Monday, August 24, 2009

Tuntutan Hibah : Kamsiah Yusof lwn Latifah dan Tiga yang lain

Ini adalah satu kes yang panjang dan merujuk kepada isu perisytiharan hibah. Sama ada hibah itu wujud atau sah mengikut syarak, ianya ada disentuh di dalam kes ini. Kes ini telah dilaporkan di dalam Jurnal Hukum tahun 2009 keluaran Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia. Rujukan lanjut bolehlah dibuat terus kepada jurnal Hukum tersebut.
Kamsiah Yusof lwn Latifah dan Tiga yang lain
FAKTA KES

Kes ini adalah mengenai satu tuntutan hibah yang difailkan oleh Plaintif kamsiah binti Yusof terhadap Defendan-Defendan yang terdiri daripada adik beradik kandung Plaintif sendiri mengenai harta-harta peninggalan arwah bapa dan ibu kandung mereka iaitu Allahyarham Yusof bin Hassan yang meninggal pada 7/4/1997 dan Allahyarhamah Rus binti Mat Noor yang meninggal pada 19/2/2002.

Pasangan Allahyarham Yusof bin Hassan dan Allahyarhamah Rus binti Mat Noor adalah suami isteri dan merupakan peneroka di Felda Pasir Besar. Semasa hayat mereka, pasangan ini telah memperolehi harta-harta tak alih seperti ;
1. sebuah tapak rumah dan rumah yang memegang geran PM1342 lot 2912 Mukim Gemas, Daerah Tampin, Negeri Sembilaqn;
2. Sebidang tanah kebun memegang geran hak milik no PM1343 lot no. 2912, mukim Gemas, daerah Tampin Negeri Sembilan;
3. Sebidang tanah kebun memegang geran hak milik no. PM1344 lot 3960, Mukim Gemas Daerah Tampin Negeri Sembilan; dan
4. Sebidang tanah kebun RTF Pasir Besar, Peringkat 4, lot 7163 Mukim Gemas, daerah Tampin Negeri Sembilan.

Selain dari meninggalkan harta-harta tak alih tersebut, pasangan ini juga meninggalkan lima orang anak yang terdiri daripada Latifah binti Yusof (Defendan 1), Arifin bin Yusof (Defendan 2), Selamah binti Yusof (Defendan 3), Sharif bin Yusof (Defendan 3) dan Kamsiah binti Yusof (Plaintif).

Selepas peninggalan arwah Yusof bin Hassan pada 7hb April 1997, semua harta-harta tak alih tersebut telah ditukar hak milik kepada Arwah Rus binti Mat Noor melalui satu bicara kuasa tanpa ada sebarang bantahan daripada ahli waris yang lain. Pada 19/02/2002, Arwah Rus binti Mat Noor pula telah meninggal dunia. Pada 15/01/2004, satu perintah mengenai pembahagian faraid telah dikeluarkan oleh Pejabat Tanah Gemas dan perintah tersebut menyatakan Defendan 1 dan 3 berhak sebanyak masing-masing 1/7 bahagian, Defendan 2 dan 4 sebanyak 2/7 bahagian dan Plaintif berhak terhadap harta peninggalan si mati, iaitu arwah Rus binti Mat Noor sebanyak 1/7 bahagian. Dalam bicara kuasa yang sama, Plaintif di atas persetujuan ahli waris yang lain telah dilantik sebagai pemegang amanah atau kuasa mentadbir terhadap harta-harta tersebut. Lebih kurang tiga tahun selepas perintah pembahagian tersebut dibuat, telah timbul pertikaian antara ahli-ahli waris, dan ekoran daripada itu, Defendan 2 telah menyuarakan ketidak puasan hatinya serta bercadang untuk menukar kuasa mentadbir tersebut daripada Plaintif kepada ahli waris yang lain. Pada 23/1/ 2007, Plaintif telah bertindak memfailkan satu tuntutan hibah keatas sebahagian harta-harta tersebut. Dalam tuntutan Plaintif, Arwah Yusof bin Hasan, iaitu bapa kepada Plaintif dan Defendan-Defendan di dalam kes ini, semasa beliau masih hidup, telah pada suatu masa menghibahkan harta-harta tersebut kepada Plaintif. Harta-harta yang dikatakan telah dihibahkan oleh Allahyarham Yusof bin Hasan ialah;
sebuah tapak rumah dan rumah yang memegang geran PM1342 lot 2912 Mukim Gemas, Daerah Tampin, Negeri Sembilaqn;
Sebidang tanah kebun memegang geran hak milik no PM1343 lot no. 2912, mukim Gemas, daerah Tampin Negeri Sembilan;
Sebidang tanah kebun memegang geran hak milik no. PM1344 lot 3960, Mukim Gemas Daerah Tampin Negeri Sembilan.

Manakala harta tak alih merupakan sebidang tanah kebun RTF Pasir Besar, Peringkat 4, lot 7163 Mukim Gemas, Daerah Tampin Negeri Sembilan pula telah dihibahkan oleh Allahyarham Yusof bin Hasan kepada Defendan 4, iaitu Sharif bin Yusof.

Menurut Plaintif dalam penyata tuntutannya, Allahyarham Yusof bin Hasan, pada suatu ketika selepas majlis kenduri, jam lebih kurang 9 hingga jam 10 malam, telah melafazkan hibah yang lebih kuarang berbunyi;

“Tapak rumah dan kebun 8 ekar bagi kepada Kamsiah, kebun 2 ekar (pajar) bagi kepada Sharif, sebab yang lain-lain dah ada tanah”

Menurut Plaintif di dalam keterangan utamanya, hibah tersebut telah dilafazkan oleh Arwah bapa di hadapan arwah ibu, Defendan-defendan, iaitu Defendan 1, Latifah binti Yusof bersama suaminya, Zakaria bin Maaruf, Defendan 2, Arifin bin Yusof, Defendan 3, Selamah binti Yusof bersama suaminya Alwi bin Payang, Defendan 4 Sharif bin Yusof bersama isterinya Nurhidayah, arwah ibu mereka Rus binti Mat Noor dan termasuklah Plaintif sendiri.

Hibah tersebut dlafaz kali kedua pada suatu masa yang lain dengan lafaz yang hampir lebih kurang sama di hadapan Plaintif, arwah ibu dan suami Plaintif. Lafaz kali kedua dilafazkan oleh Arwah Yusof bin Hassan sewaktu ia sedang sakit.

Bagaimanapun, Defendan-Defendan, termasuk Defendan ke 4 menafikan berlakunya hibah tersebut dan mereka tidak pernah mendengar lafaz hibah itu dibuat oleh arwah bapa mereka kepada Plaintif dan kepada Defendan 4.

Diputuskan
Berdasarkan penjelasan yang dikemukakan tadi, dan setelah meneliti dan menghalusi keterangan-ketarangan dan hujah pihak-pihak, maka mahkamah dengan ini memutuskan:

Adalah diputuskan bahawa permohonan Plaintif, Kamsiah binti Yusof untuk mendapatkan perintah pengisytiharan hibah terhadap harta-harta tak alih;
a) Tanah tapak rumah PM 1342 No. Lot 2912, Mukim Gemas, Daerah Tampin,
b) Tanah kebun PM 1343 No. Lot 3959, Mukim Gemas, Daerah Tampin; dan
c) Tanah kebun PM 1344 No. Lot 3960, Mukim Gemas, Daerah Tampin.

Adalah tidak sabit dan ditolak oleh Mahkamah ini.

Peguam Syarie
Halijah bt Mohd Sharif dari Tetuan Halijah Sharif & Co bagi pihak Plaintif
Shahriman bin Mahmud dari Tetuan Shahriman & Co bagi pihak Defendan-Defendan

Al-Quran Yang Dirujuk
al-Quran Surah al-Baqarah, 2:177

Hadis Yang Dirujuk
Hadis Riwayat Baihaki

Kitab Yang Dirujuk

al-Allamah Abi Bakr Othman bin Muhammad Shatta al Dimyati al-Bakr, I’anat al Talibin, 1995, Beirut, Lebanon : Dar al Kutub al ‘ilmiyyah, jil.3,
Mughni al-Muhtaj, Juz 2,
Imam Abi Zakaria bin Syaraf al Nawawi dalam matan Minhaj al Talibin yang dihuraikan oleh Sheikh Mohamad Khatib al-Sharbini dalam kitab Mughni al-Muhtaj, Juz 2, Misr: Darul Fikr
The Mejelle, An English Translation Of Majallah El-Ahkam i-Adliya And A Complete Code On Islamic Civil Law, 2001, Kuala Lumpur: The Other Press.
Dr Wahbah al-Zuhaili, al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuh, juz 5,
al-Iqna’, jil. 2
al-Yakut al-Nafis Fi Mazhab Ibni Idris
Sheikh Zainuddin bin Abdul Aziz al Malibari dalam kitab Fath al-Muin Sharah Quratu al-Ain dalam kitab I’anah al Talibin, Jil 3
Syed Sabiq di dalam kitab Fiqh al Sunnah
Undang-Undang Yang Dirujuk
Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003, sek 61(3)
Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003, sek.244 dan 245
Enakmen Mahkamah Syariah (Terengganu) 2001
Kes Yang Dirujuk
Ibrahim Yusuff lwn Eshah Hj Ishak dan 4 yang lain (2006) JH XXI/II, 158-177,
Sabedah bt Abdullah lwn 3 Yang lain, MTS Kes Mal No. 05100-044-0082-2007,
Eshah bt Abdullah dan Lima yang Lain lwn Che Aminah bt Abdul Razak & Dua yang Lain (2004) JH XVIII/I 47
kes Che Alias bin Che Muda lwn Abdul Talib @ Musa bin Muda, JH (2008) 25/2, 191,
Bidangkuasa Mahkamah

