Monday, September 28, 2009

ex parte, injunksi dan bidangkuasa mahkamah syariah

Kes ini adalah melibatkan isu mengenai undang-undang keluarga Islam iaitu mengenai hak jagaan anak sementara. Permohonan telah dibuat oleh Pemohon, iaitu isteri yang masih dalam perkahwinan dengan suaminya, seorang warganegara Jerman.  Satu Perintah interim Ex Parte Hadhanah telah dipohon ke mahkamah Tinggi Syariah Seremban  supaya  tegahan dari  menganggu dan membawa anak keluar dari Malaysia dikeluarkan ke atas suami. Kes ini telah dilaporkan di dalam Jurnal Hukum jilid 27 tahun 2009. Ulasan terhadap kes ini banyak mengupas mengenai keperluan kepada perintah injunksi dan interim secara sebelah pihak.


 

ANTARA
RADZIAH BINTI IBRHIM………………………..………PEMOHON
DAN
PETER R. GOTTSCHALK @ YUSUFF BIN ABDULLAH .…. RESPONDEN

fakta kes


  1. Pemohon dan Responden adalah pasangan suami isteri. Pasangan ini telah berkahwin pada 11hb Jun 1994 di kuala Lumpur dan mempunyai seorang anak bernama Julia Aida bt. Peter Rudolph Gottschalk yang lahir pada 27hb November 1995.

  1. Hubungan antara Pemohon dan Responden telah mulai retak dan mereka telah tidak tinggal bersama sejak dua tahun kebelakangan ini. Pemohon buat masa ini tinggal di tempat asalnya di No 6, jalan 1/16, Taman Tuanku Jaafar, 71450 Seremban manakala Responden tinggal di No. 18, Jalan polo Air 13/568A, seksyen 13, Shah Alam Selangor.

  1. Responden, Peter Rudolph Gottschalk @ Yusuff bin Abdullah adalah warganegara Jerman dan alamat kekalnya ialah di Rheinstrasse 19, Ransbach Baumbach, 56235 Germany memegang passport no. 3326026972 & 2117011588 dan menggunakan visa pemohon untuk terus menetap di Malaysia.

  1. Pada 23hb April 2007 Pemohon telah memasukkan permohonan untuk mendapatkan perintah ex parte dengan sokongan Afidavit yang diikrarkan pada pada hari yang sama beserta sijil perakuan segera yang ditanda tangani oleh Peguam syarie Pemohon. Pada 24hb April 2007, kes ini didengar dan diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Sembilan.
DIPUTUSKAN

1.            Permohonan Pemohon untuk mendapatkan perintah ex parte hak jagaan anak sementara dibenarkan. 

2.            Responden, keluarganya, ejennya (wakil) atau sesiapa saja yang berkenaan adalah dihalang daripada menganggu anak bernama Julia Aida binti Peter Rudolph Gottschalk @ Yusuff bin Abdullah dengan apa cara sekali pun, dan menegah responden, keluarganya, ejennya (wakil) atau sesiapa sahaja yang berkenaan menahan diri daripada menganggu, mengacau dan menceroboh ke atas diri Pemohon dan anak tersebut dengan apa cara sekali pun dibenarkan oleh Mahkamah.

3.            Anak tersebut, Julia Aida binti Peter Rudolph Gottschalk @ Yusuff bin Abdullah tidak dibenarkan dibawa keluar daripada semenanjung Malaysia.

4.            Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan, Kuala Lumpur (Wilayah persekutuan) dan Selangor hendaklah memberi kerjasama untuk menyenarai hitamkan perjalanan responden dan anak tersebut, dan Jabatan Agama Islam melalui Penguatkuasa Agama Islam negeri-negeri tersebut tersebut hendaklah membantu Pemohon sekiranya keadaan memerlukan untuk menguatkuasakan perintah Mahkamah.


PEGUAM SYARIE

1.            Pemohon diwakili oleh Dr Rafie bin Mohd Shafie
Dari Tetuan Rafie Mohd Shafie & Associates


NAS YANG DIRUJUK

1.     Hadis riwayat Ibnu Abbas
2.     Hadis riwayat Abu Dawud
3.     Hadis riwayat Bukhari dan al-Nasa’i


PERUNDANGAN YANG DIRUJUK

1.            Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) No 14 Tahun 2003.

2.            Arahan Amalan No.4 tahun 2000, No. 2 tahun 2002, No.11 Tahun 2003 dan No.14 Tahun 2006.
KITAB YANG DIRUJUK

1.            Imam Jalaluddin Abdul Rahman, al Ashbah wa al-Nazair Fi Qawaid al-Fiqhiah.
2.            al-Shaukani, Nail al-Authar.
3.            Harith Suleiman Faruqi, Mu’jam al-Qanuni.
4.            Muhammad Sidqi bin Ahmad bin Muhammad al Burnu, al wafiz Fi Idhah Qawaid al-Fiqh al-Kulliyyah.

