Tuesday, August 24, 2010

permohonan menghalang dari melangsungkan perkahwinan (DATUK HALIL SHUHADAH LWN EDAYU ABDUL HAMID


DALAM MAHKAMAH TINGGI SYARIAH DI SEREMBAN
DALAM NEGERI SEMBILAN DARUL KHUSUS
KES MAL NO 05100-099-0055-2010

ANTARA
DATUK MOHD HALIL BIN SHUHADAH……………………………………….………….PEMOHON
DAN
EDAYU BINTI ABDUL HAMID……….……………………………………..RESPONDEN

Undang-Undang Tatacara Mal – Permohonan injunksi ex parte – Permohonan cacat – Sama ada wujud unsur keterdesakan – Notis hendaklah diserahsampaikan kepada Responden - Affidavit dipinda tanpa kebenaran dan di hadapan Hakim – Afidavit pembetulan tidak difailkan sebelum bicara –  Permohonan tiada kausa tindakan – Penentuan pihak – Pendaftar NCR Daerah Kuala Pilah tidak dijadikan pihak – sama ada pemohon mempunyai locus standi – Sek. 116 dan 200 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003
Undang-Undang Pentadbiran – Sama ada Mahkamah berbidangkuasa mendengar permohonan – Jadual ke Sembilan Senarai 2, Perlembagaan Persekutuan - sek 61 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003
Undang-Undang Keluarga Islam –– Permohonan pernikahan telah mendapat kebenaran Pendaftar - Sama ada  Penolong Pendaftar Nikah cerai Dan Rujuk Daerah Kuala Pilah  patut diarah menghalang pernikahan tersebut – Sama ada bapa saudara sebelah bapa berhak membatalkan perkahwinan dalam keadaan wali akrab memberikan keizinan – Sama ada wujud halangan syarak dalam perkahwinan yang bakal diakad – sek. 16 dan 17 Enakmen Undang-Undang  keluarga Islam (Negeri Sembilan) 2003
Undang-Undang keterangan – Beban pembuktian – Isu amanah dan tanggungjawab kebajikan ditimbulkan oleh Pemohon – Sama ada Responden yang perlu membuktikan - Sek. 72 Enakmen Undang-Undang Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003

FAKTA KES
Pemohon merupakan bapa saudara sebelah bapa kepada Responden. Bapa Pemohon, Abdul Hamid bin Shuhadah telah meninggal dunia pada 5hb Mei 2007. Responden pula merupakan anak saudara kepada Pemohon dan bakal berkahwin dengan lelaki pilihannya pada 14hb Februari 2010, iaitu kurang tiga minggu dari permohonan ini dimasukkan.  Urusan pendaftaran dan kebenaran untuk berkahwin telah diperolehi serta segala kos dan persiapan telah dirancang oleh Responden dan keluarga. Bagaimanapun, majlis pertunangan yang telah diatur dan majlis perkahwinan yang bakal diadakan dikatakan tidak mendapat restu dan dibuat tanpa pengetahuan Pemohon. 
Pemohon mendakwa, sebagai bapa saudara yang diberi amanah oleh arwah adiknya untuk menjaga kebajikan anak-anak saudaranya berhak dimaklumkan tentang pertunangan dan majlis perkahwinan yang bakal diadakan. Tindakan Responden dan keluarga Responden yang tidak memperkenalkan bakal suami dan ibu bapa bakal suami Responden kepada Pemohon menyebabkan Pemohon terkilan kerana tidak dapat memenuhi kehendak amanat arwah bapa Responden. Terkilan dengan tindakan Responden yang seolah-olah menyembunyikan fakta sebenar, Pemohon telah bertindak memfailkan Permohonan injunksi secara ex parte ke Mahkamah Tinggi Syariah Seremban bagi menghalang Perkahwinan yang bakal diadakan itu daripada diteruskan, atau membatalkan perkahwinan tersebut dan mengarahkan Penolong Pendaftar Nikah Cerai dan Rujuk Daerah Kuala Pilah menghalang perkahwinan tersebut dari diteruskan sehingga Responden memperkenalkan bakal suami dan ibu bapa bakal suami Responden kepada Pemohon terlebih dahulu.
 Pemohon juga memohon kepada Mahkamah ini suatu perintah supaya Responden memperkenalkan bakal suaminya dan ibu bapa bakal suaminya kepada Pemohon sebelum upacara perkahwinan tersebut dijalankan. Tindakan Pemohon ini telah dibuat disaat-saat akhir iaitu beberapa hari sebelum majlis perkahwinan dijalankan.
Merasa terganggu dengan permohonan tersebut, Responden telah bertindak memfailkan afidavit balasan mempertikaikan keseluruhan permohonan Pemohon dan menyifatkan tindakan tersebut adalah suatu penindasan dan penganiayaan kepada Responden dan keluarganya yang dikatakan tidak mempunyai hubungan yang baik dengan Pemohon sejak bertahun-tahun. Pada masa yang sama Pemohon dikatakan tidak layak atau tidak berhak untuk memulakan tindakan tersebut kerana perkahwinan tersebut telah mendapat restu dan keizinan wali   yang sah mengikut Hukum Syarak dan keluarga terdekat Responden.
DIPUTUSKAN
Selepas mempertimbangkan permohonan Pemohon dan setelah mendengar hujah-hujah yang dikemukakan, saya berpuashati dan memutuskan sebagaimana berikut:
1)     Bahawa permohonhan Permohon untuk mengarahkan Penolong pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Daerah Kuala Pilah menahan permohonan kebenaran pernikahan dan/atau pernikahan keatas Responden sehingga ada perintah lain dikeluarkan; dan
2)     Permohonan Pemohon untuk mengarahkan Responden memperkenalkan bakal suami dan ibu bapa bakal suami Responden kepada Pemohon  selaku bapa saudara sebalah bapa sebelum kebenaran untuk pernikahan dipohon di pejabat Agama ;
Adalah ditolak, dengan kos hendaklah ditanggung oleh Pemohon keseluruhannya.
PEGUAM PIHAK-PIHAK

  1.         Dato’ Mohd Zaidi Zain dari Tetuan Zaidi Zain & Associates bagi pihak Pemohon
  2.        Norzaini binti Nordin dari Tetuan Norzaini Nordin & Associates bagi pihak Responden

