkan dua kalimah Syahadah dalam bahasa Arab secara yang semunasabahnya jelas;
(b) pada masa dia mengucapkan dua kalimah Syahadah itu, orang itu mestilah sedar bahawa kalimah itu bermakna “Aku menjadi saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku menjadi saksi bahawa Nabi Muhammad S.A.W. ialah Pesuruh Allah”; dan
(c) pengucapan itu mestilah dibuat dengan kerelaan hati orang itu sendiri.
(2) Seseorang yang tidak dapat bercakap boleh, bagi maksud memenuhi kehendak perenggan (1)(a), mengucapkan dua kalimah Syahadah dengan menggunakan isyarat yang menunjukkan makna yang dinyatakan dalam perenggan (1)(b).


Isu yang mungkin timbul dalam kes ini ialah mengenai peruntukan di bawah perenggan (c) seksyen tersebut iaitu: “pengucapan itu mestilah dibuat dengan kerelaan hati orang itu sendiri”. Fakta ini telah dibuktikan melalui affidavit Shasainie Siau bin Abdullah dalam perenggan 6 yang menyebut:

“Walaubagaimanapun isteri simati telah menghalang simati untuk menurunkan cop jari tangan pada borang maklumat Pemohon, borang perakuan Islam dan borang Ikrar Memeluk Agama Islam dengan menarik baju di dada simati, tetapi simati telah menepis tangan isterinya dan kemudiannya menangis.”


‘Menepis tangan isterinya dan kemudiannya menangis’ menunjukkan Si Mati marah dengan tindakan isterinya menghalang daripada menurunkan cop jari, menangis pula menunjukkan Si Mati kecewa kerana tidak dapat menurunkan cop jari tangannya. Hanya itulah yang mampu dilakukan oleh Si Mati waktu itu dalam keadaan menanggung penyakit ‘strok’ yang dideritainya tidak berapa lama sebelumnya. Bagaimanapun Si Mati masih dalam keadaan sedar walaupun percakapannya tidak lancar tetapi menjawab apabila disapa oleh En Shassainie Siau bin Abdullah dan mengangguk kepala apabila anaknya Abdul Rahman Gan bin Abdullah bertanya Si Mati sama ada beliau ingin memeluk Islam atau tidak.

Mengenai cop jari, Mahkamah ini tiada pengetahuan dan tidak ada keterangan mengenainya. Jika ianya ditimbulkan sekalipun, isu cop jari tersebut adalah tidak relevan dalam permohonan ini kerana kehendak kepada penurunan cop jari atau tandatangan Si Mati tidaklah menjadi satu syarat kepada sahnya satu-satu pemelukan Agama Islam, malah peruntukan mengenainya juga tidak terdapat di dalam mana-mana seksyen di bawah Bahagian IX - di bawah Tajuk ‘Memeluk Agama Islam’ iaitu daripada apa yang diperuntukkan di bawah seksyen 107 hingga seksyen 117 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Sembilan 2003.

Tidak seperti peruntukan-peruntukan lain, sebagai contohnya di bawah Enakmen Tatacara Mal, seperti seksyen 16(3) (a), 4992), 54 (2), peruntukan-peruntukan yang melibatkan saman, permohonan, affidavit dan sebagainya (sekadar menunjukkan beberapa contoh), ketiadaan cop jari atau tandatangan menyebabkan satu-satu surat guaman atau pliding atau dokumen itu boleh jadi terbatal atau tidak sah dan ianya disebut secara jelas. Berbeza dengan syarat pemelukan agama Islam di bawah Bahagian IX ini, tandatangan atau cop jari tidak disentuh langsung dan ianya tidaklah menjadikan satu-satu pemelukan Agama Islam itu sebagai tidak sah atau terbatal.

