Saturday, November 20, 2010

PERMOHONAN INTERIM HADHANAH SITI ZUBAIDAH CHEW BT ABDULLAH @ CHEW YIN YIN



[2010] JH 29/1
DALAM MAHKAMAH TINGGI SYARIAH DI SEREMBAN
DALAM NEGERI SEMBILAN DARUL KHUSUS
KES MAL NO: 05100-038-0109-2009



DALAM PERKARA  PERMOHONAN INTERIM  HADHANAH  SITI ZUBAIDAH CHEW BT ABDULLAH @  CHEW YIN YIN  …………………………..PEMOHON



Undang-undang Tatacara Mal Perintah interim hadhanah secara Ex Parte – Pemohon memeluk agama Islam dan dihalang dari berjumpa dan mengambil anak – Tindakan suami  pemohon yang tidak beragama Islam menyembunyi dan menghalang Pemohon dari menemui anak – Sama ada Mahkamah berbidang kuasa untuk memutuskan perintah interim hadhanah secara ex parte - sek.200 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003 – Sama ada perintah interim wajar dibenarkan - sama ada wujudnya alasan-alasan khas – Arahan Amalan No 10 Tahun 2006 - kriteria alasan-alasan khas – sek 201(2) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003


FAKTA KES

Pemohon, Siti Zubaidah Chew binti Abdullah @ Chew Yin Yin  telah memohon hak jagaan terhadap seorang anaknya iaitu Nurul Syuhada Chew binti Abdullah @ Hoo Joey berumur 15 bulan. Pemohon seorang yang beragama Budha sejak lahir, tetapi telah memeluk agama Islam pada  28hb Januari 2009, manakala suami Pemohon, Hoo Ying Soon masih kekal dalam agama Budha.

Pemohon telah berkahwin dengan Hoo Ying Soon (No. K/P: 810914-05-5513) mengikut   upacara Budha di Dewan Perhimpunan China Negeri Sembilan Darul Khusus dan didaftarkan di bawah Akta memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 di bawah nombor daftar KC05 341060.

Sepanjang tempoh perkahwinan, Pemohon dan Hoo Ying Soon  telah dikurniakan seorang perempuan anak iaitu Hoo Joey yang  lahir pada 25hb November 2007.  Hubungan mesra antara Pemohon dan suaminya, Hoo Ying Soon tidak kekal lama. Menurut Pemohon, suaminya sering bertindak kasar dan sentiasa didera sama ada secara mental dan fizikal setiap kali berlakunya pergaduhan dan perselisihan faham. Mulai bulan Julai 2008, Pemohon dan suaminya, Hoo Yin Soon telah tinggal berasingan kerana tidak tahan lagi dengan perlakuan kasar suaminya.

Pada 28hb Januari 2009, pemohon telah mengambil keputusan untuk memeluk agama Islam dan pemelukan ke agama Islam tersebut telah disahkan oleh Penolong Pegawai Hal Ehwal Agama Islam, Unit Ukhuwah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam, Negeri Sembilan di Pusat Dakwah Islamiah, Paroi Negeri Sembilan. Pemohon telah memakai nama Islam sebagai Siti Zubaidah Chew binti Abdullah.  Turut memeluk agama Islam bersama-sama dengan Pemohon ialah anaknya Hoo Joey pada tarikh yang sama. Pemelukan Islam tersebut telah didaftarkan dengan No. Pendaftaran PANS. 196(06) 425/2009/010 (S) dan PANS. 196(06) 425/2009/018(S).


Sebelum memeluk Islam, Pemohon dan suami serta anak tinggal bersama di rumah kelamin mereka. Bagaimanapun sejak bulan Julai 2007, Pemohon telah berpindah ke No 92, Jalan Merbok 1, Taman Bunga Blossom, 70100 Seremban, Negeri Sembilan Darul Khusus manakala suami Pemohon tinggal di No 28, Taman Orkid, Mantin, Negeri Sembilan. Tindakan meninggalkan rumah kelamin tersebut kerana Pemohon tidak tahan sering dipukul dan didera secara mental dan fizikal oleh suaminya setiap kali berlaku pertengkaran dan perselisihan faham.

Sepanjang tinggal berasingan, tidak timbul masalah mengenai hak penjagaan anak. Bagaimanapun pada pertengahan bulan Februari 2009, iaitu setelah suami pemohon mendapat tahu mengenai pengislaman Pemohon dan anak, suami Pemohon, Hoo Ying Soon telah bertindak menghalang dan menyembunyikan anak daripada Pemohon. Melalui bantuan beberapa orang kawan, Pemohon pada 17hb Februari 2009, telah Berjaya mengambil semula anak kecil tersebut dan seterusnya membuat satu laporan polis kerana bimbangkan keselamatan diri Pemohon dan anak terjejas akibat pemelukan Islam tersebut.

Selanjutnya Pemohon telah hadir ke Mahkamah Tinggi Syariah Seremban untuk mendapatkan satu perintah interim hadhanah bagi memastikan kebajikan dan keselamatan anak tersebut daripada dilarikan, disembunyikan atau dihalang dari menemui Pemohon selaku ibu kepada anak kecil tersebut tanpa sebab yang sah.


DIPUTUSKAN

Bahawa hak penjagaan sementara anak yang bernama Hoo Joey @ Nurul Syuhada Chew binti Abdullah K/P No. 071125-05-0510 diberikan kepada Pemohon, Chew Yin Yin @ Siti Zubaidah Chew binti Abdullah No K/P 860215-59-5428. 