KES YANG DIRUJUK

1.            Haslinda binti Alias v Johdy Mathew Byrne @ Yahya bin Abdullah (1999) 13 JH 47
2.    Wan Puziah binti Wan Awang v Abdullah bin Muda (2000) 14 JH 235


ALASAN PENGHAKIMAN

Kes ini merupakan satu permohonan yang dibuat oleh Pemohon untuk mendapatkan keizinan Mahkamah bagi mendengar permohonan beliau secara  ex parte untuk mendapatkan perintah-perintah berikut:


i)             hak penjagaan sementara terhadap anak bernama Julia Aida binti Peter Rudolph Gottschalk @ Yusuff bin Abdullah (12 tahun) demi menjaga akidah dan kebajikan anak tersebut;
ii)            satu perintah tegahan sementara bagi mencegah Responden, keluarganya, ejennya (wakil), atau sesiapa sahaja yang berkenaan dari mengambil atau menganggu anak tersebut dengan apa cara sekalipun, dan menegah Responden, keluarganya, ejennya (wakil) atau sesaipa sahaja yang berkenaan menahan diri daripada menganggu, mengacau dan menceroboh ke atas diri Pemohon dan anak tersebut dengan apa cara sekalipun;
iii)           menegah anak tersebut daripada dibawa keluar dari Semenanjung Malaysia.
iv)           memohon kerjasama daripada pihak Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia untuk menyenarai hitamkan perjalanan anak tersebut dan Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan, Wilayah persekutuan dan Selangor dengan kerjasama Bahagian penguatkuasaan  Agama agensi-agensi tersebut untuk membantu dan memberi kerjasama apabila diperlukan; dan
v)            lain-lain relief yang difikirkan dan adil dan suai manfaat oleh Mahkamah.


Bagi tujuan ini, Pemohon melalui peguam Syarienya, telah memfailkan satu permohonan secara sebelah pihak (ex parte) dengan memasukkannya ke Mahkamah ini pada 23hb April 2007 beserta affidavit sokongan yang diikrarkan oleh Pemohon pada hari yang sama. permohonan tersebut juga disertakan dengan permohonan perakuan segera yang ditandatangani oleh Peguam Syarie pemohon pada tarikh yang sama iaitu 23hb April 2007.  pada tarikh yang sama juga Pemohon telah memfailkan satu permohonan cerai secara fasakh di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Seremban dan permohonan induk mengenai hadhanah beberapa hari kemudian.

Pemohon melalui peguam Syarienya memohon kes ini didengar seberapa segera kerana bimbangkan Responden akan melarikan anak bernama Julia Aida bt Peter Rudolph Gottschalk @ Yusuff bin Abdullah berdasarkan ugutan-ugutan yang dikemukakan oleh Responden sebelum ini.

Berdasarkan perakuan segera tersebut, dan kepercayaan mahkamah akan risiko yang kuat berlakunya sesuatu yang tidak diingini jika pendengaran kes ini dilambatkan, maka kes ini ditetapkan untuk didengar secara sebelah pihak pada 24hb April 2007.

Fakta-fakta yang dibentangkan dalam  affidavit yang diikrarkan oleh pemohon dan penjelasan lisan yang dikemukakan oleh Peguam Syarie pemohon dihadapan Mahkamah ini ialah seperti berikut:

(1)          bahawa pemohon, Radziah binti Ibrhim, kad pengenalan no. 550829-08-5250 beralamat di No. 6, jalan 1/16, Taman Tuanku Jaafar, 71450 Seremban mengaku dan berikrar sebagai pembuat affidavit tersebut dan masih seorang isteri yang sah kepada responden;
(2)          Responden, Peter Rudolph Gottschalk @ Yusuff bin Abdullah adalah warganegara Jerman dan alamat kekalnya ialah Rheinstrasse 19, Ransbach Baumbach, 56235 Germany memegang passport no. 3326026972 & 2117011588 dan menggunakan visa pemohon untuk terus menetap di Malaysia.
(3)          Responden tinggal dan menetap di Malaysia di alamat No. 18, Jalan Polo Air 13/568A, Seksyen 13, Shah Alam Selangor;
(4)          Pemohon dan Responden telah berkahwin pada 11hb jun 1994 di Kuala Lumpur;
(5)          hasil daripada perkahwinan tersebut, Pemohon dan Responden telah dikurniakan seorang anak perempuan berusia 12 tahun bernama Julia Aida binti Peter Rudolph Gottschaklk @ Yusuff bin Abdullah yang lahir pada 27hb November 1995;
(6)          Pemohon memohon perintah interim hadhanah bagi menjaga anak tersebut demi keselamatan dan kebajikan anak terutamanya dari segi akidah islamiah dan perintah interim injunksi bagi menghalang Responden dari menganggu dan melarikan anak tersebut keluar dari Malaysia;
(7)          Anak tersebut setakat ini masih tinggal bersama Pemohon di alamat tempat tinggal pemohon  dan telah tidak bersekolah sejak beberapa hari yang lalu. Anak tersebut adalah seorang warganegara Malaysia yang lahir di Malaysia telah tidak pergi ke sekolah sejak beberapa hari lalu kerana bimbang dilarikan oleh Responden;
(8)          pemohon bimbang dan khuatir jika responden yang menjaga anak tersebut, akan memberikan impak yang negatif kepada anak dari sudut fizikal dan mental;
(9)          Pemohon beralasan perintah interim tersebut perlu dikeluarkan kerana bimbangkan akidah anak akan tergugat jika dijaga oleh Responden yang telah tidak mengamalkan ajaran Islam, minum arak, berperangai keji, makan babi, tidak berpuasa dan tidak bersembahyang;
(10)       wujudnya kebimbangan oleh Pemohon bahawa Responden akan membawa anak tersebut keluar dari Malaysia berdasarkan terdapatnya ugutan  oleh responden untuk berbuat demikian dengan membawa anak ke Jerman.

Isu pokok yang perlu diputuskan oleh Mahkamah ini adalah:

1)         adakah mahkamah mempunyai bidangkuasa untuk memutuskan kes ini secara ex parte;

2)            Jika Mahkamah ini berbidangkuasa, apakah wajar perintah interim dalam kes ini diberikan secara ex parte?
3)            Jika wajar, apakah kriteria-kriteria yang perlu diambil kira; dan
4)            sejauhmanakah piawaian atau standard kriteria tersebut perlu dipertimbangkan oleh Mahkamah untuk mengeluarkan perintah interim.

 i)          Bidangkuasa Mahkamah

Sebelum mengulas mengenai perkara ini, eloklah Mahkamah ini mengambil peluang untuk menyentuh mengenai ex parte dan konsepnya secara ringkas, seterusnya menyentuh mengenai perintah interim hadhanah secara ex parte dan sedikit mengenai injunksi serta sejauh mana Mahkamah ini berbidangkuasa memutuskannya.