Malah jika melihat kepada Hukum Syarak, sahnya iman seseorang adalah dengan menyebutkan syahadatain. Mengucap dua kalimah syahadah sepertimana hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim:

عن ابن عمر رضي الله عنهما قال : سمعت رسول الله الله عليه وسلم يقول : بني الإسلام على خمس شهادة أن لا إله إلا الله وأن محمد رسول الله وإقام الصلاة وإيتاء الزكاة والحج وصوم رمضان

yang bermaksud: “Dari Ibnu Omar R.A. bahawa saya telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: Islam itu dibina atas lima perkara. Pengakuan bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan bahawa Nabi Muhammmad itu pesuruh Allah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, mengerjakan haji dan berpuasa di bulan Ramadhan.”


Apabila dua kalimah syahadah telah dilafazkan, maka sempurnalah pemelukan agama Islam seseorang. Selagi ianya dibuat secara kerelaan dan bukan paksaan. Firman Allah dalam surah al Baqarah (2:256):


Yang bermaksud: “. tidak ada paksaan Dalam ugama (Islam), kerana Sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). oleh itu, sesiapa Yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka Sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali ugama) Yang teguh Yang tidak akan putus. dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.”


dan kerelaan itu tidaklah sampai diperlukan sehingga dibuktikan niat seseorang. Ianya hanya memadai dengan diam, sepertimana kaedah fiqh yang menyebut:

لا ينسب إلى ساكت قول ولكن السكوت في ممرض الحاجة إلى البيان بيان

yang bermaksud: “Tidak boleh dinisbahkan sesuatu perkataan kepada orang yang diam, tetapi diam ketika terdedah kepada keperluan untuk memberi keterangaan (penjelasan) adalah dikira sebagai keterangan” (* )


kaedah ini bermaksud, sesuatu keputusan yang dibuat oleh hakim itu dapat diambil dengan berdasarkan seseorang itu diam, melainkan sekiranya ada tanda-tanda atau qarinah-qarinaah yang dapat menguatkannya. namun begitu, diam seseorang itu yang sedang diperlukan kepada keterangannya, dapat dijadikan sebagai dalil atau hujah terdapatnya sesuatu keterangan (lihat Ab. Latif Muda & Rosmawati bt. Ali @ Mat Zain, Perbahasan kaedah-kaedah Fiqh, 2000, Kuala Lumpur : Ilham Abati Enterprise, hal 391).

Daripada kaedah ini dapatlah disimpulkan bahawa diam Si Mati pada waktu sepatutnya ia memberi jawapan adalah dikira memberi keizinan dan mengangguk kepala apabila ditanya mengenai kehendaknya untuk memluk agama Islam merupakan satu qarinah yang menguatkan lagi keinginan dan kerelaannya untuk memluk agama Islam.

Dalam konteks ini, bukan sahaja mengikut Hukum Syarak, tetapi ‘diam’ itu menunjukkan redha atau setuju dan prinsip ini juga terpakai diperingkat internasional, malah dalam mengadakan satu-satu treaties antara negara-negara juga konsep ini turut terpakai. Sebagai contohnya mengikut Artikel 2, ILC’S Articles On The Responsibility Of States, 2001, satu-satu treaties itu akan terpakai kepada negara-negara yang bernaung dibawahnya jika negara-negara tersebut tidak mengemukakan sebarang bantahan sama ada bertulis atau lisan atau apa-apa aksi (tindakan) yang menunjukkan sebagai bantahan. Menurut Peter Malanczuk di dalam Akehurst’s Modern Introduction To International Law, Above n.1, 43, diam atau ‘silence’ memberi obligasi secara undang-undang bahawa negara tersebut adalah bersetuju dengan treaties yang dibuat.

Saya berpendapat ‘kerelaan’ ini tidaklah perlu dibuktikan sehingga tahap penurunan cop ibu jari oleh Si Mati dan ianya hanya cukup atau memadai dengan diam dan memberikan tanda persetujuan seperti mengangguk kepala atau tersenyum dan tidak menunjukkan reaksi marah atau dipaksa. Kerelaan ini adalah sesuai dan selaras dengan kehendak Hukum Syarak. Saya merujuk kepada seksyen 245 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003 yang memperuntukkan:

“Jika terdapat lacuna atau jika apa-apa perkara tidak diperuntukkan dengan nyata oleh Enakmen ini, Mahkamah hendaklah memakai Hukum Syarak”

