DALAM MAHKAMAH TINGGI SYARIAH DI SEREMBAN
DALAM NEGERI SEMBILAN DARUL KHUSUS
KES MAL BIL. 05100-043-0065-2007
DALAM PERKARA PERMOHONAN PERISYTIHARAN KELUAR ISLAM RASHIDAH BT MOIDEEN
Undang-Undang Pentadbiran - Permohonan perisytiharan meninggalkan agama Islam – sama ada mematuhi kehendak seksyen 119 Enakmen pentadbbiran Agama Islam – Mahkamah yang berbidangkuasa mendengar permohonan perisytiharan meninggalkan agama Islam – Perlembagaan Persekutuan Perkara 121 (1A) – sek 61 Eankeman Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan ) 2003 - Sama ada sek 119 membenarkan orang Islam untuk murtad - pematuhan kepada sek. 119 tidaklah menjadikan seseorang boleh diisytiharkan keluar Islam secara otomatik – Sama ada mahkamah perlu merujuk kepada Hukum Syarak - Sama ada Keluar Islam terjumlah di bawah Hukum Syarak - Sama ada tidak mengamalkan ajaran Islam menjadikan seseorang terkeluar dari Agama Islam – Maksud tiada paksaan dalam agama
FAKTA KES
Dalam kes ini, Pemohon Rashidah binti Moideen, berumur 23 tahun sewaktu kes ini mula didengar pada 20hb Mac 2007 (kini berusia dalam lingkungan 26 tahun). Pemohon menetap di No 416, Jalan Mawar 18, Taman PD Utama, 71000 Port Dickson, Negeri Sembilan dan bekerja sebagai ‘purchasing exporditer’ di Cebot Malaysia Sdn Bhd, iaitu sebuah syarikat membuat ‘carbon lab’. Pemohon lahir pada 4hb Januari 1984 di Hospital Daerah Port Dickson, Negeri Sembilan sebagai seorang yang Islam. Bapa Pemohon, Moideen a/l Mohamad dan ibunya bernama Patimah binti Abdul Kareem, kedua-duanya adalah penganut agama Islam. Pemohon adalah anak kedua dari dua beradik dan menamatkan pelajaran peringkat menengah di sekolah Tinggi Port Dickson sehingga tingkatan lima pada tahun 2001, sebelum menyambung pelajaran di Kolej Cosmopoint Seremban dari tahun 2003 sehingga tahun 2005 dalam jurusan Diploma Teknologi Maklumat.
Pemohon mula bekerja sekitar tahun 2005 di bahagian perhotelan dengan Bayu Beach Resort sebelum berpindah ke Tiara Beach Resort sehingga tahun 2006 dan berkhidmat sebagi Pembantu Tadbir (Office Assistant). Pemohon mula bertugas di tempat kerja sekarang iaitu Cebot Malaysia Sdn Bhd dari tahun 2006 sehingga kini.
Menurut Pemohon, sejak dari kecil lagi dia tidak pernah mengamalkan ajaran Islam. Pemohon juga menyatakan keturunaannya juga adalah berasal dari agama Hindu di mana neneknya juga adalah beragama Hindu. Selain dari tidak pernah mengamalkan ajaran Islam, beliau juga sering bersembahyang di kuil Hindu sejak kecil lagi. Bagi tujuan tersebut, Pemohon telah memfailkan permohonan bagi mengisytiharkan dirinya keluar dari agama Islam pada 21hb Februari 2007 dengan disokong oleh affidavit.
Pemohon juga menyatakan dia sudah terpisah dengan keluarganya dan tidak lagi tinggal bersama dengan mereka sejak tahun 2007. Pemohon tidak tahu di mana tempat tinggal kedua orang tuanya.
Diputuskan
Selepas mempertimbangkan permohonan Pemohon dan setelah meneliti keterangan dan hujah-hujah yang dikemukakan, mahkamah ini berpuashati bahawa pemohon untuk mendapatkan perisytiharan keluar dari Agama Islam adalah tidak disabitkan.
MAKA ADALAH DIPERINTAHKAN BAHAWA permohonan Pemohon untuk mengisytiharkan dirinya meninggalkan agama Islam adalah ditolak.
Agensi-agensi Agama Islam seperti Majlis Agama Islam, Jabatan Agama Islam, Jabatan Mufti atau mana-mana agensi yang berkaitan hendaklah memberi perhatian dalam membimbing dan mengawal aqidah Islamiyyah Pemohon.
Perintah ini adalah berdasarkan permohonan sebelah pihak dan berkuatkuasa mulai hari ini. Rayuan hendaklah dikemukakan dalam masa 14 hari dari tarikh perintah ini dikeluarkan.
Pihak-Pihak
Pemohon hadir sendirian dan mewakili diri sendiri
Surah-Surah Yang Dirujuk
1. al-Baqarah 2:256
2. al-Kafirun 109:6
3. al Baqarah 2: 217
4. al Maidah 5 :51
Kitab-Kitab Yang Dirujuk
1. Syamsuddin Muhammad al-Syarbini al Khatib, al-Iqna’ Fi Halli Alfaz Abi Syuja’. Dar al-Khair, Juz.2
2. Dr Amir Abdul Aziz, al Fiqh al Jina’iy Fi al-Islam, Misr: Dar al-Salam
3. Dr Mustafa al Khin, al-Fiqh al-Manhaji ‘Ala Mazhab al Imam al Syafie, Dar al Qalam, Juz 3
4. Dr Yusuf al Qaradhawi, Jarimah al-Riddah wa ‘Uqubah al Murtad Fi Dhau’I al-Quran wa al-Sunnah,(2000) terjemahan Hj Zahran Haji Mohamed dan Mohd Akhir Hj Yaacob, kuala Lumpur: RMi Multimedia Publishing.
5. Said Hawa, ‘al-Asas Fi al Tafsir’, Dar al-Salam, 1999, Jil 16. Dr Wahbah al-Zuhayli, al-Tafsir al-Wasit, Dar al-Fikr, 2000, Jil. 1
7. YB Sahibus Samahah Dato’ Haji Murtadza Haji Ahmad, Murtad Dan Implikasinya Terhadap Syariah, dalam Isu-Isu Kebebasan Beragama & Penguatkuasaan Undang-Undang Moral, Mohd Hisham Mohd kamal, et.al, (2009) UIAM
Artikel/Keratan Akhbar
1. Dr Azzan Tamimi, Choice, Expression Cornerstones Of Islam, The Sun 23hb November 2006,
2. Dr Syed Ali Tawfik Al-Attas, What Tt Takes To Be Muslim, The Star, Tuesday, 1 May 2007
3. Prof Dr Shad Saleem Faruqi, Separating Fact From Fiction, The Star, Wesnesday, 2 May 2007
Undang-Undang Yang Dirujuk
1. Perlembagaan Persekutuan
2. Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003, Sek. 61 (3)(b)(x) dan sek. 119
Kes-Kes Yang Dirujuk
1. Kamariah Ali & Anor lwn. Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu & Anor di Mahkamah Tinggi Malaya, Kuala Lumpur (Saman Pemula) No. R1-24-65-2005,
2. Lim Chan Seng lwn. Pengarah Jabatan Agama Islam Pulau Pinang & 1 Kes Yang Lain [1996] 3 CLJ 231
3. Majlis Agama Islam Pulau Pinang lwn. Isa Abdul Rahman & Satu Yang Lain [1992] 2 MLJ 244
4. Md. Hakim Lee v. Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur [1997] 4 CLJ Supp 419,
5. Mohammmed Habibullah lwn. Faridah bte Dato Talib [1993] 1 CLJ 264.
6. Priyathaseny & Ors lwn. Pegawai Penguatkuasa Agama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perak & Ors [2003] 2 CLJ 221.
