Tuesday, August 25, 2009

Permohonan ex parte Raja Suzana bagi mendapatkan injunksi menghalang dari akhbar tempatan membuat liputan

Undang-Undang Tatacara Mal – Permohonan ex Parte – permohonan mendapatkan perintah interim sek. 197(1)– perintah injunksi bagi menghalang Responden-Responden menyiarkan apa-apa kenyataan di dalam akhbar Harian Metro dan Berita Harian – melarang Responden-responden dari menyiarkan, berusaha untuk menyiarkan dalam mana-mana akhbar lain atau media cetak atau elektronik dalam bahasa Melayu atau Inggeris atau apa-apa bahasa yang boleh difahami – sama ada wujud atau tidak faktor yang mendesak - sama ada perintah injunksi wajar dikeluarkan - pertindanan permohonan - penyalahgunaan proses mahkamah - permohonan salah aturan - Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003, sek. 200 (1), (2), (3) - Sama ada defendan di dalam kes induk boleh memfailkan permohonan secara ex parte - sek.200 (3)



Arahan Amalan - No. 2 Tahun 2002 – bidangkuasa ekslusif mahkamah Tinggi Syariah - No. 11 Tahun 2003 – tidak menzahirkan atau salahnyatakan fakta yang berkaitan –
Kes ini ada dilapurkan di dalam Jurnal Hukum jika tak silap keluaran tahun 2008 yang lalu.

DALAM MAHKAMAH TINGGI SYARIAH DI SEREMBAN
DALAM NEGERI SEMBILAN DARUL KHUSUS
KES MAL NO. 05100-099-0299-2007

RAJA SUZANA BINTI RAJA KASSIM…………….PEMOHON 1
ZULAZLI BIN HASHIM……....................................PEMOHON 2
DAN
KASSIM BIN OTHMAN…………….........................RESPONDEN 1
FATIMAH BINTI SALLEH…………….….................RESPONDEN 2

FAKTA KES
Secara ringkasnya fakta kes ini ialah mengenai satu permohonan bagi mendapatkan satu perintah tegahan melarang Responden-Responden atau wakil atau ejen atau sesiapa yang berkenaan dari menyiarkan apa-apa kenyataan dalam akhbar Harian Metro dan akhbar Berita Harian berkenaan prosiding ini sehingga ianya diputuskan oleh Mahkamah.

Pemohon-pemohon juga memohon satu perintah tegahan diberikan kepada Responden-Responden untuk melarang Responden-Responden atau wakil atau ejen atau sesiapa yang berkenaan daripada menyiarkan, berusaha untuk menyiarkan apa-apa kenyataan di dalam mana-mana akhbar lain atau mana-mana media cetak atau elektronik dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris atau apa-apa bahasa yang boleh difahami dengan apa cara sekalipun berkenaan prosiding ini sehingga ianya diputuskan oleh Mahkamah.

Terdahulu, Responden 1 dan Responden 2 merupakan ibu bapa kandung kepada Pemohon 1 dan mertua kepada Pemohon ke 2 telah memfailkan satu permohonan nafkah sepanjang hayat dan nafkah tempat tinggal terhadap Pemohon melalui kes mal No. 05100-099-0133-2007. Sewaktu kes tersebut dipanggil untuk penyelesaian sulh, kes ini telah mendapat liputan luas akhbar tempatan. Pemohon 2 telah memfailkan satu permohon interim ex parte kerana tertekan dengan keadaan tersebut dan diluluskan oleh mahkamah ini pada 17hb Mei 2007.

Pada 30hb Mei 2007, Pemohon-Pemohon melalui peguamnya telah memasukkan permohonan ex parte mengenai perkara yang sama. Belum pun permohonan tersebut diputuskan, pada 10hb Julai 2007 Pemohon-pemohon melalui peguamnya sekali lagi memfailkan permohonan interim iaitu permohonan ini, kes Mal No. 05100-099-0299-2007 dengan memohon perintah yang sama.
Bagi tujuan permohonan ini, Pemohon-pemohon telah mengemukakan alasan antara lain ialah:
1. Akhbar Berita Harian telah pada 20-04-2007 mengeluarkan kenyataan dengan tajuk “bapa diusir anak tuntut hak” ke atas prosiding ini yang telah ditetapkan untuk sulh pada 19-04-2007.
2. Akhbar Harian Metro telah pada 20-04-2007 mengeluarkan kenyataan dengan tajuk “saman anak, menantu” ke atas prosiding ini yang telah ditetapkan untuk sulh pada 19-04-2007.
3. Kenyataan akhbar tersebut mengaibkan pemohon-pemohon dan pihak tertentu yang lain.; dan
4. wartawan akhbar Harian Metro telah dipanggil untuk membuat liputan prosiding ini oleh wakil Respondan-Responden.
Diputuskan
a) Permohonan Pemohon 1 dan Pemohon 2 untuk mendapatkan perintah tegahan bagi melarang Responden-Responden atau wakil atau ejen atau sesiapa yang berkenaan dari menyiarkan apa-apa kenyataan dalam akhbar Harian Metro dan akhbar Berita Harian berkenaan prosiding ini sehingga ianya diputuskan oleh Mahkamah; dan
b) Permohonan Pemohon 1 dan Pemohon 2 untuk mendapatkan perintah tegahan melarang Responden-Responden atau wakil atau ejen atau sesiapa yang berkenaan daripada menyiarkan, berusaha untuk menyiarkan apa-apa kenyataan di dalam mana-mana akhbar lain atau mana-mana media cetak atau elektronik dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris atau apa-apa bahasa yang boleh difahami dengan apa cara sekalipun berkenaan prosiding ini sehingga ianya diputuskan oleh Mahkamah;

adalah ditolak dengan kos.