Dalam menentukan bidangkuasa Mahkamah sebelum kes hibah ini diputuskan, adalah baik Mahkamah merujuk kepada peruntukan-peruntukan yang sedia ada. Merujuk kepada Seksyen 61(3) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003 yang memperuntukkan tentang bidangkuasa Mahkamah Tinggi Syariah, iaitu :

(3) Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah —

(a) ……
(b) dalam bidang kuasa malnya, mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding jika semua pihak dalam tindakan atau prosiding itu ialah orang Islam dan tindakan atau prosiding itu adalah berhubungan dengan—

(i) ……
(ii) ……
(v) Wasiat atau hibah semasa marad al-maut;
(vi) Hibah semasa hidup, atau penyelesaian yang dibuat tanpa balasan yang memadai dengan wang atau nilaian wang oleh seseorang orang Islam;


Manakala di dalam Seksyen 244 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003 pula menyatakan perkara yang berkaitan dengan kuasa sedia ada Mahkamah, iaitu :-

Tiada apa-apa jua dalam Enakmen ini boleh disifatkan sebagai mengehadkan atau menyentuh kuasa sedia ada pada Mahkamah untuk membuat apa-apa perintah yang perlu untuk mengelakkan ketidakadilan atau mengelakkan penyalahgunaan proses Mahkamah.

Seterusnya Mahkamah melihat kepada peruntukkan berkaitan dengan hukum Syarak yang terdapat di dalam seksyen 245 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003, yang menyatakan :-

(1) Mana-mana peruntukan atau tafsiran peruntukan di bawah Enakmen ini yang tidak selaras dengan Hukum Syarak adalah terbatal setakat ketidakselarasan itu.
(2) Jika terdapat lacuna atau jika apa-apa perkara tidak diperuntukkan dengan nyata oleh Enakmen ini, Mahkamah hendaklah memakai Hukum Syarak.

Berdasarkan peruntukan-peruntukan yang telah Mahkamah nyatakan di atas, Mahkamah berpendapat bahawa Mahkamah ini adalah berbidangkuasa untuk mendengar dan memutuskan kes ini.

ULASAN MAHKAMAH

Di dalam kes ini, Plaintif mendakwa telah berlaku hibah mengenai dua keping tanah kebun dan sekeping tanah tapak rumah dan sebuah rumah oleh arwah bapanya. Bagaimanapun, kerana menghormati si ibu, Plaintif telah membiarkan tanah-tanah tersebut tidak ditukarkan kepada namanya, sebaliknya tanah-tanah tersebut telah ditukar kepada nama ibunya selepas kematian arwah bapanya melalui satu pembahagian yang dibuat di Pejabat Tanah Gemas. Selepas tanah tersebut bertukar milik kepada ibunya, ibunya pula telah meninggal dunia dan pembahagian faraid telah dibuat di mana Plaintif bersetuju tanpa bantahan untuk dibahagikan secara faraid. Plaintif, di atas persetujuan ahli waris telah dilantik sebagai pemegang amanah atau kuasa mentadbir tanah-tanah tersebut. Setelah memperolehi kuasa mentadbir, Plaintif yang mendiami rumah peninggalan arwah ibu dan bapanya, telah menguasahakan tanah-tanah tersebut. Beberapa tahun kemudian, selepas timbul pertengkaran antara ahli waris yang terdiri daripada adik beradik Plaintif, Defendan-Defendan telah mendesak supaya kuasa mentadbir tersebut ditukar kepada ahli waris yang lain. Plaintif kemudiannya telah memfailkan ke Mahkamah Tinggi Syariah dan mendakwa bahawa tanah-tanah tersebut sebenarnya telah dihibahkan oleh arwah bapanya kepada Plaintif semasa arwah tersebut masih hidup. Lafaz hibah itu dibuat oleh arwah bapanya dengan disaksikan oleh arwah ibunya, plaintif dan suami serta semua defendan-defendan dalam kes ini. Kali kedua lafaz tersebut telah dibuat oleh arwah bapanya sebelum arwah meninggal dan kali ini hanya disaksikan oleh plaintif dan suaminya serta arwah ibunya. Arwah ibunya tidak pula semasa hayatnya mengishtiharkan kepada anak-anak yang lain atau menafikan kepada anak-anak yang lain bahawa tanah tersebut telah dihibahkan kepada Plaintif. Plaintif mendakwa tidak menukarkan hakmilik tanah-tanah tersebut dan tidak memaklumkan kepada ahli waris yang lain kerana menghormati arwah ibunya dan menghormati adik beradiknya selepas kematian arwah ibunya. Plaintif baru menimbulkan isu hibah setelah Defendan-Defendan menuntut hasil dari tanah-tanah tersebut, iaitu setelah hampir 10 tahun selepas kematian pemberi hibah.

Defendan-defendan yang tidak bersetuju dengan tuntutan ini menafikan bahawa tanah-tanah tersebut telah dihibahkan oleh arwah ayah kepada Plaintif. Malah Defendan ke 4 sendiri tidak pernah mendengar atau mengetahui sekeping dari tanah tersebut telah dihibahkan kepadanya oleh arwah ayahnya. Pada masa yang sama, isu tersebut tidak ditimbulkan oleh plaintif sedangkan ia berpeluang menyatakan secara terbuka semasa perbicaraan kuasa selepas kematian arwah ayahnya dan kali kedua selepas bicara kuasa setelah ibunya meninggal dunia. Qarinah-qarinah tersebut menunjukkan tidak pernah berlakunya hibah oleh simati kepada Plaintif.

Hibah Mengikut Hukum Syarak



Hibah merupakan suatu pemberian hak milik sesuatu harta kepada seseorang tanpa perlu menukar ganti dengan harta atau benda yang lain, atau dengan wang pada kadar nilaian yang tertentu yang dibuat semasa pemberi hibah masih hidup, dan ia dilakukan secara sukarela. Firman Allah s.w.t. di dalam surah al-Baqarah ayat 177 :-

* }§øŠ©9 §ŽÉ9ø9$# br& (#q—9uqè? öNä3ydqã_ãr Ÿ@t6Ï% É-ÎŽô³yJø9$# É>̍øóyJø9$#ur £`Å3»s9ur §ŽÉ9ø9$# ô`tB z`tB#uä «!$$Î/ ÏQöqu‹ø9$#ur ̍ÅzFy$# Ïpx6Í´¯»n=yJø9$#ur É=»tGÅ3ø9$#ur z`¿Íh‹Î;¨Z9$#ur ’tA#uäur tA$yJø9$# 4’n?tã ¾ÏmÎm6ãm “ÍrsŒ 4†n1öà)ø9$# 4’yJ»tGuŠø9$#ur tûüÅ3»¡yJø9$#ur

Bermaksud : bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, dan hari akhirat, dan Segala malaikat, dan Segala kitab, dan sekalian Nabi; dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang ia menyayanginya, - kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan orang-orang yang miskin

Manakala menurut istilah syarak pula, hibah bermaksud suatu akad pemberian (al-atiyyah) atau pemindahan hak milik ain sesuatu harta kepada seseorang tanpa apa-apa balasan (i‘wad) semasa pemberi milik itu masih hidup, dan ia dilakukan secara sukarela dengan menggunakan lafaz ijab dan qabul. Dalam Kitab I’aanah al-Talibin, ( al-Allamah Abi Bakr Othman bin Muhammad Shatta al Dimyati al-Bakr, I’anat al Talibin, 1995, Beirut, Lebanon : Dar al Kutub al ‘ilmiyyah, jil.3, hlm. 245) telah dijelaskan perkara berkaitan dengan hibah :-

الهبة : تمليك عين يصح غالبا ، أو دين من أهل تبرع ، بلا عوض

Yang bermaksud : Hibah menurut pengertian syarak ialah memberi milik sesuatu barang kepada seseorang yang lain, yang mana barang itu adalah sah untuk dijual beli, atau diberi hutang oleh ahli yang tabarru’, tanpa adanya sebarang balasan atau tukaran.


Manakala di dalam Kitab Mughni al-Muhtaj, Juz 2, hlm. 396 pula menyatakan bahawa :-

التمليك لعين بلا عوض في حال الحياة تطوعا هبة

Yang bermaksud : Hibah ialah suatu pemberian milik sesuatu benda tanpa ada timbal balas atau tukaran sewaktu seseorang masih hidup dan ia dilakukan secara sukarela.





Di dalam Majalah al-Ahkam al-‘Adliyyah, Fasal 833 disebut sebagai; Hibah ialah hak milik harta kepada orang lain tanpa gantian (tukaran). ( Lihat The Mejelle, An English Translation Of Majallah El-Ahkam i-Adliya And A Complete Code On Islamic Civil Law, 2001, Kuala Lumppur: The Other Press, hlm.131).