7. Zubeydah bt Shaik Mohd lwn. Kalaichelvan a/l Alagapan dan Lain-lain [2003] 2 MLJ 471
8. Dalip Kaur v. Pegawai Polis Daerah, Balai Polis Daerah, Bukit Mertajam & Anor [1991] 3 CLJ 2768; [1991] 1 CLJ (Rep) 77
9. Soon Singh a/l Bikar Singh lwn. Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) [1999] 2 CLJ 5
10. Siti Fatimah Tan bt Abdullah lwn Majlis Agama Islam Pulau Pinang, kes mal No. 07100-043-0191-2006, MTS Pulau Pinang
11. Majlis Agama Islam Pulau Pinang lwn Fatimah Tan bt Abdullah [2009] JH27/II, 185
12. Permohonan Mohd Shah @ Gilbert Freeman MTS Seremban Kes Mal No. 05100-099-0020-2009
13. Nyonya binti Tahir,[2006] JH XXI/II
Alasan Penghakiman ..................................... HMTS
Pada 21hb Februari 2007, Pemohon telah memfailkan permohonan untuk keluar dari Agama Islam dan berhasrat untuk mengamalkan agama Hindu sepenuhnya. Kes pertama kali disebut pada 20hb Mac 2007. Sewaktu sebutan kali pertama, Pemohon telah dinasihati supaya bertaubat. Bagaimanapun Pemohon enggan dan diarahkan menghadiri kaunseling di Jabatan Mufti Negeri Sembilan sepertimana yang dikehendaki mengikut seksyen 119(4) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003 yang memperuntukkan:
(4) Setelah diterima permohonan di bawah subseksyen (2), Hakim Mahkamah Tinggi Syariah yang mendengar permohonan tersebut hendaklah—
(a) menasihati orang itu supaya bertaubat, dan jika Hakim berpuas hati orang itu telah bertaubat mengikut Hukum Syarak, hendak merekodkan taubat orang itu; atau
(b) jika orang itu enggan bertaubat, sebelum membuat apa-apa perintah terhadap orang itu, menangguhkan pendengaran permohonan itu untuk tempoh 90 hari dan pada masa yang sama menghendaki pemohon untuk menjalani sesi runding cara dan bimbingan bagi maksud menasihati pemohon untuk menimbang semula Agama Islam sebagai agamanya.
Pada 27hb Julai 2007, Kes telah disebut semula atas desakan Pemohon dan Mahkamah ini menangguhkan pendengaran kes Pemohon sehingga laporan dari Jabatan Mufti Negeri Sembilan diperolehi.
Pada 11hb Jun 2008, kes ini sekali lagi didengar di Mahkamah ini. Bagaimanapun melalui satu surat dari Jabatan Mufti Negeri Sembilan rujukan No. JMKNNS.BRCA(S)050—3/4(28) memohon agar kes ini ditangguhkan bagi memberii peluang kepada mereka meneruskan sidang kaunseling yang masih belum tamat. Mengambil kira permohonan tersebut, Mahkamah membenarkan pendengaran ini ditangguhkan kepada satu tarikh lain sehingga laporan resmi dikeluarkan. Pada 27hb Mac 2009, satu laporan daripada Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan Darul Khusus, ruj. No JMKNNS. BRCA(S)050-3/4 (51) bertarikh 16hb Mac 2009 telah diterima oleh Mahkamah ini. Sehubungan dengan itu, kes ini kemudiannya ditetapkan untuk perbicaraan penuh pada 14hb Oktober 2009.
Bidangkuasa Mahkamah
Permohonan Pemohon yang beragama Islam ingin mengisytiharkan telah keluar daripada agama Islam adalah perkara yang tertakluk di dalam bidangkuasa Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidangkuasa terhadap perkara tersebut. Ini adalah selaras dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan di mana Perkara 121 (1A) dengan jelasnya memperuntukkan bahawa;
"Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidangkuasa berkenaan dengan apa-apa perkara dalam bidangkuasa Mahkamah Syariah."
S. 61 (3)(b)(x) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003 telah memberi kuasa kepada Mahkamah Tinggi Syariah untuk mendengar permohonan mengenai kes murtad. Seksyen 11(3)(b)(x) memperuntukkan:
Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah:
(b) dalam bidangkuasa malnya, mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding jika semua pihak dalam tindakan atau prosiding itu adalah orang Islam dan tindakan atau prosiding itu adalah berhubungan dengan:
(x) pengisytiharan bahawa seseorang itu bukan lagi orang Islam.
Seterusnya s. 119(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Sembilan 2003, telah dengan khasnya memberikan bidangkuasa kepada Mahkamah Syariah untuk mendengar permohonan berkaitan dengan isu murtad. Seksyen tersebut memperuntukkan:
Seseorang Islam tidak boleh keluar daripada Agama Islam sebagai agamanya melainkan jika dan sehingga dia telah memperoleh suatu perisytiharan bagi maksud itu daripada Mahkamh Tinggi Syariah.
Jelas terdapat peruntukan yang khas di dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Sembilan tersebut yang memberikan bidangkuasa kepada Mahkamah Syariah untuk menentukan seseorang itu bukan lagi orang Islam atau telah menjadi murtad. Menguatkan lagi hujah ini saya merujuk kepada beberapa kes, antaranya Kamariah Ali & Anor lwn. Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu & Anor di Mahkamah Tinggi Malaya, Kuala Lumpur (Saman Pemula) No. R1-24-65-2005, YA Hakim Mahkamah Tinggi dalam penghakimannya memutuskan:
Dalam keadaan sedemikian Mahkamah Sivil tidak seharusnya campur tangan dengan perkara-perkara yang secara termaktub adalah di bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah.
Dalam hal ini, saya berpendapat bahawa tidak terdapat kekeliruan mengenai bidangkuasa Mahkamah Sivil terhadap perkara-perkara yang Mahkamah Syariah mempunyai bidangkuasa ke atasnya. Kes-kes terdahulu memutuskan bahawa apa-apa perkara yang jatuh ke atas bidangkuasa Mahkamah Syariah, maka bidangkuasa itu adalah eksklusif dan tidak boleh dicampuri atau diambil alih oleh Mahkamah Sivil.
Di dalam kes Lim Chan Seng lwn Pengarah Jabatan Agama Islam Pulau Pinang & 1 Yang Lain [1996] 3 CLJ 231 Abdul Hamid HMT (pada masa itu) semasa menolak permohonan kedua-dua plaintif untuk deklarasi bahawa penolakan agama Islam yang dibuat oleh mereka melalui surat ikatan pol bertarikh 12 Julai 1995 dan 25 Mei 1996 masing-masing adalah mengikut undang-undang dan sah telah memutuskan:
Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidangkuasa dalam perkara-perkara yang Mahkamah Syariah mempunyai bidangkuasa ke atasnya.
Ini jelas dicerminkan oleh Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan, dan dua kes Mahkamah Agung iaitu Majlis Agama Islam Pulau Pinang lwn. Isa Abdul Rahman & Satu Yang Lain [1992] 2 MLJ 244 dan Mohamed Habibullah lwn. Faridah bte Dato Talib [1993] 1 CLJ 264.
Seterusnya di dalam kes Md. Hakim Lee lwn. Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur [1997] 4 CLJ Supp 419, mengenai isu yang sama Abdul Kadir Sulaiman J (pada masa itu) telah memutuskan:
This matter of the plaintiff which involves the determination of his status upon his purported renunciation of the Islamic faith by the deed poll and the statutory declaration is outside the jurisdiction of this court to determine, on account of the ouster of the jurisdiction by art 121 (1A) of the Federal Constitution. By virtue of para 1 in List 11 of the Ninth Schedule to the Federal Constitution, the jurisdiction lies with the syariah court on its wider jurisdiction over a person professing the religion of Islam even if no express provisions are provided in the Administration of Islam Law (Federal Territories) Act 1993 ("the Act") because under art 74 of the Constitution, it is within the competency of the legislative to legislate on the matter. Its absent from the express provision in Act would not confirm the jurisdiction in the civil court.
