Monday, February 7, 2011

PERISYTIHARAN STATUS AGAMA MOHAMMAD SHAH @ GILBERT FREEMAN (Shariah Law Report, Okt/5/ 2009


DI DALAM MAHKAMAH TINGGI SYARIAH DI SEREMBAN
DALAM NEGERI SEMBILAN DARUL KHUSUS
KES MAL NO. 05100-099-0020-2009

DALAM PERKARA PERISYTIHARAN STATUS AGAMA  MOHAMMAD SHAH @ GILBERT FREEMAN…………………………………………………………….PEMOHON

Undang-Undang Pentadbiran – penentuan status agama Pemohon - Bidang kuasa Mahkamah Syariah untuk mengisytiharkan status Agama – Sama ada Pemohon seorang Penganut  agama Islam atau tidak – Sek. 2 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan ) 2003 - Sama ada boleh memutuskan permohonan yang dibuat oleh pihak bukan Islam – pendekatan tersirat – Permohonan diputuskan berdasarkan merit kes – sek 114 dan 107 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan ) 2003 – Sama ada Mahkamah Syariah boleh memadamkan nama di dalam kad pengenalan Mykad –

Undang-Undang Perlembagaan –  Penentuan perkara mengenai hukum dan doktrin Syarak - Bidang kuasa Eklusif Mahkamah Syariah  -  Jadual Kesembilan, Senarai 2 – Senarai Negeri -  Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan - 

Undang-Undang Keterangan – saksi bukan Islam sebagai bayyinah – sek. Enakmen  keterangan mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003

Fakta kes
Pemohon dalam kes ini telah memohon kepada Mahkamah Tinggi Syariah Seremban bagi mendapatkan satu pengisytiharan bahawa Pemohon bukan seorang Islam dan tidak pernah memeluk agama Islam. Permohonan ini dibuat atas sebab kekeliruan mengenai status keturunan  dan agama Pemohon akibat daripada nama Pemohon yang tertera sebagai Mohammad Shah @ Gilbert Freeman di dalam kad pengenalan Pemohon.

Pemohon telah dilahirkan pada 17hb April 1948  di mana bapanya, Mohd Syed @ Mohamed Said adalah beragama Islam manakala  ibunya Doris Josephine Freeman pula Seorang Serani beragama kristian.  Pemohon tidak pernah mengenali bapanya, kerana sejak kecil, iaitu berumur lebih kurang 2 bulan, bapanya telah meninggalkan Pemohon dan ibu Pemohon dan tidak diketahui mana menghilang. Sejak itu dia tidak pernah mengetahui keadaan bapanya dan keluarga bapanya. Ibu Pemohon telah meninggal dunia pada tahun 1969 dan telah dikuburkan di perkuburan kristian dan tidak ada bukti menunjukkan ibunya telah memeluk Islam sama ada sebelum, pada atau selepas perkahwinan dengan bapanya.  Pemohon juga tidak mengetahui bahawa perkahwinan antara bapa dan ibu Pemohon dibuat mengikut perkahwinan sivil atau mengikut syarak.

Pemohon telah dibaptistkan  pada 5hb Julai 1951 di gereja Visitation Seremban ketika berumur 3 tahun dan telah mendirikan rumahtangga dengan Anjalie Pethaperumal mengikut upacara agama Kristian di gereja Visitation pada 3hb Ogos 1974.

Pemohon sekarang berumur 60 tahun, telah  membuat permohonan ke Mahkamah ini bagi mengelakkan kekeliruan mengenai status agama Pemohon dan perkara-perkara yang berbangkit mengenainya.

Diputuskan

1.    Pemohon Mohd Shah @ Gilbert Freeman bukanlah seorang penganut agama Islam;
2.    Permohonan Pemohon untuk memadamkan nama ‘Mohammad Shah’ di dalam kad pengenalan Mykad adalah ditolak;

Peguam Syarie
En Hanif bin Hasan dari tetuan Hanif Hasan & Co bagi pihak Pemohon

Undang-Undang Yang Dirujuk
  1. Perlembagaan Persekutuan, Jadual Kesembilan, Senarai 2 – Senarai Negeri
  2. Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003, sek 2, 61, 114,119, 107
  3. Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003, sek. 83 (2)