Menurut Dr Wahbah al Zuhaili di dalam kitab Fiqh dan Perundangan Islam pula, hibah ditakrifkan sebagai ; “Satu akad yang dapat memindah milik sesuatu tanpa perlu menukar ganti, kerana dibuat secara sukarela” (Dr Wahbah al-Zuhaili, al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuh, juz 5, , hlm. 7)


Difahami dari takrif-takrif tersebut, hibah bermakna memberi milik sesuatu barang tanpa ada balasan dari penerima barang tersebut yang dibuat secara sukarela oleh pemberi barang tersebut.

Sesuatu hibah akan menjadi sah mengikut hukum syarak apabila sempurna rukun-rukunnya. Antara lain Rukun-rukun hibah sebagaimana yang dipetik di dalam kitab al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuh adalah seperti berikut:

Rukun hibah mengikut jumhur ulama ada empat, iaitu; pemberi, penerima, barang yang diberi dan sighah (lafaz).

Pemberi ialah orang yang memiliki barang yang diberi, jikalau benar ia pemilik yang sah, dia berhak memberi. Di dalam kes ini, pemberi ialah Allahyarham Yusuf bin Hassan yang mana menurut Plaintif telah menghibahkan harta-hartanya kepada Plaintif semasa sihat tanpa ada paksaan oleh sesiapa pun. Pemberi adalah disyaratkan ‘berkeahlian’ untuk menderma iaitu seorang yang berakal, baligh, serta matang atau cerdik. Di dalam kes ini tidak ada keterangan yang menyatakan pemberi itu seseorang yang tidak berkelayakan. Saya berpuashati bahawa rukun pertama ini telah dipenuhi oleh Plaintif pada peringkat awalnya.

Bagaimana pun keterangan Plaintif menjadi tidak konsisiten apabila pada masa yang lain Plaintif menyatakan tanah tersebut dihibahkan pula oleh arwah ibunya Rus bt Mat Noor. Kerterangan SP1, yang merupakan jiran Plaintif, menyebut arwah ibu Plaintif ingin memberikan tanah-tanah tersebut kepada Plaintif. Dalam hal ini tidak ditentukan secara khusus harta itu milik siapa sebenarnya dan siapa yang menghibahkannya kepada Plaintif. Pernyataan ini meragukan Mahkamah.

Rukun kedua ialah penerima. Penerima ialah semua orang dan seseorang itu harus memberikan semua hartanya kepada orang lain melalui persetujuan. Manakala pemberian semua hartanya kepada sebahagian anak-anaknya dalam pemberian adalah makruh hukumnya, menurut jumhur ulama, sekalipun ada yang berpendapat harus. Penerima adalah disayaratkan berkeahlian dalam memiliki harta yang diberi hibah kepadanya. Dalam kes ini, penerima adalah Plaintif, iaitu Kamsiah bt Yusof, seorang yang berkeahlian dan berkelayakan dalam menerima harta-harta yang dihibahkan tersebut. Saya juga berpuashati dengan rukun dan syarat yang kedua ini.



Rukun yang ketiga ialah barang yang dihibah, iaitu segala barang yang dimiliki. Mengenai rukun ketiga ini yang berkaitan dengan Mauhub (harta atau barang yang dihibah), ianya hendaklah menjadi milik penghibah secara sempurna iaitu tidak bercampur dengan milik orang lain atau tiada perkongsian dengan orang lain serta barang itu merupakan barang yang bermanfaat dan diakui oleh Syarak. Di dalam kita Mughni al-Muhtaj ada menjelaskan tentang syarat milikan sempurna ini;

“ada harta yang hendak dihibahkan itu dengan syarat harta itu hendaklah menjadi milikan sempurna penghibah iaitu tidak boleh bercampur milikan itu dengan orang lain dan harta itu merupakan harta yang bermanfaat serta diakui oleh syarak. Dengan demikian sekiranya harta yang dihibahkan itu tidak wujud, atau harta tersebut masih di dalam khayalan, atau harta yang dihibahkan itu merupakan benda yang sifat dan zatnya diharamkan oleh syarak, maka hibah tersebut adalah tidak sah.

Disyaratkan juga kepada orang yang memberi hibah itu mempunyai milikan yang penuh terhadap harta yang dihibahkannya. Perkara ini telah dinyatakan di dalam Kitab al-Iqna’, jil. 2, hlm. 171 iaitu :-

فيشترط في الموهب : الملك ، وإطلاق التصرف في ماله فلا يصح من ولي في مال محجوره

Yang bermaksud : Maka disyaratkan kepada orang yang memberi hibah itu mestilah memiliki harta tersebut, dan mempunyai pegangan yang mutlak terhadap hartanya, maka tidak sah memberi harta yang hilang.


Berkaitan dengan penguasaan ke atas harta oleh penghibah dan penerima hibah ini, telah dijelaskan di dalam Kitab Iqna’, jil. 2, hlm. 171-172, yang menjelaskan bahawa :-

ولا تلزم أي لا تملك الهبة الصحيحة غير الضمينة وذات الثوب ، الشاملة للهدية والصدقة إلا بالقبض فلا تملك بالعقد

Yang bermaksud : “dan tidak dikatakan atau tidak memiliki hibah secara jelas, tanpa ada tanggungan hutang dan hanya zat ganjaran sahaja, seperti hadiah dan sedekah, kecuali dengan pegangan (penguasaan padanya), maka tidak dimiliki hibah itu dengan akad sahaja.


Al-Sharbini telah menghujahkan ‘melainkan dengan pegangan’ itu dengan maksud penguasaan atau pegangan ke atas sesuatu barang oleh pemberi atau penerima barang itu. Sekiranya barang itu bukan dalam penguasaan pemberi hibah, maka tidak sah hibah itu. Sebaliknya jika, hibah telah dibuat, tetapi penerima hibah tidak mampu untuk menguasai harta atau barang itu disebabkan oleh halangan tertentu, maka tidak sah juga hibah tersebut.

Memetik penghakiman satu kes Rayuan di dalam kes Ibrahim Yusuff lwn Eshah Hj Ishak dan 4 yang lain (2006) JH XXI/II, 158-177, Panel Rayuan Mahkamah rayuan Syariah Negeri Kelantan yang dipengerusikan oleh YAA KHS yang memetiknya dari kitab al-Yakut al Nafis Fi Mazhab Ibni Idris menyatakan barang yang dihibah itu mengandungi lima syarat, iaitu, ianya diketahui, ianya suci, ianya boleh digunakan, ianya boleh diserahkan dan dalam milikan pemberi hibah.

Empat daripada lima syarat tersebut adalah jelas dan tidak dipertikaikan di dalam kes ini. Bagaimanapun syarat yang kelima adalah diragui kerana tidak ada keterangan ditimbulkan sepanjang prosiding kes ini berjalan, iaitu ianya mestilah dalam milikan pemberi hibah. Apa yang meragukan Mahkamah ialah, harta-harta yang dihibahkan tersebut adalah terdiri dari harta-harta Felda, iaitu rumah dan tapak rumah, dan dua keping tanah kebun. Sepertimana yang dimaklumi, harta-harta yang diperolehi melalui tanah rancangan adalah harta yang tidak dimiliki secara sempurna, ianya terikat dengan peraturan-peraturan tertentu sehinggalah harta itu diberi milik oleh Felda selepas proses tertentu, misalnya bayaran balik dan sebagainya. Tidak ada keterangan bila harta tersebut dimiliki oleh pemberi hibah. Sama ada ianya dihibahkan selepas atau sebelum harta tersebut diperolehi secara sah dari pihak Felda. Lafaz yang dibuat oleh pemberi hibah itu juga tidak dinyatakan dengan jelas bila masa ianya dibuat, kecuali keterangan ada menyebut ianya dilafazkan semasa kenduri, tetapi tidak dipastikan bila. Dan tidak pula dijelaskan sama ada semasa tanah itu telah diberi hak milik atau sedbelum diberi hakmilik oleh Felda kepada Arwah Yusof bin Hassan. Sedangkan ini adalah fakta terpenting untuk menentukan bahawa sesuatu hibah itu sah atau sebaliknya, iaitu pemilikan pemberi hibah.

Di dalam kes Sabedah bt Abdullah lwn 3 Yang lain, MTS Kes Mal No. 05100-044-0082-2007, Mahkamah telah menolak satu dari tanah-tanah yang didakwa oleh Plaintif telah dihibahkan oleh arwah orang tuanya, iaitu sekeping tanah di bawah pegangan GM 2877 Lot 7809 Mukim Gemencheh, Daerah Tampin Negeri Sembilan, Mahkamah menolak tuntutan hibah Plaintif bahawa hartanah atas nama Sabedah binti Abdullah kad pengenalan no. 490228-05-5046 dan Zainal bin Abdullah, sebagai pentadbir sebanyak 1/1 bahagian kerana harta tersebut bukan di bawah milikan sempurna si mati Gedek binti Durin sewaktu hibah tersebut dibuat dan masih di bawah milikan RISDA. Sewaktu hibah tersebut dibuat oleh arwah Gedek bt Durin, harta tersebut masih di dalam hutang bayaran kembali kepada pihak Felda. Mahkamah memutuskan bahawa tidak sah sesuatu hibah jika harta tersebut masih bukan suatu milikan yang sempurna oleh pemberi hibah.