PEGUAM SYARIE

Puan Norzaini binti Nordin dari Tetuan Norzaini Nordin & Associates bagi pihak pemohon-pemohon.


UNDANG-UNDANG YANG DIRUJUK
1. Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003, sek. 82, sek. 113 (2),sek. 119, sek.197(1), sek. 200 (1), (2), (3)

2. Arahan Amalan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia - No. 2 Tahun 2002 dan No. 11 Tahun 2003

KITAB-KITAB YANG DIRUJUK

1. Harith Suleiman Faruqi, Mu’jam al-Qanuni, Beyrut, Maktabah Lubnan (Librairie Du Liban) 2000.
2. Muhammad Sidqi bin Ahmad bin Muhammad al Burnu, al Wafiz Fi Idhah qawaid al-Fiqh al Kulliyyah, 1997.

KES-KES YANG DIRUJUK

1. Wan Puziah binti Wan Awang v Wan Abdullah bin Muda dan seorang lagi (2000) 14 JH 235
2. Haslinda binti Alias v Johdi Mathew Byrne @ Yahya bin Abdullah (1999) 13 JH 47

ALASAN PENGHAKIMAN
Kes dihadapan saya ini adalah satu permohonan sebelah pihak yang difailkan oleh Raja Suzana binti Raja Kassim dan Zulazli bin Hashim iaitu pemohon-pemohon yang diwakili oleh peguam Syarie Norzaini binti Nordin dari Tetuan Norzaini Nordin & Associates. Pemohon 1 dan Pemohon 2 tidak hadir.
BIDANGKUASA MAHKAMAH
Mahkamah merujuk seksyen 200(1) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003 yang memperuntukkan:

200. (1) Atas permohonan mana-mana pihak dalam mana mana kausa atau perkara, sebelum atau selepas pendengaran kausa atau perkara itu, Mahkamah boleh memberikan injunksi, sama ada atau tidak tuntutan untuk mendapatkan injunksi itu telah dimasukkan dalam saman, tuntutan balas atau notis pihak ketiga, mengikut mana-mana yang berkenaan.

Manakala seksyen 200 (3) Enakmen yang sama pula membenarkan sesuatu permohonan injunksi secara ex parte. Seksyen tersebut memperuntukkan:

Jika pemohon ialah plaintif dan kes itu suatu kes yang mendesak, permohonan itu boleh dibuat secara ex parte yang disokong dengan afidavit dan afidavit itu hendaklah mengandungi suatu pernyataan yang jelas dan ringkas lagi padat—

(a) tentang fakta-fakta yang membawa kepada tuntutan terhadap defendan dalam prosiding itu;


(b) tentang fakta-fakta yang membawa kepada tuntutan untuk mendapatkan injunksi itu;


(c) tentang fakta-fakta yang menjadi sandaran bagi mewajarkan permohonan secara ex parte itu, termasuk butir-butir terperinci mengenai apaapa notis yang diberikan kepada defendan atau, jika butir-butir itu tidak diberikan, sebab butirbutir itu tidak diberikan;


(d) tentang apa-apa jawapan yang ditegaskan oleh defendan, atau yang difikirkan mungkin akan ditegaskan olehnya, sama ada kepada tuntutan dalam tindakan itu atau kepada tuntutan bagi injunksi itu;


(e) tentang apa-apa fakta yang diketahui oleh pemohon yang mungkin menyebabkan Mahkamah tidak memberikan injunksi secara ex parte;


(f) tentang sama ada mana-mana permohonan secara ex parte terdahulu yang seumpamanya telah dibuat kepada mana-mana Hakim dan, jika demikian, perintah yang dibuat dalam permohonan terdahulu itu; dan


(g) tentang relief yang sebenarnya dipohon.



Mengenai perintah interim pula, seksyen 197 (1) Enakmen yang sama memperuntukkan:

197. (1) Tertakluk kepada Bab ini, Mahkamah hendaklah mempunyai kuasa mengikut budi bicaranya, untuk memberikan apa-apa perintah interim atas apa-apa terma yang difikirkannya patut dan boleh memberikan apa-apa arahan tentang prosiding selanjutnya.

Sesuatu permohonan yang dibuat secara ex parte hendaklah didengar di Mahkamah Tinggi Syariah. Mahkamah Tinggi Syariah mempunyai bidangkuasa ekslusif mengenai perkara ini sepertimana yang dinyatakan oleh Arahan Amalan No.2 Tahun 2002, iaitu:

…berhubung kes-kes yang melibatkan tuntutan hadhanah, harta sepencarian tak alih dan permohonan ex parte hendaklah dimulakan prosiding di mahkamah Tinggi Syariah.