Al-Quran Yang dirujuk
1.    Al-Quran, surah al-Hujurat 49:13;
2.    Al-Quran, Surah al-Rum, 30: 22;
3.    Al-Quran, Surah Yunus, 10: 99;
4.    Al-Quran, Surah Hud, 11:118;
5.    Al-Quran, surah al-Nahl, 16: 93;

Kes Yang dirujuk

  1. Kamariah Ali & Anor lwn. Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu & Anor di Mahkamah Tinggi Malaya, Kuala Lumpur (Saman Pemula) No. R1-24-65-2005
  2. Lim Chan Seng lwn Pengarah Jabatan Agama Islam Pulau Pinang & 1 Yang Lain [1996] 3 CLJ 231
  3. Majlis Agama Islam Pulau Pinang lwn. Isa Abdul Rahman & Satu Yang Lain [1992] 2 MLJ 244
  4.  Mohamed Habibullah lwn. Faridah bte Dato Talib [1993] 1 CLJ 264.
  5. Md. Hakim Lee lwn. Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur [1997] 4 CLJ Supp 419
  6. Priyathaseny & Ors lwn. Pegawai Penguatkuasa Agama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perak & Ors [2003] 2 CLJ 221
  7. Zubeydah bt Shaik Mohd lwn. Kalaichelvan a/l Alagapan dan Lain-lain [2003] 2 MLJ 471
  8. Dalip Kaur lwn. Pegawai Polis Daerah, Balai Polis Daerah, Bukit Mertajam & Anor [1991] 3 CLJ 2768; [1991] 1 CLJ (Rep) 77
  9. Soon Singh a/l Bikar Singh lwn. Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) [1999] 2 CLJ 5
  10. Lina Joy lwn. Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan & Ors [2005] 4 CLJ 666  Lihat juga (2007) JH 24/1, 61-191
  11. Muhammad Ramzan Maniarason JH (2006) XXII/II, 181-189
  12. Siti Fatimah Tan bt Abdullah lwn Majlis Agama Islam Pulau Pinang, kes Mal No. 07100-043-0191-2006, MTS Pulau Pinang (tidak dilaporkan)
  13. Ramjan bt Mohammad Ibrahim lwn Pendaftar saudara baru kes Mal No.05100-043-14-2002 MTS Seremban (tidak dilaporkan)
  14. Permohonan Keluar Islam Muzaffar Chantra, Kes Mal No. 05100-043-0432-2006, MTS Seremban (tidak dilaporkan)
  15.  Permohonan Keluar Islam Muhammad Zamani Manimaran, Kes Mal No. 05100-043-0350-2004 MTS Seremban (Tidak dilaporkan)
  16. Permohonan Perisytiharan Status Agama Janisah binti Abd Rahim @ Bigul, JH XXII/I, 67,


