Monday, February 7, 2011

HANIPAH BT DAUD DAN SEORANG LAGI LWN ABDUL RAHIMAN BIN A.S. DAWOOD DAN SEORANG LAGI (permohonan interlokutori bagi menahan Penerima dan Pengurus yang dilantik oleh Pemegang debentur sementara Pengistiharan Hibah dilaksanakan)



MAHKAMAH TINGGI SYARIAH DI KUALA LUMPUR
ZULFIKRI BIN YASOA, H
KES MAL NO. 14600-044-0074-2006
21 DISEMBER 2006

ANTARA

HANIPAH BI BT DAUD                                                                  PEMOHON 1
JAMILAH BT SHEIKH DAUD                                                        PEMOHON II

DENGAN

ABDUL RAHIMAN BIN A.S. DAWOOD                                        RESPONDEN 1
AZHAR BIN HASHIM                                                                      RESPONDEN  II



ALASAN PENGHAKIMAN



Y.A ZULFIKRI BIN YASOA, HMTS: Kes ini adalah satu permohonan interlokutori yang dibuat oleh pemohon-pemohon bagi menahan Penerima dan Pengurus yang dilantik oleh Pemegang debentur sementara Pengistiharan Hibah dalam kes kes 14200-044-0402-2005 dilaksanakan.  Dalam kes tersebut yang melibatkan pihak-pihak yang sama. Kes tersebut telah selesaikan dibicarakan dan diselesaikan dengan persetujuan bersama antara pihak pemohon-pemohon dan responden pertama pada 14/12/2005. Dalam kes tersebut satu perintah dikeluarkan yang berbunyi:
1.            Bahawa Mahkamah mengesahkan pengisytiharan Hibah yang dibuat di antara Responden dan Pemohon-pemohon melalui surat Hibah bertarikh 14 November 2000.
2.         Pengisytiharan Hibah tersebut mengikat semua wakil, waris, orang yang diserahkan kedua-dua belah pihak atau mana-mana pihak ketiga yang lain untuk membuat transaksi dan/ atau urusan ke atas eset yang dinyatakan di dalam Hibah tersebut
Dalam surat Deklarasi Hibah yang dibuat oleh responden pertama, responden pertama telah menghibahkan 10% daripada sahamnya di dalam Azrahi Hotel Sdn Bhd kepada pemohon pertama, 10% daripada sahamnya juga kepada pemohon kedua dan 10% daripada sahamnya juga kepada penerima hibah lain yang bernama Fatimah binti Dawood (KP: 1301084). Surat deklarasi hibah itu ditulis dalam Bahasa Inggeris yang berbunyi:
RE: DECLARATION OF HIBAH
PROPERTY: AZRAHI HOTEL SDN BHD held under PT No 5744 and 5330 Town and District of Seremban, State of Negeri Sembilan Darul Khusus
I, ABDUL RAHMAN BIN A.S.DAWOOD (NRIC NO 8372034) hereby solemnly and volunterily give by way of `Hibah' 10% of my undivided share on the abovesaid property as to FATIMAH BINTI DAWOOD [NRIC: 1301084], 10% my undivided share on the abovesaid Property to HANIPAH BI BINTI DAUD [NRIC: 1301083] and 10% of my undivided share on the abovesaid Property to JAMILAH BINTI SHEIKH DAUD [NRIC NO 1301064] by consideration of my love and affection.

Dalam kes ini mahkamah tidak ditunjukkan berapakah jumlah saham yang dimiliki oleh responden di dalam Azrahi Hotel semasa hibah dibuat. Namun untuk membuat keputusan dalam kes ini, mahkamah telah berpeluang meneliti alasan penghakiman dalam kes 14200-044-0402-2005. Dalam kes tersebut ada dicatatkan di dalam Borang 24 Akta Syarikat 1965 (P6)  bahawa Azhari Hotel dimiliki 100% oleh Drard Holding Sdn Bhd. Drard Holding Sdn Bhd pula dimiliki 100% oleh Azrahi Holding Sdn Bhd. Azrahi Holding dimiliki oleh Responden 1 dan Responden 2 dengan kadar 50% setiap seorang. Oleh kerana perintah berkenaan dengan hibah tersebut telah disahkan, maka pemilikan saham Azrahi hotel menjadi berubah. Responden 1 telah menghibahkan 30% daripada sahamnya. Oleh kerana kadar saham responden 1 hanya 50%, maka kadar saham yang dihibah adalah 15% dari keseluruhan saham Azrahi Hotel. Oleh itu, selepas hibah, Drard Holding memiliki 85% saham Azrahi Hotel dengan reponden 1 sebanyak 35% saham dan responden 2 sebanyak 50% saham. Setiap penerima hibah pula memiliki 5% saham Azrahi Hotel.

Semasa hibah itu dibuat hartanah (Azrahi Hotel) berkenaan dalam cagaran kepada Affin Bank Berhad (Dahulu dikenali sebagai 'BSN Commercial Bank Bhd). Daripada affidavit pemohon-pemohon mahkamah mendapati bahawa pihak responden telah gagal membuat bayaran kepada bank pembiaya yang menyebabkan pihak bank (Affin Bank) telah melantik Penerima dan Pengurus bagi menjamin kepentingan bank dalam hartanah berkenaan. Perlantikan dibuat berdasarkan seksyen 186(1) Akta Syarikat 1965. Dalam eksibit HJ-5, pihak Affin Bank telah melantik En. Lim Tian Huat sebagai penerima dan pengurus hartanah berkenaan di dalam borang 59 Akta Syarikat 1965 berdasarkan kuasa dalam  debentur bertarikh 13.6.1997. Perlantikan tersebut dibuat pada 31.1.2005.