To my mind, the language of art 121(1A) used by the legislative is clear and without any ambiguity. The civil courts, in this case, the High Court, has no jurisdiction in respect of any matter that is within the jurisdiction of the syariah court.
Isu mengenai bidangkuasa Mahkamah Sivil dalam perkara di bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah juga telah diputuskan oleh Abdul Hamid Embong dalam kes Priyathaseny & Ors lwn. Pegawai Penguatkuasa Agama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perak & Ors [2003] 2 CLJ 221. Di dalam kes tersebut plaintif pertama seorang Islam telah meninggalkan Islam dan menerima agama Hindu sebagai agama beliau. Beliau telah berkahwin dengan plaintif kedua, seorang yang berketurunan India dan merupakan penganut agama Hindu. Hasil perkahwinan, mereka telah mendapat dua orang anak. Plaintif pertama telah ditahan dan dituduh di bawah beberapa kesalahan di bawah Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam Perak 1992 dan disabitkan dan didenda. Plaintif pertama kemudiannya memohon pengisytiharan dari Mahkamah Tinggi bahawa layanan berterusan terhadap beliau sebagai seorang Muslim dan hukuman jenayah yang dikenakan terhadap beliau adalah tidak berperlembagaan. Hakim Abdul Hamid Embong dalam penghakimannya telah memutuskan bahawa isu sama ada plaintif pertama kekal sebagai seorang Muslim meskipun beliau telah melepaskan agama Islam adalah isu yang terlingkung di dalam bidangkuasa Mahkamah Syariah. Beliau menyatakan:
Clause 1A of art 121 of the Federal Constitution provides that the High Courts shall have no jurisdiction in respect of any matter within the jurisdiction of the Syariah Court thus ensuring no conflict of jurisdiction.
Dalam kes Zubeydah bt Shaik Mohd lwn. Kalaichelvan a/l Alagapan dan Lain-lain [2003] 2 MLJ 471 HMT telah memutuskan perkara yang sama dengan menyatakan:
(i) Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidangkuasa untuk menentukan sama ada seseorang Islam itu telah keluar dari agama Islam atau menjadi murtad. Kuasa itu adalah di bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah. Ini sememangnyalah begitu kerana soal sama ada seseorang Islam telah terkeluar daripada agamanya atau menjadi murtad merupakan isu yang serius yang hanya boleh ditentukan oleh pakar-pakar yang berkelayakan dalam bidang perundangan Islam.
(ii) Seseorang yang mengisyhtiharkan dirinya telah keluar daripada agama Islam perlu mendapatkan pengesahan daripada Mahkamah Syariah. Pengisyhtiharan melalui surat akuan berkenaan yang mengisyhtiharkan seseorang itu telah keluar daripada agama Islam adalah tidak memadai untuk menentukan kedudukan seseorang itu sama ada telah keluar dari agama Islam atau sebaliknya.
Jelas pada saya tidak terdapat percanggahan keputusan oleh Hakim-Hakim Mahkamah Tinggi Sivil dalam isu ini. Malah keputusan Hakim-Hakim Mahkamah Tinggi sivil, adalah berpandukan dan selari dengan keputusan oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. Di dalam kes Dalip Kaur lwn. Pegawai Polis Daerah, Balai Polis Daerah, Bukit Mertajam & Anor [1991] 3 CLJ 2768; [1991] 1 CLJ (Rep) 77 Mohamed Yusof SCJ dalam membincangkan sama ada Mahkamah Tinggi mempunyai bidangkuasa untuk mengisyhtiharkan seseorang itu telah murtad telah menyatakan seperti berikut:
Such a serious issue, would, to my mind, need consideration by eminent jurists who are properly qualified in the field of Islamic jurisprudence.
On this view it is imperative that the determination of the question in issue requires substantial consideration of the Islam law by relevant jurists qualified to do so.
Perkara yang sama telah diputuskan oleh Gunn Chit Tuan SCJ di dalam kes Mohamed Habibullah bin Mahmood lwn. Faridah bte Dato Talib [1993] 1 CLJ 264 yang antara lain menyatakan:
With respect to the submission of Mr. Balwant Singh Sidhu regarding whether the plaintiff could be considered as apostate, reference ought to be made to the dictum of Mohamed Yusoff SCJ (as he then was) in the recent decision of this court in Dalip Kaur v. Pegawai Polis Daerah Bukit Mertajam & Anor when he pointed out that in determine whether a Muslim has renounce Islam, the only forum qualified to answer the question is the Syariah Court.
Seterusnya di dalam kes Soon Singh a/l Bikar Singh lwn. Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) [1999] 2 CLJ 5, Dzaiddin FCJ (pada masa itu) yang memberikan penghakiman untuk Mahkamah Persekutuan telah menyatakan:
Therefore, when jurisdiction is expressly conferred on the matters to conversion to Islam, in out opinion, it is logical that matters concerning conversion out of Islam (apostasy) could be read necessarily implied in and falling within the jurisdiction of the Syariah Courts. One reason we can think of is that the determination of a Muslim convert’s conversion out of Islam involves inquiring into the validity of his purported renunciation of Islam under Islamic law in accordance with hokum syarak (Dalip Kaur). As in this case of conversion to Islam, certain requirements must be complied with under hokum syarak for a conversion out of Islam to be valid, which only the syariah courts are the experts and appropriate to adjudicate.
Baru-baru ini Mahkamah Rayuan di dalam kes Lina Joy lwn. Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan & Ors [2005] 4 CLJ 666 Lihat juga (2007) JH 24/1, 61-191 antara lain telah memutuskan bahawa seseorang yang ingin keluar daripada agama Islam dikehendaki berbuat sedemikian melalui pihak berkuasa agama Islam. Abdul Aziz Mohamed JCA telah menyatakan:
One might tempted to think that the fact a person affirms in a statutory declaration that he is no longer a Muslim, or the fact the he has been participating in a Christian form of worship, or the fact that he has been baptized is sufficient, according to Islamic Law, to warrant others to treat him as having apostatized and as being no longer a Muslim. But is that so in Islam Law? It may be that according to Islamic Law no Muslim may be treated as having apostatized, no matter what he may have done or failed to do, unless and until he has been declared an apostate by some proper authority.
Maka, tidak ada perbezaan atau kekeliruan mengenai perkara ini. Mahkamah di semua peringkat telah memutuskan bahawa Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidangkuasa untuk memutuskan sama ada seseorang itu telah terkeluar daripada agama Islam atau menjadi murtad. Bidangkuasa itu terletak di bawah bidangkuasa eklusif Mahkamah Syariah. Berbeza dengan negeri-negeri lain di Malaysia, peruntukan di bawah seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Sembilan (2003) ini sedikit sebanyak memberi ruang kepada mana-mana orang Islam untuk mengisytiharkan dirinya tidak lagi mengamalkan agama Islam.
Kedudukan Murtad Mengikut Undang-Undang Islam
Murtad dari segi bahasa bermaksud ‘kembali’. Manakala dari segi istilah ia bermaksud meninggal atau keluar dari agama Islam dan memeluk mana-mana agama atau mana-mana aqidah lain atau mana-mana ajaran sesat dan menyeleweng sama ada dengan melalui perkataan atau perbuatan atau apa-apa iktikad, kepercayaan dan keyakinan hati (lihat Dr Amir Abdul Aziz, al Fiqh al Jina’iy Fi al-Islam, Misr: Dar al-Salam, hal. 395. Lihat juga Dr Mustafa al Khin, al-Fiqh al-Manhaji ‘Ala Mazhab al Imam al Syafie, Dar al Qalam, Juz 3, hlm. 466).