Alasan Penghakiman Mohd Nadzri bin Haji Abdul Rahman Ibrahim, HMTS
1.    Permohonan seseorang yang  beragama Islam untuk  mengisytiharkan  keluar daripada agama Islam adalah perkara yang tertakluk di dalam bidangkuasa Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidangkuasa terhadap perkara tersebut. Ini adalah selaras dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan di mana Perkara 121 (1A) dengan jelasnya memperuntukkan bahawa;
"Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidangkuasa berkenaan dengan apa-apa perkara dalam bidangkuasa Mahkamah Syariah."
2.    Tagahan kepada mahkamah sivil itu selari dengan kuasa yang diberikan oleh S. 61 (3)(b)(x) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003 yang telah memberi kuasa kepada Mahkamah Tinggi Syariah untuk mendengar permohonan mengenai kes murtad. Seksyen 61(3)(b)(x) memperuntukkan:
 Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah:
(b)  dalam bidangkuasa malnya, mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding jika semua pihak dalam tindakan atau prosiding itu adalah orang Islam dan tindakan atau prosiding itu adalah berhubungan dengan:
(x)        pengisytiharan bahawa seseorang itu bukan lagi orang Islam.
3. Seterusnya s. 119(1) Enakmen Pentadbiran  Agama Islam Negeri Sembilan 2003, telah dengan khasnya memberikan bidangkuasa kepada Mahkamah Syariah untuk mendengar permohonan berkaitan dengan isu murtad. Seksyen tersebut memperuntukkan:
Seseorang Islam tidak boleh keluar daripada Agama Islam sebagai agamanya melainkan jika dan sehingga dia telah memperoleh suatu perisytiharan bagi maksud itu daripada Mahkamh Tinggi Syariah.
4.Jelas terdapat peruntukan yang khusus di dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Sembilan tersebut yang memberikan bidangkuasa kepada Mahkamah Syariah untuk menentukan seseorang itu bukan lagi orang Islam atau telah menjadi murtad. Menguatkan lagi hujah ini saya merujuk kepada beberapa kes, antaranya Kamariah Ali & Anor lwn. Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu & Anor di Mahkamah Tinggi Malaya, Kuala Lumpur (Saman Pemula) No. R1-24-65-2005, YA Hakim Mahkamah Tinggi dalam penghakimannya memutuskan:
Dalam keadaan sedemikian Mahkamah Sivil tidak seharusnya campur tangan dengan perkara-perkara yang secara termaktub adalah di bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah.
5. Dalam hal ini, saya berpendapat bahawa tidak terdapat kekeliruan mengenai bidangkuasa Mahkamah Sivil terhadap perkara-perkara yang Mahkamah Syariah mempunyai bidangkuasa ke atasnya. Kes-kes terdahulu memutuskan bahawa apa-apa perkara yang jatuh ke atas bidangkuasa Mahkamah Syariah, maka bidangkuasa itu adalah eksklusif dan tidak boleh dicampuri atau diambil alih oleh Mahkamah Sivil.
6. Di dalam kes Lim Chan Seng lwn Pengarah Jabatan Agama Islam Pulau Pinang & 1 Yang Lain [1996] 3 CLJ 231 Abdul Hamid HMT (pada masa itu) semasa menolak permohonan kedua-dua plaintif untuk deklarasi bahawa penolakan agama Islam yang dibuat oleh mereka melalui surat ikatan pol bertarikh 12 Julai 1995 dan 25 Mei 1996 masing-masing adalah mengikut undang-undang dan sah telah memutuskan:
Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidangkuasa dalam perkara-perkara yang Mahkamah Syariah mempunyai bidangkuasa ke atasnya.
7. Ini jelas dicerminkan oleh Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan, dan dua kes Mahkamah Agung iaitu Majlis Agama Islam Pulau Pinang lwn. Isa Abdul Rahman & Satu Yang Lain [1992] 2 MLJ 244 dan Mohamed Habibullah lwn. Faridah bte Dato Talib [1993] 1 CLJ 264.
8. Seterusnya di dalam kes Md. Hakim Lee lwn. Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur [1997] 4 CLJ Supp 419, mengenai isu yang sama Abdul Kadir Sulaiman J (pada masa itu) telah memutuskan:
This matter of the plaintiff which involves the determination of his status upon his purported renunciation of the Islamic faith by the deed poll and the statutory declaration is outside the jurisdiction of this court to determine, on account of the ouster of the jurisdiction by art 121 (1A) of the Federal Constitution. By virtue of para 1 in List 11 of the Ninth Schedule to the Federal Constitution, the jurisdiction lies with the syariah court on its wider jurisdiction over a person professing the religion of Islam even if no express provisions are provided in the Administration of Islam Law (Federal Territories) Act 1993 ("the Act") because under art 74 of the Constitution, it is within the competency of the legislative to legislate on the matter. Its absent from the express provision in Act would not confirm the jurisdiction in the civil court.
To my mind, the language of art 121(1A) used by the legislative is clear and without any ambiguity. The civil courts, in this case, the High Court, has no jurisdiction in respect of any matter that is within the jurisdiction of the syariah court.
9.  Isu mengenai bidangkuasa Mahkamah Sivil dalam perkara di bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah juga telah diputuskan oleh Abdul Hamid Embong dalam kes Priyathaseny & Ors lwn. Pegawai Penguatkuasa Agama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perak & Ors [2003] 2 CLJ 221. Di dalam kes tersebut plaintif pertama seorang Islam telah meninggalkan Islam dan menerima agama Hindu sebagai agama beliau. Beliau telah berkahwin dengan plaintif kedua, seorang yang berketurunan India dan merupakan penganut agama Hindu. Hasil perkahwinan, mereka telah mendapat dua orang anak. Plaintif pertama telah ditahan dan dituduh di bawah beberapa kesalahan di bawah Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam Perak 1992 dan disabitkan dan didenda. Plaintif pertama kemudiannya memohon pengisytiharan dari Mahkamah Tinggi bahawa layanan berterusan terhadap beliau sebagai seorang Muslim dan hukuman jenayah yang dikenakan terhadap beliau adalah tidak berperlembagaan. Hakim Abdul Hamid Embong dalam penghakimannya telah memutuskan bahawa isu sama ada plaintif pertama kekal sebagai seorang Muslim meskipun beliau telah melepaskan agama Islam adalah isu yang terlingkung di dalam bidangkuasa Mahkamah Syariah. Beliau menyatakan:
Clause 1A of art 121 of the Federal Constitution provides that the High Courts shall have no jurisdiction in respect of any matter within the jurisdiction of the Syariah Court thus ensuring no conflict of jurisdiction.
10. Dalam kes Zubeydah bt Shaik Mohd lwn. Kalaichelvan a/l Alagapan dan Lain-lain [2003] 2 MLJ 471 HMT telah memutuskan perkara yang sama dengan  menyatakan:
(i) Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidangkuasa untuk menentukan sama ada seseorang Islam itu telah keluar dari agama Islam atau menjadi murtad. Kuasa itu adalah di bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah. Ini sememangnyalah begitu kerana soal sama ada seseorang Islam telah terkeluar daripada agamanya atau menjadi murtad merupakan isu yang serius yang hanya boleh ditentukan oleh pakar-pakar yang berkelayakan dalam bidang perundangan Islam.
(ii) Seseorang yang mengisyhtiharkan dirinya telah keluar daripada agama Islam perlu mendapatkan pengesahan daripada Mahkamah Syariah.  Pengisyhtiharan melalui surat akuan berkenaan yang mengisyhtiharkan seseorang itu telah keluar daripada agama Islam adalah tidak memadai untuk menentukan kedudukan seseorang itu sama ada telah keluar dari agama Islam atau sebaliknya.
11. Jelas pada saya tidak terdapat percanggahan keputusan oleh Hakim-Hakim Mahkamah Tinggi Sivil dalam isu ini. Malah keputusan Hakim-Hakim Mahkamah Tinggi sivil, adalah berpandukan dan selari dengan keputusan oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. Di dalam kes Dalip Kaur lwn. Pegawai Polis Daerah, Balai Polis Daerah, Bukit Mertajam & Anor [1991] 3 CLJ 2768; [1991] 1 CLJ (Rep) 77 Mohamed Yusof SCJ dalam membincangkan sama ada Mahkamah Tinggi mempunyai bidangkuasa untuk mengisyhtiharkan seseorang itu telah murtad telah menyatakan seperti berikut:
Such a serious issue, would, to my mind, need consideration by eminent jurists who are properly qualified in the field of Islamic jurisprudence.
On this view it is imperative that the determination of the question in issue requires substantial consideration of the Islam law by relevant jurists qualified to do so.
12.Perkara yang sama telah diputuskan oleh Gunn Chit Tuan SCJ di dalam kes Mohamed Habibullah bin Mahmood lwn. Faridah bte Dato Talib [1993] 1 CLJ 264 yang antara lain menyatakan:
With respect to the submission of Mr. Balwant Singh Sidhu regarding whether the plaintiff could be considered as apostate, reference ought to be made to the dictum of Mohamed Yusoff SCJ (as he then was) in the recent decision of this court in Dalip Kaur v. Pegawai Polis Daerah Bukit Mertajam & Anor when he pointed out that in determine whether a Muslim has renounce Islam, the only forum qualified to answer the question is the Syariah Court.
13. Seterusnya di dalam kes Soon Singh a/l Bikar Singh lwn. Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) [1999] 2 CLJ 5, Dzaiddin FCJ (pada masa itu) yang memberikan penghakiman untuk Mahkamah Persekutuan telah menyatakan:
Therefore, when jurisdiction is expressly conferred on the matters to conversion to Islam, in out opinion, it is logical that matters concerning conversion out of Islam (apostasy) could be read necessarily implied in and falling within the jurisdiction of the Syariah Courts. One reason we can think of is that the determination of a Muslim convert’s conversion out of Islam involves inquiring into the validity of his purported renunciation of Islam under Islamic law in accordance with hokum syarak (Dalip Kaur). As in this case of conversion to Islam, certain requirements must be complied with under hokum syarak for a conversion out of Islam to be valid, which only the syariah courts are the experts and appropriate to adjudicate.
14. Baru-baru ini Mahkamah Rayuan di dalam kes Lina Joy lwn. Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan & Ors [2005] 4 CLJ 666  Lihat juga (2007) JH 24/1, 61-191 antara lain telah memutuskan bahawa seseorang yang ingin keluar daripada agama Islam dikehendaki berbuat sedemikian melalui pihak berkuasa agama Islam. Abdul Aziz Mohamed JCA telah menyatakan:
One might tempted to think that the fact a person affirms in a statutory declaration that he is no longer a Muslim, or the fact the he has been participating in a Christian form of worship, or the fact that he has been baptized is sufficient, according to Islamic Law, to warrant others to treat him as having apostatized and as being no longer a Muslim. But is that so in Islam Law? It may be that according to Islamic Law no Muslim may be treated as having apostatized, no matter what he may have done or failed to do, unless and until he has been declared an apostate by some proper authority.
15. Jelas, tidak ada perbezaan atau kekeliruan mengenai perkara ini. Mahkamah di semua peringkat telah memutuskan bahawa Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidangkuasa untuk memutuskan sama ada seseorang itu telah terkeluar daripada agama Islam atau menjadi murtad. Bidangkuasa itu terletak di bawah bidangkuasa eklusif Mahkamah Syariah.