Pada 14.11.05, responden telah membuat perakuan di bawah seksyen 48 Akta Setem 1949, Surat Hibah yang bertarikh 4.11.2000 dengan nilai setem hasil sebanyak RM100 di Pejabat Setem Seremban. Surat Hibah inilah yang menjadi perkara pokok dalam perkara hibah ini. Mahkamah ini tidak berhajat untuk menyentuh keesahan hibah yang dibuat, oleh kerana hibah tersebut telah di istiharkan sah oleh mahkamah dalam kes 14200-044-0402-2005 pada 14.12.2005.

Sebelum mendapat perintah pengistiharan tersebut pemohon telah menghantar surat bertarikh 25.11.2005 kepada Penerima dan Pengurus yang dilantik oleh Pemiutang kepada harta yang dihibah itu supaya tidak mengganggu, berurusan, membuat transaksi, transfer, caj dan membahagi apa-apa saham dan aset di bawah Azrahi Hotel Sdn Bhd dengan alasan kes 14200-044-0402-2005 di Mahkamah Tinggi Syariah masih dalam prosiding. Penerima dan Pengurus yang dilantik oleh pihak Bank telah membalas surat tersebut pada 8.12.2005 menyatakan bahawa Penerima dan Pengurus tidak terikat dengan permintaan pemohon dan seterusnya menyatakan bahawa aset Azrahi Hotel hendaklah diuruskan mengikut terma dalam debentur dan peruntukan dalam Akta Syarikat 1965. Pada 12.1.2006, pemohon sekali lagi menghantar surat pada Penerima dan Pengurus iaitu En Lim Tian Huat dengan mengepilkan perintah kes 14200-044-0402-2005 bertarikh 14/12/2006.

Pada 14.4.2006 pula pemohon telah menfailkan kes ini. Dalam kes ini pemohon memohon:
  1. Selari dengan Perintah Pengistiharan Hibah bertarikh 14/12/2005 yang mengikat mana-mana pihak ketiga daripada membuat apa-apa transaksi dan urusan ke atas aset yang dinyatakan di dalam Hibah bertarikh 14/11/2000, pihak-pihak ketiga adalah termasuk penerima (Receiver) dan Pengurus (Manager) ke atas aset tersebut. Oleh yang demikian, perlantikan Penerima dan Pengurus yang dibuat ke atas Aset tersebut adalah ditahan dan diberhentikan serta-merta sementara Perintah Pengistiharan Hibah bertarikh 14/12/2005 dilaksanakan dan dimuktamadkan.
  2. Atas dasar pemeliharaan dan penjagaan aset tersebut dan bagi membolehkan responden 1 dan responden 2 menyempurnakan Pengistiharan Hibah bertarikh 14/11/2000 tersebut secara langsung atau tidak langsung, maka; 
        Apa-apa prosiding undang-undang lain, selain dari prosiding Mahkamah Syariah yang relevan, terhadap responden 1 dan responden 2 sama ada secara terus atau terhadap syarikat-syarikat nomini milikan mereka, digantung sementara perintah Pengisytiharan Hibah tersebut disempurnakan; dan
        Apa-apa persetujuan, perjanjian konsesi dan/atau amanah yang memberi manfaat kepada responden 1 dan 2 dan atau syarikat-syarikat nomini milikan, secara spesifiknya seperti berikut:- Surat Awad Jabatan Bekalan Air, Negeri Sembilan bertarikh 16/4/1997, Konsesi penswastaan bekalan air Negeri Sembilan, hendaklah disempurnakan dan dimuktamadkan
  1. Apa-apa perintah dan relif yang difikirkan wajar dan patut oleh Mahkamah Yang Mulia ini, dan
  2. Kos guaman dan mahkamah ditanggung oleh pihak masing-masing.

Dalam kes ini pemohon-pemohon telah membawa tuntutan ini terhadap responden 1 dan 2. Namun jika diperhatikan secara mendalam, perintah yang dipohon sebenarnya adalah untuk menahan Penerima dan Pengurus yang dilantik Affin Bank iaitu En. Lim Tian Huat dari menjalankan tugasnya mengikut kuasa yang ada dalam debentur bertarikh 13.6.1997 dan juga perintah yang menghendaki Kerajaan Negeri Sembilan melaksanakan perjanjian Konsesi penswastaan bekalan air di Negeri Sembilan kepada syarikat responden.

Pada hari sebutan pertama kes ini pada 18/4/06, semua pihak telah hadir. Pihak responden telah menyatakan kepada Mahkamah bahawa responden-responden bersetuju dengan permohonan pihak pemohon. Adalah tidak menghairankan mahkamah dengan pendirian pihak responden kerana perintah yang dipohon bukanlah dihasratkan untuk dilaksanakan oleh responden-responden bahkan kepada Penerima dan Pengurus yang dilantik oleh Affin Bank dan juga terhadap Kerajaan Negeri Sembilan. Berdasarkan perintah yang dipohon pihak yang sewajarnya menjadi responden-responden ialah Penerima dan Pengurus dan/atau Affin Bank Bhd serta Kerajaan Negeri Sembilan, bukannya responden-responden sekarang.