Bahawa Hoo Ying Soon, K/P no. 810914-05-5513 iaitu bapa kepada anak tersebut dibenarkan untuk berjumpa atau melawat anak tersebut dengan notis yang munasabah terlebih dahulu dan dengan kehadiran Pemohon atau kawalan Pemohon di alamat No 92, Jalan Merbok 1, Taman Bunga Blossom, 70100 Seremban, Negeri Sembilan Darul Khusus.

Bahawa Perintah sementara ini dikeluarkan hendaklah tertakluk kepada syarat-syarat Ex Parte sebagaimana yang dinyatakan di dalam Arahan Amalan No 11 Tahun 2003.


PEGUAM SYARIE

1.         Mohd kamarul Arifin Bin Mohd Wafa dari Tetuan Muzaffar & Co bagi pihak Pemohon.


KITAB YANG DIRUJUK

1.         al-Shaukani, Nayl al-Authar, Kitab al-Nafaqah, 1997.
2.         Majallah al-Ahkam al-Adliyyah, Per. 21, 22 dan 27.


KES YANG DIRUJUK

1.    Haslinda binti Alias lwn Johdi Mathew Byrne @ yahya bin Abdullah (1999) 13 JH 47.
2.    Kristen Rachel Luterman @ Khatijah lwn Sharazi bin Sha’ari, (2008) JH 25/1, 139.
3.    Raja Suzana binti Raja kassim  dan Seorang Lagi lwn kassim Othman dan Seorang Lagi, (2008) JH 22/2, 279.
4.    Wan Puziah binti Wan Awang lwn Wan Abdullah bin Muda dan seorang lagi (2000) 14 JH 235.
5.    Radziah Ibrhim lwn Peter Gottschalk @ Yusof bin Abdullah, Kes Mal No. 05100-038-0168-2007 MTS Seremban (kes tidak dilaporkan).


UNDANG-UNDANG YANG DIRUJUK

1.            Perlembagaan Malaysia Perkara 8.
2.            Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Sembilan) 2003, sek. 4
3.          Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003, sek. 61(3)(b)(iii).
4.          Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003, seksyen 200(1),(2) dan(3).
5.          Akta membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 [Akta 164] sek 3(3).
6.          Arahan Amalan No. 2 Tahun 2002, No 11 Tahun 2003 dan No 10 tahun 2006.



 HMTS memberikan penghakiman

Kes dihadapan saya ini ialah mengenai satu tuntutan hak jagaan sementara secara ex-parte terhadap seorang anak bernama Nurul Syuhada Chew binti Abdullah @ Hoo Joey berumur 15 bulan yang telah difailkan oleh  Pemohon, iaitu Chew Yin Yin @ Siti Zubaidah binti Abdullah iaitu seorang saudara baru.

Pemohon, seorang yang beragama Budha sejak lahir telah berkahwin dengan Hoo Ying Soon (k/p no. 810914-05-5513) pada 14hb Februari 2007 mengikut upacara agama Budha di Dewan Perhimpunan China NSDK dan didaftarkan di bawah Akta memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 di bawah nombor daftar KC05 341060.  Sepanjang tempoh perkahwinan, Pemohon dan suaminya Hoo Ying Soon telah dikurniakan seorang anak Hoo Joey yang lahir pada 25hb November 2007. 

Pada 21hb Januari 2009, Pemohon telah memeluk agama Islam di Pusat Dakwah Islamiah, Paroi Negeri Sembilan. Pemohon telah memakai nama Islam sebagai Siti Zubaidah Chew binti Abdullah. Turut memeluk agama Islam bersama-sama dengan Pemohon ialah anak perempuannya Hoo Joey pada tarikh yang sama. Hoo Joey telah memakai nama Islam sebagai Nurul Syuhada Chew binti Abdullah.

Pemohon dan suaminya, Hoo Ying Soon telah tinggal berasingan sejak bulan Julai 2007. Pemohon menetap bersama keluarganya di No. 92, Jalan Merbok 1, Taman Bunga Blossom, 70100, Seremban Negeri Sembilan manakala suaminya Hoo Ying Soon tinggal bersama keluarganya di No 28, Taman Orkid, Mantin, Negeri Sembilan. Menurut Pemohon, tindakan tinggal berasingan disebabkan sikap suami pemohon yang sering mendera fizikal dan mental Pemohon setiap kali berlakunya pertengkaran dan perselisihan faham. Pemohon dan suami juga sedang usahakan proses perceraian di Mahkamah Tinggi sivil. Selama  tinggal berasingan dengan suami sebelum ini, tidak timbul masalah mengenai penjagaan anak. Pemohon dan suami ada berbincang mengenai hak jagaan anak dan telah mencapai kata persetujuan secara lisan penjagaan anak dibuat secara sama rata iaitu selama seminggu secara bergilirt-gilir.

Bagaimanapun, pada 8hb Februari 2009, suami Pemohon, Hoo Ying Soon telah mengambil anak tersebut dan dijadualkan akan mengembalikan semula kepada pemohon pada 15hb Februari 2009. Bagaimanapun Hoo Ying soon tidak berbuat demikian. Pemohon kemudiannya berjumpa dengan Hoo Ying Soon  dan keluarganya bagi tujuan mengambil anak tersebut. Bagaimanapun Pemohon telah dihalang dan telah berlaku kekecohan. Ekoran daripada kejadian itu, Pemohon telah membuat satu laporan polis di Balai Polis Mantin No repot: Mantin/000451/09 (eksibit ‘E’). Dalam repot tersebut pemohon ada menyatakan bahawa Pemohon dan anak telah memeluk Islam. Dari repot polis tersebut, suami Pemohon, Hoo Ying Soon mendapat tahu mengenai pengislaman Pemohon lalu bertindak menyembunyikan anak dan menghalang Pemohon dari menemui dan bersama anak tersebut.