AL-QURAN YANG DIRUJUK

  1.       Al-Quran, surah al- Baqarah 2: 232:

KITAB YANG DIRUJUK

  1.      AL-Bukhari, Muhammad Ibn Ismail , Sahih al-Bukhari bi Hasyiat al-Sindi, t.t, Beyrut: Dar al-Fikr.
  2.      Dr wahbah al-Zujhaili, Fiqh & Perundangan Islam, Jilid VII, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa Dan Pustaka , 2001,
  3.       Najibah Mohd Zin, et al. dalam ‘Undang-Undang keluarga (Islam), Jilid 14, kuala Lumpur: Dewan bahasa Dan Pustaka
  4.       Norhalim Hj Ibrahim, Glosari Adat Negeri Sembilan, Shah Alam: Afy Communications, 2003

UNDANG-UNDANG YANG DIRUJUK

  1.       Perlembagaan Persekutuan, Jadual Sembilan,  Senarai Kedua.
  2.       Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Nergeri Sembilan) 2003, sek.61.
     3.    Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003, sek.116,   200, 224 dan 225.
4.    sek. 72 Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003 , sek. 72:

KES YANG DIRUJUK

  1.        Nik Mansor bin Nik Ali lwn Tuan Hafsah binti Tuan Man (2006) JHXXI/II 240
  2.      Bakhtiar bin Adnan lwn Mohd Fawzi bin Nahrawi dan 6 yang Lain (2006) JH XXI/I 19
  3.      Hasan Arif Hafiz lwn hasimah Hafiz Ahmed & hasnah Hafiz Ahmad(2006) JHXXII/I 61
  4.       Balbir bin Abdullah lwn Mahadzir bin Mohd Noor (2005) JH 27/1. 51
  5.      Kristen Rachel luterman @ Khatijah lwn Shahrazi bin Sha’ari, (2008) JH 25/1, 139.
  6.      kes Majlis Ugama Islam Pulau Pinang dan Seberang Perai lwn Shaikh Zolkaffily Shaikh Natar dan yang lain [2003] 3 MLJ 705
  7.      R lwn Commissioner of Police for the Metropolis ex p. Blackburn [1968] 2 QB 241,
  8.      Lim Cho Hock lwn Kerajaan Negeri Perak [1980] 2 MLJ 148

YA Mohd Nadzri bin Abdul Rahman HMTS Memberikan Penghakiman

Permohonan ini telah difailkan pada 22/1/10 oleh Pemohon Halil bin Shuhadah. Pada peringkat awal sewaktu kes ini mula disebut, saya dikejutkan dengan permohonan Peguam Syarie Pemohon yang memohon kes ini didengar secara ex parte. Bagaimanapun, permohonan lisan tersebut telah ditolak oleh Mahkamah ini dan mengarahkan supaya permohonan ini didengar secara inter parte serta satu notis penyampaian kepada Responden hendaklah disampaikan. Antara lain  alasan Mahkamah waktu itu ialah:
i)     Permohonan ini sendiri tidak menggambarkan sebagai suatu permohonan ex parte
ii)    Permohonan tidak dimasukkan affidavit sokongan sebagai suatu tindakan ex parte, dan tidak memenuhi syarat-syarat seperti yang dikehendakki di bawah sek 200 (3) ETTCMMS 2003
iii)   Selain daripada bentuk dan fakta yang dideposkan dalam permohonan itu sendiri yang tidak  memenuhi kehendak sek 200(2) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah, iaitu tiadanya elemen-elemen yang mendesak yang membolehkan Mahkamah ini campur tangan serta merta.
iv)   Permohonan ini juga kabur, tidak jelas dan tiada kausa tindakan. Bagaimanapun demi keadilan kepada Pemohon dan Responden, Pemohon diarahkan menyampaikan notis kepada Responden bagi mengelakkan penganiayaan kepada pihak-pihak.
Tindakan mengarahkan notis penyampaian itu disampaikan kepada Responden bagi mengelakkan berlakunya ketidak adilan kepada Responden, apatah lagi permohonan ini dibuat di saat-saat akhir Responden akan diijabkabulkan dan majlis perkahwinan yang dicadangkan itu dijadualkan berlangsung pada 14/2/2010. Pemohon kemudiannya mematuhi arahan Mahkamah dan notis serta salinan dokumen telah disampaikan kepada Responden pada  7/2/2010 sehari sebelum pendengaran prosiding kes ini.
Tindakan supaya notis tersebut disampaikan juga adalah selari dengan kes yang pernah diputuskan sebelum ini di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan iaitu Kristen Rachel luterman @ Khatijah lwn Shahrazi bin Sha’ari, (2008) JH 25/1, 139. Dalam kes tersebut, merasakan tidak wajar permohonan ex parte didengar tanpa kehadiran Responden mengenai isu yang menyentuh hak dan kepentingan Responden, Mahkamah telah mengarahkan satu salinan Notis dan dokumen disampaikan kepada Responden sebelum prosiding itu dimulakan.
Pada 8/2/2010, Responden telah hadir sedirian ke Mahkamah ini dan dan dinasihatkan supaya memfailkan apa-apa pembelaan yang patut bagi memudahkan Mahkamah ini membuat penelitian
Pada 10/2/2010, Responden  melalui Peguam Syarienya telah  memasukkan afidavit jawapan danseterusnya kedua-dua pihak dibenarkan berhujah.
Antara lain pemohon telah memfailkan tindakan ini ke Mahkamah bagi mendapatkan relief-relief berikut:
1)    untuk mengarahkan Penolong pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Daerah Kuala Pilah menahan permohonan kebenaran pernikahan dan/atau pernikahan keatas Responden sehingga ada perintah lain dikeluarkan; dan
2)    untuk mengarahkan Responden memperkenalkan bakal suami dan ibu bapa bakal suami Responden  kepada Pemohon  selaku bapa saudara sebelah bapa sebelum kebenaran untuk pernikahan dipohon di Pejabat Agama
Pemohon dalam affidavit sokongannya mendakwa beliau telah diamanahkan oleh arwah bapa Responden (Allahyarham Abdul Hamid bin Shuhadah) untuk menjaga kebajikan anak-anak buahnya. Mengetahui Responden akan berkahwin, merasakan bertanggungjawab dan memikul amanah tersebut, menyebabkan Pemohon perlu ambil tahu mengenai kedudukan sebenarnya mengenai perkahwinan Responden. Malangnya Responden dikatakan telah bertindak menyembunyikan majlis pertunangan dan perkahwinan yang bakal dilangsungkan.
Pemohon perlu mengenal pasti kedudukan dan status bakal suami Responden, sama ada seorang yang berakhlak atau sebaliknya. Untuk itu Pemohon telah membuat carian dan semakan di Ibupejabat Polis Bukit Aman bagi tujuan tersebut. Bagaimanapun carian tersebut  tidak dikemukakan kepada Mahkamah ini. Pemohon juga telah membantu ibu Responden dengan memberikan ladang getah untuk mencari rezeki, berjumpa dengan Naib Canselor UITM cawangan Melaka bagi membantu Responden mendapatkan pekerjaan dan sebagainya. Menurut Pemohon, tindakan–tindakan tersebut dilakukan semata-mata untuk menjaga kebajikan dan maruah keluarga sebagaimana yang diamanahkan. Bagaimanapun Pemohon terkilan apabila Responden bertindak menyembunyikan perkahwinan dan tidak memaklumkannya kepada Pemohon.
Responden dalam affidavit jawapannya pula menegaskan bahawa dakwaan Pemohon adalah sesuatu yang tidak benar, mana mungkin arwah bapanya mengamanahkan sesuatu kepada Pemohon kerana hubungan arwah bapanya dan keluarganya dengan Pemohon adalah tidak baik sejak 7 tahun kebelakangan sebelum kematian. Tidak ada bukti arwah semasa hayatnya mengamanahkan kebajikan anak-anak dijaga oleh Pemohon. Pemohon sendiri tidak pernah bertandang kerumah Responden selain dari hari arwah meninggal dan tidak pernah membantu pemohon dan keluarga dalam semua aspek.
Pemohon juga tidak berhak untuk mengemukakan bantahan atau menghalang perkahwinan yang bakal diakadkan kerana wali Responden iaitu adik kandung seibu sebapa, Mohammad al-Maliki bin Abdul Hamid, seorang yang cukup umur, waras dan matang telah menyatakan persetujuan sebagai wali dan memberikan kebenaran untuk berkahwin, malah perkahwinaan tersebut juga telah direstui oleh semua keluarga terdekat termasuk adik beradik arwah bapanya selain Pemohon. Bagaimanapun pemohon tidak dimaklumkan tentang perkahwinan kerana beliau tidak datang waktu dijemput untuk kenduri yang diadakan sebelum itu semasa majlis merisik.  
Responden juga menegaskan bahawa segala persiapan perkahwinan telah diatur, sebahagian bayaran telah dijelaskan, dan sebahagian wang hantaran bakal suami juga telah dibelanjakan bagi tujuan tersebut. Urusan kebenaran perkahwinan dengan Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan telah diselesaikan, urusan perkahwinan luar kariah dari bakal suami melalui Jabatan Agama Islam Negeri Selangor juga telah diperolehi. Membatalkan majlis perkahwinan tersebut akan menyebabkan kerugian dan  aib kepada Responden sekeluarga. Selanjutnya Responden menyatakan bahawa permohonan Pemohon adalah suatu tindakan yang tidak ada motif kecuali menyusahkan, bersifat penindasan dan suatu penganiayaan.
Meneliti dari affidavit dan hujah-hujah kedua pihak, Mahkamah mendapati ada tiga isu utama yang perlu diputuskan dalam kes ini, iaitu;
i)             Sama ada Mahkamah ini berbidangkuasa mendengar tindakan ini;
ii)    Sama ada tindakan Pemohon supaya Mahkamah ini mengarahkan Penolong Pendaftar Nikah, cerai dan Rujuk daerah Kuala Pilah sebagai suatu tindakan yang betul dan sah mengikut undang-undang; dan
iii)   Sama ada permohonan Pemohon agar memperkenalkan bakal suami dan ibu bapa bakal suami Responden sebagai suatu tindakan yang patut  dari sudut undang-undang dan Hukum Syarak
Dalam memutuskan isu-isu ini, kupasan akan dibuat satu persatu berdasarkan hujah pihak-pihak.