Oleh kerana tiada apa-apa bantahan oleh responden-responden, kes ini ditetapkan untuk pemohon-pemohon memasukkan hujah pada 18/6/2006. Mahkamah telah tetapkan tiga isu utama yang perlu dihujahkan oleh pemohon-pemohon:
1.   Sama ada Penerima dan Pengurus yang dilantik oleh Affin Bank Berhad boleh dimasukkan dalam pengertian pihak ketiga seperti yang terdapat di dalam perintah dalam Perintah Pengisytiharan Hibah dalam kes 14200-044-0402-2005.
2.   Kuasa-kuasa Penerima dan Pengurus mengikut Akta Syarikat 1965.
3.   Sama ada liabiliti-liabiliti barang yang dihibah berpindah kepada penerima hibah tersebut.

Pada 19.6.2006, semua pihak hadir dan pemohon telah memohon tangguhan kerana hujahan masih belum disiapkan. Kes ditangguhkan pada 19.7.2006. Sebutan pada 19.7.2006 juga ditangguhkan kerana hakim terpaksa menghadiri kursus dan seteruskan kes ditangguh pada 27.9.2006. Pada 27.9.2006 hujah telah masukkan oleh pemohon-pemohon dan kes ditangguhkan pada 12/12/2006, namun pada tarikh tersebut mahkamah tidak bersidang dan kes ditangguhkan pada hari ini 21/12/2006 untuk keputusan.

Setelah mahkamah meneliti kes ini mahkamah mendapati tiga isu utama yang perlu diputuskan oleh mahkamah.
1.   Sama ada Mahkamah berbidangkuasa mendengar pemohonan ini.
2.   Sama ada responden adalah pihak yang betul dalam permohonan ini.
3.   Sama ada perintah yang diminta wajar diberikan oleh mahkamah.

Isu Pertama: Sama ada Mahkamah berbidangkuasa mendengar pemohonan ini
Mahkamah setelah menerima tuntutan ini mendapati bahawa ia mempunyai kuasa untuk mendengar dan memu­tuskan kes ini menurut seksyen 46(1) dan 46 (2)(b)(vi) Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 iaitu:
46. (1) Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah mempunyai bidang kuasa di seluruh Wilayah-Wilayah Persekutuan dan hendaklah diketuai oleh seorang Hakim Syarie.
(2) Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah­
(b) dalam bidang kuasa malnya, mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding dalam mana semua pihak adalah orang Is­lam dan yang berhubung dengan
(i)….
(ii)…
(iii)….
(vi) alang semasa hidup, atau penyelesaian yang dibuat tanpa balasan yang memadai dengan wang atau nilaian wang oleh seseorang Islam;'

Seperti yang saya telah jelaskan tadi, kes ini bukanlah satu tuntutan untuk mendapatkan perintah sama ada hibah yang dibuat oleh responden 1 sah ataupun tidak tetapi satu tuntutan untuk perintah penerima dan pengurus yang dilantik oleh pihak Affin Bank sebagai pemegang gadaian untuk menahan diri diri dari melakukan sebarang urusan terhadap hartanah yang digadai itu sehingga  hibah itu dilaksanakan. Oleh itu jelas, isunya ialah sama ada mahkamah berbidangkuasa mengeluarkan perintah injunksi berkenaan perkara ini. Dalam seksyen 46 di atas tidak menyebut tentang kuasa mahkamah bagi mengeluarkan perintah injunksi. Injunksi adalah suatu remedi, ianya bukan "subject matter". Pendekatan yang betul dalam hal ini ialah dengan melihat sama ada mahkamah ini berbidangkuasa atau tidak dalam "subject matter" perkara yang menjadi persoalan. Pendekatan seperti ini telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Sivil  dalam kes Abdul Shaik bin Md. Ibrahim & Anor v Hussein bin Ibrahim & Ors (1999)5 MLJ 618, Y.A. Abdul Hamid bin Mohammed dalam kes berkenaan telah tidak mengikut kes terdahulu yang diputuskan olehnya sendiri dalam kes Majlis Agama Islam Pulau Pinang lwn Isa Abdul Rahman & Satu Yang Lain (1992)2 MLJ 244 tetapi mengikuti prinsip dalam kes Soon Singh a/l Bikar Singh v Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kedah & Anor (1999)1 MLJ 489 yang mengamalkan pendekatan ‘subject matter’ berbading dengan pendekatan ‘remedy prayed for’ .  Pendekatan yang diambil oleh Hakim Abdul Hamid boleh dilihat di dalam muka surat 625 dan 626 

          The other point is in determining whether the matter before the court falls under the jurisdiction of which court, the syariah or this court, should the court look at the subject matter of the action or the remedies prayed for.

            This issue is  relevant in this case because the first two prayers of the plaintiffs are for declarations.