Menurut syeikh al Syarbini, murtad atau keluar dari Islam merupakan satu jenayah besar dalam Islam. Ia dianggap kufur yang paling jijik dan keji, malah lebih keji dari kufur biasa, kerana orang murtad dianggap menghina Islam, menghina Allah SWT dan Rasulullah SAW. (Syamsuddin Muhammad al-Syarbini al Khatib, al-Iqna’ Fi Halli Alfaz Abi Syuja’. Dar al-Khair, Juz.2, hal. 763.)
Islam memandang serius pada gejala murtad. Menurut Yusuf al Qardhawi, bahaya yang besar yang menimpa umat Islam ialah bahaya yang meruntuhkan aqidah. Oleh itu murtad merupakan bahaya yang paling besar kepada Masyarakat Islam. Ia lebih bahaya daripada serangan senjata atau tipu helah, sama seperti mana firman Allah dalam surah al Baqarah 2:217:
dan mereka (orang-orang kafir itu) sentiasa memerangi kamu hingga mereka (mahu) memalingkan kamu dari ugama kamu kalau mereka sanggup (melakukan Yang demikian);
Kerana sebab itulah para fuqaha’ telah bersepakat mengatakan wajib menghukum orang yang murtad, cuma mereka berselisih tentang cara menghukum. Jumhur ulamak berpendapat bahawa hukumannya ialah bunuh dan itulah pendapat keempat-empat mazhab, malah pendapat lapan mazhab termasuk syiah zaidiyyah dan dua yang lain. (Dr Yusuf al Qaradhawi, Jarimah al-Riddah wa ‘Uqubah al Murtad Fi Dhau’I al-Quran wa al-Sunnah, terjemahan Hj Zahran Haji Mohamed dan Mohd Akhir Hj Yaacob, kuala Lumpur: RMi Multimedia Publishing, hal. 49).
Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah di sebut oleh al-Thabrani dengan isnad hasan dan dari Muawiyyah bin Haidah melalui perawi-perawi thiqah yang bermaksud;
“Tidak halal darah seseorang muslim yang percaya bahawa tidak ada tuhan selain Allah dan aku (Nabi s.a.w.) pesuruh Allah kecuasli apabila ia melaskukan 3 perkara; apabila ia membunuh atau apabila seseorang telah berkahwin itu berzina atau apabila seseorang itu meniunggalkan agamanya (murtad)”
(diriwayatkan oleh al-jama’ah)
Saidina Ali Karramallah ‘ala Wajhah telah melaksanakan hukuman ke atas satu kaum yang mendakwa beliau sebagai tuhan dengan hukuman yang berat iaitu membakar mereka. Sebelum dijalankan hukuman Saidina Ali K.w. telah meminta mereka bertaubat dan kembali pada Islam tetapi mereka enggan. Ibnu Abbas telah membangkang cara Saidina Ali menghukum demikian dan dia membawa hadith yang bermaksud :”Janganlah engkau mengazab mereka dengan azab Allah (api)”. Ibn Abbas berpendapat mereka hendaklah dibunuh bukannya dibakar, Jadi Ibn Abbas berbeza pendapat dengan Saidina Ali dalam cara, bukan pada prinsip.
Abu Musa al-Asy’ari dan Muaz juga telah menjatuhkan hukuman bunuh ke atas seorang Yahudi di Yaman yang telah menganut Islam kemudian murtad. Muaz berkata: “Inilah hukuman Allah dan Rasulnya”. (muttafaq ‘alaih)
Diriwayatkan juga oleh Abdul Razzaq bahawa Ibn Mas’ud mendapati satu kaum di Iraq telah murtad. Dia mengutus surat kepada Umar r.a. Umar menjawab dengan menyuruhnya menjelaskan kepada mereka mengenai agama Islam dan syahadah “la Ilaha illallah”, jika mereka menerimanya hendaklah dibebaskan mereka tetapi jika mereka menolak hendaklah dibunuh. Ibn Mas’ud kemudiannya meminta mereka kembali kepada Islam. Sebahagian mereka kembali manakala yang lain tidak. Ibn Mas’ud telah membunuh golongan yang murtad yang tidak mahu kembali kepada Islam itu.
Diriwayatkan dari Abi Amru as-Syabani bahawa al Mastaurid al’Ajli telah masuk kristian selepas menganut Islam lalu ‘Utbah bin Faeqad menghantarkannya kepada Saidina Ali. Ali memintanya agar kembali kepada Islam (bertaubat), tetapi dia menolak lalu Ali membunuhnya.
Walaupun jumhur ulamak berpendapat dibunuh orang yang murtad, namun demikian terdapat riwayat bahawa Saidina Umar bin al-Khattab berbeza pendapat:
Diriwayatkan oleh Abdul Razzaq, al Baihaqi dan Ibn Hazm bahawa ada seseorang yang kembali dari Tutsar dan beliau terus mengadap Umar al-Khattab. Umar menanya dia: “Apa yang berlaku kepada enam orang dari suku Bakr bin Wa’il yang telah murtad dan lari kepada orang-orang musyrikin? Jawab orang itu: “Wahai Amirul Mukminin, mereka telah terbunuh dalam satu pertempuran.” Lalu Umar berkata: “Inna lillahi wa Inna ilaihi raji’un.” Berkata Anas: “Nampaknya tidak ada jalan lain bagi mereka kecuali dibunuh?” Jawab Umar: “Ya. Aku meminta mereka kembali kepada Islam, jika mereka enggan aku sediakan penjara untuk mereka.”
Menurut Dr Yusuf al-Qaradhawi, seorang yang murtad yang berpegang teguh dengan murtadnya hendaklah dihukum bunuh secara moral oleh masyarakat Islam. Iaitu jangan diberi wala’ (pimpinan atau kawan) kepadanya, jangan disayanginya dan jangan dibantunya kerana Allah melarang demikian dengan firman Nya:
•
dan sesiapa di antara kamu Yang menjadikan mereka teman rapatnya, maka Sesungguhnya ia adalah dari golongan mereka itu. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum Yang berlaku zalim.(al Maidah :51)
Sikap pemulauan seperti ini adalah lebih berat daripada bunuh sekiranya orang berkenaan itu berakal dan berperasaan (al-Qaradhawi, ibid, hlm. 53).
Islam tidak menjatuhkan hukuman bunuh atas orang yang murtad yang tidak menghebahkan murtadnya dan tidak menyeru orang lain agar agar murtad sepertinya. Islam membiarkannya agar menerima balasannya di akhirat kelak jika dia mati dalam kekafirannya itu. Allah berfirman (al Baqarah 2: 217) :
•
dan sesiapa di antara kamu Yang murtad (berpaling tadah) dari ugamanya (ugama Islam), lalu ia mati sedang ia tetap kafir, maka orang-orang Yang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah ahli neraka, kekal mereka di dalamnya (selama-lamanya).
Menurut Dr Yusuf al Qaradhawi juga, kadang-kadang nereka dihukum dengan hukuman taazir yang bersesuaian dengan mereka. Hanya orang murtad yang mengisytiharkan dirinya sahaja yang dihukum bunuh , terutamanya yang mengajak orang lain supaya murtad agar terpelihara masyarakat dan terpelihara asas dan kesatuannya.(ibid, hlm.57).
Kebanyakan nas-nas yang dipetik di atas menunjukkan usaha supaya memujuk simurtad itu kembali semula ke agama Islam dan diminta bertaubat. Dibuat terlebih dahulu. Jika orang yang murtad itu masih enggan untuk bertaubat, maka barulah dihukum mereka. (Dr Yusuf al Qaradhawi, Jarimah al-Riddah wa ‘uqubat al Murtad fi Dhau’i al-Quran wa al Sunnah, terj. Hlm 47-64).