Manakala seksyen 244 Enakmen yang sama pula memperuntukkan:

“tidak ada apa-apa jua dalam enakmen ini boleh disifatkan sebagai menghadkan atau menyentuh kuasa sedia ada pada Mahkamah untuk membuat apa-apa perintah yang perlu untuk mengelakkan ketidakadilan atau mengelakkan penyalahgunaan proses Mahkamah”


Isu tandatangan atau cop jari ini tidak diperuntukkan di bawah Enakmen ini bagi hal pemelukan Agama Islam, maka Mahkamah ini merujuk kepada Hukum Syarak seperti mana kuasa yang diberikan oleh undang-undang, dan keadaan ini seperti apa yang telah dijelaskan tadi.

Selain dari keterangan–keterangan melalui afidavit yang berkait antara afidavit Pemohon pertama, Pemohon kedua, Pemohon Ketiga dan Pemohon Keempat serta afidavit tambahan oleh Shasaine Siau bin Abdullah yang difailkan terkemudian, kesemua afidavit-afidavit tersebut adalah menyokong antara satu sama lain, manakala eksibit-eksibit yang dilampirkan pula adalah eksibit yang sama dari laporan polis kepada salinan buku daftar muallaf, kad Akuan Masuk Islam dan Sijil Akuan Memeluk Islam.

Fakta-fakta termasuklah eksibit yang difailkan ke Mahkamah ini tidak perlu dibuktikan kerana Mahkamah ini memberikan pengiktirafan kehakiman mengenai fakta-fakta yang disebut di dalam dokumen tersebut dan mematuhi kehendak seksyen 44 (1)(e) Enakmen keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003. Dalam hal ini saya merujuk kepada kes Mohammad bin Abdullah @ Moorthy a/l Maniam (2006) JH XXI/II, 210. Dalam kes tersebut, Tuan Haji Mukhyuddin bin Ibrahim HMTS dalam memutuskan status agama Si Mati, telah menerimapakai salinan surat dan dokumen yang dieksibitkan sebagai satu dokumen awam serta diterima sebagai keterangan mengikut seksyen 57, 59 dan 60 Akta keterangan Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.

Di dalam kes ini saya telah berpeluang meneliti dokumen-dokumen asal yang telah dikemukakan kepada saya secara terperinci. Buku asal Daftar Muallaf sebagai contohnya, selepas disemak menunjukkan buku daftar tersebut yang setebal lebih kurang 30mm dan berukuran 1.5 kaki lebar bermula pada muka surat pertamanya dengan daftar no 105/2007105 dan didaftarkan atas nama Muhammad Daniel Lee bin Abdullah, seterusnya muka surat-muka surat di dalam buku daftar tersebut dipenuhi dengan nama-nama saudara baru yang memeluk Islam. Muka surat sebelumnya didaftarkan dengan daftar bil. 145/2007145 atas nama Rekha @ Fatima Rekha bt Abdullah, Muka surat seterusnya didaftarkan atas nama Si Mati iaitu Amir Gan bin Abdullah @ Gan Eng Gor dengan daftar no. 146/2007146, manakala muka surat seterusnya atas nama Chong Chee Wah @ Abdul Ghani Chong bin Abdullah. Buku Daftar Muallaf itu diakhiri dengan no. daftar 293/2007293 atas nama Rahimi bin Tidak @ Rafiq Rahimi bin Abdullah. Muka surat-muka surat di dalam buku daftar tersebut didaftarkan nama-nama saudara baru secara berturut-turut tanpa ada selang mukasuratnya di mana terdapat 45 pendaftaran sebelumnya dan sebanyak 148 orang pula didaftarkan sebagai saudara baru selepas nama Simati didaftarkan. Mengikut buku pendaftaran ini, tidak mungkin pada hemat saya berlaku penipuan atau pemalsuan dilakukan oleh Pemohon ke 3 selaku Pendaftar Muallaf atau organisasinya kerana keadaan pendaftaran yang tersusun dan tidak ada tanda-tanda muka suratnya yang terkoyak, dipadamkan atau dimasukkan helaian yang baru.