            In Majlis Agama Islam Pulau Pinang v Isa Abdul Rahman & satu yang lain, the subject matter of the suit was ‘wakaf’.  The plaintiff/appellant prayed for an injunction.  The Supreme  Court held that the claim could only be heard by the High Court.  The reason is that the Administration of Muslim Law Enactment 1959 (Penang) did not provide for the remedy of injunctions and therefore the syariah court in Penang does not have the jurisdiction to issue an order of injunction.  The remedy of injunction is provided by the Specific Relief Act 1950 (and the rules are to be found in O 53 RHC 1980) which power is given to the High Court.  Therefore, a claim for perpetual injunction can only be heard by the High Court.  That is what that case decides.


            It must be pointed out even under the Administration of Muslim Law Enactment 1993 which replaced the 1959 Enactment, there is no provision for the remedy of injunction or declaration and, until today, there is still no Civil Procedure Rules or Enactment for the syariah courts in Penang.  However, there is provision for a specific kind of injunction, that is, injunction against molestation under s 107 of the Islamic Family Law Enactment 1985 (Penang) which is not applicable here.  So, if I were to adopt the approach laid down in Isa Abdul Rahman regarding the two prayers, even at the outset the syariah court has no jurisdiction to grant them.

            I have, with the greatest of respect to the Supreme Court, pointed out in Lim Chan Seng that the judgment may give rise to an undesirable effect: a party may by the inclusion of a prayer for a remedy  not provided in the law applicable to the syariah court, remove a matter, the subject matter of which is within the jurisdiction of the syariah court, to the civil court.

            It appears to me that the Federal Court has now adopted the ‘subject matter’ approach rather than the ‘remedy prayed for’ approach.  This is to be found in the passage which I have reproduced earlier which perhaps I may be excused for reproducing part of it again:

…whilst we agree with the approach adopted by Abdul Hamid J following Habibullah, that when there is a challenge to jurisdiction the correct approach is to look at the State Enactments to see whether or not the syariah courts have been expressly conferred jurisdiction on a given matter…(Emphasis added.)

It is also important to note that in Soon Singh’s case itself the remedy sought was for a declaration.  Yet, the Federal Court considered the question of jurisdiction purely on the ‘subject matter’ approach.


               In the  circumstances, I think I am no longer bound by Isa Abdul Rahman’s case.  Therefore, in this case the fact the remedy prayed for in two of the prayers is, ie declaration does not remove the case from the jurisdiction of the syariah court.  In other words, in the present case I do not hold that the syariah court has no jurisdiction over this matter merely because the plaintiffs have prayed for the remedy of declaration. ”

Dalam kes ini "subject matter"nya ialah berkenaan dengan Hibah. Oleh itu mahkamah ini mempunyai bidangkuasa mengeluarkan injunksi berkenaan perkara tersebut. Kuasa mahkamah memberikan injunksi juga boleh dilihat di dalam seksyen 200(1) Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1998. Seksyen tersebut berbunyi:
200. (1) Atas permohonan mana-mana pihak dalam mana-mana kausa atau perkara, sebelum atau selepas pendengaran kausa atau perkara itu, Mahkamah boleh memberikan injunksi, sama ada atau tidak tuntutan untuk mendapatka injunksi itu telah dimasukkan dalam saman, tuntutan balas atau notis pihak ketiga, mengikut mana-mana yang berkenaan.

Persoalan kedua ialah, apakah boleh mahkamah ini mengeluarkan perintah ke atas Penerima dan Pengurus yang dilantik oleh pihak Affin Bank? Apakah Penerima dan Pengurus tersebut termasuk dalam takrifan pihak ketiga yang disebut di dalam perintah mahkamah dalam kes 14200-044-0402-2005? Bagi membantu mahkamah memutuskan persoalan ini, mahkamah telah meminta pihak pemohon menghujahkan isu ini dalam penghujahannya. Dalam penghujahan pemohon yang diterima pada 26/9/2006, pemohon langsung tidak menyentuh isu ini. Penghujahan tersebut hanya berkisar tentang sama ada hibah tersebut itu sah atau tidak. Dengan hormatnya, mahkamah nyatakan di sini bahawa, mahkamah ini tidak berhasrat untuk membuat apa-apa keputusan yang menyentuh tentang sama ada hibah tersebut sah atau tidak. Isu keesahan hibah itu telah diputuskan oleh mahkamah dalam kes 14200-044-0402-2005. Bukanlah kuasa mahkamah ini untuk mempertikai atau mengakas keputusan tersebut. Keputusan tersebut hanya boleh akas atau dipertikai oleh Mahkamah yang lebih tinggi iaitu Mahkamah Rayuan Syariah.