Permohonan Keluar Daripada Agama Islam
Di Negeri Sembilan, suatu permohonan untuk keluar dari Agama Islam hendaklah dibuat mengikut kehendak sek 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003. Dalam memutuskan sama ada pemohon patut diberi perisytiharan untuk keluar dari Agama Islam, Mahkamah hendaklah terlebih dahulu memastikan Pemohon bukan lagi seorang Islam. Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak (Negeri Sembilan) 2003 hendaklah dipakai secara ketat dan ianya bukanlah satu laluan bagi orang-orang yang ingin murtad. Meskipun seksyen tersebut menunjukkan jalan kepada mereka yang ingin keluar dari Islam, satu perisytiharan hendaklah terlebih dahulu diperolehi dari Mahkamah Tinggi Syariah. Sebelum perisytiharaan tersebut diberikan, ianya bukan saja mesti mematuhi kehendak sek 119, tetapi juga hendaklah selaras dengan kehendak Huku Syarak.
Seseorang Islam adalah tidak boleh keluar daripada Agama Islam melainkan dia telah memperoleh satu perisytiharan bagi maksud itu daripada Mahkamah Tinggi Syariah. Sek.119(1) memperuntukkan:
(1) Seseorang Islam tidak boleh keluar daripada Agama Islam atau disifatkan telah meninggalkan Agama Islam sebagai agamanya melainkan jika dan sehingga dia telah memperoleh suatu perisytiharan bagi maksud itu daripada Mahkamah Tinggi Syariah.
Suatu perisytiharan itu pula hendaklah diperolehi dengan mematuhi keseluruhan kehendak subseksyen (2) hingga (11) seksyen berkenaan. Sub seksyen tersebut menyebut:
(2) Suatu permohonan bagi perisytiharan di bawah subseksyen (1) hendaklah dibuat secara ex parte kepada Hakim Mahkamah Tinggi Syariah dalam mahkamah terbuka oleh orang yang berhasrat untuk meninggalkan Agama Islam sebagai agamanya.
(3) Suatu permohonan di bawah subseksyen (2) hendaklah menyatakan alasan-alasan yang berdasarkannya pemohon berhasrat untuk meninggalkan Agama Islam sebagai agamanya dan hendaklah disokong oleh suatu afidavit yang menyatakan semua fakta yang menyokong alasan permohonan itu.
(4) Setelah diterima permohonan di bawah subseksyen (2), Hakim Mahkamah Tinggi Syariah yang mendengar permohonan tersebut hendaklah—
(a) menasihati orang itu supaya bertaubat, dan jika Hakim berpuas hati orang itu telah bertaubat mengikut Hukum Syarak, hendak merekodkan taubat orang itu; atau
(b) jika orang itu enggan bertaubat, sebelum membuat apa-apa perintah terhadap orang itu, menangguhkan pendengaran permohonan itu untuk tempoh 90 hari dan pada masa yang sama menghendaki pemohon untuk menjalani sesi runding cara dan bimbingan bagi maksud menasihati pemohon untuk menimbang semula Agama Islam sebagai agamanya.
(5) Jika pada bila-bila masa orang yang dikehendaki menjalani sesi runding cara dan bimbingan itu telah bertaubat, pegawai yang bertanggungjawab terhadapnya hendaklah menyediakan suatu laporan dengan secepat mungkin dan membawa orang itu ke hadapan Mahkamah Tinggi Syariah.
(6) Jika Hakim berpuas hati bahawa orang yang dikemukakan di hadapannya mengikut subseksyen (5) telah bertaubat mengikut Hukum Syarak, Hakim itu hendaklah merekodkan taubat orang itu.
(7) Jika setelah habis tempoh 90 hari yang disebut dalam perenggan (4)(b), orang itu masih enggan bertaubat, maka pegawai yang bertanggungjawab terhadapnya hendaklah menyediakan suatu laporan dengan secepat mungkin dan membawa orang itu ke hadapan Mahkamah Tinggi Syariah.
(8) Jika setelah diterima laporan yang disebut dalam subseksyen (7), Mahkamah berpendapat bahawa harapan masih ada untuk orang itu bertaubat, maka Mahkamah boleh menangguhkan pendengaran permohonan orang itu di bawah subseksyen (2) dan pada masa yang sama memerintahkan orang itu supaya menjalani sesi runding cara dan bimbingan yang selanjutnya selama tempoh yang tidak melebihi satu tahun.
(9) Jika selepas perintah di bawah subseksyen (8) dibuat, orang itu bertaubat, maka subseksyen (5) dan (6) terpakai.
(10) Jika setelah habis tempoh yang diperintahkan di bawah subseksyen (8) dan orang itu masih enggan bertaubat, pegawai yang bertanggungjawab terhadapnya hendaklah menyediakan suatu laporan dan membawa orang itu ke hadapan Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah boleh membuat keputusan untuk mengisytiharkan bahawa orang itu meninggalkan Agama Islam sebagai agamanya.
(11) Sebelum Mahkamah mengiytiharkan bahawa orang itu telah meninggalkan Agama Islam sebagai agamanya, Mahkamah hendaklah membuat perintah mengenai perkara yang berikut:
(a) pembubaran perkahwinan;
(b) pembahagian harta sepencarian;
(c) hak perwalian;
(d) hak pusaka; dan
(e) hadhanah.
Bagi memperolehi perisytiharan tersebut, Pemohon hendaklah memenuhi keseluruhan kehendak seksyen 119 tersebut. Dalam hal ini saya berpuashati kehendak seksyen tersebut dipenuhi oleh Pemohon. Soalnya, apakah dengan memenuhi kehendak keseluruhan seksyen tersebut maka menjadikan Pemohon boleh diberi perisytiharan secara otomatik? Jawabnya tentulah tidak. Pemohon mestilah terlebih dahulu memenuhi kehendak Hukum Syarak bahawa dia telah secara syarienya adalah seorang yang tidak lagi mengamalkan Agama Islam. Atau dengan kata lainnya, Mahkamah berpuas hati bahawa dia bukanlah seorang Islam pada waktu itu.
Seksyen 119 adalah satu kaedah atau tatacara yang mengatur apa-apa tindakan atau permohonan bagi membolehkan seseorang yang dikatakan beragama Islam atau disifatkan sebagai Islam diisytiharkan sebagai seorang yang bukan Islam setelah peruntukan seksyen tersebut dipatuhi dan permohonan ke arah itu hendaklah tidak menyalahi kehendak Hukum syarak. Seksyen ini hanyalah menjalankan fungsi setelah kuasanya diberikan oleh sek. 61 (3)(b)(x) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003. sek. 61 (3)(b)(x) memperuntukkan:
Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah:
(b) dalam bidangkuasa malnya, mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding jika semua pihak dalam tindakan atau prosiding itu adalah orang Islam dan tindakan atau prosiding itu adalah berhubungan dengan:
(x) pengisytiharan bahawa seseorang itu bukan lagi orang Islam.
Ini menjelaskan kekeliruan ramai orang yang selama ini beranggapan bahawa seksyen 119 adalah seksyen bagi membolehkan seseorang Islam itu murtad. Kenyataan ini sememangnya tidak tepat. Telah disebut sebelum ini bahawa megikut Hukum Syarak, seseorang Islam adalah melakukan satu kesalahan jenayah yang amat besar jika bertindak keluar dari Agama Islam. Mana mungkin Mahkamah membenarkan seseorang Islam membenarkan perlakukan jenayah tersebut dengan memberi ruang secara sah melalui undang-undang.
Jadi bolehlah difahami bahawa kehendak sebenar seksyen 119 ialah mengenalpasti seseorang itu Islam atau bukan Islam. Jika seseorang didapati bukan Islam, tidak pernah mengamalkan ajaran Islam, pemelukan Islam yang tidak diiktiraf, kekeliruan mengenai status agamanya dan sebagainya yang tidak bertentangan dengan Hukum syarak, maka seseorang itu berhak menggunakan seksyen 119 bagi mendapatkan perisytiharan bahawa dia sebenarnya bukan Islam atau tidak lagi boleh disifatkan sebagai orang Islam.