Pada 18hb Februari 2009, Pemohon sekali lagi ke rumah suaminya Hoo Ying Soon di No 28, Taman Orkid, Mantin, Negeri Sembilan dengan ditemani oleh rakan-rakannya, iaitu John dan Sook Wen untuk mengambil anak tersebut. Dengan bantuan rakan-rakan Pemohon, anak tersebut dapat diambil dan dibawa pergi oleh Pemohon. Seterusnya pemohon membuat satu lagi laporan polis berkenaan kejadian mengambil anak tersebut pada 18hb Februari 2009 melalui repot No. Mantin/000507/09 (eksibit ‘F’) bagi mengelakkan kejadian yang tak di ingini berlaku.

Pemohon percaya tindakan tersebut terpaksa diambil oleh Pemohon kerana suaminya bertindak secara lebih agresif sebaik sahaja mengetahui dia dan anak telah memeluk Islam. Bimbang dengan tindakan selanjutnya yang tidak dapat dijangka oleh suami Pemohon, Pemohon telah memohon satu perintah interim untuk mendapatkan hak hadahanah sementara melalui Mahkamah ini pada 19hb Februari 2009 iaitu sehari selepas kejadian perebutan anak di rumah Hoo Ying Soon di Mantin Negeri Sembilan.

Pemohon telah berhujah bahawa perintah interim ini perlu dikeluarkan oleh Mahkamah  kerana Pemohon dan anak kecilnya telah memeluk Islam dan sementara menunggu permohonan pengisytiharan pembubaran perkahwinan akibat pertukaran agama Pemohon kepada agama Islam masih dalam prosiding.

Antara lain, Pemohon juga berhujah bahawa satu persetujuan secara lisan untuk menjaga anak tersebut selang seminggu secara bergilir-gilir telah tidak dipatuhi oleh Hoo Ying Soon walaupun pengislamannya dan anak masih belum diketahui oleh Hoo Ying Soon ketika itu.

Suaminya, Hoo Ying Soon telah enggan memberikan anak tersebut kepada Pemohon sebaik sahaja beliau mengetahui Pemohon dan anak telah memeluk agama Islam, malah suaminya telah bertindak kasar bagi menghalang Pemohon mengambil semula anak tersebut biarpun tempoh jagaan seminggu oleh suaminya telah tamat.

Selain itu, perintah sementara ini adalah amat penting bagi menjaga kebajikan serta memlihara aqidah anak yang telah memeluk Islam dari jagaan dan kawalan suami Pemohon yang tidak beragama Islam.

Dalam permohonan ini, terdapat dua perkara asas yang perlu diberi perhatian oleh mahkamah ini, iaitu sama ada mahkamah ini mempunyai bidangkuasa untuk mengeluarkan perintah secara ex parte; dan sama ada perintah interim ex parte hadhanah tersebut wajar dikeluarkan kepada Pemohon.

i)         sama ada Mahkamah mempunyai bidangkuasa untuk mengeluarkan perintah interim secara ex parte

Permohonan ex-parte atau permohonan satu pihak merupakan satu permohonan di mana Mahkamah membuat sesuatu keputusan setelah mendengar keterangan sebelah pihak sahaja. Lazimnya perintah atau keputusan yang dikeluarkan dalam permohonan ex-parte tersebut adalah bersifat sementara atau interim.

Pada dasarnya, semua sistem perundangan menetapkan bahawa segala pertikaian hendaklah diputuskan setelah kedua-dua belah pihak diberi peluang untuk memberi keterangan masing-masing. Peraturan ini dibuat bagi menjamin keadilan kepada semua pihak. Islam amat menitik beratkan peraturan ini, sehinggalah terdapat banyak sunnah-sunnah Rasulullah s.a.w. yang juga merupakan sumber kedua perundangan Islam menyatakan betapa penting dan perlunya seseorang hakim mendengar keterangan kedua-dua belah pihak. Dalam hal ini, terdapat satu riwayat daripada Abu Daud bahawa Saidina Ali berkata kepada Rasulullah  s.a.w. yang bermaksud :-

“Ya Rasulullah, tuan mengutuskan aku ke Yaman untuk menjadi Qadi sedangkan aku masih muda dan tidak mengetahui tentang kehakiman.” Rasulullah bersabda : “Sesungguhnya Allah akan memberikan hidayah-Nya kepada hati engkau dan menetapkan lidah mu. Jika datang 2 orang yang bertikai duduk di hadapan kamu, maka janganlah engkau menjatuhkan hukuman sehinggalah engkau mendengar hujah dan keterangan pihak kedua seperti  engkau mendengar  pihak pertama, kerana itulah yang lebih layak dilakukan agar jelas bagi kamu untuk menjatuhkan hukuman.”