Di dalam perundangan Islam, injunksi adalah tidak asing lagi, menurut Harith Suleiman Faruqi di dalam Mu’jam al Qanuni, injunksi disebut sebagai satu perintah (kehakiman) yang melarang atau menegah (mengikat seseorang daripada melakukan sesuatu yang bersalahan dengan undang-undang): perintah ini terbentuk berdasarkan kepada sesuatu tuntutan terhadap sesuatu perkara terhadap seseorang yang lazimnya akan terhalang daripada melakukan perkara tertentu yang mudharat dan boleh dijangka atau yang tidak boleh dijangkakan kerana perbuatannya atau apa yang diniatkannya pada kebiasaannya dengan melihat kepada kezaliman yang akan dilakukannya atau kezaliman yang terdahulu. (Lihat Harith Suleiman Faruqi, Mu’jam al-Qanuni, Beyrut, Maktabah Lubnan (Librairie Du Liban) 2000, hal 366. Menurut Muhammad Sidqi bin Ahmad bin Muhammad al Burnu di dalam al Wafiz Fi Idhah qawaid al-Fiqh al Kulliyyah, 1997, hal 265, pula, injunksi di dalam perundangan Islam adalah berdasarkan kaedah fiqh iaitu menolak kerosakan didahulukan dari mengambil kemaslahatan (dar al mafasid muqaddam ’ala jalbi al-Masalih). Kaedah ini didasarkan daripada Hadis Rasulullah SAW dari pada Samurah bin Jundab yang mempunyai sepohon tamar yang mana dahannya condong ke kawasan rumah seorang lelaki Ansar. Samurah masuk ke kawasan rumah tersebut untuk mengambil buah tamarnya. Keadaan ini telah menganggu ketenteraman lelaki Ansar dan keluarganya dan dia telah meminta supaya Samurah menjual pokok tamarnya tetapi Samurah enggan. Lelaki Ansar itu berjumpa dengan Rasulullah SAW dan baginda telah meminta Samurah menjual tamarnya tetapi Samurah masih enggan. Rasulullah SAW kemudiannya bersabda ”hadiahkanlah pokok tersebut kepadanya dan kamu akan mendapat ganjaran sekian atau diberi sekian”. Samurah masih enggan memindahkan pokok tersebut dan Rasulullah SAW berkata ”kamu menyebabkan mudharat” dan bersabda kepada lelaki Ansar itu ”pergilah dan potonglah pokok tamarnya”. Perintah yang diberikan oleh Rasulullah SAW itu adalah merupakan injunksi dalam bentuk suruhan untuk menghalang kerosakan dalam bentuk gangguan (nuissance) kepada tuan tanah yang juga mempunyai hak ke atas tanahnya dari diganggu. ( Sunan Abu Dawud, Kitab al-Aqdiyyah, ulasan lanjut sila lihat juga Dr. Najibah Mohd Zain, Injunksi dalam Undang-Undang Islam dan Pemakaiannya di Mahkamah Syariah, Makalah dalam harta Sepencarian, Prosiding ex Parte Perintah injunksi, Pusat Undang-Undang, Kuliyyah Undang-Undang UIAM, hal. 110).

Mengenai permohonan secara ex parte pula, suka saya merujuk kepada kes Haslinda binti Alias v Johdi Mathew Byrne @ yahya bin Abdullah (1999) 13 JH 47 di mana YA Hakim dalam kes tersebut menghujahkan bahawa prinsip-prinsip Syariah boleh diguna pakai bagi membolehkan kaedah asal sesuatu kes itu iaitu dengan mendegar keterangan kedua-dua belah pihak ditinggalkan kerana adanya dharurah. YA Hakim seterusnya menyebut:


”Walaupun syariat Islam menghendaki setiap kes itu diputuskan dengan kehadiran kedua-dua belah pihak, terdapat pengecualian yang membolehkan permohonan ex-parte ini dibuat. Berdasarkan prinsip ‘dharurat’ yang mengharuskan perkara yang dilarang jika terdapat keperluan dan keterdesakkan dan prinsip ‘Mashaqqah’ yang membenarkan sesuatu kewajipan itu dipermudahkan dalam keadaan tertentu. (Lihat Majalah al-Ahkam al-Adlyyah, perkara 21, 22, dan 27 untuk keterangan lanjut). Imam Jalaluddin Abdul Rahman di dalam kitabnya Ashbah wa al-Nazair fi Qawaid al-Fiqhiyyah, pula menyebut الضرر يزال (Kemudaratan hendaklah dihilangkan). Maka bagi menghilangkan kesukaran itu, adalah harus untuk tidak menggunakan kaedah asal.”

Daripada peruntukan-peruntukan statut yang dinyatakan tadi, menjelaskan bahawa mahkamah ini berbidangkuasa untuk mendengar permohonan ini.

Ulasan YA Mohd Nadzri bin Haji Abdul Rahman HMTS Seremban

Ini adalah satu permohonan ringkas yang difailkan oleh Pemohon-pemohon bagi mendapatkan satu perintah tegahan terhadap Responden-Responden bagi melarang Responden-Responden atau wakil atau ejen atau sesiapa yang berkenaan dari menyiarkan apa-apa kenyataan dalam akhbar harian Metro dan akhbar Berita Harian berkenaan prosiding ini sehingga ianya diputuskan oleh Mahkamah.