Permohonan ex-parte atau permohonan satu pihak merupakan satu permohonan di mana Mahkamah membuat sesuatu keputusan setelah mendengar keterangan sebelah pihak sahaja. Lazimnya perintah atau keputusan yang dikeluarkan dalam permohonan ex-parte tersebut adalah bersifat sementara atau Interim.

Pada dasarnya, semua sistem perundangan menetapkan bahawa segala pertikaian hendaklah diputuskan setelah kedua-dua belah pihak diberi peluang untuk memberi keterangan masing-masing. Peraturan ini dibuat bagi menjamin keadilan kepada semua pihak. Islam amat menitik beratkan peraturan ini, sehinggalah terdapat banyak sunnah-sunnah Rasulullah s.a.w. yang juga merupakan sumber kedua perundangan Islam menyatakan betapa penting dan perlunya seseorang hakim mendengar keterangan kedua-dua belah pihak. Sebagai contoh, satu riwayat daripada Abu Daud bahawa Saidina Ali berkata kepada Rasulullah  s.a.w. yang bermaksud :-

“Ya Rasulullah, tuan mengutuskan aku ke Yaman untuk menjadi Qadi sedangkan aku masih muda dan tidak mengetahui tentang kehakiman.” Rasulullah bersabda : “Sesungguhnya Allah akan memberikan hidayah-Nya kepada hati engkau dan menetapkan lidah mu. Jika datang 2 orang yang bertikai duduk di hadapan kamu, maka janganlah engkau menjatuhkan hukuman sehinggalah engkau mendengar hujah dan keterangan pihak kedua seperti  engkau mendengar  pihak pertama, kerana itulah yang lebih layak dilakukan agar jelas bagi kamu untuk menjatuhkan hukuman.”

Prinsip ini dapat dilihat  di dalam kes Haslinda binti Alias v Johdi Mathew Byrne @ yahya bin Abdullah (1999) 13 JH 47. Dalam memutuskan sama ada Mahkamah boleh  memberi keizinan kes ini didengar secara sebelah pihak (ex-parte) dan seterusnya mengeluarkan perintah ex-parte, YA Hakim Bicara telah merujuk kepada hadis di atas dan menyatakan bahawa:

“Hadis tersebut dengan jelas memberikan panduan kepada seseorang hakim dalam mengendalikan proses perbicaraan iaitu hukuman tidak boleh dijatuhkan dan penghakiman tidak boleh diberikan melainkan semua pihak telah diberi peluang yang sama untuk membela membela diri dan mengemukakan keterangan dan hujahnya, kerana hukuman yang adil tidak dapat ditegakkan jika keterangan dan hujah semua pihak tidak diberikan dengan jelas dan memuaskan dan mereka diberikan peluang secara adil.”

 Berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud, hukum Syarak pada asasnya tidak menggalakkan permohonan ex-parte, yang cuma mendengar hujah sebelah pihak sahaja.

Walaupun syariat Islam menghendaki setiap kes itu diputuskan dengan kehadiran kedua-dua belah pihak, terdapat pengecualian yang membolehkan permohonan ex-parte ini dibuat. Berdasarkan prinsip ‘dharurat’ yang mengharuskan perkara yang dilarang jika terdapat keperluan dan keterdesakkan dan prinsip ‘Mashaqqah’ yang membenarkan sesuatu kewajipan itu dipermudahkan dalam keadaan tertentu. (Lihat Majalah al-Ahkam al-Adlyyah, perkara 21, 22, dan 27 untuk keterangan lanjut). Imam Jalaluddin Abdul Rahman di dalam kitabnya Ashbah wa al-Nazair fi Qawaid al-Fiqhiyyah, pula menyebut  الضرر يزال (Kemudaratan hendaklah dihilangkan). Maka bagi menghilangkan kesukaran itu, adalah harus untuk tidak menggunakan kaedah asal.

Selain dari itu terdapat satu hadis yang diriwayatkan di dalam Sahih Muslim di mana Hindun  telah mengadu kepada Rasulullah s.a.w. akan suaminya yang kedekut sehingga beliau tidak mendapat nafkah yang sewajarnya untuk diri sendiri dan anak-anak kecuali ia mengambil nafkah tersebut tanpa diketahui oleh suaminya. Rasulullah s.a.w. lalu membenarkannya mengambil daripada harta suaminya sekadar bagi memenuhi keperluan diri dan anak-anak. (lihat  juga al-Shaukani, Nail al Authar, kitab al-Nafaqah, 1997, hlm. 870).  Hadis ini juga adalah sebagai satu sandaran kepada Mahkamah ini untuk membenarkan permohonan dibuat secara ex parte.

Selain daripada hukum syarak, Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003 menyatakan secara nyata bahawa suatu perintah interim dan ex parte dibolehkan apabila wujudnya keperluan kepada perkara tersebut demi keadilan kepada pihak-pihak yang memerlukannya. Seksyen 201(1) dan (2) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003  memperuntukkan berkenaan dengan perintah interim tentang hadhanah.   Seksyen tersebut menyebut:
                                                                                                                  
(1)   Tertakluk kepada Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Sembilan) 2003, jika Mahkamah berpuas hati, atas permohonan mana-mana pihak untuk mendapatkan hadhanah seseorang kanak-kanak dalam apa-apa kausa atau perkara, bahawa hal keadaan memerlukan dibuat suatu perintah interim tentang hadhanah kanak-kanak itu, maka Mahkamah boleh membuat perintah sedemikian yang hendaklah berkuat kuasa serta-merta dan hendaklah terus berkuat kuasa sehingga Mahkamah membuat keputusan atas kausa atau perkara itu.