Bagaimanapun, dalam keadaan tertentu, permohonan secara satu pihak adalah dibenarkan oleh syarak. Prinsip ini dapat dilihat  di dalam kes Haslinda binti Alias lwn Johdi Mathew Byrne @ yahya bin Abdullah (1999) 13 JH 47. Dalam memutuskan sama ada Mahkamah boleh  memberi keizinan kes ini didengar secara sebelah pihak (ex-parte) dan seterusnya mengeluarkan perintah ex-parte, YA Hakim telah merujuk kepada hadis di atas dan menyatakan bahawa:

“Hadis tersebut dengan jelas memberikan panduan kepada seseorang hakim dalam mengendalikan proses perbicaraan iaitu hukuman tidak boleh dijatuhkan dan penghakiman tidak boleh diberikan melainkan semua pihak telah diberi peluang yang sama untuk membela diri dan mengemukakan keterangan dan hujahnya, kerana hukuman yang adil tidak dapat ditegakkan jika keterangan dan hujah semua pihak tidak diberikan dengan jelas dan memuaskan dan mereka diberikan peluang secara adil.”

Berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud itu, hukum Syarak pada asasnya tidak menggalakkan permohonan ex-parte, yang cuma mendengar hujah sebelah pihak sahaja. Walaupun syariat Islam menghendaki setiap kes itu diputuskan dengan kehadiran kedua-dua belah pihak, terdapat pengecualian yang membolehkan permohonan ex-parte ini dibuat. Berdasarkan prinsip ‘dharurat’ yang mengharuskan perkara yang dilarang jika terdapat keperluan dan keterdesakkan dan prinsip ‘Mashaqqah’ yang membenarkan sesuatu kewajipan itu dipermudahkan dalam keadaan tertentu. (Lihat Majalah al-Ahkam al-Adlyyah, perkara 21, 22, dan 27 untuk keterangan lanjut). Imam Jalaluddin Abdul Rahman di dalam kitabnya Ashbah wa al-Nazair fi Qawaid al-Fiqhiyyah, pula menyebut  الضرر يزال (Kemudaratan hendaklah dihilangkan). Maka bagi menghilangkan kesukaran itu, adalah harus untuk tidak menggunakan kaedah asal. Berdasarkan prinsip tersebut, YA Hakim telah meluluskan permohonan interim hadhanah secara ex parte yang dibuat oleh Pemohon.

Selain itu terdapat satu hadis lain yang diriwayatkan di dalam Sahih Muslim di mana Hindun  telah mengadu kepada Rasulullah s.a.w. akan suaminya yang kedekut sehingga beliau tidak mendapat nafkah yang sewajarnya untuk diri sendiri dan anak-anak kecuali ia mengambil nafkah tersebut tanpa diketahui oleh suaminya. Rasulullah s.a.w. lalu membenarkannya mengambil daripada harta suaminya sekadar bagi memenuhi keperluan diri dan anak-anak. (lihat  juga al-Shaukani, Nail al Authar, kitab al-Nafaqah, 1997, hlm. 870).  Hadis ini juga adalah sebagai satu sandaran kepada Mahkamah ini untuk membenarkan permohonan dibuat secara ex parte.

Selain daripada hukum syarak, Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003 menyebut secara nyata bahawa suatu perintah interim dan ex parte dibolehkan apabila wujudnya keperluan kepada perkara tersebut demi keadilan kepada pihak-pihak yang memerlukannya. Seksyen 201(1) dan (2) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003  memperuntukkan berkenaan dengan perintah interim tentang hadhanah.   Seksyen tersebut menyebut:
                                                                                                                       
(1)   Tertakluk kepada Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Sembilan) 2003, jika Mahkamah berpuas hati, atas permohonan mana-mana pihak untuk mendapatkan hadhanah seseorang kanak-kanak dalam apa-apa kausa atau perkara, bahawa hal keadaan memerlukan dibuat suatu perintah interim tentang hadhanah kanak-kanak itu, maka Mahkamah boleh membuat perintah sedemikian yang hendaklah berkuat kuasa serta-merta dan hendaklah terus berkuat kuasa sehingga Mahkamah membuat keputusan atas kausa atau perkara itu.

(2)   Permohonan di bawah seksyen ini tidak boleh dibuat sebelum tindakan dimulakan kecuali dalam hal yang mendesak dan demi kepentingan keadilan atau perlindungan pemohon atau kanak-kanak itu didapati bahawa campur tangan serta-merta Mahkamah perlu.

Berdasarkan kepada seksyen 201(1), sesuatu perintah interim tersebut boleh dikeluarkan oleh Mahkamah jika Mahkamah berpuas hati, atas permohonan mana-mana pihak  yang memerlukan dibuat suatu perintah interim tentang hadhanah terhadap kanak-kanak itu, dan perintah interim tersebut  berkuat kuasa serta-merta sehinggalah  Mahkamah membuat keputusan atau memberikan satu perintah kekal terhadap kes tersebut.

Mengenai perintah interim secara ex parte pula, Mahkamah ini merujuk kepada seksyen 201(3) Enakmen yang sama yang memperuntukkan:

(3) Jika pemohon ialah plaintif dan kes itu suatu kes yang mendesak, permohonan itu boleh dibuat secara ex parte yang hendaklah disokong dengan afidavit dan affidavit itu hendaklah mengandungi suatu pernyataan yang jelas dan ringkas lagi padat—

(a) tentang fakta-fakta yang membawa kepada tuntutan terhadap defendan dalam prosiding itu;
(b) tentang fakta-fakta yang membawa kepada tuntutan untuk mendapatkan perintah interim itu;
(c) tentang fakta-fakta yang menjadi sandaran bagi mewajarkan permohonan secara ex parte itu;
(d)  tentang apa-apa fakta yang diketahui oleh pemohon yang mungkin menyebabkan Mahkamah tidak memberikan perintah interim itu;
(e)  tentang sama ada mana-mana permohonan ex parte terdahulu yang seumpamanya telah dibuat kepada mana-mana Hakim dan, jika demikian, perintah yang dibuat dalam permohonan terdahulu itu; dan
(f)   tentang relief yang sebenarnya dipohon.