16. Berbeza sedikit dengan negeri-negeri lain di Malaysia, peruntukan di bawah seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Sembilan (2003) ini sedikit sebanyak memberi ruang kepada mana-mana orang Islam untuk mengisytiharkan dirinya tidak lagi mengamalkan agama Islam. Kuasa tersebut diguna sepenuhnya oleh Mahkamah Tinggi Syariah dalam memutuskan sesuatu permohonan keluar Islam seperti dalam kes Muhammad Ramzan Maniarason JH (2006) XXII/II, 181-189 di Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan Pahang, Siti Fatimah Tan bt Abdullah lwn Majlis Agama Islam Pulau Pinang, kes mal No. 07100-043-0191-2006, MTS Pulau Pinang  dan kes-kes lain yang diputuskan di Negeri sembilan sendiri seperti kes Ramjan bt Mohammad Ibrahim lwn Pendaftar Saudara Baru kes mal No.05100-043-14-2002, Permohonan Keluar Islam Muzaffar Chantra,  Kes Mal No. 05100-043-0432-2006, Permohonan Keluar Islam Muhammad Zamani Manimaran, Kes Mal No. 05100-043-0350-2004 dan sebagainya. Kesemua kes tersebut adalah jelas pihak-pihaknya atau pemohon sendiri adalah beragama Islam.