(2)   Permohonan di bawah seksyen ini tidak boleh dibuat sebelum tindakan dimulakan kecuali dalam hal yang mendesak dan demi kepentingan keadilan atau perlindungan pemohon atau kanak-kanak itu didapati bahawa campur tangan serta-merta Mahkamah perlu.

Berdasarkan kepada seksyen 201(1), sesuatu perintah interim tersebut boleh dikeluarkan oleh Mahkamah jika Mahkamah berpuas hati, atas permohonan mana-mana pihak  yang memerlukan dibuat suatu perintah interim tentang hadhanah terhadap kanak-kanak itu, dan perintah interim tersebut  berkuat kuasa serta-merta sehinggalah  Mahkamah membuat keputusan atau memberikan satu perintah kekal terhadap kes tersebut.


Mengenai perintah interim secara ex parte pula, Mahkamah ini merujuk kepada seksyen 201(3) Enakmen yang sama yang memperuntukkan:

(3) Jika pemohon ialah plaintif dan kes itu suatu kes yang mendesak, permohonan itu boleh dibuat secara ex parte yang hendaklah disokong dengan afidavit dan affidavit itu hendaklah mengandungi suatu pernyataan yang jelas dan ringkas lagi padat—

(a) tentang fakta-fakta yang membawa kepada tuntutan terhadap defendan dalam prosiding itu;
(b) tentang fakta-fakta yang membawa kepada tuntutan untuk mendapatkan perintah interim itu;
(c) tentang fakta-fakta yang menjadi sandaran bagi mewajarkan permohonan secara ex parte itu;
(d) tentang apa-apa fakta yang diketahui oleh pemohon yang mungkin menyebabkan Mahkamah tidak memberikan perintah interim itu;
(e) tentang sama ada mana-mana permohonan ex parte terdahulu yang seumpamanya telah dibuat kepada mana-mana Hakim dan, jika demikian, perintah yang dibuat dalam permohonan terdahulu itu; dan
(f) tentang relief yang sebenarnya dipohon.

Seksyen ini membenarkan Mahkamah mengeluarkan suatu perintah interim secara ex parte di mana permohonan kearah itu hendaklah dibuat dengan mengemukakan suatu permohonan berserta dengan affidavit sokongan yang mengandungi fakta-fakta di atas.

Arahan Amalan No. 2 Tahun 2002 pula menyebut mengenai permohonan ex parte yang hendaklah dimulakan prosidingnya di Mahkamah Tinggi Syariah. Arahan Amalan tersebut menyebut;

“…..berhubung kes–kes yang melibatkan tuntutan Hadhanah, Harta Sepencarian tak alih dan permohonan ex-parte hendaklah dimulakan prosiding di Mahkamah Tinggi Syariah.”

Arahan Amalan tersebut diperkukuhkan lagi dengan Arahan Amalan No. 11 Tahun 2003 yang berbunyi:

”Permohonan ex-parte bagi apa-apa perintah sementara boleh difailkan dalam mana-mana keadaan yang memerlukan perintah segera dengan syarat sekiranya kes induk belum difailkan pada masa permohonan ex-parte itu difailkan, Pemohon itu hendaklah memfailkan kes induknya dalam tempoh 14 hari dari tarikh permohonan itu difailkan.”


Manakala mengenai Injunksi atau tegahan pula, dari segi definisinya injunksi ialah satu remedi atau relief (judicial remedy) yang boleh dipohon di mahkamah dalam semua aspek perundangan. Secara praktikalnya dipakai dalam undang-undang harta, tort, pensyarikatan, perkahwinan dan perceraian dan lain-lain lagi termasuklah undang-undang prosedur. Secara umumnya injunksi ini ialah perintah  untuk menghalang seseorang daripada melakukan sesuatu perbuatan yang boleh membawa kecederaan  atau kerosakan kepada orang lain (injunksi prohibitori) atau menyuruh seseorang melakukan perbuatan tersebut bagi mengelakkan berlakunya kerosakan yang lebih serius kepada orang lain (injunksi mandatori). Injunksi ini juga boleh berlaku dalam dua bentuk, iaitu injunksi sementara  (unterlocutori or interim) dan injunksi secara kekal. (Roger Bird, Osborn’s Concise Law Dictionary, edisi 7, London: Sweet and Maxwell, 1983, hal.710-714, lihat juga Dr Najibah Mohd Zain dalam Injunksi dalam Undang-Undang Islam Dan Pemakaian di Mahkamah Syariah, dalam Harta sepencarian, Prosiding Ex Parte, Perintah Injunksi, UIAM, hal.106).