Seksyen ini membenarkan Mahkamah mengeluarkan suatu perintah interim secara ex parte di mana permohonan kearah itu hendaklah dibuat dengan mengemukakan suatu permohonan berserta dengan affidavit sokongan yang mengandungi fakta-fakta di atas. Saya berpuas hati bahawa elemen-elemen tersebut telah dipenuhi oleh Pemohon.

Arahan Amalan No. 2 Tahun 2002 pula menyebut mengenai permohonan ex parte yang hendaklah dimulakan prosidingnya di Mahkamah Tinggi Syariah. Arahan Amalan tersebut menyebut;

“…..berhubung kes–kes yang melibatkan tuntutan Hadhanah, Harta Sepencarian tak alih dan permohonan ex-parte hendaklah dimulakan prosiding di Mahkamah Tinggi Syariah.”

Arahan Amalan tersebut diperkukuhkan lagi dengan Arahan Amalan No. 11 Tahun 2003 yang berbunyi:

”Permohonan ex-parte bagi apa-apa perintah sementara boleh difailkan dalam mana-mana keadaan yang memerlukan perintah segera dengan syarat sekiranya kes induk belum difailkan pada masa permohonan ex-parte itu difailkan, Pemohon itu hendaklah memfailkan kes induknya dalam tempoh 14 hari dari tarikh permohonan itu difailkan.”

Atas alasan-alasan yang dinyatakan tadi, saya berpendapat Mahkamah ini berbidang kuasa untuk mendengar permohonan interim hadhanah secara ex parte.
  
ii)            Sama ada perintah interim ini wajar dikeluarkan kepada Pemohon.

Saya merujuk kepada Arahan Amalan No 10 tahun 2006 yang menyebut:

“..bahawa permohonan Hak Jagaan Sementara Secara ex-parte tidak dibenarkan kecuali atas alasan-alasan khas. Pihak-pihak boleh mengemukakan permohonan hak jagaan sementara semasa prosiding kes induk hak jagaan kepada Mahkamah.”

Arahan Amalan ini menegah sesuatu permohonan hak jagaan sementara secara ex parte dibuat sebelum prosiding sebenar secara dua pihak berjalan. Tegahan ini adalah bagi mengelakkan berlakunya ketidak adilan kepada satu pihak lagi kerana peluang yang sama tidak akan diperolehi jika pendengarannya hanya dikhususkan kepada satu pihak sahaja. Bagaimanapun pengecualian berlaku jika terdapatnya alasan-alasan khas.

Dalam kes Kristen Rachel Luterman @ Khatijah lwn Sharazi bin Sha’ari, (2008) JH 25/1, 139, Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah menolak permohonan Pemohon untuk mendapatkan perintah interim hadhanah secara ex parte kerana permohonan tersebut tidak mempunyai merit dan diarahkan permohonan didengar secara inter-parte. Dalam kes Kristen Rachel Luterman ini, tidak terdapatnya alasan-alasan khas yang dikemukakan oleh Pemohon.

Soalnya disini, apakah kriteria alasan-alasan khas yang membolehkan mahkamah membenarkan permohonan ini?

Kriteria alasan-alasan khas tersebut boleh dilihat di dalam kes Raja Suzana binti Raja kassim  dan Seorang Lagi lwn Kassim Othman dan Seorang Lagi, (2008) JH 22/2, 279. Dalam kes tersebut YA HMTS Seremban telah menolak permohonan injunksi ex parte yang dibuat oleh Pemohon. Dalam kes tersebut, fakta asalnya ialah Pemohon kedua telah memperolehi satu perintah ex parte bagi menegah media melaporkan berita mengenai tindakan Responden-responden yang merupakan ibu bapa kepada Pemohon pertama dan mertua kepada Pemohon kedua dalam satu tuntutan nafkah furu’. Perintah interim itu dibenarkan atas alasan wujudnya ‘perkara-perkara yang mendesak’, iaitu sewaktu berita mengenai pihak-pihak dilaporkan di akhbar, kes induk masih belum didengar dan prosiding sulh sedang berjalan. Laporan akhbar tersebut boleh menjejaskan kehidupan peribadi pemohon-pemohon dan bagi mengelakkan sebarang laporan atau spekulasi mengenai kes tersebut yang boleh menjejaskan prosiding sulh. Bagaimanapun, prosiding sulh itu telah gagal dan kes nafkah tersebut ditetapkan untuk perbicaraan di hadapan hakim. Oleh kerana perintah interim bagi menegah media melaporkan berita mengenai kes tersebut telah tamat tempoh 30 hari, pemohon-pemohon telah memfailkan permohonan bagi melanjutkan tempoh perintah interim injunksi tersebut secara interparte. Permohonan tersebut kemudiannya telah ditolak oleh mahkamah kerana tegahan kepada media tidak lagi relevan setelah prosiding sulh telah gagal dan tidak lagi wujud keadaan yang mendesak.
Sungguhpun kes tersebut berkaitan dengan perintah injunksi, tetapi YA HMTS Seremban telah mengulas mengenai ‘perkara-perkara yang mendesak’ iaitu salah satu prinsip yang boleh dipakai dalam menentukan alasan-alasan khas bagi kes ini.