Bagaimanapun, dalam kes ini tidak ada keterangan yang nyata sama ada harta yang dihibahkan oleh arwah Yusuf bin Hassan itu harta milikannya yang penuh atau masih di bawah hak milik Felda sewaktu lafaz hibah itu dibuat. Tarikh sebenar waktu hibah itu dilafazkan juga adalah tidak dinyatakan danb Plaintif sendiri tidak pasti jangkaan tahunnya.

Mengenai pemilikan ini, Mahkamah berpuashati orang terakhir yang memiliki tanah tersebut adalah arwah Rus binti Mat Noor, iaitu ibu kepada Plaintif dan Defendan-Defendan. Bukti yang jelas adalah berdasarkan kesemua tanah-tanah tersebut adalah atas nama Rus binti Mat Noor sebelum namanya ditukar kepada Plaintif sebagai Perntadbir. Fakta ini adalah dipersetujui oleh semua pihak.

Pada satu ketika, sewaktu disoal balas oleh Peguam Defendan yang terpelajar, dengan membenarkan nama ibu dimasukkan sebagai penama, secara tak langsung Plaintif bersetuju menyerahkan tanah-tanah tersebut kepada ibu. Fakta ini tidak dinafikan dan Plaintif dan mengakuinya. Bermakna tanah-tanah tersebut adalah hak milik secara zahir dan bertulis kepunyaan Rus binti Mat Noor. Pemilikan tanah oleh arwah Rus binti Mat Noor ini dikuatkan lagi dengan keterangan SP1, yang merupakan jiran Plaintif, menyebut arwah ibu Plaintif ingin memberikan tanah-tanah tersebut kepada Plaintif menunjukkan tanah itu sememangnya milik arwah Rus bt Mat Noor. Keterangan Plaintif sendiri menyokong perkara ini dimana mengakui semasa hayat ibunya, hasil diambil oleh ibunya.


Rukun keempat ialah sighah atau lafaz hibah. Di dalam kitab al-Yakut al-Nafis Fi Mazhab Ibni Idris yang dipetik dari penghakiman kes Ibrahim Yusuff lwn Eshah Hj Ishak dan 4 yang lain (2006) JH XXI/II, 158-177, YAA KHS menyebut terdapat 13 syarat mengenai lafaz hibah ini, iaitu;
1. Tidak diselangi dengan percakapan yang lain di antara ijab dan qabul
2. Tidak diselangi di antara keduanya dengan masa yang panjang
3. Kedua-duanya sepakat dengan pengertiannya
4. tidak tergantung (taklik)
5. Tidak tertangguh masa
6. Tidak berubah pihak yang pertama sebelum pihak yang kedua
7. Lafaz boleh didengar bagi mereka yang berhampiran dengannya
8. kekal kelayakan sehingga wujud pihak yang lain
9. ada pengucapan
10. Pengucapan itu sempurna
11. Menyebut apa yang diberi
12. Berlaku pemberian keseluruhannya
13. Maksudnya sama dengan lafaz

Berhubung dengan penerimaan hibah (qabul) mengikut Sheikh Zainuddin bin Abdul Aziz al Malibari dalam kitab Fath al-Muin Sharah Quratu al-Ain dalam kitab I’anah al Talibin, Jil 3, hlm 142 dan 143 menjelaskan bahawa ianya boleh berlaku dengan perkataan seperti:

“ qabiltu wa radhitu“ iaitu “aku terima dan aku redha“ dan boleh berlaku juga dengan cara tulisan seperti bagi engkau ini atau pakaian engkau ini, juga boleh dengan cara beri dan ambil (bi al-Mu’athat) dan adakalanya tidak disyaratkan berlafaz seperti dia menghiaskan anak kecilnya dengan perkakas emas.

Di dalam kes ini, Plaintif menyatakan arwah bapanya ada menghibahkan harta-harta tersebut dengan lafaz: “Abah nak serahkan tapak rumah dan tanah kebun kepada adik kamu Kamsiah binti Yusof”. Dia kata; “anak-anak yang lain sudah ada tanahyang tak ada tanah cuma Plaintif sahaja.,”
Pada ketika yang lain sewaktu disoal oleh Peguam Syarie Plaintif, ayat sebenar arwah bapa cakap; “Abah nak serahkan tapak rumah dan tanah kebun kepada Kamsiah binti Yusuf”.

Manakala tidak ada keterangan mengenai lafaz kali kedua yang dikatakan telah dibuat oleh arwah Yusof bin Hassan sewaktu ia sedang sakit.

Mengenai lafaz ini, berbeza keterangan Plaintif sepertimana yang dinyatakan di dalam Penyata Tuntutannya pada para 9 yang berbunyi; “ Tapak rumah dan kebun 8 ekar bagi pada Kamsiah, kebun 2 ekar (pajar) bagi kepada Sharif, sebab yang lain-lain dah ada tanah”

Manakala keterangan SP3 pula menyatakan; ayat sebenar ” tapak rumah dan kebun 8 ekar diberikan kepada Kamsiah binti Yusuf (dibahagikan) dan pajar bagi pada sharif”.

Menurut SP3 juga, Kali kedua pun perkara yang sama diucapkan oleh Arwah Yusuf bin Hassan, iaitu: “tapak rumah dan kebun 8 ekar saya bagi pada kamsiah binti Yusuf dan pajar pada Sharif bin Yusuf”

Semua keterangan yang dihidangkan kepada Mahkamah ini hanya menyebut mengenai lafaz ijab dari Pemberi dan tidak ada satu pun keterangan yang menyentuh mengenai qabul dari penerima. Dari segi lafaz ijab pula terdapat pelbagai versi dan tidak konsisten oleh Plaintif. Manakala Plaintif sebagai penerima tidak pernah menyatakan yang ia menerima pemberian tersebut pada masa majlis akad. Pada zahirnya, Plaintif tidak pernah membuat apa-apa penerimaan terhadap hibah tersebut, sedangkan penerimaan juga adalah bahagian terpenting dalam sahnya sesuatu hibah. Bermakna tidak berlakunya hibah tanpa adanya ijab dan qabul, dan boleh jadi ianya adalah hadiah atau boleh jadi juga sebagai satu sedekah.

Menurut Imam Abi Zakaria bin Syaraf al Nawawi dalam matan Minhaj al Talibin yang dihuraikan oleh Sheikh Mohamad Khatib al-Sharbini dalam kitab Mughni al-Muhtaj, Juz 2, hlm. 398, Darul Fikr menerangkan maksud:

“Dan tidak disyaratkan ijab qabul dalam pemberian hadiah mengikut pendapat yang sah”

Di dalam kes ini suatu pemberian didakwa telah dilakukan oleh Pemberi, iaitu arwah Yusof bin Hassan, dan pemberian itu berdasarkan ijab yang dibuat tanpa disebut secara jelas dan terang sama ada ianya hibah atau hadiah atau sedekah. Ijab itu pula tidak disusuli dengan qabul oleh penerima bagi menjelaskan perkara tersebut, bermakna kedua-duanya iaitu pemberi dan penerima tidak sepakat mengenai pengertiannya dan ini menjejaskan pemberian tersebut terutamanya dari sudut hibah dan tidak memenuhi syarat sighah.

Mengenai sighah ini, ianya merupakan satu rukun yang mesti dipenuhi bagi sahnya sesuatu hibah. Bagi mazhab Hanafi, sebagaimana yang diperuntukkan di dalam fasal 837 Undang-Undang Majallah;

“Kontrak hibah berlaku dan sah apabila terdapat penawaran (ijab) dan penerimaan (qabul), ia menjadi sempurna apabila terdapat penerimaan (barang).

Apabila sempurna sesuatu akad hibah dengan memenuhi rukun-rukun dan syarat-syaratnya serta berlaku penyerahan dan penerimaan barang (al-qabd), maka harta itu menjadi milik penerima hibah sekalipun tanpa balasan (iwad).

Al-Qabd bermaksud mendapat sesuatu, menguasainya dan boleh melakukan tasarruf. Al-qabd terbahagi kepada tiga jenis, iaitu:
1. al-qabd dengan kebnenaran syarak semata-mata tanpa kebenaran pemiliknya, contohnya penerima zakat;
2. al-qabd dengan kebenaran dan keizinan pemiliknya sepertimana berlaku dalam hibah, dan
3. al-qabd tanpa kebenaran syarak dan pemiliknya, iaitu harta milik orang lain.

Menurut mazhab al-Syafie, al-qabd merupakan syarat luzum, ertinya akad hibah tidak sempurna dan tidak akan berkuatkuasa dengan ijab dan qabul, kecuali selepas al-qabd. Jika sekiranya al-qabd tidak berlaku maka akad hibah merupakan akad yang tidak mengikat. Pemberi hibah berhak menarik balik hibah tersebut selama mana harta tersebut berada dalam pemilikannya.