Oleh kerana isu yang diarahkan oleh mahkamah tidak dihujahkan oleh pemohon bagi membantu mahkamah, mahkamah ini akan membuat kesimpulan berdasarkan maklumat yang terhad dihadapan mahkamah sahaja. Dalam kes ini, salah satu pihak ketiga yang dimaksudkan oleh pemohon-pemohon ialah Penerima dan Pengurus yang dilantik oleh Affin Bank. Penerima dan Pengurus tersebut ialah En.Lim Tian Huat (K/P: 541128-04-5235). Soalnya apakah En. Lim Tian Huat ini bertanggungan menurut perintah Mahkamah Syariah? Tidak ada di sebut di dalam affidavit pihak pemohon bahawa Lim Tian Huat adalah seorang Islam. Dalam uruf masyarakat Malaysia, seseorang yang Islam ada terdapat pada namanya nama menunjukkan nama yang digunakan oleh msayarakat Islam di Malaysia. Walaupun tidak salah untuk menggunakan nama tersebut bagi seseorang Islam, tetapi urufnya di Malaysia nama Lim Tian Huat bukanlah nama yang menunjukkan pemunyanya seorang yang Islam. Oleh itu pada pendapat mahkamah, berdasarkan nama berkenaan dan tiadanya keterangan lain yang menunjukkan Lim Tian Huat seorang Islam, maka Lim Tian Huat adalah seorang yang bukan Islam. Sekiranya begitu, apakah Mahkamah Syariah mempunyai bidangkuasa ke atasnya. Bidangkuasa mahkamah telah dinyatakan di dalam seksyen 46 (2)(b) berbunyi:
dalam bidang kuasa malnya, mendengar dan
memutuskan semua tindakan dan prosiding
dalam mana semua pihak adalah orang Islam

Jelas sekali perintah Mahkamah Syariah hanya berkuatkuasa ke atas orang-orang Islam semata-mata. Dalam Perlembagaan Persekutuan sendiri di dalam jadual ke Sembilan Senarai Dua memperuntukkan bahawa kuasa Mahkamah Syariah hanya terhad kepada orang-orang Islam sahaja. Dalam jadual tersebut diperuntukkan:
Kecuali mengenai Wilayah Persekutuan Kula Lumpur, Labuan dan Putrajaya, …… keanggotaan, penyusunan dan acara bagi mahkamah-mahkamah Syariah, yang akan mempunyai bidangkuasa hanya ke atas orang-orang yang menganut agama………….

 Oleh itu perintah Mahkamah Syariah tidak berkesan ke atas Lim Tian Huat.

Isu kedua ialah sama ada responden adalah pihak yang betul dalam permohonan ini.

Dalam kes ini, di dalam borang MS 49 yang diisi oleh pemohon-pemohon, ditujukan kepada responden 1 dan responden 2 bahawa perintah yang dipohon seperti berikut:

                              i.Selari dengan Perintah Pengistiharan Hibah bertarikh 14/12/2005 yang mengikat mana-mana pihak ketiga daripada membuat apa-apa transaksi dan urusan ke atas aset yang dinyatakan di dalam Hibah bertarikh 14/11/2000, pihak-pihak ketiga adalah termasuk penerima (Receiver) dan Pengurus (Manager) ke atas aset tersebut. Oleh yang demikian, perlantikan Penerima dan Pengurus yang dibuat ke atas Aset tersebut adalah ditahan dan diberhentikan serta-merta sementara Perintah Pengistiharan Hibah bertarikh 14/12/2005 dilaksanakan dan dimuktamadkan.
                            ii.Atas dasar pemeliharaan dan penjagaan aset tersebut dan bagi membolehkan responden 1 dan responden 2 menyempurnakan Pengistiharan Hibah bertarikh 14/11/2000 tersebut secara langsung atau tidak langsung, maka; 
            a) Apa-apa prosiding undang-undang lain, selain dari prosiding Mahkamah Syariah yang relevan, terhadap responden 1 dan responden 2 sama ada secara terus atau terhadap syarikat-syarikat nomini milikan mereka, digantung sementara perintah Pengisytiharan Hibah tersebut disempurnakan; dan
b) Apa-apa persetujuan, perjanjian konsesi dan/atau amanah yang memberi manfaat kepada responden 1 dan 2 dan atau syarikat-syarikat nomini milikan, secara spesifiknya seperti berikut:- Surat Awad Jabatan Bekalan Air, Negeri Sembilan bertarikh 16/4/1997, Konsesi penswastaan bekalan air Negeri Sembilan, hendaklah disempurnakan dan dimuktamadkan

Daripada perintah yang dipohon dalam perenggan (i) tersebut, perintah yang dicadangkan itu bermaksud hendak dilaksanakan oleh Penerima dan Pengurus yang dilantik ke atas asset tersebut. Perenggan (ii)(a) pula hendak dilaksanakan terhadap pemegang gadaian iaitu Affin Bank. Manakala bagi perenggan (iii) pula dihasratkan dilaksanakan ke atas Kerajaan Negeri Sembilan.

Tidak ada satu pun perintah yang dipohon dicadangkan untuk dilaksanakan oleh responden 1 dan dan reponden 2. Oleh adalah tidak menghairankan Mahkamah jika responden 1 dan responden 2 mengambil sikap untuk tidak menentang permohonan ini.

Jika begitu, apakah responden adalah pihak yang betul dalam prosiding ini? Kepentingan menamakan pihak yang betul dalam satu-satu prosiding boleh dilihat dalam satu kes Mahkamah Persekutuan iaitu kes Sia Kwee Hin lwn Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan [1999] 2 AMR 12. Dalam kes tersebut perayu telah merayu kepada Mahkamah Persekutuan atas isu kuasa Mahkamah Sivil dalam persoalan murtad. Salah satu isu lain yang dibangkitkan oleh Peguam Negara yang mewakili responden ialah perayu telah tersalah menamakan responden sebagai satu pihak dalam kes tersebut. Pihak yang sepatutnya menjadi pihak dalam kes tersebut ialah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan. Isu ini menjadi salah satu isu yang diambil kira oleh Mahkamah Persekutuan dalam menolak rayuan perayu.