Di dalam perundangan Islam, injunksi ini adalah tidak asing lagi, menurut Harith Suleiman Faruqi di dalam Mu’jam al Qanuni, injunksi disebut sebagai satu perintah (kehakiman) yang melarang atau menegah (mengikat seseorang daripada melakukan sesuatu yang bersalahan dengan undang-undang): perintah ini terbentuk berdasarkan kepada sesuatu tuntutan terhadap sesuatu perkara terhadap seseorang yang lazimnya akan terhalang daripada melakukan perkara tertentu yang mudharat dan boleh dijangka atau yang tidak boleh dijangkakan kerana perbuatannya atau apa yang diniatkannya pada kebiasaannya dengan melihat kepada kezaliman yang akan dilakukannya atau kezaliman yang terdahulu. (Lihat Harith Suleiman Faruqi, Mu’jam al-Qanuni, Beyrut, Maktabah Lubnan (Librairie Du Liban) 2000, hal 366). Menurut Muhammad Sidqi bin Ahmad bin Muhammad al Burnu di dalam al Wafiz Fi Idhah qawaid al-Fiqh al Kulliyyah, 1997, hal 265, pula, injunksi di dalam perundangan Islam adalah berdasarkan kaedah fiqh iaitu menolak kerosakan didahulukan dari mengambil kemaslahatan (dar al mafasid muqaddam ’ala jalbi al-masalih). Kaedah ini  didasarkan daripada Hadis Rasulullah SAW dari pada Samurah bin Jundab yang mempunyai sepohon tamar yang mana dahannya condong ke kawasan rumah seorang lelaki Ansar. Samurah masuk ke kawasan rumah tersebut untuk mengambil buah tamarnya. Keadaan ini telah menganggu ketenteraman lelaki Ansar dan keluarganya dan dia telah meminta supaya Samurah menjual pokok tamarnya tetapi Samurah enggan. Lelaki Ansar itu berjumpa dengan Rasulullah SAW dan baginda telah meminta Samurah menjual tamarnya tetapi Samurah masih enggan. Rasulullah SAW kemudiannya bersabda ”hadiahkanlah pokok tersebut kepadanya dan kamu akan mendapat ganjaran sekian atau diberi sekian” untuk mengelakkan Samurah mengalihkan pokok itu, Samurah masih enggan memindahkan pokok tersebut dan Rasulullah SAW berkata ”kamu menyebabkan mudharat” dan bersabda kepada lelaki Ansar itu ”pergilah dan potonglah pokok tamarnya”. Perintah yang diberikan oleh Rasulullah SAW itu adalah merupakan injunksi dalam bentuk suruhan untuk menghalang kerosakan dalam bentuk gangguan (nuissance) kepada tuan tanah yang juga mempunyai hak ke atas tanahnya dari diganggu. ( Sunan Abu Dawud, Kitab al-Aqdiyyah,  ulasan lanjut sila lihat juga Dr. Najibah Mohd Zain, ibid, hal. 110).

Selain daripada hadis yang diriwayatkan oleh ’Aishah mengenai Hindun isteri kepada Abu Sufyan yang diberi kebenaran oleh Rasulullah SAW mengambil harta sekadar keperluannya, terdapat satu lagi hadis yang diriwayatkan  oleh Ibnu Abbas yang  bermaksud:

”Sesungguhnya isteri Thabit bin Qais datang kepada Rasulullah SAW dan berkata: ”Wahai Rasulullah SAW sesungguhnya saya tidak mengaibkan akhlak dan agama (suami saya Qais), tetapi saya tidak menyukainya dan tidak mahu hidup bersamanya menyebabkan saya melakukan maksiat (atau kerana kebencian yang bersangatan akan mendorongnya menzahirkan kekufuran supaya terfasakh perkahwinan)”, maka Rasulullah SAW bersabda, ”mahukah kamu kembalikan kepadanya kebun (yang dijadikan maharmu)”, isteri qais menjawab, ”ya”, Kemudian Baginda Rasulullah SAW  bersabda (kepada suaminya), ”terimalah kembali kebun itu, dan cerailah dia satu talaq

( hadis diriwayatkan oleh Bukhari dan al-Nasa’i, lihat al-Shaukani, Nail al-Authar, Jil.vi, hal.246).

Kedua-dua nas ini menunjukkan perintah injunksi dikeluarkan oleh Baginda Rasulullah SAW dalam bentuk suruhan bagi mengelakkan berlakunya dharar kepada pihak isteri.

Di Mahkamah Syariah, peruntukan mengenai injunksi ini ada disentuh dan diperuntukkan dalam seksyen 200 Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003.  Seksyen tersebut memperuntukkan:

200. (1) Atas permohonan mana-mana pihak dalam mana mana kausa atau perkara, sebelum atau selepas pendengaran kausa atau perkara itu, Mahkamah boleh memberikan injunksi, sama ada atau tidak tuntutan untuk mendapatkan injunksi itu telah dimasukkan dalam saman, tuntutan balas atau notis pihak ketiga, mengikut mana-mana yang berkenaan.

(2) Permohonan di bawah seksyen ini tidak boleh dibuat sebelum tindakan dimulakan kecuali dalam keadaan yang mendesak.

(3) Jika pemohon ialah plaintif dan kes itu suatu kes yang mendesak, permohonan itu boleh dibuat secara ex parte yang disokong dengan afidavit dan afidavit itu hendaklah mengandungi suatu pernyataan yang jelas dan ringkas lagi padat—

(a) tentang fakta-fakta yang membawa kepada tuntutan terhadap defendan dalam prosiding itu;
(b) tentang fakta-fakta yang membawa kepada tuntutan untuk mendapatkan injunksi itu;
(c) tentang fakta-fakta yang menjadi sandaran bagi mewajarkan permohonan secara ex parte itu, termasuk butir-butir terperinci mengenai apaapa notis yang diberikan kepada defendan atau, jika butir-butir itu tidak diberikan, sebab butirbutir itu tidak diberikan;
(d) tentang apa-apa jawapan yang ditegaskan oleh defendan, atau yang difikirkan mungkin akan ditegaskan olehnya, sama ada kepada tuntutan dalam tindakan itu atau kepada tuntutan bagi injunksi itu;
(e) tentang apa-apa fakta yang diketahui oleh pemohon yang mungkin menyebabkan Mahkamah tidak memberikan injunksi secara ex parte;
(f) tentang sama ada mana-mana permohonan secara ex parte terdahulu yang seumpamanya telah dibuat kepada mana-mana Hakim dan, jika demikian, perintah yang dibuat dalam permohonan terdahulu itu; dan
(g) tentang relief yang sebenarnya dipohon.