Bagi memastikan akad hibah itu sempurna dan menjadi satu akad yang mengikat, maka al qabd tertakluk kepada syarat-syarat berikut:
(i) mendapat kebenaran dan keizinan pemberi hibah secara sarih;
(ii) harta yang dihibah tidak bercampur dengan harta lain; dan
(iii) penerima hibah berkeahlian iaitu baligh dan berakal. Bagi kanak-kanak dan orang gila , walinya boleh menrima harta hibah itu.

Cara penerimaan barang (al-qabd) adalah berbeza-beza mengikut jenis harta sama ada harta alih atau harta tak alih, al qabd boleh berlaku dengan cara mengosongkan harta itu, menguasainya dan melakukan tasarruf terhadap harta tersebut seperti menyerahkan kunci dan seumpamanya. Manakala harta alih pula, al qabd boleh berlaku dengan mengambil harta itu, memindah atau mengasingkan harta tersebut dengan harta-harta yang lain.

Dalam kes ini, selain dari sighah yang meragukan dan tidak konsisiten dari segi lafaz ijab, qabd atau penerimaan juga kurang jelas dan tidak dibuktikan. Peguam Plaintif yang terpelajar telah berhujah bahawa sebagai tanda penerimaan, Plaintif telah tinggal di rumah tersebut sehinggalah sekarang dan mengusahakan ladang tersebut dengan menanam semula, meracun, membaja sehinggalah ia mengeluarkan hasil. Pada masa tersebut arwah ayah sudah mula sakit dan arwah juga telah menyebut untuk memberi tanah tersebut kepada Plaintif. Semasa Plaintif mengusahakan tanah tersebut, tiada sesiapa pun yang membantah. Defendan 2, Arifin bin Yusof turut membantu Plaintif menggali lubang sebanyak 20 batang bagi menanam benih getah tersebut, membuktikan penerimaan telah berlaku walaupun serahan secara resmi belum lagi lagi dibuat iaitu dengan cara penukaran hak milik geran tanah ke atas nama Plaintif. Dengan hormatnya disebut disini, Mahkamah tidak pernah merekod atau mencatatkan keterangan mengenai fakta di atas, dan mahkamah berpendapat fakta bahawa Arifin menggali 20 lubang tersebut tidak pernah disebut semasa prosiding ini berjalan dan fakta tersebut tiada dalam perkiraan atau catatan mahkamah dan hanya ditambah sewaktu penghujahan.

Mahkamah ini juga tidak bersetuju dengan hujah peguam Defendan-defendan bahawa qabul dibuktikan dengan kukuh dengan cara qarinah plaintif mendiami rumah tersebut.Dengan hormat dinyatakan bahawa qabul mestilah berlaku dalam majlis akad dan tidak diselangi dengan perkataan yang lain atau dalam jangka masa yang lama. Ianya boleh jadi secara lisan seperti kata “qabiltu wa radhitu” iaitu “aku terima dan aku redha“ dan boleh berlaku juga dengan cara tulisan seperti yang dinukilkan di dalam I’anah al Talibin, hlm 142 dan 143 yang disebut sebelum ini.

Mengenai hibah yang tidak ada qabul ini, ada dibincangkan oleh secara terperinci oleh ulamak. Menurut Syed Sabiq di dalam kitab Fiqh al Sunnah, hal 269, menyebut;

“ Antara ulama’ fiqh berpendapat bahawa menjadi hak milik penerima dengan adanya pemberian (ijab). Kata mereka penerimaan tidak menjadi syarat sama sekali. Kedudukannya sama seperti aqad jual beli. Pendapat ini disuarakan oleh Imam Ahmad, Malik, Abu Thaur Ahli al-Dhazir. Atas pandangan ini apabila pemberi (wahib) meninggal dunia atau penerima sebelum serahan dibuat hibah itu tidak menjadi batal, kerana denganadanya aqad, hibah yang dibuat sudah menjadi milik penerima (mauhub lahu).

Pandangan kedua disuarakan oleh Abu Hanifah (sama seperti Majallah Ahkam Johor, Artikel 841, 849, 865, 872 dan 879) Shafie dan al-Thauri yang menetapkan penerimaan sebagai syarat sahnya hibah dan apa-apa pemberian yang belum sempurna penerimaannya tidak mengikat pemberinya. Oleh itu, jika berlaku kematian orang yang diberi atau pemberinya sebelum serahan berlaku, pemberian itu menjadi batal.”


Di dalam kes ini saya lebih cenderung menggunapakai pendapat yang kedua, iaitu dengan menggunakan akad ijab qabul yang jelas dan penerimaan (qabd) menguatkan lagi bahawa harta itu telah dihibahkan. Meskipun ijab tanpa qabul yang jelas adalah dibolehkan, tetapi ianya perlu dibuktikan secara khusus hingga menghilangkan keraguan Mahkamah. Dalam kes Eshah bt Abdullah dan Lima yang Lain lwn Che Aminah bt Abdul Razak & Dua yang Lain (2004) JH XVIII/I 47, YA HMTS Terengganu telah memutuskan sahnya sesuatu hibah yang dibuat oleh si mati kepada Responden-Responden meskipun hibah tersebut tidak disusuli oleh qabul. YA Hakim memutuskan hibah berkenaan adalah sah walau pun tanpa qabul dengan melihat kepada penerimaan harta tersebut oleh Responden-Responden. Responden telah mengemukakan saksi bahawa ia mengutip hasil sewa dan dibahagikan dengan penerima-penerima hibah yang lain semasa hayat si mati masih hidup walaupun penukaran hak milik tanah belum dibuat.

Dalam kes dihadapan saya ini, ijab dari pemberi tidak disusuli oleh qabul oleh penerima dan tidak ada pula bukti yang mengatakan penerimaan dibuat semasa hayat simati masih hidup. Meskipun mendiami rumah oleh Plaintif boleh dikaitkan sebagai qarinah penerimaan, tetapi ianya tidak cukup kuat untuk mengatakan bahawa rumah itu telah diberi atau dihibah semasa hayat si mati lagi.

mendiami rumah tersebut semata-mata tidak bermakna menguasai rumah itu. Tidak ada keterangan bahawa Plaintif menguasainya, seperti membaiki, membina semula, mengubah suai, mengecat atau meminda dari yang asal, kerana menguasai bermakna Plaintif berhak melakukan sesuatu tanpa halangan orang lain. Jika Plaintif tidak boleh melakukan perkara-perkara tersebut semasa simati masih hidup, bermakna Plaintif tidak menguasai rumah tersebut dan melakukan tasarruf . Tidak ada keterangan Plaintif menguasai rumah tersebut semasa hayat Arwah Yusuf bin Hassan, demikian juga selepas kematian arwah Yusuf bin Hassan. Tidak seperti mana adik beradik yang lain, hanya Plaintif yang tinggal dirumah tersebut sejak kecil hingga sekarang. Seperti yang disebut tadi, mendiami semata-mata tidak menunjukan ia memiliki rumah tersebut. Qarinah yang lebih jelas ialah penukaran hak milik tidak dibuat selepas kematian arwah Yusuf bin Hassan sedangkan jika rumah tersebut milik Plaintif, tidak ada apa yang menghalang Plaintif, sama ada rasa malu atau hormat kepada ibu Plaintif, Arwah Rus bt Mat Noor. Penukaran hak milik atau menyuarakan hasrat untuk menukar hak milik secara terbuka kepada arwah ibu dan adik beradik yang lain adalah qarinah jelas bahawa Plaintif berkuasa terhadap rumah itu, tetapi hal ini tidak berlaku. Peluang kedua pada Plaintif ialah sewaktu bicara kuasa kali kedua selepas arwah ibu meninggal, sekali lagi plaintif tidak menunjukkan yang ia memiliki atau menguasai rumah tersebut dan bersetuju dibahagikan secara faraid. Plaintif menguasai rumah tersebut sepenuhnya selepas bicara kuasa diputuskan di pejabat Tanah Gemas pada 20/9/2004, iaitu setelah Plaintif diberi kuasa mentadbir. Kuasa mentadbir adalah kuasa yang diberi secara amanah, bukan menguasai secara mutlak. Selepas 10 ntahun kematian pemberi hibah, penerimaan barulah dibuktikan oleh Plaintif, itu pun di atas persetujuan ahli waris yang lain dan atas dasar amanah sebagai kuasa mentadbir.

Dalam kes Che Alias bin Che Muda lwn Abdul Talib @ Musa bin Muda, JH (2008) 25/2, 191, Panel Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu berpendapat penambahan rumah yang dilakukan selepas berlakunya lafaz hibah hanyalah merupakan bahawa Responden telah membaiki rumah tersebut secara sukarela memandangkan Responden juga telah tinggal di rumah tersebut dan bukanlah sebagai qarinah telah berlakunya qabd.