Perintah injunksi dipohon terhadap Penerima dan Pengurus yang dilantik oleh Affin Bank. Sebelum mahkamah membuat apa-apa keputusan tentang injunksi yang dipohon, mahkamah perlu dimaklumkan tentang  terma-terma debentur di antara responden dan pihak Affin Bank. Mahkamah juga perlu dihujahkan tentang kuasa yang dimiliki oleh Penerima dan Pengurus yang diberikan oleh undang-undang. Dalam hal ini, mahkamah telah meminta pihak pemohon untuk berhujah berkenaan isu kuasa-kuasa Penerima dan Pengurus mengikut Akta Syarikat 1965. Namun adalah malang sekali, di dalam hujahannya pemohon langsung tidak menyentuh apa yang diminta oleh mahkamah. Oleh itu, tanpa bantuan dari peguam pemohon, mahkamah terpaksa membuat penyelidikan sendiri tentang isu ini.  Dalam Akta Syarikat 1965 di dalam bahagian VIII ada peruntukan khusus berkenaan dengan Penerima dan Pengurus. Seksyen 183 (1) akta tersebut memperuntukkan tentang tanggungjawab penerima dan pengurus:
183(1) Any receiver or other authorized person entering into possession of any assets of a company for purpose of enforcing any charge shall, notwithstanding any agreement to the contrary, but without prejudice to his right againt the company or any person, be liable for debts incurred by him in the course of receivership or possession for services rendered goods purchased or property hired leased used occupied.
Apabila penerima dan pengurus bagi sesuatu harta syarikat (property of a corporation) dilantik, segala urusan yang menggunakan nama syarikat tersebut hendaklah mengandungi 'Penerima dan Pengurus dilantik'. Ini telah diperuntukkan dibawah seksyen 187(1) Akta Syarikat 1965. Perlantikan penerima ini tidak memberi sebarang kuasa untuk mereka menjalankan perniagaan syarikat. Tugasnya hanyalah mendapatkan milikan dan melindungi harta dan kepentingan pihak yang melantiknya.

Dalam kes ini pihak yang sepatutnya dinamakan sebagai responden ialah Penerima dan Manager iaitu En. Lim Tian Huat, pemegang debentur  iaitu Affin Bank Berhad dan juga Kerajaan Negeri Sembilan dan bukannya pihak Responden kerana merekalah yang akan menerima kesan perintah yang dipohon. Walau bagaimanapun, oleh kerana Lim Tian Huat bukan beragama Islam, maka beliau tidak boleh menjadi pihak dalam kes ini.  Timbul pula persoalan, bagaimana dengan Affin Bank dan Kerajaan Negeri Sembilan. Apakah Affin Bank dan Kerajaan  boleh menjadi pihak dan termasuk di dalam tafsiran ‘orang’ yang boleh didakwa? Dalam hal ini, mahkamah merujuk kepada Akta Tafsiran 1948 dan 1967. Mahkamah dapati bahawa tafsiran ‘person’ (orang) di dalam Akta tersebut  berbunyi: “person” includes a body of person, corporate or incorporate. Oleh itu bank dan kerajaan negeri adalah badan yang boleh mendakwa dan didakwa.Mahkamah dapati responden adalah pihak yang tidak sepatutnya dinamakan sebagai responden dalam permohonan ini.

Isu ketiga ialah sama ada perintah yang diminta wajar diberikan oleh mahkamah
Dalam permohonan pihak pemohon-pemohon perintah yang diminta ialah;
  1. Perlantikan Penerima dan Pengurus yang dibuat ke atas Aset tersebut adalah ditahan dan diberhentikan serta-merta.
  2. Apa-apa prosiding undang-undang lain, selain dari prosiding Mahkamah Syariah yang relevan, terhadap responden 1 dan responden 2 sama ada secara terus atau terhadap syarikat-syarikat nomini milikan mereka, digantung sementara.
  3. Apa-apa persetujuan, perjanjian konsesi dan/atau amanah yang memberi manfaat kepada responden 1 dan 2 dan atau syarikat-syarikat nomini milikan, hendaklah disempurnakan dan dimuktamadkan.
Aset yang menjadi subjek kepada pengistiharan Hibah ialah Azrahi Hotel Sdn Bhd dipegang di bawah hak milik PT No. 5744 53300 Bandar Seremban , Negeri Sembilan, yang dibuat di antara Responden dan Pemohon-pemohon melalui surat hibah bertarikh 14 November 2000. Surat pengistiharan hibah itu disahkan dengan meterai setem hasil mengikut akta Setem pada 14.11.05. Asset tersebut telah dicagarkan kepada Affin Bank (dahulu dikenali sebagai 'BSN Commercial Bank Bhd.) melalui debentur bertarikh 13.6.1997. Debentur ialah dokumen yang dikeluarkan oleh sesuatu syarikat yang menyatakan syarat-syarat pinjaman. Apabila sesuatu syarikat hendak meminjam wang, syarikat perlulah mencagar asetnya sebagai jaminan. Ianya mungkin dalam bentuk cagaran tetap atau cagaran terapung atau kedua-duanya sekali. Sekuriti terhadap harta syarikat dapat diperolehi dalam bentuk debentur. Dalam kes ini tidak dinyatakan dengan jelas apakah-apakah syarat-syarat yang terkandung di dalam debentur berkenaan. Jika debentur ini bercagar, maka pemegang debentur mempunyai hak biasa pemiutang yang bercagar. Dalam kes ini, Azrahi Hotel itu sendiri yang dicagarkan kepada Affin Bank sebagai cagaran tetap bagi mendapatkan pinjaman daripada bank. 