i)             Bidangkuasa Mahkamah
Menyentuh mengenai bidangkuasa mahkamah, Responden berhujah Mahkamah ini tidak mempunyai kuasa untuk mendengar kes ini kerana Pemohon bukanlah pihak yang sewajarnya untuk menghalang pernikahan Rersponden dalam keadaan Responden mempunyai wali yang sah dan memberi izin terhadap perkahwinan tersebut. Tidak ada kausa tindakan yang khusus bagi Pemohon memulakan tindakan ini. Sek. 61 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003 tidak memberi hak kepada Pemohon untuk memaksa Pemohon memperkenalkan bakal suami dan keluarga bakal suami kepada Pemohon yang bukannya seorang wali kepada Responden. Mahkamah Syariah juga tidak diberi sebarang kuasa secara jelas atau tersirat mengenai isu yang dikemukakan.
Sebaliknya Pemohon berhujah secara lisan bahawa pemohon mengakui tidak ada permohonan khusus,mengenai  tindakan ini dimulakan kecuali berdasarkan beberapa fakta hukum syarak. Pemohon menyedari bahawa ini bukanlah tuntutan wali enggan, farak nikah atau sebagainya, tetapi hanyalah sekadar untuk meminta Responden memperkenalkan bakal suami dan keluarga bakal suami kepada Pemohon atas dasar hukum syarak dimana pemohon adalah bapa saudara terkanan kepada Responden dan kerana Pemohon memegang amanah dari arwah bapa Responden untuk menjaga kebajikan keluarga Responden selepas arwah bapa meninggal dunia. Atas dasar silatul rahim, Pemohon berhujah menggunapakai sek. 244 dan sek 245(2) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003 memberi kuasa untuk Mahkamah mendengar permohonan ini.
Saya bersetuju dengan hujah Peguam Pemohon yang bijaksana mengenai pemakaian seksyen 245(2) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah Syariah. Seksyen tersebut menyebut:
(2) Jika terdapat lacuna atau jika apa-apa perkara tidak diperuntukkan dengan nyata oleh Enakmen ini, Mahkamah hendaklah memakai Hukum Syarak.
Walaubagaimanapun, seksyen tersebut hendaklah dibaca bersama dengan undang-undang asas iaitu Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) sek 61(3)(i) dan (xii) yang memperuntukkan:
(3) Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah—
(b) dalam bidang kuasa malnya, mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding jika semua pihak dalam tindakan atau prosiding itu ialah orang Islam dan tindakan atau prosiding itu adalah berhubungan dengan—
(i) pertunangan, perkahwinan, ruju’, perceraian, pembubaran perkahwinan (fasakh), nusyuz, atau pemisahan kehakiman (faraq) atau apa-apa perkara yang berkaitan dengan perhubungan antara suami dengan isteri;

(xii) perkara-perkara lain yang berkenaan dengannya bidang kuasa diberikan oleh mana-mana undang-undang bertulis.