Demikian juga mengenai hartanah-hartanah yang berupa dua bidang kebun. Tidak ada keterangan atau pembuktian bahawa Plaintif ada penerimaan terhadap harta-harta tersebut. Sedangkan hibah berlaku pada masa hayat arwah Yusuf bin Hassan. Pemilikan akan berlaku sebaik sahaja Hibah dilaksanakan. Menurut Imam Syafie, hibah terlaksana dengan qabd selepas akad. Keterangan yang menyatakan Plaintif ada mengusahkan tanah-tanah tersebut semasa hayat arwah Yusuf bin Hassan adalah diragui kerana Plaintif belum menguasai harta-harta tersebut semasa arwah masih hidup. Boleh jadi Plaintif mengusahakan tanah-tanah tersebut sebagai membantu arwah mengerjakannya sebagaimana tanggung jawab seorang anak yang tinggal bersama ibu bapanya, apatah lagi semasa arwah sedang sakit. Adapun hibah tersebut hendaklah terlaksana serta merta, menguasahakan tanah tersebut semasa hayat arwah masih hidup, mengambil hasil dan menguruskannya adalah bukti Plaintif menguasai tanah itu. Bagaimanapun hal ini tidak dibuktikan, malah dalam keterangannya juga, selepas arwah Yusuf bin Hassan meninggal dunia, tanah-tanah tersebuit dinamakan dengan nama arwah ibu, Rus bt Mat Noor dan hasil diambil oleh ibu. Maka mana hak Plaintif jika tanah-tanah itu milik Plaintif? Keterangan Plaintif sendiri menunjukkan tanah itu dikuasai oleh orang lain, Plaintif hanya membantu sahaja sebagai seorang anak yang tinggal bersama dan menjaga orang tuanya. Plaintif membuktikan ia menguasai harta-harta tersebut setelah kematian orang tuanya, selepas bicara kuasa pada 20/9/2004, iaitgu selepas memperolehi kuasa mentadbir dan bukan selepas atau sebaik sahaja tanah-tanah itu dihibahkan kepadanya. Sedangkan hibah berlaku semasa hidup pemberi hibah, iaitu serta merta, bukan selepas kematian pemberi hibah atau selepas jangkamasa yang lama.


Dari ulasan tersebut, Mahkamah ini mendapati perlakuan hibah itu adalah meragukan. Penekanan kepada sebahagian besar rukun-rukun hibah telah tidak ditekankan dan tidak diberi perhatian sewajarnya oleh Plaintif.

Pembuktian


Dalam kes ini, Plaintif mendakwa arwah bapanya yang meninggal lebih dulu daripada arwah ibunya telah menghibahkan tanah-tanah yang dipertikaikan kepada Plaintif. Dakwaan tersebut dinafikan oleh Defendan-Defendan. Maka menjadi tanggungjawab Plaintiflah untuk membuktikan dakwaan tersebut sama ada benar atau tidak atau dengan kata lainnya dibuktikan atau sebaliknya. Merujuk kepada satu hadis yang mashur yang diriwayatkan oleh al-Baihaki bahawa Nabi S.A.W. bersabda:



“Orang yang mendakwa hendaklah membuktikannya dengan keterangan saksi (bayyinah) dan sumpah ke atas orang yang menafikannya”

Dalam kes ini ada beberapa perkara yang meragukan mahkamah dan perlu dibuktikan oleh Plaintif. Antaranya;

1. sama ada berlakunya transaksi hibah
2. sama ada arwah ibunya mengetahui akan hibah tersebut, tetapi tidak mengisytiharkan hibah itu,
3. Sama ada wujudnya hal keadaan atau qarinah mengenai pemberian hibah tersebut


Sama ada Plaintif telah membuktikan wujudnya transaksi Hibah


Plaintif didalam keterangan utamanya mendakwa bahawa bapanya, Allahyarham Yusuf bin Hassan, pada suatu masa telah mengumpulkan anak-anak yang terdiri dari Plaintif, Defendan 1, 2, 3, dan 4 selepas satu majlis kenduri yang mana tahunnya tidak pasti bila, telah menghibahkan tanah kebun dan tapak rumah kepada Plaintif. Lafaz tersebut dibuat oleh Allahyarham Yusof bin Hassan di hadapan Latifah bt Yusof (Defendan 1) dan suaminya Zakaria bin Maarof, Arifin bin Yusof (Defendan 2, Salamah bt Yusof (Defendan 3) dan suaminya En. Alwi bin Payang, Sharif bin Yusof (Defendan 4), Allahyarhamah Rus bt Mat Noor (ibu), Kamsiah bt Yusof (Plaintif) dan Borhan bin Abu Samah (Suami Plaintif) di rumah no 657, Felda Pasir Besar, selepas selesai kenduri yang mana tahunnya tidak pasti.

Menurut Plaintif, antara lain Arwah Yusof bin Hassan mengatakan, dia tanya anak-anak yang lain : “Abah nak serahkan tapak rumah dan tanah kebun kepada adik kamu Kamsiah binti Yusof”. Dia kata; “anak-anak yang lain sudah ada tanah, yang tak ada tanah cuma Plaintif sahaja. ”

Kali yang kedua lafaz hibah itu juga dibuat oleh Arwah Yusof bin Hassan. Sepertimana lafaz yang pertama, bagaimanapun tidak ada keterangan bila waktu lafaz yang kedua dibuat, kecuali menyatakan sewaktu arwah sedang sakit. Tidak ada juga keterangan bagaimana bentuk bunyi lafaz yang kedua.

Dalam menentukan sesuatu hibah itu sah atau tidak mengikut Hukum syarak, perkara utama yang perlu diberi perhatian ialah adakah ianya mematuhi rukun-rukun hibah. Jika rukun-rukun hibah itu diakui sah tanpa ragu, maka perkara-perkara lain yang timbul ekoran pemberian hibah itu adalah berkaitan dan perlu diambil kira.



Dalam menentukan sama ada wujudnya transaksi hibah, Plaintif telah mengemukakan 3 orang saksi yang terdiri daripada SP1 iaitu jirannya, SP2 iparnya, suami kepada D1 dan SP3 suami Plaintif sendiri.

SP1 memberikan keterangan bahawa dia tidak tahu tanah-tanah yang dipertikaikan itu hak milik siapa atau atas nama siapa. Apa yang SP1 tahu ialah pada satu ketika selepas balik dari menoreh dan sewaktu berehat di bangsal durian, arwah Russ bt mat Noor ada menceritakan kepada SP1 bahawa tanah-tanah itu hendak diberi kepada Plaintif. Antara lain kata SP1;

“Masa tu dia (Rus bt Mat Noor) sakit dada, masa tu sama-sama menorah, dia cakap nak bagi tanah dan tapak rumah pada Akam (Plaintif). Tanah kebun yang dia toreh itu.”
Keterangan SP1 langsung tidak menyentuh mengenai transaksi hibah arwah Yusuf bin Hassan kepada plaintif, tetapi lebih menjuruskan kepada niaat arwah ibu Plaintif yang ingin memberikan tanah tersebut kepada plaintif.

Manakala SP2 pula, Zakaria bin Maaruf yang juga ipar kepada Plaintif dan suami kepada D1. SP2 juga tidak menyebut mengenai lafaz hibah arwah Yusuf bin Hassan, akan tetapi ada menyebut bahawa pada suatu masa arwah Yusuf bin Hassan dan arwah Rus bt Mat Noor ada dating kerumahnya di No 87, Felda Lui Barat. SP2 ada dengar arwah Yusuf bin Hassan menyebut;

“rumah ini saya nak bagi kepada Kamsiah kerana yang lain sudah masuk Felda”
SP2 tidak pernah pula mendengar arwah Yusuf menghibahkan tanah-tanah lain. Mengenai tanah kebun, menurut SP2, Felda yang bertanggungjawab, ini berdasarkan peraturan Felda. Mengenai rumah, ada disebut dengan jelas oleh simati secara personal nak beri rumah kepada Kamsiah, tanah ladang tak ada disebut.

Keterangan SP2 juga menunjukkan dia hanya tahu simati (bapa) hendak beri rumah kepada Plaintif, bukan menghibahkan rumah tersebut. Saksi ini juga tidak membantu Mahkamah dalam menyerlahkan sama ada transaksi hibah itu wujud atau tidak. Jika sekalipun hibah itu wujud, keterangan mengenai harta adalah tidak konsisten. SP2 tidak tahu menahu mengenai lafaz hibah simati kepada Plaintif, sedangkan menurut Plaintif dan SP3, SP2 ada bersama di dalam majlis kenduri tersebut dan mendengar lafaz hibah itu. Walau pun SP2 mengakui ada hadir pada kebanyakan majlis kenduri yang dibuat oleh simati, dia tidak tahu bila simati melafazkan hibah tersebut.

Manakala SP3 pula mengakui wujudnya lafaz hibah sebanyak dua kali. Sekali pada waktu malam selepas selesai kenduri tarikh yang tidak pasti tetapi antara tahun 1986 atau 1987.. SP3 mendengar sendiri lafaz dari arwah bapa yang berbunyi;
“ tanah tapak rumah dan kebun 8 ekar bagi kepada kamsiah binti Yusof dan pajar 2 ekar bagi kepada Sharif bin Yusof”
Lafaz ini dibuat dihadapan lima orang anak arwah dan 3 orang menantu, iaitu Zakaria bin Maaruf (SP2), Alwi bin Payang (SD1) dan SP3termasuk isteri simati.