17. Apa yang menjadi persoalannya ialah bagaimana pula keadaannya jika salah satu pihak atau pihak dalam kes itu bukan Islam?

18. Mahkamah Tinggi Syariah dalam bidang kuasa malnya, mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding jika semua pihak dalam tindakan atau prosiding itu ialah orang Islam. Maka sebaliknya jika pihak dalam prosiding tersebut bukan Islam. Dalam kes ini, pemohon mendakwa dia bukan seorang Islam dan tidak pernah mengamalkan agama Islam. Jika benarlah demikian, maka secara mudahnya Mahkamah ini bukanlah forum yang sesuai untuk pemohon meneruskan tindakannya.  Akan tetapi, peguam pemohon yang bijaksana telah menghujahkan bahawa permohonan pemohon telah tidak diterima di Mahkamah sivil kerana isu mengenai Hukum Syarak adalah di bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah di mana  melalui Perkara 121 (1A) Mahkamah Sivil adalah ditegah daripada menyentuh apa-apa perkara yang berada di bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah. Keadaan ini menyebabkan pemohon berada dalam dilemma dan perkara ini harus diselesaikan oleh Mahkamah syariah kerana kuasa mengenainya telah diberi oleh Perlembagaan Persekutuan.

19. Sek 61(b) (x) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Sembilan 2003 ialah mengenai pengisytiharan atau deklarasi bahawa seseorang itu bukan lagi orang Islam; bermakna seseorang itu hendaklah sebelum permohonan ini dibuat adalah asalnya seorang Islam. Jika ia bukan seorang Islam, maka Mahkamah ini tidak mempunyai kuasa untuk memutuskan permohonannya, atau jika diputuskan, keputusan itu boleh jadi tidak sah, atau boleh dipertikaikan.

20. Dalam menentukan sama ada Mahkamah ini berbidangkuasa mendengar dan memutuskan sesuatu permohonan jika pihak atau pihak-pihak itu bukan Islam, pendekatan  yang boleh diambil pakai oleh Mahkamah ini  ialah dengan merujuk kepada pendekatan tersirat atau implikasi sepertimana yang diulas dalam penghakiman-penghakiman yang telah diputuskan sebelum ini.

21. Saya merujuk kepada Jadual Kesembilan Senarai 2 – Senarai Negeri Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan;

“Kecuali mengenai Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, hukum Syarak dan undang-undang diri dan keluarga bagi orang yang menganut agama Islam, termasuk hukum Syarak yang berhubungan dengan pewarisan, berwasiat dan tidak berwasiat, pertunangan, perkhawinan, perceraian, mas kahwin,nafkah, pengangkatan, kesahtarafan, penjagaan, alang, pecah milik dan amanah bukan khairat; Wakaf dan takrif serta pengawalseliaan amanah khairat dan agama, pelantikan pemegang amanah dan pemerbadanan orang berkenaan dengan derma kekal agama dan khairat, institusi, amanah, khairat dan institusi khairat Islam yang beroperasi keseluruhannya di dalam Negeri; adat Melayu; Zakat, Fitrah dan Baitulmal atau hasil agama Islam yang seumpamanya; masjid atau mana-mana tempat sembahyang awam untuk orang Islam, pewujudan dan penghukuman kesalahan yang dilakukan oleh orang yang menganut agama Islam terhadap perintah agama itu, kecuali berkenaan dengan perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan; keanggotaan, susunan dan tatacara mahkamah Syariah, yang hendaklah mempunyai bidang kuasa hanya ke atas orang yang menganut agama Islam dan hanya berkenaan dengan mana-mana perkara yang termasuk dalam perenggan ini, tetapi tidak mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan kecuali setakat yang diberikan oleh undang-undang persekutuan; mengawal pengembangan doktrin dan kepercayaan di kalangan orang yang menganut agama Islam; penentuan perkara mengenai hukum dan doktrin Syarak dan adat Melayu.”

22. YA Abdul Hamid Mohamed H dalam kes Lim Chan seng lwn Pengarah Jabatan Agama Islam Pulau Pinang & 1 yang lain, [1996] 3 CLJ dalam mengulas  frasa mengenai penentuan perkara mengenai hukum dan doktrin Syarak’ telah menyebut;

Perlu disebut di sini bahawa s. 48  (Enakmen Pentadbiran Agama Islam Pulau Pinang) tidak menyebut mengenai bidangkuasa mendengar dan memutuskan soalan samada seseorang itu Islam atau tidak, walau pun, pada pandangan saya ia boleh dilakukan mengikut Senarai II - Senarai Negeri, di bawah rangkaikata “menentukan perkara-perkara Hukum Syarak dan iktikad” (“the determination of matters of Islamic Law and doctrine’). Penetapan hukum samada seseorang itu Islam atau tidak, semestinya perlu diputuskan mengikut Hukum Syarak.

23. Apabila berbangkit isu mengenai hukum syarak, pihak-pihak dalam kes tersebut bukanlah menjadi soal. Dalam kes pihak-pihak yang bukan Islam, misalnya  Dalip kaur w/o Gurbox Singh lwn. Pegawai Polis Daerah (OCPD), Bukit Mertajam & Anor. [1992] 1 MLJ 1, Mohamed Yusoff, Hakim Mahkamah Agung menyatakan;

“isu sama ada seseorang itu Islam atau sama ada ia telah menolak agama Islam sebelum kematiannya, tidak boleh ditentukan dengan hanya memakai fakta-fakta seperti yang telah diputuskan oleh hakim perbicaraan, atas sebab kebetulan atau relevannya keterangan menurut undang-undang sivil. Isu yang serius seperti ini memerlukan pertimbangan oleh pakar perundangan yang berkelayakan dalam bidang falsafah undang-undang Islam. Forum yang berkelayakan berbuat demikian adalah Mahkamah Syariah”