Saya juga berpeluang merujuk kepada Jadual Kesembilan, Senarai 2, Senarai Negeri, Perlembagaan Persekutuan  yang memperuntukkan:

“Kecuali mengenai Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya Hukum Syarak dan undang-undang diri dankeluarga bagi orang yang menganut agama Islam, termasuk Hukum Syarak berhubung dengan mewarisi harta berwasiat dan tak berwasiat, pertunangan, perkahwinan, nafkah, pengambilan anak angkat, kesahtarafan, penjagaan anak, pemberian, pembahagian harta dan amanah bukan khairat, wakaf Islam dan takrif serta peraturan mengenai amanah khairat dan khairat agama, perlantikan pemegang-pemegang amanah dan perbadanan bagi orang-orang mengenai pemberian agama Islam dan khairat, institusi, amanah dan institusi khairat yang dijalankan semuanya sekali dalam negeri, adat istiadat Melayu, zakat, fitrah, baitulmal atau hasil agama Islam yang seumpamanya, masjid atau mana-mana tempat sembahyang awam untuk orang Islam; mengadakan dan menghukum kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh orang-orang yang menganut ugama terhadap rukun-rukun Islam, kecuali mengenai perkara-perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan; keanggotaan, penyusunan, dan acara bagi Mahkamah –Mahkamah Syariah yang akan mempunyai bidang kuasa hanya ke atas orang-orang yang menganut agama Islam dan hanya mengenai mana-mana perkara yang termasuk dalam perenggan ini, tetapi tidak  mempunyai bidang kuasa mengenai kesalahan kecuali setakat yang  diberi oleh undang-undang persekutuan, mengawal perkembangan iktikad dan kepercayaan antara orang-orang yang menganut ugama  Islam; menentukan perkara-perkara Hukum Syarak dan iktikad dan adat istiadat Melayu”

Saya bersetuju isu yang ditimbulkan oleh Pemohon mengenai permohonan supaya Penolong Pendaftar NCR Daerah Kuala Pilah menahan perkahwinan Responden dan Responden diminta memperkenalkan bakal suami dan keluarga bakal suaminya adalah terjumlah di bawah ‘perkara-perkara Hukum Syarak’ dan Mahkamah ini mempunyai bidangkuasa. Ditambah lagi dengan isu ‘amanah’ secara lisan yang menjadi perkara pokok untuk mahkamah ini pertimbangkan.
 Menguatkan hujah tersebut , saya merujuk kepada satu kes diputuskan oleh Mahkamah Persukutuan iaitu Majlis Ugama Islam Pulau Pinang dan Seberang Perai lwn Shaikh Zolkaffily Shaikh Natar dan yang lain [2003] 3 MLJ 705, di mana Hakim Haidar Mohd Noor telah  menggunapakai pendekatan berdasarkan kepada perkara asas (subject matter) dan bukan hanya merujuk kepada  remedi yang dipohon (remedy prayed for).  Dalam konteks ini, apabila mahkamah dihadapkan dengan sesuatu kes, maka pendekatan yang penting untuk diambil dalam memutuskan sama ada mahkamah ini mempunyai bidang kuasa ataupun sebaliknya adalah dengan
melihat kepada perkara asas (subject matter) bagi perkara yang dibawa,
bukannya hanya merujuk kepada remedi yang dipohon (remedy prayed for). Justeru itu jika  perkara asasnya ialah pertunangan, perkahwinan, hibah, wakaf, wasiat atau faraid atau sebagainya yang terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah, maka jelaslah mahkamah ini berbidangkuasa untuk memutuskan apa-apa remedi yang berkaitan dengan permohonan ini.
Saya juga bersetuju dengan hujah Peguam pemohon yang terpelajar dengan menggunapakai sek 244 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003 yang memperuntukkan:
Tiada apa-apa jua dalam Enakmen ini boleh disifatkan sebagai mengehadkan atau menyentuh kuasa sedia ada pada Mahkamah untuk membuat apa-apa perintah yang perlu untuk mengelakkan ketidakadilan atau mengelakkan penyalahgunaan proses Mahkamah.
Seksyen ini memberi kuasa kepada Mahkamah untuk mendengar dan memutuskan isu yang ditimbulkan oleh Pemohon bagi memastikan keadilan kepada kedua-dua pihak dapat ditegakkan.
ii)            Sama ada tindakan Pemohon supaya Mahkamah ini mengarahkan Penolong Pendaftar Nikah, cerai dan Rujuk Daerah Kuala Pilah menahan majlis perkahwinan Responden sebagai suatu tindakan yang betul dan sah mengikut undang-undang;
Dalam menentukan sama ada wajar atau tidak perintah diberikan kepada Penolong Pendaftar Nikah cerai dan Rujuk Daerah Kuala Pilah agar menahan perkahwinan yang bakal dilangsung pada 14/2/2010, kupasan akan dibuat dalam beberapa sudut.
Dalam kes ini, Penolong Pendaftar Nikah cerai dan Rujuk Daerah kuala Pilah tidak dipanggil dan tidak dijadikan sebagai pihak. Bagaimanapun, perintah yang dipohon adalah berkait rapat dengan tugas, bidangkuasa dan maklumat yang ada dalam pengetahuan pegawai berkenaan.
Perkahwinan Responden dijangka akan diakadkan pada 14/2/2010 dan masih belum dijalankan. Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Daerah Kuala Pilah perlulah dijadikan pihak dalam prosiding ini. Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Daerah Kuala Pilah perlu diberi hak untuk menjawab sama ada mereka ada liabiliti secukupnya untuk meneruskan atau tidak meneruskan permohonan akad nikah yang dibuat oleh Responden. Mereka perlu diberi peluang sama ada perkahwinan  yang dicadangkan akan diakadkan pada 14/2/2010 adalah memenuhi kehendak hukum syarak atau sebaliknya. Meskipun dalam banyak keadaan, permohonan seperti ini dibolehkan, tetapi saya berpendapat, wajar atau tidak sesuatu perkahwinan itu diteruskan atau tidak, Penolong Pendaftar Nikah Cerai dan Rujuk Daerah Kuala Pilah lebih mengetahui isu ini  terutamanya dari segi syarak, kerana segala urusan awalan telah dibuat di hadapan mereka oleh Responden. Sebelum perkahwinan diakadkan, segala borang dan keperluan kearah itu sudah semestinya telah diselesaikan, jika tidak Penolong Pendaftar Nikah cerai dan Rujuk atau sesiapa yang diberi kuasa untuk meluluskan permohonan tersebut, sekurang-kurangnya telah mematuhi sek. 16-17 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Sembilan) 2003. Sebelum mengetahui sama ada seksyen-seksyen tersebut dipatuhi atau tidak, maka wajarlah Penolong Pendaftar Nilah Cerai dan Rujuk Daerah Kuala Pilah dijadikan pihak. Pematuhan kepada seksyen tersebut perlu diputuskan dari segi undang-undang manakala  dari sudut syarak pula, Mahkamah perlu memastikan isu-isu  berbangkit  seperti keizinan perkahwinan, penentuan wali,  keizinan wali, poligami dan sebagainya.
Saya bersetuju jika Responden mengatakan tindakan ini lebih bersifat penindasan dan penganiayaan jika diputuskan supaya perkahwinan tersebut ditahan dalam keadaan maklumat sebenar tidak diperolehi dari Penolong Pendaftar Nikah cerai dan Rujuk Daerah Kuala Pilah jika ianya tidak dipanggil.
Saya juga dapat membayangkan kerumitan yang akan berlaku pada hari majlis perkahwinan berlangsung sekiranya perintah ini dikeluarkan tanpa mereka mengetahui isu sebenar. Saya juga tidak dapat menggambarkan kebingungan pegawai-pegawai berkenaan aapabila disuakan perintah Mahkamah agar perkahwinan ini dihalang dari diteruskan dalam keadaan mereka sendiri telah berpuashati bahawa tidak ada apa-apa halangan syarie atau undang-undang bagi meneruskan majlis akad nikah tersebut.
Segala proses bagi kebenaran berkahwin pengantin perempuan telah diluluskan, kebenaran berkahwin luar negeri oleh Pengantin lelaki dari Pendaftar Nikah cerai dan Rujuk Daerah Klang Selangor juga telah diperolehi, ujian saringan HIV juga telah dilakukan, kursus perkahwinan juga telah diperolehi, maka tidak ada sebab yang sah dari sudut undang-undang dan hukum syarak bagi Pendaftar Nikah Cerai dan Rujuk Daerah Kuala Pilah untuk menahan perkahwinan tersebut dan sudah tentulah perintah yang dikeluarkan tanpa Pendaftar tersebut dipanggil untuk diperiksa maklumat sebenar mengenai keesahan segala dokumen akan menyebabkan kekalutan dan keaiban kepada pihak-pihak yang menghadiri majlis perkahwinan tersebut.
Saya bersetuju Pendaftar Nikah cerai dan Rujuk tidak perlu dipanggil dan dijadikan pihak dalam prosiding ini jika status pemohon sebagai wali kepada perkahwinan tersebut, kerana sebagai wali pemohon berhak berbuat demikian meskipun Pedaftar NCR telah mengeluarkan kebenaran berkahwin, tetapi dalam kes ini, Pemohon tidak mempunyai hak dari segi syarak untuk berbuat demikian. Jadi permohonan untuk mengarahkan Penolong Pendaftar Nikah cerai dan Rujuk menahan perkahwinan Responden adalah suatu tindakan yang tidak wajar dalam keadaan tidak ada halangan dari segi undang-undang dan hukum syarak lebih-lebih lagi ia tidak dipanggil dan tidak dijadikan pihak dalam tindakan ini.
Tidak menamakan pendaftar nikah cerai dan rujuk sebagai pihak dalam kes ini menjadikan permohonan ini cacat dan tidak berkesan. Beliau wajar dijadikan pihak atau Responden dalam prosiding ini. Saya merujuk kepada beberapa kes yang pernah diputuskan sebagai panduan dalam menentukan pihak-pihak dalam prosiding.  Antaranya ialah Nik Mansor bin Nik Ali lwn Tuan Hafsah binti Tuan Man (2006) JHXXI/II 240, Bakhtiar bin Adnan lwn Mohd Fawzi bin Nahrawi dan 6 yang Lain (2006) JH XXI/I 19, Hasan Arif Hafiz lwn hasimah Hafiz Ahmed & hasnah Hafiz Ahmad(2006) JHXXII/I 61, dan juga kes Balbir bin Abdullah lwn Mahadzir bin Mohd Noor (2005) JH 27/1. 51 di mana semua kes tersebut ditolak oleh Mahkamah bicara kerana antara lain alasan Mahkamah ialah defendan yang sepatutnya dijadikan pihak-pihak telah tidak dimasukkan.
Allah telah menegur wali-wali perkahwinan daripada menghalang waliannya berkahwin tanpa sebab yang sah mengikut hukum syarak. Maka adalah lebih-lebih lagi bagi mereka yang bukan wali kepada perempuan tersebut sebagaimana firman Allah dalam surah al- Baqarah 2: 232:

#sŒÎ)ur ãLäêø)¯=sÛ uä!$|¡ÏiY9$# z`øón=t6sù £`ßgn=y_r& Ÿxsù £`èdqè=àÒ÷ès? br& z`ósÅ3Ztƒ £`ßgy_ºurør& #sŒÎ) (#öq|ʺts? NæhuZ÷t/ Å$rã÷èpRùQ$$Î/ 3 y7Ï9ºsŒ àátãqム¾ÏmÎ/ `tB tb%x. öNä3ZÏB ß`ÏB÷sム«!$$Î/ ÏQöquø9$#ur ÌÅzFy$# 3 ö/ä3Ï9ºsŒ 4s1ør& ö/ä3s9 ãygôÛr&ur 3 ª!$#ur ãNn=÷ètƒ ÷LäêRr&ur Ÿw tbqßJn=÷ès? ÇËÌËÈ  
232. dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri (kamu), lalu habis masa idah mereka ' maka janganlah kamu (Wahai wali-wali nikah) menahan mereka daripada berkahwin semula dengan (bekas) suami mereka, apabila mereka (lelaki dan perempuan itu) bersetuju sesama sendiri dengan cara Yang baik (yang dibenarkan oleh Syarak). Demikianlah diberi ingatan dan pengajaran dengan itu kepada sesiapa di antara kamu yang beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik bagi kamu dan lebih suci. dan (ingatlah), Allah mengetahui (akan apa jua Yang baik untuk kamu) sedang kamu tidak mengetahuinya.