Berdasarkan keterangan-keterangan tersebut, saya amat yakin bahawa Si Mati, Amir Gan bin Abdullah @ Gan Eng Gor adalah seorang yang beragama Islam semasa kematiannya.

Isu-isu lain

Isu-isu lain yang timbul sebagai isu sampingan kepada permohonan di dalam kes ini ialah sama ada kewajaran anak-anak dan waris Si Mati yang bukan beragama Islam dipanggil ke Mahkamah untuk memberi keterangan. Pada peringkat awal permohonan ini hendak dikemukakan, saya difahamkan isteri dan anak-anak Si Mati yang bukan beragama Islam iaitu terdiri daripada :

1. Chua Chun (isteri simati);
2. Gan Hok Ming (anak);
3. Gan Hock Sin (anak);
4. Gan Hock Guan (anak);
5. Gan Hock Lim (anak);
6. Gan Hock Po (anak);
7. Gan Suk Lee (anak); dan
8. Gan meng Chai (anak).

hendak dijadikan pihak-pihak di dalam kes ini. Bagaimanapun saya tidak bersetuju dan menegaskan keadaan ini adalah bertentangan dengan kehendak seksyen 61 (3) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Sembilan 2003. Seksyen tersebut menyebut:

(3) Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah—
(a) …………….
(b) dalam bidang kuasa malnya, mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding jika semua pihak dalam tindakan atau prosiding itu ialah orang Islam………

Jika kelapan-lapan ahli waris Si Mati tersebut dijadikan pihak-pihak dalam kes ini, saya percaya mahkamah ini tidak berbidang kuasa mengenainya. Bagaimana pun kelapan-lapan tersebut boleh dijadikan saksi bagi memberi keterangan berbentuk bayyinah mengimbangi keterangan yang dikemukakan oleh pemohon-pemohon dalam kes ini. Sehubungan dengan itu, setelah mahkamah ini mendengar keterangan-keterangan dalam bentuk afidavit dan secara lisan dari Pemohon-Pemohon, Mahkamah ini telah mengambil keputusan untuk mengarahkan kelapan-lapan ahli waris Si Mati yang tidak beragama Islam itu tampil dan hadir ke Mahkamah ini bagi memberi keterangan yang mungkin diperlukan oleh Mahkamah. Pada 22hb Januari 2008, Mahkamah ini mengarahkan satu notis dikeluarkan kepada mereka untuk hadir pada sebutan seterusnya. Bagaimanapun notis kehadiran tersebut telah gagal disempurnakan walaupun dua kali cubaan dibuat terhadapnya. Mahkamah sekali lagi menangguhkan kes atas permohonan Peguam Syarie Pemohon-Pemohon bagi memberi peluang notis kehadiran tersebut disampaikan kediri. Bagaimanapun, bagi pendengaran kali ke tiga, sekali lagi notis kehadiran tersebut telah gagal disampaikan secara kediri dan terdapat laporan bahawa ada dikalangan saksi-saksi tersebut cuba mengelak. Mahkamah kemudiannya mengarahkan notis tersebut disempurnakan dengan cara menampal di premis yang dipercayai saksi-saksi tersebut terakhir tinggal.