Kali kedua arwah bapa cakap yang serupa juga, iaitu;
““ tanah tapak rumah dan kebun 8 ekar bagi kepada kamsiah binti Yusof dan pajar 2 ekar bagi kepada Sharif bin Yusof”
Yang mendengar lafaz ini ialah arwah ibu, D2, D4 Plaintif dan SP3, termasuk isteri simati. D2 dan D4 ada bersama mendengar lafaz tersebut kerana kebetulanmereka balik.

Keterangan SP3 adalah teratur dan jelas serta sama seperti didalam penyata tuntutan Plaintif. Bagaimanapun, lafaz tersebut tidak pernah disebut oleh Plaintif dalam keterangan utamanya. Mengikut versi Plaintif, antara lain Arwah Yusof bin Hassan mengatakan, dia tanya anak-anak yang lain : “Abah nak serahkan tapak rumah dan tanah kebun kepada adik kamu Kamsiah binti Yusof”. Dia kata; “anak-anak yang lain sudah ada tanah, yang tak ada tanah cuma Plaintif sahaja.”

Kali yang kedua lafaz hibah itu juga dibuat oleh Arwah Yusof bin Hassan. Sepertimana lafaz yang pertama, bagaimanapun tidak ada keterangan bila waktu lafaz yang kedua dibuat, kecuali menyatakan sewaktu arwah sedang sakit. Tidak ada juga keterangan bagaimana bentuk bunyi lafaz yang kedua.

Mengenai keterangan SP3 ini, ianya adalah amat meragukan kerana tidak sama seperti keterangan Plaintif. Dari sudut statusnya pula, SP3 adalah suami kepada Plaintif dan mempunyai kepentingan terhadap tanah-tanah hibah tersebut. Pada masa yang sama keterangannya bercanggah dengan Plaintif terutamanya bagi l;afaz kali kedua. Menurut Plaintif, yang ada masa lafaz kali kedua ialah Plaintif, Sp3 dan arwah ibu, orang lain tidak mendengarnya. Menurut SP3, D2 dan D4 ada bersama.

Di dalam kes Che Alias bin Che Muda lwn Abdul Talib @ Musa bin Muda, JH (2008) 25/2, 191, Keterangan saksi pertama dan kedua Plaintif ditolak kerana wujudnya tohmahan. Panel Mahkamah Rayuan berpendapat bahawa saksi pertama dan kedua Plaintif adalah anak beranak yang rapat dengan Plaintif dan tinggal di aset yang dipertikaikan tersebut dan orang yang berkepentingan dalam tuntutan hibah Plaintif. Panel Rayuan seterusnya merujuk kepada hadis yang bermaksud:



“Tidak boleh diterima keterangan saksi yang ada tohmah dan ada permusuhan”

Mereka juga merujuk kepada Sek. 83 (6) Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Terengganu) 2001 yang memperuntukkan:

“…seseorang yang kebolehpercayaannya diragui kerana hubungan baiknya dengannya dan mempunyai kepentingan dalam pihak menentang adalah kompeten untuk memberikan bayyinah tetapi tidak kompeten untuk memberikan syahadah”

Dalam kes di hadapan saya ini, dakwaan Plaintif mengenai wujudnya transaksi hibah adalah meragukan dan tidak dibuktikan. Keterangan saksi-saksi pula adalah bercanggah antara satu sama lain. SP1 menceritakan tanah itu diberi oleh arwah ibu, SP2 mengenai pemberian rumah sahaja dan SP3 mengenai tanah dan rumah. SP3 pula wujud tohmah kerana mempunyai kepentingan terhadap asset yang dipertikaikan.


sama ada arwah ibu (Rus bt Mat Noor) tahu dan sedar bahawa tanah-tanah tersebut telah dihibahkan kepada plaintif oleh simati (Yusuf bin Hassan).


Perkara seterusnya yang meragukan Mahkamah ialah dan perlu dibuktikan oleh Plaintif ialah mengenai fakta bahawa sama ada arwah ibunya mengetahui akan hibah tersebut, akan tetapi kenapa pada masa yang sama tidak mengisytiharkan hibah itu kepada ahli waris yang lain, sedangkan ianya adalah suatu perkara yang memberi kesan besar selepas kematiannya kelak. Dalam hal ini, Plaintif perlu membuktikan bahawa arwah ibunya sedar dan tahu bahawa tanah tersebut bukan milik ibunya tetapi telah menjadi milik Plaintif. Bagaimanapun fakta ini tidak dibuktikan, sebaliknya hanya dakwaan plaintif semata-mata. Saya berpendapat, fakta arwah ibu yang mengetahui bahawa tanah-tanah itu adalah dihibahkan oleh simati kepada Plaintif adalah fakta penting yang mesti dibuktikan. Sebagai seorang ibu, ia pastinya sedar jika perkara tersebut tidak dinyatakan kepada ahli-ahli waris, pertikaian akan berlaku selepas kematiannya kelak. Adalah tidak munasabah si ibu boleh memberitahu orang lain harta-hartanya hendak diberikan kepada Plaintif, tetapi tidak diberitahu kepada ahli waris yang lain. Jika wujudnya hibah, arwah Rus bt Noor sudah pastilah menyatakannya secara terbuka di hadapan Pegawai Pentadbir Tanah sewaktu bicara kuasa selepas kematian si mati arwah Yusuf bin Hassan di Pejabat Tanah Gemas. Itulah peluang terbaik arwah Rus bt Mat Noor untuk memaklumkan kepada ahli waris yang lain bahawa tanah-tanah tersebut telah diberikan oleh simati (Yusuf bin Hassan) kepada plaintif dan ia cuma nak merasa namanya diletakkan di dalam geran.

Keterangan Plaintif dan SP3 bahawa arwah ibu tahu dan mengikut amanah simati adalah tidak selari dengan perlakuan ibu. Jika benarlah arwah ibu mengikut amanat simati yang ingin memberikan tanah tersebut kepada Plaintif, sudah tentulah tanah-tanah itu ditukar hakmilik kepada Plaintif bukan kepada arwah ibu, Rus bt Mat Noor, kerana itulah baru memenuhi amanat simati. Jika tidak berbuat demikian, maka adalah tidak munasabah perlakuan menukar nama simati kepada arwah Rus bt Mat Noor itu mengikut amanat simati, kerana itu adalah bertentangan sama sekali dengan amanat simati yang ingin menyerahkan tanah tersebut kepada Plaintif. Dan jika benarlah arwaah ibu hanya ingin merasa namanya dimasukkan kedalam geran, sudah pastilah pada bila-bila masa sebelum kematiannya menyatakan perkara tersebut secara terbuka kepada anak-anaknya yang lain, tetapi perkara ini tidak pernah berlaku dan tidak dibuktikan.

Sama ada wujudnya qarinah atau hal keadaan mengenai perlakuan hibah

Fakta seterusnya yang meragukan Mahkamah dan perlu dibuktikan oleh Plaintif ialah mengenai isu pembahagian mengikut faraid yang dibuat dan diputuskan di Pejabat Tanah Gemas. Plaintif sekurang-kurangnya perlu menimbulkan isu bahawa pembahagian tersebut yang dibuat pada15/01/2004, adalah sesuatu yang tidak betul atau silap atau didasarkan sesuatu sebab yang tidak patut dan menyalahi hukum syarak atau tidak mengikut peraturan. Bagaimanapun, perkara ini tidak diberi penekanan. Pada tarikh tersebut, permohonan pembahagian pusaka telah diputuskan oleh Pejabat Tanah Gemas berdasarkan kehendak Akta Pesaka kecil dan Plaintif sebagai pemohon dalam kes tersebut bersetuju ianya diputuskan mengikut pembahagian faraid. Tidak ada bantahan dan tidak ditimbulkan isu hibah. Tidak ada keterangan sama ada dari Plaintif atau saksi-saksinya bahawa Plaintif tidak bersetuju dengan pembahagian tersebut. Persetujuan semua pihak termasuk plaintif menunjukkan tanah tersebut tidak mempunyai masalah pemilikan atau tuntutan lain yang bertindih. Eksibit P4 iaitu Borang E yang merupakan dokumen perintah Pejabat Tanah mengesahkan pembahagian yang sempurna telah dibuat. Pejabat Tanah tidak akan mengeluarkan perintah tersebut, terutamanya bagi harta tak alih jika persetujuan tidak dapat dicapai, maka kes itu akan dirujukkan ke Mahkamah Syariah. Tetapi hampir 3 tahun kemudiannya barulah perintah itu dipertikaikan. Keadaan ini cukup meragukan Mahkamah.