24.  Dalam menentukan samada permohonan ini terletak di bawah bidangkuasa Mahkamah sivil atau Mahkamah Syariah, suka saya memetik pandangan YA Abdul Hamid Mohamed H dalam kes Lim Chan Seng lwn Pengarah Jabatan Agama Islam Pulau Pinang & 1 yang lain, [1996] 3 CLJ;


Maka untuk mengetahui samada Mahkamah Sivil mempunyai bidangkuasa dalam sesuatu perkara atau tidak, kita kenalah melihat terlebih dahulu samada Mahkamah Syariah mempunyai bidangkuasa mengenainya atau tidak. Kalau Mahkamah Syariah mempunyai bidangkuasa mengenai sesuatu perkara, maka Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidangkuasa mengenainya, dan sebaliknya.

Bagaimana kita hendak tahu samada Mahkamah Syariah mempunyai bidangkuasa dalam sesuatu perkara atau tidak? Jawabnya, kita kenalah lihat undang-undang Negeri yang berkenaan.

25. Menurut Hakim Abdul Hamid, isu mengenai hukum syarak adalah terletak di bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah. Dalam menentukan Mahkamah Syariah itu berbidang kuasa atau tidak, badan perundangan negeri hendaklah membuat undang-undang mengenainya.
26. Di Negeri Sembilan, undang-undang mengenainya telah pun wujud. Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003 melalui sek. 61 telah memperuntukkan bidang kuasa Mahkamah Syariah dalam hal demikian. Bidang kuasa Mahkamah Tinggi Syariah adalah seperti berikut;

(3) Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah—
(a) …..

(b) dalam bidang kuasa malnya, mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding jika semua pihak dalam tindakan atau prosiding itu ialah orang Islam dan tindakan atau prosiding itu adalah berhubungan dengan—
(i)….
(x) pengisytiharan bahawa seseorang itu bukan lagi orang Islam;

27. Berdasarkan pandangan tersebut, saya berpuashati bahawa jika Pemohon itu bukan seorang Islam sekali pun, Mahkamah ini masih berbidang kuasa untuk mendengar permohonan tersebut berdasarkan pendekatan secara implikasi atau tersirat yang telah diambil dalam beberapa keputusan di Mahkamah Sivil dalam mentafsirkan bidang kuasa Mahkamah Syariah. Kes-kes lain juga boleh dirujuk seperti  Soon Singh a/l Bikar Singh lwn pertubuhan kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kedah & Anor (1999) 2 CLJ 5, Md Hakim Lee lwn Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur (1988) 1 MLJ 681 dan kes-kes lain yang disebut sebelum ini.

28. Walau pun pemohon itu bukan seorang Islam, subject matter permohonannya adalah mengenai Hukum syarak. Penentuan mengenai hukum atau doktrin syarak perlu diputuskan di Mahkamah Syariah.

29. Dalam kes di hadapan saya ini, status pemohon pula masih belum pasti. Pemohon mendakwa ia bukanlah seorang Islam sama ada semasa kelahirannya atau sepanjang masa hidupnya, ia tidak pernah memeluk atau mengamalkan ajaran Islam. Bagaimanapun, nama yang tertera di dalam kad pengenalannya adalah ‘Mohammad Shah’, iaitu nama sebagai seorang Islam. Saya percaya, nama tidak menunjukkan agama seseorang itu walau pun kebiasaannya nama menggambarkan agama yang dianutinya.

30. Dalam kes ini penentuan agama asal Pemohon perlulah diputuskan terlebih dahulu sebelum permohonan ini dibenarkan. Penentuan asal agama yang dianuti adalah penting bagi menentukan prosiding selanjutnya.


Sama ada pemohon bukanlah seorang penganut agama Islam

31. Setelah Mahkamah berpuashati bahawa permohonan ini boleh didengar di Mahkamah ini, maka Isu kedua yang perlu disentuh  pula ialah sama ada benar pemohon bukanlah seorang penganut agama Islam atau sebaliknya.