Pemohon-pemohon juga memohon satu perintah tegahan diberikan kepada Responden-Responden untuk melarang Responden-Responden atau wakil atau ejen atau sesiapa yang berkenaan daripada menyiarkan, berusaha untuk menyiarkan apa-apa kenyataan di dalam mana-mana akhbar lain atau mana-mana media cetak atau elektronik dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris atau apa-apa bahasa yang boleh difahami dengan apa cara sekalipun berkenaan prosiding ini sehingga ianya diputuskan oleh Mahkamah.

Dalam memutuskan sama ada perintah injunksi ini wajar dikeluarkan oleh mahkamah atau tidak, adalah lebih baik mahkamah ini merujuk kepada permohonan-permohonan yang dibuat terlebih dahulu sebelum permohonan ini dimasukkan bagi memudahkan penelitian terhadap kes ini..

Secara ringkasnya, Responden-Responden telah memfailkan satu tuntutan induk mengenai tuntutan nafkah sepanjang hayat dan nafkah tempat tinggal terhadap Pemohon 1 dan pemohon 2 (selepas ini disebut Pemohon-Pemohon) melalui satu kes Mal No. 05100-099-0133-2007 bertarikh 02-04-2007.

Sewaktu kes ini dipanggil ke Majlis Sulh buat pertama kalinya, kes ini telah mendapat liputan besar-besaran oleh akhbar tempatan. Ekoran daripada penyiaran beberapa artikel di dalam akhbar-akhbar tempatan, Pemohon-pemohon merasa tersinggung, aib dan mengalami tekanan. Sehubungan dengan itu, Pemohon 1 telah mengemukakan satu permohonan injunksi secara bersendirian tanpa diwakili oleh mana-mana peguam yang disokong oleh affidavit dan perakuan segera ke Mahkamah ini pada pagi 17hb Mei 2007. Mahkamah ini telah meluluskan permohonan tersebut iaitu beberapa minit sebelum majlis sulh bersidang. Biarpun permohonan tersebut terdapat banyak kecacatan yang tidak sepatutnya berlaku, Mahkamah ini mengambil serius keadaan yang berlaku pada waktu itu memandangkan kes tersebut masih belum pernah didengar atau disebut secara rasmi di Mahkamah. Mahkamah juga berpandangan adalah tidak adil kepada mahkamah ini untuk tidak membenarkan permohonan tersebut didengar dan seterusnya meluluskan permohonan tersebut setelah arahan supaya pindaan bagi membetulkan kecacatan yang berlaku dibuat oleh Pemohon 1 pada waktu itu. Antara alasan yang kuat dan mendesak ketika permohonan tersebut didengar ialah kes induk masih belum disebut atau didengar di mahkamah ini dan proses sulh sedang berjalan. Seperti yang diketahui, sesuatu proses secara sulh hendaklah dihadiri oleh pihak-pihak itu sendiri dan peguam masing-masing tidak digalakkan turut serta atau campur tangan. Falsafah atau mesej yang hendak disampaikan disini ialah proses sulh atau perbincangan sedang berjalan, usaha kearah perdamaian sedang diatur, dibuat secara tertutup bagi menjamin keadilan dan kebebasan kepada pihak-pihak, maka adalah wajar mahkamah ini pada waktu itu meluluskan permohonan injunksi Pemohon 1 bagi melarang Responden 1 dan Responden 2 atau wakilnya atau ejen-ejennya dari menggunakan media cetak atau media elektronik yang menyiarkan artikel-artikel dan diyakini kurang tepat serta menyebelahi satu pihak, yang boleh mengganggu kelancaran, ketelusan dan kebebasan majlis sulh yang diadakan. Demi kepentingan keadilan yang difikirkan oleh mahkamah pada masa tersebut, mahkamah ini meluluskan permohonan injunksi Pemohon 1 walaupun terdapat kecacatan bersandarkan peruntukan-peruntukan yang sedia ada di dalam undang-undang. Mahkamah pada waktu itu merujuk kepada seksyen-seksyen berikut, antaranya seksyen 82 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah yang memperuntukkan:

82. Mahkamah boleh pada bila-bila masa, atas kehendaknya sendiri atau atas permohonan mana-mana pihak, dan atas apa-apa terma yang difikirkannya adil, memerintahkan supaya dibuat apa-apa pindaan bagi maksud—


(a) membetulkan apa-apa kecacatan atau ralat dalam mana-mana prosiding; atau


(b) menentukan soalan sebenar yang menjadi kontroversi atau bagi mencapai keadilan antara pihak-pihak.

manakala seksyen 113 (2) Enakmen yang sama pula memperuntukkan:

113. (2) Walau apa pun subseksyen (1), Mahkamah boleh, mengikut budi bicaranya, menerima sesuatu affidavit walaupun terdapat apa-apa ketidakteraturan dalam bentuknya.

Berdasarkan seksyen-seksyen tersebut, juga melihat kepada faktor keterdesakan yang berlaku dan kewajaran campur tangan perlu dielakkan sewaktu majlis sulh sedang berjalan, mahkamah membenarkan perintah injunksi bagi melarang Responden-Responden menggunakan media cetak atau sebarang media komunikasi seperti akhbar dan artikel dikeluarkan mengenai isu tersebut.