Arahan supaya notis kepada ahli waris Si Mati yang bukan beragama Islam tersebut dipanggil ke Mahkamah ini bagi memberi keterangan adalah bukan saja bertujuan untuk mengimbangi keterangan Pemohon-Pemohon di dalam kes ini, bahkan menghormati satu kes terdahulu yang telah diputuskan sebelumya dan secara kebetulannya pula kes tersebut telah didengar di Mahkamah yang sama iaitu kes Permohonan Perisytiharan Status Agama Simati Nyonya binti Tahir (2006) JHXXI/II, 221. Di dalam kes ini Majlis Agama Islam Negeri Sembilan, Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan dan Pegawai Agama Islam Daerah Tampin telah mengemukakan permohonan ke Mahkamah Tinggi Syariah Seremban untuk menentukan status agama Si Mati iaitu Nyonya binti Tahir. YA Hakim telah menerimapakai keterangan lisan yang dikemukakan oleh keluarga Si Mati iaitu Chiang Ah Fatt, seorang yang bukan beragama Islam. Selain dari Chiang Ah Fatt, Mahkamah juga mendengar keterangan anak perempuan Si Mati iaitu Chiang Kwai Ying yang juga bukan beragama Islam. Mahkamah selanjutnya memutuskan bahawa si Mati adalah bukan beragama Islam. Dalam kes ini, walaupun afidavit Chiang Ah fatt tidak diterima pakai oleh Mahkamah kerana ianya tidak mematuhi kehendak seksyen 112 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003, tetapi keterangan lisannya telah membantu YA Hakim membuat keputusan. Mahkamah telah menggunapakai seksyen 83(2) Enakmen Undang-Undang Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003 yang memberi hak kepada seseorang yang bukan Islam yang mempunyai wibawa untuk memberikan bayyinah untuk orang Islam jika keterangannya boleh diterima mengikut Hukum Syarak. Berdasarkan keterangan saksi yang bukan Islam tersebut Mahkamah Tinggi Syariah Seremban telah mensabitkan Si Mati Nyonya bt Tahir adalah seorang yang bukan Islam semasa hayatnya.


Saya juga merujuk kepada satu kes lain yang diputuskan juga di Mahkamah Tinggi Syariah Seremban, iaitu kes Dalam Perkara Tuntutan Hadhanah Nur Adryana Qestina binti Abdullah @ Audrey Christina Samuel kes Mal No. 05100-028-0193-2007 (kes belum dilaporkan). Kes tersebut adalah mengenai permohonan yang dibuat oleh Pemohon, seorang muallaf untuk mendapatkan hak jagaan terhadap dua orang anaknya yang masih kecil. Dalam kes tersebut YA Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Seremban telah mengarahkan satu notis dikeluarkan bagi memanggil suami Pemohon untuk memberi keterangan di Mahkamah. Dalam penghakimannya, YA HMTS menyebut:

”Keseluruhan fakta tersebut telah tidak dipertikaikan oleh suami Pemohon iaitu S.Gopal a/l Subramaniam dan beliau tidak pernah hadir ke Mahkamah ini untuk memberi sebarang kenyataan sama ada bersetuju atau mempertikaikan permohonan Pemohon walaupun telah diberi peluang berbuat demikian. Memanggil S.Gopal untuk memberi keterangan membuktikan sikap murni Mahkamah ini dalam hasrat mendengar kenyataan bagi pihak bukan Islam. Biarpun S.Gopal tidak boleh dijadikan pihak-pihak di Mahkamah Syariah kerana halangan seperti yang diperuntukkan oleh seksyen 4 Enakmen Undang-Undang keluarga Islam dan seksyen 61 Enakmen pentadbiran, kehadirannya adalah diperlukan bagi mencari keadilan dan demi kebajikan anak-anak.”

Mengambil roh dan semangat daripada kedua-dua kes tersebut, maka kelapan-lapan saksi atau sebahagian daripada mereka di dalam kes ini diharapkan hadir ke Mahkamah ini, bagaimanapun selepas dua kali kes ini disebut, mereka masih tidak menghadirkan diri walaupun segala usaha yang perlu telah dilakukan oleh Mahkamah. Merujuk kepada nota Ketua Pendaftar yang tercatat di kulit fail bertarikh 22hb januari 2008, selain notis kehadiran, makluman melalui telefon telah dibuat oleh Ketua Pendaftar, Tuan Abdul Razak bin Mat Nayan terhadap salah seorang anak Si Mati yang bernama Gan Hock Ming mengenai tarih dan jam kehadiran mereka yang diperlukan di mahkamah, menguatkan lagi kepada mahkamah ini bahawa keengganan ahli waris untuk tidak menghadirkan diri ke Mahkamah ini tidaklah menghalang daripada mahkamah ini untuk meneruskan perjalanan kes ini.