Setelah mahkamah Tinggi Syariah berpuashati bahawa seksyen 119 sub seksyen (2-9) telah dipatuhi sepenuhnya, Mahkamah hendaklah mengambil perhatian pula pada seksyen 119(10) yang memperuntukkan:
(10) Jika setelah habis tempoh yang diperintahkan di bawah subseksyen (8) dan orang itu masih enggan bertaubat, pegawai yang bertanggungjawab terhadapnya hendaklah menyediakan suatu laporan dan membawa orang itu ke hadapan Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah boleh membuat keputusan untuk mengisytiharkan bahawa orang itu meninggalkan Agama Islam sebagai agamanya. (penekanan ditambah)
Mahkamah ‘boleh’ bermakna setelah Mahkamah Tinggi Syariah berpuas hati dengan laporan yang dikemukakan, berpuashati dengan keterangan dan pembuktian yang dibawa oleh Pemohon dan tidak syak lagi mestilah selaras dengan kehendak Hukum Syarak. Meskipun kehendak Hukum Syarak tidak disebut di bawah seksyen ini, maksud yang tersirat kenapa bidang kuasa murtad ini diletakkan di bawah kuasa Mahkamah Syariah ialah kerana wujudnya Hukum Syarak. Oleh kerana keluar dari islam itu adalah berkaitan dengan hukum syarak, maka kuasa itu diberi secara eklusif kepada Mahkamah Tinggi Syariah.
Hakim Raus Sharif sewaktu memutuskan kes Zubaydah bt Shaik Mohd lwn. Kalaichelvan a/l Alagapan dan Lain-lain Supra menyatakan:
“adalah juga diputuskan bahawa soalan sama ada seseorang itu murtad atau tidak adalah persoalan hukum syarak, bukan undang-undang sivil.”
Dalam kes Majlis Agama Islam Pulau Pinang lwn Fatimah Tan bt Abdullah [2009] JH27/II, 185, Mahkamah Rayuan Syariah Pulau Pinang memutuskan bahawa perayu diisytiharkann sebagai seorang yang bukan Islam setelah berpuas hati pemelukan Islamnya sewaktu berkahwin dengan suaminya masih belum sempurna dan jika tidak terus menyempurnakannya, maka seseorang itu tidak diterima menjadi muslim malah kembali kepada status asalnya sebagai seorang bukan Islam pada kepercayaan asalnya melainkan dia mengucap syahadah dengan memenuhi syarat-syarat tertentu.
Dalam kes Permohonan Mohd Shah @ Gilbert Freeman MTS Seremban Kes Mal No. 05100-099-0020-2009 (Kes ini tidak dilaporkan). Mahkamah memutuskan bahawa Pemohon diisytiharkan sebagai seorang yang bukan Islam setelah berpuashati ia tidak pernah mengamalkan ajaran islam dan tidak pernah mengenali Islam kerana pemohon tidak pernah pada mana-mana masa memeluk atau mempelajari agama Islam. Pemohon jiuga dilahirkan oleh ibunya seorang Kristian berbangsa serani yang melahirkannya akibat bersekedudukan tanpa nikah dengan bapanya. Ibunya tidak pernah memeluk Islam dan tidak pernah berkahwin dengan bapanya yang kemudiannya meninggalkan Pemohonm dan ibunya sejak umurnya beberapa bulan.
Memutuskan kedua-dua kes tersebut sebagai seorang yang bukan Islam menunjukkan fungsi Mahkamah syariah yang adil, meletakkan tempat yang patut kepada mereka yang sepatutnya kerana keislaman mereka adalah tidak diiktiraf oleh Hukum Syarak. (Rujuk juga kes Nyonya binti Tahir,[2006] JH XXI/II, 221)
Dalam kes di hadapan saya ini, Pemohon adalah seorang Muslim yang dilahirkan oleh ibunya yang Muslim hasil perkongsian hidup dengan bapanya juga seorang Muslim. Pemohon mendapat pendidikan agama Islam sejak kecil dari bangku sekolah rendah sehinggalah beberapa bulan sebelum kes ini didengar (Runding Cara di Jabatan Mufti), seorang yang arif, tahu dan tidak asing dengan agama Islam. Mengerti mengenai sembahyang fardhu, sembahyang jenazah dan sebagainya.
Menggunakan seksyen 119 adalah satu percubaan jahat bagi menyalahgunakan proses Mahkamah untuk melakukan jenayah besar mengikut Hukum Syarak. Maka, jika sek 119 ini tidak di halusi secara berhati-hati, penyalahgunaan proses Mahkamah akan berlaku, jenayah murtad akan berleluasa secara halal dan direstui oleh undang-undang. Ini tidak mungkin terjadi dan sudah tentunya bertentangan dengan prinsip Mahkamah Syariah sendiri yang diiktiraf sebagai ‘kuasa pemutus undang-undang yang berkaitan Hukum syarak’ di Malaysia. (rujuk kes Zubaydah bt Shaik Mohd lwn. Kalaichelvan a/l Alagapan dan Lain-lain [2003] 2 MLJ 471 rujuk juga kes kamariah Ali, Lim Chan Seng dan lain-lain)
Mengambil pandangan yang sama sebagaimana yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan Syariah Pulau Pinag dalam kes Majlis Agama Islam Pulau Pinang lwn Fatimah Tan bt Abdullah, Supra, panel rayuan menimbulkan isu yang sama, iatu jika Islam melarang dan mengharamkan penganutnya keluar daripada Agama Islam atau murtad, adakah Mahkamah Syariah diberikan bidangkuasa untuk membenarkan orang Islam murtad? Jika Mahkamah Syariah diberikan hak tersebut, sudah tentulah ianya bertentangan dengan Hukum Syarak (para 19, ms 194). Mengikut Hukum syarak, seseorang Islam adalah tidak dibenarkan keluar dari Islam. Ini adalah hukum ‘mandatori’.
Jadi, saya tidak Nampak keperluannya untuk Pemohon menggunapakai seksyen ini bagi membolehkannya dia keluar dari Agama Islam kerana aqidahnya tidak pernah terjejas.kecuali keinginannya untuk melakukan jenayah riddah secara halus. Maka tidak ada sebab untuk Mahkamah ini membenarkannya.
Sama ada Pemohon telah terkeluar dari Agama Islam
Dalam kes ini, pemohon di dalam afidavitnya memohon kepada mahkamah ini agar diisytiharkan keluar dari Agama Islam atas alasan-alasan berikut:
(i) Bahawa Pemohon tidak pernah mengamalkan ajaran Islam;
(ii) Bahawa Pemohon memngamalkan ajaran Agama Hindu sejak kecil
(iii) Pemohon adalah berketurunan Hindu
Pemohon mengemukakan tiga orang saksi iaitu Hema a/p Kannan, Visvanathan a/l Fermal dan Ganesan a/l Appalasamy bagi menyokong bahwa pemohon adalah seorang penganut Hindu.
SP1, Hema a/p kannan, adalah kenalan Pemohon yang mengenali Pemohon sejak tahun 2003, selalu bersama Pemohon pergi ke kuil,dan menyatakan cara hidup pemohon sebagai seorang Hindu malah tidak pernah memakai tudung sepertimana orang Islam yang lain.
SP2, Visvanathan a/l Fermal, juga adalah kenalan Pemohon yang mengenali Pemohon sejak tahun 2005. SP2 menyatakan dia tidak pernah melihat Pemohon memakai tudung atau pergi masjid dan bergaul dengan orang Hindu.