Selain daripada peruntukan seksyen tersebut, amalan injunksi ini diperkukuhkan lagi dengan Arahan Amalan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia melalui Arahan Amalan No.  4 Tahun 2000 yang menyebut:

”Permohonan Injunksi boleh difailkan dengan syarat dalam tempoh 14 hari dari tarikh permohonan itu pemohon/plaintif mestilah memfailkan kes induknya. Sebarang perintah yang dikeluarkan berhubung permohonan Injunksi ini hanya berkuatkuasa selama 30 hari dari tarikh perintah tersebut dimeteraikan oleh Mahkamah.”

Bagaimana pun Arahan Amalan ini telah dibatalkan dengan Arahan Amalan yang dikeluarkan kemudiannya, iaitu Arahan Amalan No. 11 Tahun 2003. Arahan Amalan itu berbunyi:

“Permohonan ex-parte bagi apa-apa perintah sementara boleh difailkan dalam mana-mana keadaan yang memerlukan perintah segera dengan syarat sekiranya kes induk belum difailkan pada masa permohonan ex-parte itu difailkan, Pemohon itu hendaklah memfailkan kes induknya dalam tempoh 14 hari dari tarikh permohonan itu difailkan.”

Permohonan ex parte dan perintah sementara disini termasuklah permohonan untuk mendapatkan perintah injunksi kerana kebiasaannya injunksi adalah dibuat secara ex parte dan secara sementara.

Dari penjelasan tersebut, saya berpuashati bahawa Mahkamah ini berbidangkuasa untuk mendengar permohonan perintah interim mengenai hadhanah dan injunksi atau tegahan terhadap Responden yang dibuat oleh pemohon secara ex parte. Pada hemat saya, dalam kes ini, permohonan Pemohon untuk mendapatkan perintah interim hadhanah dan injunksi terhadap responden adalah tidak menyalahi syarak dan selaras dengan kehendak peruntukan undang-undang yang berkuatkuasa.

ii)         Isu seterusnya yang perlu diputuskan oleh Mahkamah ini ialah sama ada  perintah interim ini wajar dikeluarkan secara ex parte atau tidak. Jika wajar, apakah kriteria-kriteria yang perlu diambil kira; dan sejauhmanakah piawaian atau standard kriteria tersebut perlu dipertimbangkan oleh Mahkamah untuk mengeluarkan sesuatu perintah interim.

Bagi menjawab persoalan ini, secara peribadi saya menyatakan bahawa kebanyakan perintah interim secara ex parte adalah sesuatu yang tidak adil, tidak munasabah dan diputuskan berdasarkan fakta zahir yang tidak jelas pembuktiannya, ianya juga menimbulkan prejudis kepada satu pihak lagi yang tidak berpeluang untuk membela diri. Bagaimana pun ianya boleh dibenarkan jika terdapat alasan-alasan khas yang munasabah pada pertimbangan Mahkamah demi kepentingan keadilan, perkara-perkara yang mendesak dan perlindungan kepada Pemohon dan kanak-kanak. Ringkasnya perintah interim secara ex parte ini tidak wajar untuk diamalkan oleh Mahkamah dan ianya tidak patut dibenarkan jika tidak wujudnya kriteria-kriteria yang disebutkan tadi.  Ianya perlulah dipertimbangkan secara ketat sebelum kebenaran dikeluarkan. Pandangan ini  adalah disandarkan kepada Arahan amalan No.10 tahun 2006 yang berbunyi:

“bahawa permohonan Hak Jagaan Sementara Secara ex-parte tidak dibenarkan kecuali atas alasan-alasan khas. Pihak-pihak boleh mengemukakan permohonan hak jagaan sementara semasa prosiding kes induk hak jagaan kepada Mahkamah.”

Manakala seksyen 201(4) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003 pula memperuntukkan:

Permohonan di bawah seksyen ini tidak boleh dibuat sebelum tindakan dimulakan kecuali dalam hal yang mendesak dan demi kepentingan keadilan atau perlindungan pemohon atau kanak-kanak itu didapati bahawa campur tangan serta-merta Mahkamah perlu.

Walaupun peruntukan-peruntukan ini menghalang sesuatu permohonan secara ex parte itu dibuat, tetapi secara tersiratnya ianya adalah dibenarkan jika terdapat kriteria-kriteria yang dibenarkan, iaitu alasan-alasan khas yang mendesak dan demi kepentingan keadilan atau bagi memberikan perlindungan kepada pemohon atau kanak-kanak.

Seksyen 201(4) ini menggariskan halangan kepada sesuatu perintah interim yang dipohon tersebut. Seksyen tersebut menyatakan bahawa permohonan interim tersebut tidaklah boleh dibuat sebelum tindakan dimulakan (kes induk  difailkan) kecuali dalam hal keadaan yang mendesak dan demi keadilan atau untuk perlindungan pemohon atau kanak-kanak.  Boleh difahami daripada seksyen ini, terdapat dua elemen yang membolehkan sesuatu perintah interim tersebut dikeluarkan oleh Mahkamah, iaitu:
i.              berlakunya hal keadaan yang mendesak; dan
ii.            demi kepentingan keadilan atau perlindungan kepada pemohon atau kanak-kanak.