Remedi biasa pemegang debentur apabila syarikat berada dalam keadaan kemungkiran berkaitan dengan wang ialah membawa tindakan terhadap syarikat untuk mendapat bayaran dan menguatkuasakan cagarannya. Jika debentur memberi kuasa nyata untuk menjual harta yang dicagar dan ini dikeluarkan melalui meterai biasa syarikat, maka dia mempunyai kuasa statut untuk menjual harta itu atau melantik seorang penerima  dalam keadaan apabila syarikat gagal membuat pembayaran. Ini ditetapkan di bawah seksyen 271 Akta kanun Tanah Negara dan inilah yang sedang berlaku dalam kes ini.

Dalam kes ini, responden telah menghibahkan sahamnya di dalam Azrahi Hotels Sdn Bhd kepada pemohon-pemohon. Oleh kerana keterangan berkenaan saham Azrahi Hotels Sdn Bhd tidak dimuatkan di dalam kes ini, mahkamah telah menyemak fakta tersebut di dalam kes 14200-044-0402-2005. Dalam eksibit P-6 kes berkenaan, Azrahi Hotels Sdn Bhd telah ditukar nama daripada Virtual Amber Sdn Bhd pada 7 Mei 1996. Syarikat ini mempunyai 30,000,000 saham biasa dengan nilai nominal RM1.00 setiap saham. Syarikat ini dimiliki 100% oleh Drard Holding Sdn Bhd. Drard Holding Sdn Bhd pula dimiliki 100% oleh Azrahi Holding Sdn Bhd. Azrahi Holding dimiliki oleh Responden 1 dan Responden 2 dengan kadar 50% setiap seorang. Oleh itu secara mudahnya Responden 1 memiliki 15,000,000 saham dalam Azhari Hotels Sdn Bhd melalui Drard Holding Sdn Bhd. Daripada jumlah ini, sebanyak 30% saham tersebut dihibahkan kepada pemohon 1, pemohon 2 dan seorang lagi penerima hibah yang lain. Hibah ini telah menyebabkan berlaku perubahan dalam pemilikan saham Azrahi Hotel. Walaupun tidak ada perubahan secara rasmi, Drard Holding Sdn Bhd kini memiliki 85% saham Azrahi Hotel, 5% dimiliki oleh pemohon 1, 5% oleh pemohon 2 dan  5% oleh seorang lagi penerima hibah yang ketiga. Jadi jumlah saham  dalam milikan responden 1 menjadi 10,500,000 saham, pemohon 1, pemohon 2 dan penerima hibah ketiga memiliki sebanyak 1,500,000 saham setiap orang. Manakala responden 2 masih kekal pegangannya sebanyak 15,000,000 saham. Dengan kata lain, pemohon 1 dan pemohon 2, dan penerima hibah ketiga juga sebagai salah seorang pemilik Azrahi Hotel Sdn Bhd. Dalam hal berkaitan syarikat yang diperbadankan, harta syarikat secara nyatanya dibezakan daripada harta ahli dan ahli tidak mempunyai hak pemilikan secara langsung terhadap harta syarikat tetapi hanyalah terhadap syer mereka. Oleh sebab itulah dalam kes ini yang dihibah adalah syer atau saham.  

Perlu diingat bahawa hartanah milik Azrahi Hotel Sdn Bhd (PT No 5744 dan 5330 Daerah Seremban) telah dicagarkan kepada Affin bank semasa hibah ini dilakukan. Di dalam affidavit yang digunakan di dalam kes pengesahan hibah iaitu kes 14200-044-0402-2005, soal tentang cagaran ini tidak dinyatakan. Begitu juga di dalam hujahan pihak-pihak dalam kes berkenaan. Di dalam alasan penghakiman kes berkenaan juga isu ini tidak disentuh oleh Hakim perbicaraan. Ianya seolah-olah isu ini tidak wujud dan tidak perlu ditimbangkan dalam kes tersebut, sedangkan hakikatnya hartanah tersebut masih dalam cagaran kepada pihak Affin bank. Dalam kes tersebut, mahkamah tidak berpeluang untuk merujuk kepada satu kes iaitu Mursida Bt Mustakim Lwn Hashim Bin Abdullah JH xix/1 (1426)H hal 143. Dalam kes tersebut, isu yang relevan ialah berkaitan dengan dakwaan harta yang dipertikaikan itu telah dihibahkan sedangkan harta tersebut di dalam gadaian bank. Mahkamah Rayuan Syariah Negeri Selangor telah memutuskan seperti berikut:
Tambahan lagi syarat barang hibah juga tidak mencukupi seperti mana yang dikehendaki syarak. Mengikut keterangan yang ada di dalam kes ini, harta yang dikatakan dihibah itu masih di dalam gadaian bank. Oleh yang demikian mahkamah berpendapat pemilikan harta dalam kes ini, harta berkenaan adalah masih lagi dalam milik pihak bank sehingga bayaran selesai barulah boleh dipindah milik. Oleh yang demikian syarat harta yang dihibahkan sebagaimana yang dijelaskan di atas telah tidak dapat dipenuhi kerana ia masih lagi bukan milik penuh Responden.