Memandangkan pemohon 1 adalah defendan ke 2 di dalam kes induk, perintah tersebut hanya berkuatkuasa selama 30 hari sahaja dan ianya perlu disambung bagi melanjutkan tempohnya.

Pada 30hb Mei 2007, Pemohon 1 dan Pemohon ke 2 telah memfailkan satu permohonan interlokutori yang baru bagi mendapatkan perintah yang sama. Permohonan tersebut telah difailkan melalui peguam syarie Pemohon. Bagaimana pun tarikh pendengaran kes tersebut telah ditunda memandangkan peguam syarie Responden tidak dapat hadir dan Responden 1 serta Responden 2 juga tidak hadir walaupun penyampaian telah disempurnakan. Mahkamah pada asasnya tidak bersetuju dengan permohonan interlukotori tersebut kerana beberapa sebab:

i) Permohonan tersebut adalah tidak jelas, iaitu tidak dapat dipastikan samada:
a) permohonan tersebut adalah bertujuan untuk memanjangkan tempoh perintah injunksi yang sedia ada, atau
b) satu permohonan baru bagi mendapatkan perintah injunksi yang baru.
ii) Terdapat beberapa kecacatan serius yang menyebabkan Mahkamah tidak boleh menerimanya, iaitu:
a) jika permohonan tersebut bertujuan untuk memanjangkan tempoh, permohonan tersebut adalah salah kerana permohonan asal hanya dibuat oleh Pemohon 1 secara berseorangan sedangkan permohonan baru memasukkan nama Pemohon 2 bersama-sama.
b) Jika permohonan tersebut adalah permohonan baru, adalah tidak wajar mahkamah meluluskan 2 perintah bagi perkara yang sama pada pemohon yang sama dan dalam tempoh yang masih belum tamat iaitu dengan kata lainnya perintah asal masih berkuatkuasa dan belum dibatalkan.

Memandangkan permohonan injunksi atau interlukotori adalah sesuatu yang serius, mendesak dan memerlukan campurtangan segera mahkamah, maka mahkamah ini menasihatkan peguam syarie Pemohon meminda permohonan yang dikemukakan tersebut dan mengemukakan kepada mahkamah ini secara lebih jelas dan teratur. Mahkamah menasihatkan adalah lebih wajar dan sesuai permohonan tersebut dipinda dan diperbetulkan serta didengar secara inter partes bagi tujuan melanjutkan tempoh kerana perintah yang sedia ada masih berkuatkuasa dan difaikan dalam tempoh kurang dari 30 hari daripada perintah injunksi asal dikeluarkan.

Bagaimana pun, pada 10hb Julai 2007, sekali lagi Pemohon-Pemohon melalui peguamnya memfailkan permohonan ini iaitu permohonan injunksi ex-parte melalui kes mal no. 05100-099-0299-2007 bagi mendapatkan perintah larangan atau tegahan berkenaan dengan perkara atau kausa yang sama.

Itu adalah secara ringkas kronologi kes ini sehingga permohonan ini difailkan dan didengar pada hari ini.
Bagi menjawab sama ada permohonan ini wajar atau tidak, selain dari merujuk kepada kronologi kes tadi, mahkamah juga perlu melihat kepada suasana atau persekitaran kes ini sebelum menyentuh fakta-fakta atau isu yang hendak ditimbulkan oleh Pemohon-pemohon.

i) Situasi Kes

Situasi atau keadaan semasa adalah satu elemen mudah (simple element) bagi mengukur standard keterdesakan sesuatu permohonan. Dari segi suasana atau persekitaran, permohonan ini adalah jauh berbeza dengan permohonan yang dibuat oleh Pemohon 1 pada 17hb Mei 2007. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, keadaan pemohon pada masa tersebut adalah cukup terdesak, perlukan keadilan, perlukan masa dan ruang berfikir yang cukup serta perlukan ketenangan dalam usaha untuk menyelesaikan kes tersebut secara sulh yang sememangnya dibuat secara tertutup, maka wajar pihak akhbar atau Responden dihalang daripada membuat apa-apa pernyataan secara terbuka kerana dibimbangi akan menjejaskan atau sub judice kepada penyelesaian secara sulh yang sedang diusahakan. Mahkamah mengenepikan kecacatan dan salah aturan dalam pliding yang dikemukakan pada waktu itu demi keadilan kepada Pemohon 1 apatah lagi beliau hadir bersendirian tanpa diwakili oleh mana-mana peguam dan dalam masa yang singkat iaitu pada hari yang sama majlis sulh diadakan. Itu adalah pertimbangan mahkamah berdasarkan budibicara yang mahkamah fikirkan wajar demi keadilan kepada pihak-pihak.