Mengenai pembahagian atau Bicara Kuasa di Pejabat Tanah ini, Plaintif mempunyai sekurang-kurangnya dua kali peluang untuk menimbulkan isu hibah, iaitu kali pertama selepas kematian simati (arwah bapa). Selepas kematian simati, telah dibuat perbicaraan di Pejabat Tanah dan semua ahli waris bersetuju memasukkan nama arwah ibu (Rus bt Mat Noor) sebagai pemilik tunggal. Pembahagian sepatutnya dimasukkan nama ahli-ahli waris. Keterangan menunjukkan semua pihak bersetuju nama geran dimasukkan dengan nama arwah ibu secara tunggal. Bermakna ahli waris termasuk Plaintif menolak bahagian faraid arwah ayah dan menyerahkan kepada siibu. Maka dengan itu siibu boleh memasukkan namanya di dalam daftar hakmilik secara tunggal tanpa ada bantahan mana-mana pihak. Penukaran hakmilik tanpa ada bantahan ahli waris menunjukkan penguasaan mutlak yang diperolehi oleh penama selepas semua secara muafakat menyerahkan bahagian masing-masing, jika tidak, mustahil penamaan hakmilik baru boleh didaftarkan dalam keadaan simati meninggalkan ahli waris. Persetujuan menyerahkan bahagian menunjukkan ahli waris tidak lagi berhak terhadap harta-harta tersebut kecuali penama tunggal. Persetujuan tersebut juga tidak dibantah dan tidak ada penarikan balik atau rayuan dibuat. Sedangkan Plaintif berpeluang berbuat demikian sebelum atau sesudah proses itu dibuat. Diatas kertas, Rus binti Mat Noor adalah pemilik tunggal harta-harta tersebut. Penafian mengenai hakmilik tersebut sepatutnya dibantah pada ketika itu, bukan 10 tahun selepas kematian pemberi hibah.

Plaintif mempunyai peluang kedua pada tahun 2004 selepas permohonan bicara kuasa di Pejabat Tanah yanag mana Plaintif sendiri sebagai pemohonnya. Juga tidak ditimbulkan dan pihak-pihak bersetuju dibahagi secara faraid. Selepas 3 tahun kemudian, barulah isu hibah ini ditimbulkan. Saya tidak nampak isu ini relevan dalam keadaan sekarang. Plaintif sepatutnya membuktikan sehingga menghilangkan keraguan mahkamah kenapa perkara ini boleh berlaku, barulah mahkamah berpuashati bahawa transaksi hibah itu ada kemungkinan berlaku. Qarinah-qarinah ini menunjukkan tidak pernahpun berlaku hibah mengikut hukum syarak dan tiada siapa pun yang mengetahui perkara ini, kecuali ditimbulkan oleh plaintif dalam kes ini. Jika ada pun, ianya mungkin bukan unsur hibah, tetapi sekadar hasrat arwah simati yang ingin memberikan harta-harta tersebut kepada plaintif. Mungkin ada benarnya keterangan D1, Latifah binti Yusuf yang menyatakan ;

“saya ada dengar arwah ayah sebut rumah itu hendak diberi kepada Plaintif duduk, yang saya faham, beri duduk, bukan beri rumah, kalau beri rumah sudah tentu dia sebut bagi rumah sekali. Saya tak terfikir pula ayah nak beri rumah kepada Plaintif”

Walaupun saya tidak berpendapat bahawa keterangan ini benar dan dibuktikan, Keterangan D1 ini lebih munasabah dan lebih relevan dengan fakta kes ini berdasarkan qarinah-qarinah dan urutan peristiwa yang berlaku.

Dalam kes Che Alias bin Che Muda lwn Abdul Talib @ Musa bin Muda, JH (2008) 25/2, 191, dimana mahkamah bersetuju dalam kes ini jika benar asset tersebut telah dihibahkan kepada Responden kira-kira 30 tahun yang lalu, kenapa responden tidak berusaha dalam tempoh 30 tahun untuk membuat pindah milik ke atas namanya sedangkan surat perjanjian mengenai hibah itu boleh diusahakan oleh Responden dalam masa 26 hari sebelum kematian ibunya, si mati yang merupakan wahib dalam kes ini. Ini menimbulkan keraguan tentang wujudnya hibah asset tersebut dan keraguan terhadap surat perjanjian tersebut yang dibuat secara tergesa-gesa dan berunsurkan tohmah dalam kes ini.

Fakta yang lebih kurang sama dengan kes yang ada dihadapan saya ini, dimana agak meragukan apabila Plaintif tidak membuat apa-apa usaha bagi tujuan hibah tersebut sedangakan Plaintif berpeluang sebanyak dua kali untuk mengisytiharkan harta-harta itu telah dihibahkan oleh arwah bapanya. Permohonan hibah ini dibuat setelah timbul pertikaian ekoran daripada hasil getah yang meningkat dan plaintif dilantik menjadi pentadbir bagi harta-harta tersebut. Keadaan semasa yang berlaku menunjukan wujudnya tohmah terhadap permohonan hibah ini.

Secara jelas berdasarkan bukti bertulis, tanah-tanah tersebut adalah hak milik mutlak arwah Rus binti Mat Noor bila semua ahli waris sepakat menyerahkan dan bersetuju dimasukkan nama beliau secara tunggal bagi pemilikan tanah-tanah tersebut, maka munasabahlah arwah Rus binti Mat Noor ada menyuarakan hasrat untuk memberikan tanah-tanah tersebut kepada Plaintif seperti yang dinyatakan oleh SP1. Jika Rus bt mat Noor sebagai pemilik yang sah selepas kematian simati (arwah Yusuf bin Hassan), dan Plaintif pula bersetuju menyerahkan haknya kepada arwah Rus bt Mat Noor sepertimana yang diakui oleh Plaintif sewaktu disoal balas oleh Peguam Syarie Defendan-Defendan, maka Plaintif bukan saja belum membuat penerimaan hibah dari simati, tetapi juga telah menyerahkan tanah-tanah tersebut kepada Rus bt Mat Noor. Dan tidak ada bukti penarikan balik dibuat oleh Plaintif sehinggalah arwah Rus bt Mat Noor meninggal dunia. Tuntutan hibah ini adalah lebih relevan jika dibuat oleh arwah Rus bt mat Noor kepada Plaintif, bukannya dari simati, arwah Yusuf bin Hassan, dan jika benarlah arwah Rus bt Mat Noor hanya ingin merasa namanya dimasukkan ke dalam geran dan sedar tanah itu sudah menjadi hakmilik Plaintif, arwah Rus bt Mat Noor boleh berrtindak sebagai pemegang kuasa mentadbir sahaja sepertimana yang dibuat oleh Plaintif sekarang, dan tidak perlu menukar kepada namanya secara pemilik tunggal kerana ia sedar kesukaran yang akan dihadapi pada masa akan datang disamping kos yang tinggi dan rumit.

Faktor-Faktor Lain Yang Relevan

Dalam kes ini, pernyataan hibah adalah kabur dari sudut Rukun-rukun Hibah. Tidak dibuktikan siapa yang sebenarnya menghibahkan tanah tersebut kepada Plaintif. Jika arwah ayah yang menghibah atau pemberi hibah, tidak dibuktikan waktu hibah itu dibuat tanah-tanah itu sudah menjadi milik mutlak arwah ayah. Lafaz pertama dibuat antara tahun 1986-1987 dan lafaz kedua dikatakan pada tahun 1995-1996. Tidak dinyatakan pada lafaz pertama itu tanah-tanah itu sudah diberi milikan kepada arwah Yusuf bin Hassan dan lafaz kali kedua pula tidak dibuktikan adanya sighah.

Pada ketika yang lain tanah itu dikatakan dihibahkan pula oleh arwah ibu Rus bt Mat Noor yang tidak dibuktikan lafaz sighahnya selain dari pernyataan arwah ingin memberikan tanah tersebut kepada Plaintif seperti yang diberitahu kepada SP1. Jika dianalisis pernyataan tersebut, bermakna tanah itu bukan milik arwah Yusuf bin Hassan, tetapi milik arwah Rus bt Mat Noor. Kenyataan Arwah Rus bt Mat Noor ingin memberikan tanah-tanah itu bukanlah suatu hibah,, tetapi sekadar hasrat arwah Rus bt mat Noor untuk memberikannya kepada Plaintif dan pemberian tersebut masih belum terlaksana.

Manakala keterangan SP2 pula menyatakan pasangan arwah Yusuf bin hassan dan arwah Rus bt mat Noor ada hadir kerumahnya menyatakan hasrat ingin memberikan tanah tersebut kepada Plaintif. Pernyataan itu bukanlah suatu hibah tetapi suatu pemakluman. Boleh jadi sebagai hadiah, wasiat, atau sedekah kerana selepas memberitahu perkara tersebut kepada SP2, pemilikan masih lagi belum berubah kepada Plaintif dan Plaintif masih belum menunjukkan ia menerima atau menguasai rumah atau tanah-tanah itu. Sedangkan hibah perlu dibuktikan sighahnya terlebih dahulu dan penerimaan adalah berlaku serta merta.


KEPUTUSAN MAHKAMAH

Berdasarkan penjelasan yang dikemukakan tadi, dan setelah meneliti dan menghalusi keterangan-ketarangan dan hujah pihak-pihak, maka mahkamah dengan ini memutuskan:

Adalah diputuskan bahawa permohonan Plaintif, Kamsiah binti Yusof untuk mendapatkan perintah pengisytiharan hibah terhadap harta-harta tak alih;
d) Tanah tapak rumah PM 1342 No. Lot 2912, Mukim Gemas, Daerah Tampin,
e) Tanah kebun PM 1343 No. Lot 3959, Mukim Gemas, Daerah Tampin; dan
f) Tanah kebun PM 1344 No. Lot 3960, Mukim Gemas, Daerah Tampin.

Adalah tidak sabit dan ditolak oleh Mahkamah ini.

No comments:

Post a Comment