Saya juga bersetuju dengan hujah Peguam Pemohon-Pemohon bahawa penyampaian notis kepada ahli waris Si Mati adalah mengikut kehendak seksyen 14 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003 yang mana notis permohonan tersebut boleh dikendalikan sebagaimana saman dengan ubahsuaian yang perlu. Seksyen tersebut memperuntukkan bahawa:

”Seksyen 9, 10, 11 dan 12 hendaklah terpakai, dengan apa-apa ubahsuaian yang perlu, berhubung dengan sesuatu permohonan sebagaimana seksyen-seksyen itu terpakai berhubung dengan saman”

Dalam perundangan Islam, sejarah menunjukkan bahawa Hakim Syuraih yang mengadili perbicaraan antara Saidina Ali r.a dan seorang lelaki yahudi yang dituduh mencuri baju besi baginda. Dalam kes tersebut, Hakim Syuraih telah menolak dakwaan Saidina Ali kerana kekurangan bukti dan memberikan hak kepada orang bukan Islam iaitu lelaki Yahudi tersebut. kes ini menunjukkan secara jelas bahawa Mahkamah berlaku adil walaupun terpaksa memberikan kepentingan atau hak kepada orang yang bukan Islam (lihat, Abu Ya’la Al-Farra’, al-Ahkam al-Sultaniyyah, hal. 66).


Pihak-pihak yang berkepentingan telah dimaklumkan, diberi peluang dan arahan telah dibuat supaya notis disampaikan beberapa kali, keadaan ini bertujuan kerana Mahkamah ini menghormati hak orang-orang yang bukan beragama Islam dan tidak menggunakan kuasa mengikut kehendak nafsu atau akal semata-mata, malangnya peluang yang diberi telah tidak diambil sebaiknya dan Mahkamah ini tidak perlu merayu kepada orang ramai supaya hadir dan menghebahkan kepada ahli waris yang bukan Islam bahawa mahkamah ini adalah mahkamah yang adil dan memberi peluang kepsada semua orang baik Muslim atau bukan Muslim. Keadilan tersebut memadailah diukur dengan mematuhi peruntukan-peruntukan yang dibuat bagi mengatur perjalanan sesuatu kes dan sedikit pertimbangan yang wajar oleh hakim berdasarkan kemampuannya yang munasabah dalam menentukan sesuatu isu itu diputuskan secara saksama.

Keadilan atau ‘saksama’ di mahkamah hendaklah dilihat dari persepsi bagaimana proses mahkamah itu menjatuhkan sesuatu hukuman atau penghakiman. Jika proses tersebut tidak dibuat mengikut peraturan dan dibuat secara memihak barulah boleh dikatakan berat sebelah. Keadilan itu adalah salah jika ditafsirkan dari persepsi pihak-pihak, kerana pihak yang kalah selalunya tidak akan berpuashati.



Keputusan Mahkamah

Berdasarkan keterangan yang telah dikemukakan serta hujah-hujah yang telah dibuat oleh Peguam-Peguam Syarie Pemohon-Pemohon dalam kes ini, maka Mahkamah ini berpuashati dan meluluskan permohonan Pemohon-Pemohon dan memerintahkan sebagaimana berikut:

1. Bahawa Si Mati Amir Gan bin Abdullah @ Gan Eng Gor, kad pengenalan no. 331130-05-5197 adalah diisytiharkan sebagai seorang Islam;

2. Si Mati Amir Gan bin Abdullah @ Gan Eng Gor, kad pengenalan no. 331130-05-5197 hendaklah dikebumikan menurut kehendak Agama Islam dan Hukum Syarak;

3. Perintah injunksi ex-parte kes Mal No. 05110-099-0035-08 bertarikh 22hb Januari 2008 adalah dibatalkan. Pihak yang menyimpan jenazah Si Mati hendaklah menyerahkan mayat Si Mati kepada Pemohon-Pemohon untuk dikebumikan;

4. Polis Diraja Malaysia (PDRM) hendaklah memberi kerjasama untuk melaksanakan perintah ini.



kamar
Hakim Mahkamah Tinggi Syariah
Seremban
24hb Januari 2008