Menghayati firman Allah tersebut, adalah sesuatu yang amat tidak wajar untuk saya membenarkan permohonan Pemohon agar Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Daerah Kuala Pilah menahan perkahwinan Responden yang bakal diakadkan pada 14/2/2010. Bukan sahaja penolong Pendaftar NCR, malah Pemohon sendiri juga tidak wajar berbuat demikian dalam keadaan tidak wujud apa-apa isu syarie untuk menghalang perkahwinan tersebut.

iii)           Sama ada memperkenalkan bakal suami dan ibu bapa bakal suami Responden kepada Pemohon sebelum perkahwinan sebagai suatu tindakan yang patut 
Sama ada wajar atau tidak Responden perlu memperkenalkan bakal suami dan ibu bapa bakal suami kepada Pemohon  bolehlah dilihat dari beberapa sudut.
Dari sudut undang-undang, Responden menghujahkan bahawa pemohon tidak memopunyai locus standi untuk bertindak demikian kerana pemohon bukanlah wali kepada perkahwinan. Peguam Responden yang terpelajar telah merujuk beberapa otoriti dari kitab fiqh Dr wahbah al-Zujhaili, Fiqh & Perundangan Islam, Jilid VII, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa Dan Pustaka , 2001, hal. 277, dan  Najibah Mohd Zin, et al. dalam ‘Undang-Undang keluarga (Islam), Jilid 14, kuala Lumpur: Dewan bahasa Dan Pustaka,  dimana kedudukan Pemohon sebagai wali berada di tangga ke tujuh selepas bapa, datuk sebelah bapa, saudara lelaki seibu sebapa, saudara lelaki sebapa, anak saudara lelaki seibu sebapa, anak saudara lelaki sebapa dan barulah bapa saudara sebelah bapa seibu sebapa.
Dalam kes ini, saudara lelaki seibu sebapa kepada Responden masih ada dan layak serta waras bagi mewalikan perkahwinan, iaitu Muhammad al-Maliki bin Abdul Hamid. Wali juga turut memfailkan afidavit sokongan bagi pihak Responden  bagi tujuan tersebut. Tidak wujudnya hak sebagai wali menjadikan Pemohon tidak mempunyai locus standi bagi menahan perkahwinan ini mengikut undang-undang.
Sebagai orang yang tidak berkepentingan dalam hal ini, maka kewajaran untuk memperkenalkan bakal suami dan ibu bapa bakal suami Responden kepada Pemohon sudah tentulah sesuatu yang tidak perlu.
Saya mempunyai pandangan berbeza menyentuh isu locus standi mengikut syarak. Dari segi syarak. Saya berpendapat Mahkamah ini harus membenarkan permohonan Pemohon jika ianya berkaitan dengan hukum syarak. Tidak ada locus standi secara jelas dalam hukum syarak kerana semua orang Islam yang  mukalaff berhak mengemukakan apa-apa permohonan bagi memastikan Hukum Syarak ditegakkan. Berpandu kepada konsep ‘amar ma’ruf nahi munkar’ ianya adalah dibenarkan. Saya ambil contoh jika Pemohon  adalah bapa saudara kepada Responden dan Responden  yang ingin berkahwin menggunakan wali akrab iaitu adik kepada Responden yang tidak sah taraf atau Responden sendiri tidak sah taraf dari segi hukum syarak, atau wali bukanlah keluarga terdekat atau sebagainya, maka Pemohon berhak berbuat demikian. Dalam kes ini adalah sebaliknya dimana Responden mempunyai wali akrab yang sah dari adik lelakinya yang tiada halangan untuk menjadi wali kepada perkahwinannya selepas ketiadaan wali mujbir sebagaimana menurut syarat perwalian mengikut Mazhab Syafie, maka tidak ada sebab dari segi syarak untuk Pemohon menghalang perkahwinan tersebut dari diteruskan dan tidak ada sebab-sebab syarie lain yang membolehkan perkahwinan tersebut ditegah melainkan kepentingan peribadi masing-masing. Dalam kes ini, isu locus standi yang dihujahkan oleh Responden adalah terpakai.
Dari segi adat kelaziman pula, adalah sesuatu yang amat wajar bagi Responden memperkenalkan bakal suami kepada pemohon. Amalan tersebut adalah amat digalakkan malah menjadi sesuatu yang sunat mengikut syarak mengisytiharkan perkahwinan (I’lan al-nikah) dan memperkenalkan suami atau isteri kepada tetamu lebih-lebih lagi kepada keluraga terdekat. Tujuannya adalah untuk mengelakkan tohmah dan fitnah. Bagaimanapun, amalan masyarakat Melayu khususnya di Negeri Sembilan dan kebanyakan adat melayu di tempat-tempat lain ialah memperkenalkan suami atau isteri kepada sanak saudara selepas berlakunya perkahwinan, bukannya memperkenalkan tunang atau bakal suami kerana mereka masih belum punyai ikatan yang sah.
Jika hak pemohon untuk menafikan perkahwinan ini tidak wujud dari segi syarak, atau dari sudut undang-undang atau dari sudut adat kelaziman sekalipun, maka permohonan Pemohon adalah suatu tindakan yang sia-sia, menganggu, mengacau dan menyusahkan Responden.
Memahami isu locus standi, secara mudahnya di bawah Common Law, locus standi adalah merujuk kepada hak seseorang untuk memulakan pembicaraan di mahkamah. Dalam kes di England,  R lwn Commissioner of Police for the Metropolis ex P. Blackburn [1968] 2 QB 241, Lord Denning memutuskan akan menidakkan locus standi kepada seseorang penyibuk yang menyentuhi hal yang tidak berkaitan dengannya tetapi akan memberikan locus standi kepada sesiapa yang mempunyai isu benar di mana sesuatu yang dilakukan atau bakal berlaku mempunyai kesan ke atasnya.
Dalam kes lain di Malaysia, Lim Cho Hock lwn Kerajaan Negeri Perak [1980] 2 MLJ 148, mahkamah telah memutuskan bahawa bahawa plaintiff mempunyai locus standi di bawah alasan beliau mempunyai kepentingan persendirian yang benar untuk membawa kes tersebut.
Ini bermakna locus standi adalah hak seseorang untuk membawa sesuatu isu di hadapan mahkamah terhadap sesuatu yang dilakukan atau bakal berlaku yang akan memberi kesan keatasnya atau yang berkepentingan mengenainya. Dalam kes ini, tidak ada apa-apa kesan berlaku atau akan berlaku ke atas Pemohon samada melibatkan kepayahan, kerugian atau sebagainya sama ada mengikut undang-undang, hukum syarak atau adat kelaziman melainkan kepuasan hati Pemohon semata-mata.
Meskipun Pemohon berhujah bahawa tindakan ini dimulakan atas dasar syarak, iaitu beliau memegang janji dan amanah dari arwah bapa Responden yang mahukan kebajikan anak-anaknya terpelihara,  Saya tidak beranggapan isu ini sebagai asas kepada hak Pemohon untuk memfailkan apa-apa tindakan yang munasabah terhadap Responden. Menyentuh isu ini, Responden mengikrarkan bahawa ia tidak ada pengetahuan langsung bahawa arwah bapanya mengamanahkan sesuatu kepada Pemohon, apatah lagi mengenai kebajikan diri Pemohon dan adik-adik Pemohon yang lain. Apatah lagi hubungan arwah bapa Responden dengan Pemohon adalah tidak begitu baik sejak 7 tahun kebelakangan ini dan tidak sepertimana dengan pakcik dan makciknya sebelah bapa yang lain. Responden juga berhujah selepas kematian arwah bapanya, Pemohon tidak pernah menjejakkan kaki atau menziarahi mereka, tidak pernah bertanya khabar dan tidak pula hadir sewaktu dijemput ketika majlis merisik. Juga tidak ada apa-apa dokumen bertulis atau pembuktian lain mengenai amanah tersebut.
Sebaliknya Pemohon berhujah, arwah bapa Responden ada mengamanahkan agar menjaga kebajikan anak-anaknya setelah beliau mati kelak, Pemohon juga benyerahkan ladang getah untuk dikutip hasilnya kepada ibu Responden, mencarikan pekerjaan kepada Responden dan sebagainya semata-mata untuk menyempurnakan amanah arwah bapa Responden.
Saya mengambil pandangan dalam memutuskan isu ini dengan kembali kepada Hukum Syarak. Setiap dakwaan perlulah dibuktikan sebaiknya. Sepertimana hadis Rasulullah yang mashur menyebut:
Keterangan hendaklah diberikan oleh pihak yang mendakwa dan sumpah oleh pihak yang kena dakwa” (hadis Riwayat Bukhari, Juz. II, hal. 78.