Mengenai situasi permohonan ini pula, Pemohon-pemohon mengemukakan alasan yang sama iaitu antara lain ialah:

1. Akhbar Berita Harian telah pada 20-04-2007 mengeluarkan kenyataan dengan tajuk “bapa diusir anak tuntut hak” ke atas prosiding ini yang telah ditetapkan untuk sulh pada 19-04-2007.
2. Akhbar Harian Metro telah pada 20-04-2007 mengeluarkan kenyataan dengan tajuk “saman anak, menantu” ke atas prosiding ini yang telah ditetapkan untuk sulh pada 19-04-2007.
3. Kenyataan akhbar tersebut mengaibkan pemohon-pemohon dan pihak tertentu yang lain.; dan
4. wartawan akhbar Harian Metro telah dipanggil untuk membuat liputan prosiding ini oleh wakil Respondan-Responden.

Manakala affidavit sokongan pula juga menyatakan perkara yang sama sebagaimana permohonan asal iaitu perintah bertarikh 17hb Mei 2007. Eksibit yang dilampirkan juga adalah dokumen yang sama iaitu keratan akhbar dengan artikel yang sama sepertimana eksibit yang pernah ditenderkan pada mahkamah ini sebelum ini. Mahkamah cuba meneliti jika terdapat artikel-artikel baru, alasan-alasan baru atau situasi yang baru, tetapi tidak dinyatakan dalam permohonan ini. Harus diingat, suasana sekarang adalah berbeza dengan situasi 17hb Mei 2007 yang lalu, di mana penyelesaian secara sulh telah gagal diperolehi dan kes induk telah ditetapkan kepada perbicaraan penuh. Tarikh sebutan telah dijadualkan pada 8hb Oktober 2007 dan akan didengar secara inter parte atau dua pihak secara terbuka di dalam mahkamah terbuka. Seksyen 119 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003 memperuntukkan:

119. Kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya dalam Enakmen ini atau mana-mana undang-undang bertulis lain, semua prosiding yang dimulakan dengan saman hendaklah didengar dan diputuskan di dalam mahkamah terbuka dan semua prosiding yang dimulakan dengan permohonan hendaklah didengar dan diputuskan di dalam Kamar.


Semua prosiding yang dimulakan dengan saman, contohnya bagi kes ini, iaitu kes Mal No. 05100-099-0133-2007 hendaklah didengar dan diputuskan dimahkamah terbuka. Secara terbuka ertinya boleh didengar oleh sesiapa sahaja samada pihak-pihak yang terlibat atau oleh mana-mana orang awam malah boleh direkodkan dan disiarkan di dalam akhbar tempatan. Mahkamah terbuka bermakna mahkamah yang boleh menerima kehadiran semua orang awam samada mereka berjawatan tinggi, rendah, majikan, pekerja, penjawat awam, badan berkanun, pihak swasta, selebriti, penyair, pengarang mahupun wartawan. Isu samada mereka diundang atau hadir sendiri tidak menjadi soal, asalkan kehadiran mereka bertujuan bukan membuat kacau atau mengganggu pentadbiran mahkamah yang boleh menghalang keadilan. Secara terbuka tidak bermakna kehadiran mereka termasuk wartawan boleh membuat sesuatu sesuka hati samada secara tersurat mahupun tersirat, kerana mahkamah ada peraturannya, Perlakuan melampau batas samada secara langsung atau tidak langsung menyebabkan mereka boleh dikenakan tindakan penghinaan mahkamah. Wartawan sebagai contohnya bukan saja terikat dengan adab mahkamah, tetapi juga terikat dengan menyiarkan fakta-fakta tepat selagi tidak mengganggu atau sub judice kepada mahkamah. Selain tindakan penghinaan mahkamah, pihak-pihak boleh mengemukakan saman fitanh dan menuntut gantirugi jika laporan yang dikemukakan adalah tidak jujur dan berat sebelah atau tidak berlandaskan fakta atau bertujuan mengaibkan pemohon-pemohon. Jika perkara ini berlaku, mahkamah tidak akan bertoleransi mengenai hal ini kerana undang-undang tidak akan dapat ditegakkan dan kebenaran akan gagal ditonjolkan kepada masyarakat, sedangkan itu adalah mesej utama yang hendak disampaikan oleh mahkamah.

saya berpendapat, keperluan kepada injunksi bagi menegah Responden-Responden dan penyiaran artikel di ahkbar tempatan adalah tidak wajar disekat dalam situasi waktu ini. Bagaimana pun, apabila kes induk ini atau mana-mana kes lain, mula disebut di mahkamah, sidang akhbar atau kupasan mengenainya secara terbuka samada berbentuk ilmiah atau ulasan yang menyentuh atau sub judice adalah dilarang sama sekali dan menyalahi undang-undang sehinggalah kes ini selesai dan diputuskan.

ii) Tidak terdapat alasan kukuh atau fakta baru yang berkaitan

Mengenai isu atau fakta yang hendak ditimbulkan pula, seperti yang mahkamah nyatakan sebelum ini, tidak terdapat alas an kukuh atau fakta baru kecuali perkara atau isu yang sama yang ditimbulkan sebelum ini. Jika isu yang sama maka kewajarannya ialah pemohon seharusnya membuat permohonan untuk memenjangkan atau menyambung tempoh perintah injunksi bertarikh 17hb Mei 2007 yang tamat pada 16 hb Jun 2007, bukannya mengemukakan permohonan baru dengan isu yang sama.