Manakala sek 201(2) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003 pula memperuntukkan:

Permohonan di bawah seksyen ini tidak boleh dibuat sebelum tindakan dimulakan kecuali dalam hal yang mendesak dan demi kepentingan keadilan atau perlindungan pemohon atau kanak-kanak itu didapati bahawa campur tangan serta-merta Mahkamah perlu.

Walaupun peruntukan ini menghalang sesuatu permohonan secara ex parte itu dibuat, tetapi secara tersiratnya ianya adalah dibolehkan jika terdapat kriteria-kriteria yang dibenarkan, iaitu dalam hal keadaan  yang mendesak dan demi kepentingan keadilan atau bagi memberikan perlindungan kepada pemohon atau kanak-kanak. Frasa ‘dalam hal yang mendesak dan demi kepentingan keadilan atau perlindungan pemohon atau kanak-kanakadalah selari dengan kehendak Arahan Amalan No. 10 Tahun 2006 mengenai ‘alasan-alasan khas‘ yang disebut sebelum ini.

Sek 201(2) ini menggariskan halangan kepada sesuatu perintah interim yang dipohon tersebut. Seksyen tersebut menyatakan bahawa permohonan interim tersebut tidaklah boleh dibuat sebelum tindakan dimulakan kecuali dalam hal keadaan yang mendesak dan demi keadilan atau untuk perlindungan pemohon atau kanak-kanak.  Boleh difahami daripada seksyen ini, terdapat dua elemen yang membolehkan sesuatu perintah interim tersebut dikeluarkan oleh Mahkamah, iaitu:
i.                                      berlakunya hal keadaan yang mendesak; dan
ii.            demi kepentingan keadilan atau perlindungan kepada pemohon atau kanak-kanak.

Bolehlah difahami secara literal bahawa semua peruntukan yang dinyatakan tadi pada dasarnya tidak membenarkan sesuatu perintah interim itu dikeluarkan secara sebelah pihak atau sebelum tindakan sebenar mengenai kes tersebut dimulakan. Bagaimanapun perintah interim tersebut boleh dikeluarkan oleh mahkamah jika terdapat alasan-alasan khas yang pada pendapat mahkamah wajar perintah tersebut dikeluarkan. Persoalannya, apakah alasan-alasan khas tersebut? Apakah degree atau tahap sesuatu alasan tersebut boleh disifatkan  sebagai khas yang membolehkan mahkamah mengeluarkan perintah interim tersebut? Bagi menjawab persoalan ini, tidak terdapat peraturan yang jelas untuk mengukur apakah sebenarnya alasan khas yang mahkamah boleh membenarkan sesuatu perintah interim tersebut dikeluarkan. Bagaimanapun seksyen 201(2) memberikan sedikit panduan dalam mengukur standard atau piawaian sesuatu alasan tersebut yang dianggap istimewa sehingga mahkamah boleh mengeluarkan perintah tanpa mendengar keterangan pihak satu lagi, iaitu  berlakunya hal keadaan yang mendesak; dan demi kepentingan keadilan atau perlindungan kepada pemohon atau kanak-kanak.

Dalam menjelaskan mengenai alasan-alasan khas ini, faktor keterdesakan dan perlindungan adalah asas utama yang perlu diambil kira. Prinsip keadaan yang mendesak; dan demi kepentingan keadilan atau perlindungan kepada pemohon atau kanak-kanak ini dapat dilihat dalam kes kes Haslinda binti Alias lwn Johdi Mathew Byrne @ Yahya bin Abdullah (1999) 13 JH 47. Dalam kes ini, Mahkamah telah meluluskan permohonan plaintif untuk mendapatkan perintah sementara mengenai hadhanah, menegah dan melarang defendan dari menganggu, menceroboh, mengugut  dan mengancam plaintif dan menegah defendan daripada membawa anak-anak keluar dari Malaysia.

Asas kepada permohonan ini adalah terdapat risiko yang kuat bahawa defendan (Responden) akan melarikan anak ke luar negara sebelum proses perceraian dan tuntutan penjagaan anak-anak diputuskan oleh Mahkamah. Defendan dalam kes ini adalah berasal dari Filipina dan terdapat kebimbangan yang nyata bahawa anak-anak akan dibawa kembali ke Filipina oleh Responden berdasarkan tindakan Responden yang pernah mengugut Plaintif akan berbuat demikian sebelum ini. Berdasarkan risiko yang ada, perlu ada satu tindakan yang segera dan pantas diambil untuk menghalang hasrat Responden tersebut. Jika kaedah asal iaitu dengan mendengar keterangan kedua-dua belah pihak , maka Responden  berkemungkinan akan melarikan anak tersebut sebaik sahaja menerima saman. Dalam situasi sebegini, perlaksanaan kaedah asal  akan menimbulkan kesukaran (mashaqqah) kepada pemohon. Keterdesakan pemohon untuk mendapatkan perintah menegah Responden dari membawa anak keluar dari Malaysia adalah satu bentuk darurat yang perlu ditangani segera.