Saya tidak bersetuju dengan hujah Pemohon bahawa Responden yang perlu membuktikan bahawa tidak wujudnya amanah tersebut atas dasar sangkaan baik dan Responden yang menimbulkan isu hubungan arwah bapanya dengan Pemohon kurang baik, maka Responden yang perlu membuktikan isu ini. Dengan hormat saya katakan disini, perhatian Mahkamah tidak sepatutnya dialihkan kepada isu-su yang bukan menjadi soal. Secara mudahnya, jika Pemohon mengatakan tindakan ini diasaskan atas dasar wwujudnya amanah, maka kewujudan fakta tersebut hendaklah dibuktikan oleh Pemohon selengkapnya. Ia tidak ada kena mengena dengan hubungan Pemohon dan arwah bapa Pemohon itu baik atau tidak hubungan peribadinya. Sek. 72 Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003 yang menegaskan:

Beban untuk mengemukakan keterangan dalam sesuatu kes mal terletak pada orang yang mengatakan atau menegaskan sesuatu fakta (al-Mudda’ii) dan orang yang mengangkat sumpah untuk menafikan atau mempertikaikan sesuatu fakta (al-Mudda’a ’alaih).

Saya juga berpendapat, sama ada sesiapa sahaja yang perlu membuktikan isu ini pada peringkat ini adalah tidak timbul, bukan kerana pembuktian tidak dibawa, tetapi juga jika benarlah wujudnya amanah itu sekalipun, ianya tidak memberi kesan kepada Hukum syarak atau pun undang-undang kerana anak-anak arwah khususnya Pemohon sudah berumur 22 tahun dan sudah mempunyai hak untuk melakukan apa-apa transaksi secara persendirian. Demikian juga wali Responden, Mohammad al Maliki sudah berumur  21 tahun. Mereka adalah seorang yang waras, cukup umur, tidak sapih dan sebagainya yang membolehkan saya membuat apa-apa pertimbangan. Saya tidak Nampak isu ini perlu diperbesarkan.

iv)          Isu-isu lain
Selain dari isu-isu yang disebut sebelum ini, terdapat beberapa isu yang wajar saya ketengahkan bagi menjelaskan lagi pendirian Mahkamah dalam kes ini. Antaranya;
i)     Permohonan Pemohon  terdapat banyak kecacatan sama ada dalam bentuk, fakta atau kesilapan tulis yang boleh memberi kesan kepada kepentingan keadilan dan menimbulkan keraguan, terutamanya kepada Responden. Affidavit juga telah dipinda tanpa kebenaran Mahkamah dan dibuat tidak dengan kebenaran dan di hadapan Hakim. Sesuatu afidavit tidaklah boleh dipinda kecuali membetulkan apa-apa kecacatan bentuk atau kesilapan tulis. Jika terdapat fakta yang ingin dibetulkan, hendaklah dibuat pembetulan dengan cara difailkan satu affidavit pembetulan sebelum perbicaraan dan bukan dengan cara memotong atau meletakkan tandatangan ringkas. Sek. 116 (1) dan (2) Enakmen TTCMS NS 2003 memperuntukkan:

(1) Suatu afidavit yang telah difailkan tidak boleh dipinda kecuali bagi maksud membetulkan apa-apa kecacatan bentuk atau kesilapan tulis.