Bolehlah difahami secara literal bahawa semua peruntukan yang dinyatakan tadi pada dasarnya tidak membenarkan sesuatu perintah interim itu dikeluarkan secara sebelah pihak atau sebelum tindakan sebenar mengenai kes tersebut dimulakan. Bagaimanapun perintah interim tersebut boleh dikeluarkan oleh mahkamah jika terdapat alasan-alasan khas yang pada pendapat mahkamah wajar perintah tersebut dikeluarkan. Persoalannya, apakah alasan-alasan khas tersebut? Apakah degree atau tahap sesuatu alasan tersebut boleh disifatkan  sebagai khas hingga membolehkan mahkamah mengeluarkan perintah interim tersebut? Bagi menjawab persoalan ini, tidak terdapat peraturan yang jelas untuk mengukur apakah sebenarnya alasan khas sehingga mahkamah boleh membenarkan sesuatu perintah interim tersebut dikeluarkan. Bagaimanapun seksyen 201(4) memberikan sedikit panduan dalam mengukur standard atau piawaian sesuatu alasan tersebut yang dianggap istimewa sehingga mahkamah boleh mengeluarkan perintah tanpa mendengar keterangan pihak satu lagi, iaitu  berlakunya hal keadaan yang mendesak; dan demi kepentingan keadilan atau perlindungan kepada pemohon atau kanak-kanak.

Dalam menjelaskan mengenai alasan-alasan khas ini, faktor keterdesakan dan perlindungan adalah asas utama yang perlu diambil kira. Prinsip ini boleh dilihat didalam satu kes Haslinda binti Alias v Johdi Mathew Byrne @ Yahya bin Abdullah (1999) 13 JH 47. Dalam kes ini, Mahkamah telah meluluskan permohonan plaintif untuk mendapatkan perintah sementara mengenai hadhanah, menegah dan melarang defendan dari menganggu, menceroboh, mengugut  dan mengancam plaintif dan menegah defendan daripada membawa anak-anak keluar dari Malaysia.

Asas kepada permohonan ini adalah terdapat risiko yang kuat bahawa defendan (Responden) akan melarikan anak ke luar negara sebelum proses perceraian dan tuntutan penjagaan anak-anak diputuskan oleh Mahkamah. Defendan dalam kes ini adalah berasal dari Filipina dan terdapat kebimbangan yang nyata bahawa anak-anak akan dibawa kembali ke Filipina oleh Responden berdasarkan tindakan Responden yang pernah mengugut Plaintif akan berbuat demikian sebelum ini. Berdasarkan risiko yang ada, perlu ada satu tindakan yang segera dan pantas diambil untuk menghalang hasrat Responden tersebut. Jika kaedah asal iaitu dengan mendengar keterangan kedua-dua belah pihak , maka Responden  berkemungkinan akan melarikan anak tersebut sebaik sahaja menerima saman. Dalam situasi sebegini, perlaksanaan kaedah asal  akan menimbulkan kesukaran (mashaqqah) kepada pemohon. Keterdesakan pemohon untuk mendapatkan perintah menegah Responden dari membawa anak keluar dari Malaysia adalah satu bentuk darurat yang perlu ditangani segera.

Dalam satu kes lain yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, iaitu Wan Puziah binti Wan Awang v Wan Abdullah bin Muda dan seorang lagi (2000) 14 JH 235, unsur keterdesakan dan perlindungan  ini boleh dilihat apabila YA Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu meluluskan permohonan ex parte pemohon dengan mengeluarkan satu perintah sementara yang melibatkan wang simpanan di Lembaga Urusan Tabung Haji bagi menghalang Responden daripada memindahmilik harta pusaka yang menjadi pertikaian sebelum kes tersebut diputuskan. Perintah interim tersebut dikeluarkan oleh Mahkamah bagi menyelamatkan mana-mana harta yang menjadi persoalan, atau menjaga hak-hak kepentingan mana-mana pihak. Tindakan tersebut adalah berpaksikan kepentingan keadilan kepada semua pihak. Unsur keterdesakan dan perlindungan kepada pemohon (atau kanak-kanak dalam kes hadhanah) adalah jelas dan boleh diukur berdasarkan kes-kes yang dinyatakan tadi.

Di dalam kes di hadapan saya ini wujudnya kebimbangan oleh Pemohon bahawa anak bernama Julia Aida akan dibawa pulang ke Jerman oleh Responden pada bila-bila masa. Kebimbangan yang kuat tersebut menyebabkan anak itu terpaksa meninggalkan persekolahan selama beberapa hari kerana dikhuatiri akan dibawa lari oleh responden. Kebimbangan ini adalah berasas kerana Responden pernah mengugut akan membawa keluar anak tersebut dari Malaysia ke negara asalnya di Jerman. Pada masa yang sama, Responden digambarkan sebagai seorang yang tidak megamalkan ajaran Islam, seorang yang suka minum arak, makan babi, tidak berpuasa dan tidak sembahyang. Dikhuatiri anak tersebut akan terjejas akidahnya jika ia diambil dan seterusnya dibawa keluar dari Malaysia, dibesar, dididik dan dijaga oleh Responden dalam suasana dan persekitaran yang tidak sihat dari sudut hukum syarak. Mahkamah beranggapan wujudnya faktor keterdesakan yang membolehkan mahkamah campur tangan serta-merta bagi menyelamatkan keadaan anak tersebut . Mahkamah ini tidak perlu menunggu lebih lama untuk membuat sebarang keputusan yang boleh menjejaskan anak tersebut di dalam pelajarannya atau akidahnya.  Walaupun elemen keterdesakan di dalam kes ini tidaklah sampai ke tahap yang benar-benar meruncing dan ianya masih belum berlaku atau dibuktikan akan berlaku,  tetapi saya berpendapat standard atau piawaian alasan-alasan khas itu telah pun dipenuhi. Dengan kata lain, piawaian alasan-alasan khas itu cukuplah memadai dengan “kebimbangan yang kuat bahawa mudharat akan berlaku”  dan ianya disokong oleh faktor keterdesakan yang boleh diukur dengan masa yang suntuk dan perlukan kesegeraan serta perlindungan kepada kanak-kanak, dalam kes ini itu iaitu Julia Aida untuk diselamatkan akidahnya.