iii) Kecacatan permohonan


Selain itu terdapat juga beberapa kecacatan lain pada permohonan ini yang menjejaskan keyakinan mahkamah dan memberi kesan kepada permohonan ini, antaranya:


a) affidavit sokongan yang menyokong permohonan ini tidak menyatakan tentang sama ada mana-mana permohonan secara ex parte terdahulu yang seumpamanya telah dibuat kepada mana-mana Hakim dan, jika ada hendaklah menyatakan perintah yang telah diperolehi sepertimana yang dikehendakki oleh seksyen 200(3)(f) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003 yang menyebut:


(f) tentang sama ada mana-mana permohonan secara ex parte terdahulu yang seumpamanya telah dibuat kepada mana-mana Hakim dan, jika demikian, perintah yang dibuat dalam permohonan terdahulu itu;

Kegagalan Pemohon secara nyata dengan tidak menzahirkan fakta atau salahnyatakan fakta yang berkaitan, iaitu tidak menyatakan terdapatnya permohonan ex parte yang telah difailkan sebelum ini dan telah ada perintah mengenainya menyebabkan perintah yang dikeluarkan boleh diketepikan dan dibatalkan, sesuai dengan kehendak Arahan Amalan No. 11 Tahun 2003 yang menyebut :

Bahawa mana-mana pihak yang terlibat (affected) oleh perintah sementara tersebut berhak memohon secara inter-partes bagi membatalkan atau mengubah perintah sementara itu sekiranya pemohon bagi perintah sementara itu tidak menzahirkan atau salah nyatakan mana-mana fakta berkaitan;

b) Permohonan injunksi bagi mendapatkan perintah interim secara ex parte hendaklah diasaskan kepada keadaan yang mendesak. Seksyen 200 (2) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003 memperuntukkan:

Permohonan di bawah seksyen ini tidak boleh dibuat sebelum tindakan dimulakan kecuali dalam keadaan yang mendesak.

Prinsip keadaan yang mendesak ini dapat dilihat dalam kes kes Haslinda binti Alias v Johdi Mathew Byrne @ Yahya bin Abdullah (1999) 13 JH 47. Dalam kes ini, Mahkamah telah meluluskan permohonan plaintif untuk mendapatkan perintah sementara mengenai hadhanah, menegah dan melarang defendan dari menganggu, menceroboh, mengugut dan mengancam plaintif dan menegah defendan daripada membawa anak-anak keluar dari Malaysia.


Asas kepada permohonan ini adalah terdapat risiko yang kuat bahawa defendan (Responden) akan melarikan anak ke luar negara sebelum proses perceraian dan tuntutan penjagaan anak-anak diputuskan oleh Mahkamah. Defendan dalam kes ini adalah berasal dari Filipina dan terdapat kebimbangan yang nyata bahawa anak-anak akan dibawa kembali ke Filipina oleh Responden berdasarkan tindakan Responden yang pernah mengugut Plaintif akan berbuat demikian sebelum ini. Berdasarkan risiko yang ada, perlu ada satu tindakan yang segera dan pantas diambil untuk menghalang hasrat Responden tersebut. Jika kaedah asal iaitu dengan mendengar keterangan kedua-dua belah pihak , maka Responden berkemungkinan akan melarikan anak tersebut sebaik sahaja menerima saman. Dalam situasi sebegini, perlaksanaan kaedah asal akan menimbulkan kesukaran (mashaqqah) kepada pemohon. Keterdesakan pemohon untuk mendapatkan perintah menegah Responden dari membawa anak keluar dari Malaysia adalah satu bentuk darurat yang perlu ditangani segera.



Dalam satu kes lain yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, iaitu Wan Puziah binti Wan Awang v Wan Abdullah bin Muda dan seorang lagi (2000) 14 JH 235, unsur keterdesakan ini boleh dilihat apabila YA Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu meluluskan permohonan ex parte pemohon dengan mengeluarkan satu perintah sementara yang melibatkan wang simpanan di Lembaga Urusan Tabung Haji bagi menghalang Responden daripada memindahmilik harta pusaka yang menjadi pertikaian sebelum kes tersebut diputuskan. Perintah interim tersebut dikeluarkan oleh Mahkamah bagi menyelamatkan mana-mana harta yang menjadi persoalan, atau menjaga hak-hak kepentingan mana-mana pihak. Tindakan tersebut adalah berpaksikan kepentingan keadilan kepada semua pihak. Unsur keterdesakan kepada pemohon (atau kanak-kanak dalam kes hadhanah) adalah jelas dan boleh diukur berdasarkan kes-kes yang dinyatakan tadi.