(2) Apa-apa pindaan yang dibuat di bawah subseksyen (1) hendaklah dibuat melalui afidavit pembetulan dan hendaklah difailkan sebelum perbicaraan.
Dalam kes ini pindaan dibuat dengan menggunakan pen dan tandatangan ringkas. Pindaan yang dibuat bukanlah membetulkan kecacatan bentuk, tetapi mengubah fakta seperti mengubah alamat dari No 20. Jalan Layar (19/35), sek 19, 40300 Shah Alam Selangor kepada G-10 Jalan rasak, Taman Setapak, 53000 Kuala Lumpur. Selebihnya kesalahan-kesalahan tulisan lain yang dipinda dengan pen, sedangkan kesalahan tersebut boleh diperbetulkan secara lisan dengan kebenaran dan di hadapan hakim.
ii)    Tidak berlakunya keengganan daripada wali yang bakal menikahkan perkahwinan Responden. Malah wali sendiri iaitu adik kepada Responden turut memfailkan afidavit tambahan bagi pihak Responden menyatakan persetujuan tersebut.
iii)   Tidak ada kausa tindakan yang jelas, permohonan yang kabur dan tindakan tidak didasarkan kepada merit undang-undang atau peruntukan yang khusus melainkan dibuat artas dasar kehendak dan kepentingan peribadi.  Mengarahkan Responden supaya memperkenalkan bakal suami kepada Pemohon adalah suatu isu remeh yang menyusahkan semua pihak untuk diputuskan oleh Mahkamah. Isu ini lebih kepada pertikaian masalah keluarga yang tidak perlu diputuskan oleh undang-undang. Isu ini lebih wajar diselesaikan secara kekeluargaan atau adat kelaziman. Selain dari tujuan itu, saya tidak nampak tujuan lain tindakan ini dibuat. Sebagaimana afidavit balasan yang difailkan oleh Responden pada perenggan 12, Responden juga tidak pasti apa motif sebenar Pemohon memfailkan tindakan ini dan ianya lebih kepada suatu penindasan dan penganiayaan ke atas Pemohon.
iv)   Sebagahagian besar proses bagi upacara perkahwinan telah dilaksanakan oleh Responden. Daripada pengisian borang-borang melalui Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan dan Jabatan Agama Islam Negeri Selangor sehinggalah kepada urusan kursus, Saringan HIV, kos dan kelengkapan  serta persediaan-persediaan majlis perkahwinan juga telah diatur sepertimana  eksibit-eksibit yang difailkan, maka tidak ada sebab yang sah sama ada dari segi adat kelaziman, undang-undang atau Hukum Syarak yang mewajarkan perkahwinan tersebut dihentikan atau ditahan.
v)    Melihatkan kepada permohonan ini, yang lebih kepada kepentingan peribadi, tiada kausa tindakan, bentuk yang tidak betul, Pendaftar NCR yang tidak dipanggil sebagi pihak-pihak, pembetulan kepada afidavit yang tidak dibuat pindaan sewajarnya mengikut kehendak undang-undang dan tanpa kebenaran Mahkamah, tidak menyentuh isu, fakta atau undang-undang yang wajar dan munasabah untuk dipertimbangkan oleh Mahkamah, maka saya tidak ada pilihan lain selain menolak permohonan ini.
Saya juga melihat kepada isu kos. Membenarkan permohonan seperti ini berulang akan merugikan masa, tenaga dan kos pihak-pihak dan Mahkamah. Saya merujuk kepada sek 222 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003 yang memperuntukkan:

Tertakluk kepada Enakmen ini, Mahkamah hendaklah, mengikut budi bicaranya, mengawardkan kos bagi prosiding yang difailkan di Mahkamah itu walaupun Mahkamah itu tidak mempunyai bidang kuasa mengenai prosiding itu.

Isu ini diketengahkan apabila Pemohon dalam hujahnya menyatakan wang bukan masalah bagi Pemohon dan ia sanggup membayar sebarang gantirugi ekoran permohon ini. Merujuk affidavit tambahan Pemohon perenggan 15 menyebut:
“…………………….Saya ,menyatakan bahawa saya bersedia menanggung ganti    rugi di atas tindakan saya. Saya mengambil berat kebajikan Responden dan keluarganya  demi menjaga maruah dan  masa depan Responden dan wang bukan masalah bagi saya.”

Permohonan yang tidak didasarkan kepada isu undang-undang, hukum syarak dan fakta yang boleh dipertimbangkan oleh Mahkamah sudah tentunya menyusahkan, menganiaya dan menyalahgunakan proses Mahkamah. Bagi menghadkan perkara ini dari terus berulang, menggunapakai sek 222 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003, iaitu kuasa yang sedia ada pada Mahkamah demi kepentingan keadilan, saya mengarahkan kos ditanggung oleh Pemohon keseluruhannya.
Kes ini dilihat lebih kepada kepentingan peribadi, menjaga maruah yang tidak jelas, dan sebagainya. Saya percaya ada pertelingkahan yang tersirat antara kedua belah pihak yang membawa kepada putusnya ikatan silatul rahim dan tidak dijelaskan secara nyata di hadapan saya. Apa pun, isu ini lebih kepada pertikaian keluarga yang mana Pemohon sebagai bapa saudara yang terkilan dengan tindakan anak saudaranya yang membuat keputusan untuk berkahwin tanpa memaklumkan kepada Pemohon terlebih dahulu. Kedudukan Pemohon yang lebih tinggi dan berstatus ‘Dato’ yang tidak dihormati oleh Responden dan keluarganya menyebabkan Pemohon  bertindak membawa kes ini ke Mahkamah. Bagaimanapun, itu hanyalah telahan saya berdasarkan affidavit yang dikemukakan. Isu ini tidak ada fakta dari segi undang-undang dan tiada isu dari sudut Hukum Syarak untuk saya putuskan. Perkara ini boleh diselesaikan secara adat kelaziman sepertimana yang biasa diamalkan di negeri ini yang kaya dengan adat dan sopan santun. Sebagai kesimpulan, saya merujuk kepada perbilangan (Lihat Norhalim Hj Ibrahim, Glosari Adat Negeri Sembilan,Shah Alam: Afy Communications, 2003, hal. 8.) yang mashur dikalangan adat Perpatih yang sekian lama diamalkan di Negeri Sembilan, iaitu:
            Adat bersendi Hukum,
            Hukum bersendi kitabullah,
            Kuat adat tak gaduhkan hukum,
            Kuat hukum tak gaduhkan adat,
            Ibu hukum, muafakat,
            Ibu adat, muafakat.

Perbilangan ini sebenarnya memberi panduan kepada kedua-dua pihak untuk menyelesaikan pertelingkahan peribadi terutamanya yang menyentuh  adat resam kelaziman orang-orang Melayu  secara muafakat. Jika muafakat itu gagal dan melibatkan kerugian atau menyentuh Hukum Syarak, maka wajarlah Mahkamah ini membuat apa-apa pertimbangan yang patut.


KEPUTUSAN
Selepas mempertimbangkan permohonan Pemohon dan setelah mendengar hujah-hujah yang dikemukakan, saya berpuashati dan memutuskan sebagaimana berikut:
1)    Bahawa permohonhan Pemohon  untuk mengarahkan Penolong pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Daerah Kuala Pilah menahan permohonan kebenaran pernikahan dan/atau pernikahan keatas Responden sehingga ada perintah lain dikeluarkan; dan
2)    Permohonan Pemohon untuk mengarahkan Responden memperkenalkan bakal suami dan ibu bapa bakal suami Responden kepada Pemohon  selaku bapa saudara sebalah bapa sebelum kebenaran untuk pernikahan dipohon di pejabat Agama ;
Adalah ditolak,  dengan kos hendaklah ditanggung oleh Pemohon keseluruhannya.



Kamar Hakim Mahkamah Tinggi Syariah
Seremban, Negeri Sembilan Darul Khusus.
11/2/2010

No comments:

Post a Comment