Dalam satu kes lain yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, iaitu Wan Puziah binti Wan Awang lwn Wan Abdullah bin Muda dan seorang lagi (2000) 14 JH 235, unsur keterdesakan dan kepentingan keadilan ini boleh dilihat apabila YA Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu meluluskan permohonan ex parte pemohon dengan mengeluarkan satu perintah sementara yang melibatkan wang simpanan di Lembaga Urusan Tabung Haji bagi menghalang Responden daripada memindahmilik harta pusaka yang menjadi pertikaian sebelum kes tersebut diputuskan. Perintah interim tersebut dikeluarkan oleh Mahkamah bagi menyelamatkan mana-mana harta yang menjadi persoalan, atau menjaga hak-hak kepentingan mana-mana pihak. Tindakan tersebut adalah berpaksikan kepentingan keadilan kepada semua pihak.

Dalam satu kes yang tidak dilaporkan, Radziah Ibrhim lwn Peter Gottschalk @ Yusof bin Abdullah, Kes Mal No. 05100-038-0168-2007 MTS Seremban, Negeri Sembilan Darul Khusus pada 24hb April 2007, di dalam kes ini, wujudnya kebimbangan oleh Pemohon bahawa anak bernama Julia Aida akan dibawa pulang ke Jerman oleh Responden pada bila-bila masa. Kebimbangan yang kuat tersebut menyebabkan anak itu terpaksa meninggalkan persekolahan selama beberapa hari kerana khuatir akan dibawa lari oleh responden. Kebimbangan ini adalah berasas kerana Responden pernah mengugut akan membawa keluar anak tersebut dari Malaysia ke negara asalnya di Jerman. Pada masa yang sama, Responden digambarkan sebagai seorang yang tidak megamalkan ajaran Islam, seorang yang suka minum arak, makan babi, tidak berpuasa dan tidak sembahyang. Dikhuatiri anak tersebut akan terjejas akidahnya jika ia diambil dan seterusnya dibawa keluar dari Malaysia, dibesar, dididik dan dijaga oleh Responden dalam suasana dan persekitaran yang tidak sihat dari sudut hukum syarak.

YA HMTS sewaktu membacakan penghakiman kes tersebut berpendapat:

“Mahkamah beranggapan wujudnya faktor keterdesakan yang membolehkan mahkamah campur tangan serta-merta bagi menyelamatkan keadaan anak tersebut. Mahkamah ini tidak perlu menunggu lebih lama untuk membuat sebarang keputusan yang boleh menjejaskan anak tersebut di dalam pelajarannya atau akidahnya.  Walaupun elemen keterdesakan di dalam kes ini tidaklah sampai ke tahap yang benar-benar meruncing dan ianya masih belum berlaku atau dibuktikan akan berlaku,  tetapi saya berpendapat standard atau piawaian alasan-alasan khas itu telah pun dipenuhi. Dengan kata lain, piawaian alasan-alasan khas itu cukuplah memadai dengan “kebimbangan yang kuat bahawa mudharat akan berlaku  dan ianya disokong oleh faktor keterdesakan yang boleh diukur dengan masa yang suntuk dan perlukan kesegeraan serta perlindungan kepada kanak-kanak, dalam kes ini iaitu Julia Aida untuk diselamatkan akidahnya.”

Unsur keterdesakan dan demi kepentingan keadilan atau perlindungan kepada pemohon atau kanak-kanak adalah jelas dan boleh diukur berdasarkan kes-kes yang dinyatakan tadi.
Dalam kes ini pula, Peguam Pemohon yang terpelajar telah menghujahkan bahawa wujudnya faktor keterdesakan yang merupakan alasan-alasan khas bagi membolehkan perintah interim ini dikeluarkan oleh mahkamah. Peguam Pemohon berhujah bahawa anak bernama Hoo Joey @ Nurul Syuhada binti Abdullah baru sahaja diperolehi semula dari suami bernama Hoo Ying Soon pada 18hb Februari 2009 setelah berbagai usaha dilakukan oleh Pemohon. Suami pemohon dijangkakan akan mengambil semula anak tersebut secara paksa dan kasar serta berkemungkinan tidak akan memulangkan kembali kepada Pemohon. Keselamatan anak tersebut berada di dalam keadaan tergantung dan kritikal kerana suami telah mengetahui bahawa Pemohon dan anak telah menukar agama ke agama Islam.
Peguam Pemohon yang terpelajar juga berhujah bahawa, sebelum suami Pemohon masih belum mengetahui pengislaman pemohon dan anak, Hoo Ying Soon telah tidak mematuhi perjanjian lisan yang telah dipersetujui untuk anak itu dijaga secara begilir selang seminggu. Adalah menjadi kebimbangan Pemohon bahawa anak tersebut akan dirampas secara kasar dan disembunyikan oleh suami Pemohon dan keluarganya sebaik sahaja pemelukan Islam Pemohon dan anaknya diketahui.

Tindakan suami Pemohon dan keluarganya menghalang dari pemohon menemui dan mengambil anak kecil tersebut merupakan satu faktor yang ‘mendesak’ bagi Mahkamah ini mempertimbangkan permohonan ini. Kebimbangan yang munasabah sahaja sudah memadai bagi Mahkamah ini membenarkan perintah interim hadhanah. Meminjam pendapat YA HMTS dalam kes Radziah bt Ibrhim lwn Peter Gottschalk @ Yusof bin Abdullah, “kebimbangan yang kuat bahawa mudharat akan berlaku  jika perintah ini tidak dikeluarkan, adalah diasaskan kepada tindakan suami pemohon, Hoo Ying Soon dan keluarganya yang menyembunyi dan menghalang Pemohon dari menemui anak kecilnya sebelum ini akan menimbulkan mudharat kepada Pemohon dan anak tersebut yang memerlukan kasih sayang dari ibunya jika tiadanya campur tangan segera oleh mahkamah.