Manakala SP3 iaitu Ganesan a/l Appalasamy, mengenali Pemohon lebih kurang 3 tahun dahulu (2007). SP3 memberitahu Mahkamah, bahawa Pemohon menyewa di rumahnya dan berkawan rapat dengan anaknya Pavillamani. Setiap hari sabtu mereka akan keluar ke kuil dan makan makanan ‘Chinese Seafood’ Pemohon juga tidak pernah memakai tudung dan berkelakuan bukan seperti seorang Islam.
Ketiga-tiga saksi itu hanya dikenali oleh Pemohon antara 3 hingga 7 tahun kebelakangan ini. Kesemuanya dikenali oleh Pemohon setelah Pemohon berusia 20an. Tidak seorangpun yang menyokong dakwaan Pemohon bahawa dia mengamalkan ajaran Hindu sejak dari kecil.
Pemohon juga mengenmukakan eksibit-eksibit seperti:
PI- surat sokongan daripada Kuil Sri Mahariaman Temple Paripalana Sabai, Port Dickson mengenai pemohon sering hadir bersembahyang;
P2- Salinan sijil Kursus Asas Pengetahuan Agama Hindu pada 8-10hb Disember 2006 dari Persatuan Belia Vivekananda, Serenban;
P3- Sijil menghadiri ‘Motivation Talk’ iaitu pengetahuan asas Agama Hindu anjuran Kolej Cosmopoint ;
P4- Surat beranak pemohon yang dilahirkan sebagai seorang Islam;
P5- Sijil Pelajaran Malaysia;
P61-5 - Gambar Pemohon melakukan ibadat sembahyang dikuil Hindu;
P8A-C-Gambar Pemohon menyertai ‘Lakshmi Pooja’ iaitu untuk dewa kepada wanit-wanita yang berkahwin supaya suami mereka selamat;
P9A-C-Gambar Pemohon berpakaian dan bergaul dengan masyarakat Hindu.
Gambar-gambar yang dieksibitkan oleh Pemohon adalah bersifat ‘after thought’ iaitu gambar-gambar yang dirakamkan sebahagian besarnya selepas permohonan ini difailkan ke Mahkamah. Fakta ini tidaklah menunjukkan bahawa Pemohon bukan beragama Islam kecuali menjelaskan lagi keinginannya untuk murtad.
Keadaan yang sebaliknya pula berlaku bila Ustaz Ahmad Zaki dam Muhammad Azhar bin Abdul Ghani dipanggil memberi keterangan, mereka sepakat menyatakan pemohon adalah baik dan cemerlang dalam pengetahuan agama, tahu mengenai solat fardhu, solat jenazah dan sebagainya. Lulus dengan baik dalam pelajaran Agama Islam, memiliki sijil KAFA sejak di sekolah rendah, mengikuti kursusu-kursus agama Islam di Sekolah Menengah Tinggi Port Dickson dan sebagainya.
Mengenai Pemohon yang berketurunan Hindu, adalah sukar untuk saya menerima dakwaan ini kerana sijil lahir Pemohon sendiri menunjukkan ibu bapa Pemohon adalah Muslim. Pemohon Rashidah binti Moideen, seorang perempuan yang dilahirkan sebagai seorang Islam pada 4hb Januari 1984 di Hospital Besar Port Dickson, Negeri sembuilan, yang mana bapanya berbangsa India Muslim bernama Moideen a/l Mohamed dan ibunya Patimah binti Abdul Kareem.
Tidak ada fakta yang menunjukkan kedua-dua mereka adalah dari keturunan beragama Hindu. Maka mana mungkin Pemohon yang juga anak kandung kepada mereka adalah dari keturunan Hindu, kecuali Pemohon adalah anak angkat atau sebagainya.
Pemohon apabila ditanya mengenai ke dua ibu bapanya, cuba mengelak dari menjawab soalan dengan baik dan menyatakan dia tidak tahu di mana orang tuanya berada kerana sudah beberapa tahun terpisah dengannya dan mereka membenci Pemohon.
Mahkamah yang tidak berpuashati dengan keterangan Pemohon, telah mengeluarkan sapina kepada ibu dan bapa Pemohon. Bagaimana pun, sapina tersebut gagal disempurnakan kerana tidak mempunyai kerjasama dengan Pemohon apabila tidak disertakan dengan alamat yang lengkap.
Bagaimanapun, Mahkamah ini kemudiannya mengeluarkan sapina bagi mendapat keterangan yang jelas daripada Pegawai Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan, iaitu Ustaz Ahmad Zaki bin Hamzah dan beliau hadir bersama Muhammad Azhar bin Ghani, pembantunya.
Ustaz Ahmad Zaki bin Hamzah, bertugas sebagai Penolong Mufti bahagian Runding Cara Aqidah Islamiyah yang sudah 8 tahun berkhidmat di Jabatan Mufti adalah selaku Pegawai yang menyelia Runding Cara dan kaunseling terhadap Pemohon sepanjang diarahkan oleh Mahkamah. Menurut Ustaz Ahmad Zaki, Pemohon telah dipanggil menyertai kaunseling di jabatannya pada 18/4/2007dan menghadiri kesemua 10 kali sesi runding cara yang dijalankan.
Hasil dari laporan fasilitator, mendapati Pemohon mempunyai kefahaman yang baik dan jelas tentang Islam. Mempunyai sijil-sijil dan keputusan yang baik dalam pengetahuan agama dan tahu mengenai solat fardhu, solat jenazah dan sebagainya, malah Pemohon sebenarnya tidak begitu tahu mengenai agama Hindu.
Menurut Ustaz Muhammad Azhar bin Ghani, Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam Bahagian Runding Cara dan Aqidah Islamiyyah Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan yang bertugas sebagai fasilatator dan mengendalikan kes Pemohon, sepanjang dia mengendalikan Rundingcara tersebut, ibu Pemohon, Siti Patimah binti Abdul Kareem telah datang berjumpanya lebih kurang dalam bulan April 2007 menyatakan beliau tidak bersetuju dengan tindakan Pemohon.
Ibunya membawa suara daripada keluarga besar mereka yang terdiri daripada pakcik-pakcik, abang dan keluarga terdekat mereka yang tidak menyetujui permohonan Pemohon. Di katakan Pemohon mengemukakan permohonan keluar Islam ini adalah kerana semata-mata pemohon ingin berkahwin dengan seorang lelaki beragama Hindu, bukan kerana pemahaman atau keinginan yang disebabkan kepercayaan kepada agama Hindu. Pemohon telah diasuh sebagai seorang Islam kerana lahir dalam keluarga yang semuanya Muslim, tetapi berubah sikap dalam beberapa tahun ini setelah mengenali seorang lelaki Hindu. Laporan Polis tersebut diserahkan kepada Mahkamah bertanda eksibit – A dan tidak dibantah oleh Pemohon.
Ekoran daripada laporan Polis tersebut, berlaku pergaduhan antara abang Pemohon dan lelaki tersebut yang berakhir dengan abang pemohon ditahan oleh pihak Polis.
Ibu Pemohon juga ada membuat salinan repot polis bagi tujuan tersebut apabila menyedari Pemohon ada teman lelaki seorang Hindu dan berkecenderungan kepada agama Hindu.
Secara prinsipnya, mengikuit undang-undang, seseorang itu perlulah melalui proses pembuktian yang ketat bagi menyokong permohonannya. Dalam hal ini Saya amat meragui tujuan Pemohon untuk keluar dari Agama Islam. Keterangan menunjukkan Pemohon bukan berpaksikan kepada kepercayaan atau kefahaman tentang agama Hindu yang ingin dianuti, tetapi lebih kepada faktor atau tujuan lain, iaitu ingin mengahwini lelaki beragama Hindu.