Jika sekiranya kes diatas tersebut dikemukakan pada mahkamah dalam kes  14200-044-0402-2005, keputusannya mungkin berlainan. Keputusan mahkamah dalam kes 14200-044-0402-2005 adalah betul berdasarkan apa yang dikemukakan di hadapannya. Dalam kes ini, berkaitan isu yang sama, pemohon telah berhujah dengan merujuk ciri-ciri yang dipakai oleh Amanah Raya Berhad (ARB) dalam prinsip pemakaian Amanah Hibah. Ciri-ciri hibah yang diterima oleh ARB adalah seperti berikut:
Ciri-ciri Penghibah; 1. Ada kapasiti untuk memiliki harta. 2. Tuan punya berdaftar harta. 3. Sempurna akal, rela hati dan tanpa paksaan.
Ciri-ciri Penerima Hibah; 1. Ada kapasiti untuk memiliki harta. 2. Jika kanak-kanak, penjaga yang dilantik.

Berdasarkan ciri-ciri itu, pemohon menghujahkan bahawa hibah yang dibuat itu sah. Walau bagaimanapun isu ini tidak lagi menjadi persoalan oleh kerana hibah yang dibuat oleh pihak reponden telah diputuskan sah. Oleh yang demikian, sebahagian dari  pemilikan saham Azrahi Hotel berpindah kepada penerima hibah. Persoalannya apakah liabiliti hartanah tersebut (Azrahi Hotel) juga berpindah sama kepada penerima hibah? Berkaitan dengan persoalan tersebut, mahkamah telah meminta pihak pemohon berhujah tentang isu ini. Namun sayangnya, tiada hujah berkenaan dengan isu tersebut dikemukakan kepada mahkamah. Mahkamah telah merujuk sekyen 215 Kanun Tanah Negara yang memperuntukkan:
1)    Pemindahan mana-mana tanah bermilik dibawah Akta ini hendaklah dilaksanakan dengan suatu suratcara dalam borang 14A
2)    Hakmilik hendaklah dihantar dan diberi hak kepada  penerima pindahmilik setelah pendaftaran mana-mana pemindahan, bersama-sama dengan faedah dari mana-mana kepentingan berdaftar dari tanah.
3)    Penerima pindahmilik mana-mana tanah bermilik hendaklah memegangnya tertakluk kepada;
a)    Mana-mana pajakan, gadaian atau kepentingan berdaftar lain yang diperolehi baginya ketika pemindahan tersebut didaftarkan;
b)    Tertakluk kepada sub-seksyen (3), seksyen 213, mana-mana penyewaan yang dikecualikan dari pendaftaran, yang diberi oleh pindahmilik atau mana-mana bekas pemegang hakmilik;
c)    Semua syarat-syarat dan sekatan-sekatan dalam kepentingan yang boleh digunakan kepadanya; dan
d)    Semua perkara-perkara lain yang wujud, dalam, atau dirujuk kepada, daftar dokumen hakmilik.

Berdasarkan seksyen berkenaan, mana-mana pajakan, gadaian atau apa-apa kepentingan di dalam sesuatu tanah yang dipindah milik  hendaklah dipikul oleh penerima pindahmilik. Relevannya dalam kes ini, pemindahan sebahagian saham Azrahi Hotel kepada penerima-penerima hibah, menyebabkan sebahagian liabiliti hartanah itu juga berpindah kepada penerima hibah mengikut peratusan pemilikan masing-masing. Hak dan kepentingan debentur di dalam harta yang dicagar tidak terjejas dengan apa-apa transaksi sekalipun. Pemegang debentur adalah pemiutang syarikat. Ia mempunyai hak untuk bertindak mengikut terma-terma di dalam debentur berkenaan jika peminjam engkar atau gagal membuat bayaran-bayaran yang sepatutnya. Hak tersebut boleh dilaksanakan sekalipun hartanah tersebut atau sebahagian tanah tersebut telah dipindah milik.

Dalam kes ini, walaupun sebahagian dari saham di dalam Azrahi hotel telah dipindahmilikkan kepada pemohon 1, 2 dan seorang lagi, ianya tidak boleh menyebabkan pihak pemegang debentur kehilangan kepentingan terhadap harta yang dicagarkan kepadanya. Pemegang debentur berhak membawa tindakan terhadap syarikat untuk mendapat bayaran dan menguatkuasakan cagarannya.

Berdasarkan perkara-perkara di atas, mahkamah dengan ini membuat keputusan seperti berikut:

  1. Mahkamah menolak semua permohonan pemohon.
2. Kos ditanggung oleh pemohon.


Peguam Syarie

Encik Azmi bin Dato' Rais dari Tetuan Zulkifli Yong Azmi & Co mewakili pemohon-pemohon

En. Fakhrul Azman bin Abu Hassan dari Azaine & Fakhrul mewakili Responden Responden.








No comments:

Post a Comment