Berdasarkan prinsip inilah, Mahkamah meluluskan dan membenarkan permohonan  ex-parte yang dibuat oleh Pemohon. Prinsip ini dikukuhkan lagi dengan peruntukan seksyen 201 (1) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003 yang membenarkan suatu perintah interim dikeluarkan. Seksyen tersebut memperuntukkan:

201. (1) Tertakluk kepada Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Sembilan) 2003, jika Mahkamah berpuas hati, atas permohonan mana-mana pihak untuk mendapatkan hadhanah seseorang kanak-kanak dalam apa-apa kausa atau perkara, bahawa hal keadaan memerlukan dibuat suatu perintah interim tentang hadhanah kanak-kanak itu, maka Mahkamah boleh membuat perintah sedemikian yang hendaklah berkuat kuasa serta-merta dan hendaklah terus berkuat kuasa sehingga Mahkamah membuat keputusan atas kausa atau perkara itu.


KEPUTUSAN

SETELAH MAHKAMAH meneliti Permohonan Pemohon yang disokong oleh Afidavitnya dan eksibit-eksibit yang dirujuk secara sebelah pihak, MAKA MAHKAMAH berpuas hati dan memerintahkan seperti berikut :-

1.    Permohonan Pemohon untuk mendapatkan perintah ex parte hak jagaan anak sementara dibenarkan.

2.    Bahawa Pemohon Radziah binti Ibrahim kad pengenalan no. 550829-08-5250 diberikan hak jagaan sementara  terhadap anak bernama Julia Aida Binti peter R. Gottschalk @ Yusuff bin Abdullah.

3.    bahawa responden, keluarganya, ejennya (wakil) atau sesiapa saja yang berkenaan adalah dihalang daripada menganggu anak bernama Julia Aida binti Peter Rudolph Gottschalk @ Yusuff bin Abdullah dengan apa cara sekali pun, dan menegah responden, keluarganya, ejennya (wakil) atau sesiapa sahaja yang berkenaan menahan diri daripada menganggu, mengacau dan menceroboh ke atas diri Pemohon dan anak tersebut dengan apa cara sekali pun.

4.    bahawa anak tersebut, Julia Aida binti Peter Rudolph Gottschalk @ Yusuff bin Abdullah tidak dibenarkan dibawa keluar daripada semenanjung Malaysia.

5.    bahawa Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan, Kuala Lumpur (Wilayah persekutuan) dan Selangor dan penguatkuasa Agama Islam negeri-negeri tersebut untuk  menyenarai hitamkan perjalanan responden dan anak tersebut, dan agensi-agensi tersebut hendaklah membantu Pemohon sekiranya keadaan memerlukan untuk menguatkuasakan perintah Mahkamah.

6.    Bahawa mana-mana pihak yang terlibat (affected)  oleh perintah sementara ini  berhak memohon secara inter parte bagi membatalkan atau mengubah perintah sementara ini atau Pemohon tidak menzahirkan atau salah nyatakan mana-mana fakta yang berkaitan;

7.    Selanjutnya Pemohon memberi akujanji  akan membayar apa-apa gantirugi yang ditaksirkan atas kerugian kepada mana-mana pihak akibat memperolehi perintah sementara ini yang  tidak sepatutnya dikeluarkan.

8.    Pemohon hendaklah menyerahkan perintah ini bersama-sama salinan permohonan, affidavit dan perakuan segera yang difailkan  kepada semua pihak yang terlibat  oleh perintah sementara ini dan hendaklah memfailkan tuntutan induk secara inter partes dalam masa 14 hari.

9.    Perintah ini hendaklah berkuatkuasa selama  tiga puluh (30) hari daripada tarikh perintah ini dikeluarkan dan boleh dilanjutkan atau diubah berdasarkan permohonan pihak-pihak;

Hakim
Mahkamah Tinggi Syariah
Negeri Sembilan Darul Khusus

Bertarikh 24hb April 2007

2 comments:

  1. Prosidur kes-kes hadhanah memakan masa yg terlalu lama di Malaysia kerana anak2 yang menjadi mangsa emosi dan stress.Pada pandangan saya, tuan Hakim mempunyai kuasa memendekkan kes-kes hadhanah dgn memastikan peguam2 mengutamakan kes2 ini dlm jangka masa maksima selama 6 bulan sahaja. Saya rasa peguam2 di Malaysia selalu menggunakan faktor masa untuk memanjangkan kes2 hadhanah sehingga anak2 yg belum mummaiyiz mencapai umur mummaiyiz.

    Di Singapura, kes2 hadhanah di selesaikan dalam masa seminggu sahaja. Mahkamah malaysia perlu lebih effisien dalam mempercepatkan keputusan2 kes hadhanah. Sekian pandangan saya.

    Wallahualam

    ReplyDelete
  2. tidak dinafikan kes hadhanah memakan masa yang panjang sebelum diselesaikan. Akan tetapi peruntukan bagi kes-kes yang mendesak membolehkan seseorang mendapatkan perintah secara ex parte dan diputuskan dalam tempoh tidak lebih dari seminggu atau dalam tempoh beberapa jam sahaja selepas ianya difailkan.

    hak dan keadilan semua pihak adalah diutamakan. Membuat keputusan tidaklah semudah membaling buah dadu. Perintah sementara dikeluarkan beberapa hari selepas ianya dipohon dan perbicaraan yang panjang biasanya bila melibatkan pertikaian untuk membolehkan keputusan kekal dikeluarkan dan kebiasaannya perintah sementara telah diperolehi sebelum perbicaraan diteruskan.

    terima kasih dengan pandangan tuan.

    ReplyDelete