Peguam Pemohon juga menimbulkan isu mengenai status pemohon yang beragama  Islam dan haknya untuk mendapatkan relief di Mahkamah Syariah. Saya bersetuju dengan hujah Peguam Syarie Pemohon bahawa  pengislaman Pemohon menyebabkan haknya di mahkamah sivil menjadi terhad. Hak Pemohon untuk mengemukakan perkara tersebut telah terhalang dengan peruntukan seksyen 3 (3) Akta memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 [Akta 164]. Seksyen tersebut memperuntukkan:

(3) This Act shall not apply to a Muslim or to any person who is married under Islamic law and no marriage of one of the parties which professes the religion of Islam shall be solemnized or registered under this Act; but nothing herein shall be construed to prevent a court before which a petition for divorce has been made under section 51 from granting a decree of divorce on the petition of one party to a marriage where the other party has converted to Islam, and such decree shall, notwithstanding any other written law to the contrary, be valid against the party to the marriage who has so converted to Islam.

Pada masa yang sama, pemohon perlukan kesegeraan bagi mendapatkan apa-apa perintah interim bagi mengelakkan berlakunya kemudharatan pada Pemohon dan anak. Oleh kerana ruang kepada Pemohon telah tidak diperolehi di mahkamah sivil, maka demi kepentingan keadilan kepada Pemohon, mahkamah perlu membenarkan hak Pemohon untuk didengar di Mahkamah Syariah. Peguam Pemohon juga merujuk kepada sek. 4  Enakmen Undang-Undang keluarga Islam (Negeri Sembilan) 2003 dan sek 61(3)(b)(iii) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003 mengenai hak Pemohon untuk mendapatkan apa-apa relief di Mahkamah Syariah.

Seksyen 4 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Sembilan) 2003 memperuntukkan:

4. Kecuali sebagaimana yang diperuntukkan dengan nyata selainnya, Enakmen ini terpakai bagi semua orang Islam yang tinggal di dalam Negeri Sembilan dan bagi semua orang Islam yang bermastautin di dalam Negeri Sembilan tetapi tinggal di luar Negeri itu.

Manakala seksyen 61 (3)(b)(iii) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003 pula memperuntukkan mengenai bidang kuasa Mahkamah Syariah dalam memutuskan perintah mengenai hadhanah;

(3) Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah-
                       
(b)dalam bidangkuasa mal, mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding jika semua pihak dalam tindakan dan prosiding itu ialah orang Islam dan tindakan dan prosiding itu adalah berhuibungan dengan-
                                    (i)…..
                                    (ii)….
(iii) nafkah  orang-orang   tanggungan,   kesahtarafan atau   
      penjagaan (hadhanah) atau atau jagaan budak-budak;
                       

kes ini adalah melibatkan permohonan hak jagaan anak sementara yang dibuat oleh Pemohon dengan satu pihak lagi yang mempunyai entiti yang berbeza, iaitu satu pihak Pemohon yang beragama Islam dan di pihak yang lagi satu bukan beragama Islam. Bersandarkan kepada perkara  8 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan;

 “Semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang”

Maka tidak ada sebab mengapa saya tidak bersetuju dengan hujah Peguam Pemohon. Demi kepentingan keadilan kepada pemohon untuk mendapatkan  reliefnya yang tidak mungkin diperolehi di mahkamah sivil dalam keadaan yang singkat atau terdesak ini, maka saya membenarkan permohonan ini.

Mengenai pemelukan Islam oleh Pemohon dan anak, walaupun ditimbulkan oleh peguam Pemohon, saya tidak bercadang mengulas isu ini kerana ianya bukanlah perkara pokok dalam permohonan interim ex parrte  ini. Isu tersebut adalah wajar didengar secara terbuka di dalam kes lain yang berkaitan.

Dalam kes ini, saya berpuashati dengan keterangan-keterangan Pemohon dan berdasarkan hujah-hujah yang dikemukakan oleh Pemohon serta nas-nas yang telah disebut sebelum ini dan disokong oleh peruntukan-peruntukan undang-undang yang berkuatkuasa, saya membenarkan permohonan Pemohon untuk mendapatkan hak jagaan sementara terhadap anak beliau secara ex parte.

KEPUTUSAN

Bahawa hak penjagaan sementara anak yang bernama Hoo Joey @ Nurul Syuhada Chew binti Abdullah K/P No. 071125-05-0510 diberikan kepada Pemohon, Chew Yin Yin @ Siti Zubaidah Chew binti Abdullah No K/P 860215-59-5428. 

Bahawa Hoo Ying Soon, K/P no. 810914-05-5513 iaitu bapa kepada anak tersebut dibenarkan untuk berjumpa atau melawat anak tersebut dengan notis yang munasabah terlebih dahulu dan dengan kehadiran Pemohon atau kawalan Pemohon di alamat No 92, Jalan Merbok 1, Taman Bunga Blossom, 70100 Seremban, Negeri Sembilan Darul Khusus.

Bahawa Perintah sementara ini dikeluarkan hendaklah tertakluk kepada syarat-syarat Ex Parte sebagaimana yang dinyatakan di dalam Arahan Amalan No 11 Tahun 2003.


Hakim Mahkamah Tinggi Syariah
Seremban
Negeri Sembilan Darul Khusus
19hb Februari 2009.

No comments:

Post a Comment