Hujah ini disokong oleh laporan Polis yang dibuat oleh ibu Pemohon, keterangan Ustaz Ahmad Zaki danUstaz Muhammad Azhar Abdul Ghani dan laporan dari pejabat Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan bertarikh 16hb Mac 2009. Dalam situasi ini, Pemohon langsung tidak mencabar keterangan saksi-saksi tersebut, walaupun diberikan peluang dan mengelak dari memperkatakan hal tersebut.
Pemohon juga gagal menjelaskan dengan baik tentang kefahamannya terhadap agama Hindu, gagal menjelaskan tujuan dan sebab sebenar kenapa ia perlu menukar agamanya. Meskipun Pemohon mendakwa ia bergaul dengan kawan-kawan India dan menghormati agama Hindu, ianya tidaklah menunjukkan Pemohon seorang penganut Hindu, kecuali cuba berjinak-jinak dengan agama Hindu.
Keterangan saksi-saksi Pemohon juga hanya menyebut mengenai Pemohon tidak memakai tudung, tidak pernah Nampak Pemohon ke masjid dan sebagainya, ianya tidaklah menunjukkan Pemohon sudah terkeluar dari Agama Islam.
Meskipun dikemukakan gambar-gamabar yang dijadikan eksibit di mana Pemohon ada menghadiri upacara agama Hindu, kesahihan gambar itu tidaklah dibuktikan. Selain ianya dirakamkan selepas kes ini difailkan, tidak ada hujah yang kuat menyatakan Pemohon adalah seorang penganut agama Hindu.
Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam bukunya ‘Jarimah al-Riddah Wa Uqubat al-Murtad Fi Dhau’i al-Quran wa al-Sunnah, (Jenayah Murtad dan Hukumannya Menurut Perspektif al-Quran dan al-Sunnah), (2000), RMi Multimedia Publishing halaman 61 menyebut:
“Oleh itu wajib berhati-hati apabila menghukum seorang Islam sebagaio Kafir. Islam telah diterima oleh seseorang itu secara yakin. Jadi bila hendak menghukumnya sebagai murtad perlulah ada bukti yang juga menyakinkan tidak boleh dengan syak kerana menurut kaedah “yakin tidak hilang dengan syak’ “
“Mengkafirkan seseorang Muslim dan Muslimah adalah perkara yang amat bahaya dan dilatrang dalam Islam. Nabi Muhammad SAW melarang perbuatan itu sekeras-kerasnya.”
“Perkara ini (menghukum murtad) tidak boleh diserahkan kepada golongan yang gopoh atau orang yang ekstrim atau ortang yang memounyai ilmu yang sedikit, kerana mereka akan mengatakan sesuatu yang tidak diajar oleh Islam.”
Berdasarkan alasan-alasan itu, saya menolak hujah Pemohon untuk mensabitkan dirinya sebagai seorang yang telah terkeluar dari Islam.
Kebebasan Beragama
Pemohon dalam hujahnya juga menimbulkan isu mengenai kebebasan beragama dan merujuk kepada dua ayat yang sering dimanipulasikaan apabila berbicara tentang isu murtad. Iaitu surah al-Baqarah 2:256 dan surah al-kafirun 109:6:
••
256. tidak ada paksaan Dalam ugama (Islam), kerana Sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). oleh itu, sesiapa Yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka Sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali ugama) Yang teguh Yang tidak akan putus. dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.
6. "Bagi kamu ugama kamu, dan bagiku ugamaku".
Pemohon merujuk ayat-ayat ini dengan fahaman yang ditafsirkan oleh ulamak-ulamak kontemporari seperti Dr Azzan Tamimi, Pengarah Institute Of Islamic Political Thought, London dalam The Sun 23hb November 2006, Dr Syed Ali Tawfik Al-Attas, The Star, Tuesday, 1 May 2007, dan Prof Dr Shad Saleem Faruqi, The Star, Wesnesday, 2 May 2007 mengenai kebebasan beragama dengan konsep pemakaiannya yang sempit.
Dengan hormat ingin saya mengambil peluang untuk menjelaskan disini, ‘tiada paksaan dalam beragama’ membawa makna dengan pengertian yang lain. Said Hawa dalam dalam kitabnya ‘al-Asas Fi al Tafsir’, Dar al-Salam, 1999, Jil 1, hal. 600-601. menegaskan bermaksud tidak boleh memaksa mana-mana orang supaya menganut agama Islam.
Syeikh Masruq menyebutkan sebab turun ayat ini adalah berkaitan dengan seorang lelaki golongan Ansar dari Bani Salim bin ‘Aus. Beliau mempunyai dua anak yang beragama Nasrani sebelum kebangkitan Rasulullah. Selepas kebangkitan Rasulullah Saw, kedua-dua anaknya kembali ke Madinah bersama-sama kafilah Nasrani membawa barang makanan. Lalu kedua-duanya didatangi ayahanda mereka yang memaksa mereka memeluk Islam. Namun kedua-dua anaknya enggan berbuat demikian. Hal ini diadukannya kepada Rasulullah SAW . Beliau berkata, : “Wahai Rasulullah! Apakah aku hanya membiarkan kedua-dua anakku dicampakkan ke neraka?” Lalu turunlah ayat ini.(Lihat Dr Wahbah al-Zuhayli, al-Tafsir al-Wasit, Dar al-Fikr, 2000, Jil. 1, hal. 148)
Oleh itu konteks sebenar ‘bukan paksaan’ iailah tidak boleh memaksa orang bukan Islam supaya memeluk Islam, bukannya sebagai hujah untuk membenarkan orang Islam bebas memilih iktikad lain. (Lihat juga YB Sahibus Samahah Dato’ Haji Murtadza Haji Ahmad, Murtad Dan Implikasinya Terhadap Syariah, dalam Isu-Isu Kebebasan Beragama & Penguatkuasaan Undang-Undang Moral, Mohd Hisham Mohd kamal, et.al, (2009) UIAM, hal. 21.
Manakala ayat dari surah al-kafirun 109:6 iaitu “ ” pula diturunkan semasa kaum Musyrikin Quraish merencanakan satu muslihat lalu mencadangkan kepada Rasulullah agar orang-orang Islam menyembah berhala mereka selama setahun sebagai balasan kepada kaum Musyrikin menyembah Allah pada tahun berikutnya. Rasulullah SAW menolak cadangan tersebut selepas Allah menurunkan ayat ini (1-6) . Ayat ini tidak ada kaitan langsung dengan kebebasan beragama dan tidaklah boleh dijadikan sandaran bahawa orang-orang Islam mempunyai kebebasan untuk menjadi murtad.
Jadi, berdasarkan ulasan-ulasan tersebut, saya berpuashati bahawa permohonan Pemohon untuk mengisytiharkan dirinya keluar dari Islam adalah tidak menepati kehendak hukum syarak, menyalahi undang-undang dan tidaklah boleh dibenarkan.
Keputusan Mahkamah
Selepas mempertimbangkan permohonan Pemohon dan setelah meneliti keterangan dan hujah-hujah yang dikemukakan, mahkamah ini berpuashati bahawa pemohon untuk mendapatkan perisytiharan keluar dari Agama Islam adalah tidak disabitkan.
MAKA ADALAH DIPERINTAHKAN BAHAWA permohonan Pemohon untuk mengisytiharkan dirinya meninggalkan agama Islam adalah ditolak.
Agensi-agensi Agama Islam seperti Majlis Agama Islam, Jabatan Agama Islam, Jabatan Mufti atau mana-mana agensi yang berkaitan hendaklah memberi perhatian dalam membimbing dan mengawal aqidah Islamiyyah Pemohon.
Perintah ini adalah berdasarkan permohonan sebelah pihak dan berkuatkuasa mulai hari ini. Rayuan hendaklah dikemukakan dalam masa 14 hari dari tarikh perintah ini dikeluarkan.
Hakim
Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Sembilan Darul Khusus.
Pada 22hb Julai 2010