Dalam kes ini, saya tidak menemui sebarang faktor yang mendesak sama ada secara tersurat atau tersirat di dalam permohonan ini bagi membolehkan satu perintah dikeluarkan dan meluluskan permohonan ini. Alasan yang dikemukakan adalah isu lama yang tidak berkaitan dengan permohonan ini dan tidak dikemukakan fakta-fakta baru yang menggambarkan keterdesakan bagi membolehkan permohonan injunksi ini dibenarkan.



c) Pemohon 1 dan Pemohon 2 bukan sebagai plaintif di dalam kes induk. Ini bermakna, apabila sesuatu kes induk telah atau akan disebut (dalam hal ini kes Mal No. 05100-099-0133-2007), Pemohon-pemohon boleh mengemukakan permohonan mereka secara inter parte di dalam kes induk tersebut. Seksyen 201 (3) Enakmen tatacara mal Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003 memperuntukkan:


(3) Jika pemohon ialah plaintif dan kes itu suatu kes yang mendesak, permohonan itu boleh dibuat secara ex parte yang disokong dengan afidavit dan afidavit itu hendaklah mengandungi suatu pernyataan yang jelas dan ringkas lagi padat—

Seksyen ini menjelaskan bahawa sesuatu permohonan injunksi itu boleh dibuat secara ex parte yang disokong oleh affidavit, jika permohonan tersebut adalah sesuatu yang mendesak. Isunya dalam kes ini ialah Pemohon 1 dan Pemohon 2 adalah Defendan 1 dan defendan 2 dan mereka bukan plaintif sepertimana yang disifatkan di dalam seksyen tersebut, maka adakah wajar Pemohon-pemohon memfailkan permohonan ini secara ex parte? Jawapannya adalah tidak, kerana Pemohon-pemohon sebagai defendan di dalam kes induk berhak mengemukakan apa-apa injunksi atau perintah sementara secara inter parte dan perkara ini boleh dikemukakan di dalam kes induk, maka tidak timbul isu samada kepentingan pemohon-pemohon diketepikan kerana peluang pemohon-pemohon adalah terbuka luas dalam kes yang akan disebut pada 8hb Oktober 2007 nanti.

iv) Penyalahgunaan Proses mahkamah

Antara isu yang paling serius di dalam permohonan ini ialah berlakunya penyalahgunaan proses mahkamah, iaitu:


a) telah ada perintah bertarikh 17hb Mei 2007 yang difailkan oleh Pemohon melalui kes mal no 05100-099-0133-2007;

b) adanya permohonan kedua yang melibatkan kausa yang sama dimasukkan ke mahkamah ini bertarikh 30hb Mei 2007 melalui kes Mal No. 05100-099-0133-2007 yang telah disebut dan ditangguh pendengarannya kepada 18hb Julai 2007 yang sepatutnya didengar secara inter parte, sedangkan perintah bertarikh 17hb Mei masih berkuatkuasa; dan
c) satu permohonan baru dimasukkan iaitu permohonan ini, kes Mal No. 05100-099-0299-2007 dengan kausa serta terma yang sama sepertimana permohonan-permohonan sebelumnya sedangkan perintah bertarikh 17hb mei masih belum dibatalkan dan permohonan kedua masih belum diputuskan serta tiada permohonan penarikan balik atau perintah pembatalan dibuat.


Dengan wujudnya tiga permohonan yang berbeza tetapi kausa mengenai perkara yang sama oleh pemohon yang sama pada masa yang berbeza sedangkan perintah yang asal masih berkuatkuasa dan belum dibatalkan, berlakunya pertindanan permohohonan dan menimbulkan kekecelaruan dalam permohonan.

Berdasarkan alasan-alasan yang dikemukan tadi, Maka adalah tidak wajar bagi mahkamah ini membenarkan permohonan ex parte pemohon-pemohon bagi mendapatkan satu perintah tegahan bagi melarang Responden-responden dari menyiarkan apa-apa kenyataan dalam akhbar-akhbar tempatan atau di dalam mana-mana akhbar lain atau mana-mana media cetak atau elektronik dalam bahasa Melayu atau bahasa inggeris atau apa-apa bahasa yang boleh difahami dengan apa cara sekalipun berkenaan prosiding ini sehingga ianya diputuskan oleh Mahkamah kerana terdapatnya banyak kecacatan dan salah aturan yang menjejaskan prosiding kes ini.


KEPUTUSAN MAHKAMAH

Selepas mempertimbangkan permohonan Pemohon 1 dan pemohon ke 2 dan berdasarkan affidavit sokongan yang difailkan serta hujah-hujah yang dikemukakan oleh peguam Pemohon-pemohon, maka mahakmah dengan ini memutuskan bahawa:


a) Permohonan Pemohon 1 dan Pemohon 2 untuk mendapatkan perintah tegahan bagi melarang Responden-Responden atau wakil atau ejen atau sesiapa yang berkenaan dari menyiarkan apa-apa kenyataan dalam akhbar Harian Metro dan akhbar Berita Harian berkenaan prosiding ini sehingga ianya diputuskan oleh Mahkamah; dan



b) Permohonan Pemohon 1 dan Pemohon 2 untuk mendapatkan perintah tegahan melarang Responden-Responden atau wakil atau ejen atau sesiapa yang berkenaan daripada menyiarkan, berusaha untuk menyiarkan apa-apa kenyataan di dalam mana-mana akhbar lain atau mana-mana media cetak atau elektronik dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris atau apa-apa bahasa yang boleh difahami dengan apa cara sekalipun berkenaan prosiding ini sehingga ianya diputuskan oleh Mahkamah;

adalah ditolak dengan kos.
Pihak-pihak adalah dinasihatkan meneruskan prosiding secara inter-partes di mahkamah terbuka.

Kamar Hakim Mahkamah Tinggi Syariah
Seremban
18hb julai 2007
9.30am

No comments:

Post a Comment