32. Meneliti daripada affidavit yang dikemukakan dan keterangan lisan saksi-saksi yang diambil, Mahkamah mendapati pemohon Mohammad Shah @ Gilbert Freeman telah dilahirkan pada 17hb April 1948, telah dibaptistkan di gereja Visitation Seremban pada 5hb Julai 1951 ketika berusia 3 tahun, telah berkahwin dengan Anjalie A/P T. Pethaperumal mengikut upacara agama Kristian di gereja Visitation pada 3hb Ogos 1974. Fakta telah dibuktikan melalui dokumen yang dieksibitkan sebagai ‘GF-1’ sijil lahir, ‘GF-2’ baptism Certificate, ‘GF-3’ daftar Perkahwinan sivil No 23/1974 dan gambar-gambar perkahwinan ‘GF-4’ serta keterangan lisan saksi.

33. Dalam menentukan sama ada Pemohon seorang penganut agama Islam atau tidak, tafsiran mengenai ‘orang Islam’ hendaklah diperhalusi terlebih dahulu.  Orang Islam seperti yang ditakrifkan di dalam tafsiran di bawah sek 2 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan)  2003 ialah;

“orang Islam” ertinya—
(a) seseorang yang menganut agama Islam;
(b) seseorang yang salah seorang atau kedua-dua ibu bapanya, pada masa kelahiran orang itu, ialah orang Islam;
(c) seseorang yang dibesarkan atas asas bahawa dia orang Islam;
(d) seseorang yang lazimnya dikenali sebagai orang Islam;
(e) seseorang yang telah memeluk agama Islam mengikut seksyen 108; atau
(f) seseorang yang ditunjukkan telah menyatakan, dalam hal keadaan apabila dia terikat di sisi undang-undang untuk menyatakan yang benar, bahawa dia ialah orang Islam, sama ada pernyataan itu secara lisan atau bertulis; (penekanan ditambah)       

34. Dalam kes ini saya berpuashati  Pemohon bukanlah seorang yang menganut agama Islam, tidak dibesarkan atas asas sebagai seorang Islam, tidak dikenali sebagai lazimnya seorang Islam, tidak pernah memeluk agama Islam seperti mana yang dikehendakki di bawah sek. 108 Enakmen Pentadbiran dan tidak pernah terikat disisi undang-undang untuk menyatakan sama ada secara bertulis atau lisan bahawa dia seorang Islam. Ringkasnya  Sub sek 2 (a) (c),(d),(e) dan (f) adalah tidak berkaitan dalam kes ini. Jadi saya tidak berhasrat untuk mengulasnya. Bagaimanapun sub sek (b) iaitu seseorang yang salah seorang atau kedua-dua ibu bapanya, pada masa kelahiran orang itu, ialah orang Islam; adalah dianggap sebagai seorang Islam dan  sudah cukup untuk mengikatnya di bawah peraturan-peraturan agama Islam dan membolehkan Mahkamah ini berbidangkuasa untuk memutuskan kes ini. Pemohon dalam afidavitnya mengakui bahawa bapanya adalah beragama Islam, iaitu Mohd Syed (Mohd Said) sepertimana dokumen sijil lahir pendaftaran no. 83913/1432 yang dieksibitkan. Saya berpuashati bahawa Pemohon semasa kelahirannya adalah seorang Islam kerana bapanya adalah beragama Islam. Sungguhpun begitu, ibunya adalah seorang berbangsa serani dan beragama kristian.

35. Persoalannya juga, jika pemohon adalah seorang  orang Islam kerana bapanya semasa kelahirannya adalah orang Islam, maka apakah prosiding yang wajar bagi pemohon untuk meneruskan niatnya mengisytiharkan status agamanya?

36. Sebagai seorang Islam yang berhasrat untuk keluar dari Islam, ia  hendaklah terlebih dahulu mendapatkan satu deklarasi dari Mahkamah Syariah. Sebelum deklarasi tersebut diperolehi, prosiding mengikut sek  119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan)  hendaklah dipatuhi. Sek tersebut menyebut;

(1) Seseorang Islam tidak boleh keluar daripada Agama Islam atau disifatkan telah meninggalkan Agama Islam sebagai agamanya melainkan jika dan sehingga dia telah memperoleh suatu perisytiharan bagi maksud itu daripada Mahkamah Tinggi Syariah.
(2) Suatu permohonan bagi perisytiharan di bawah subseksyen (1) hendaklah dibuat secara ex parte kepada Hakim Mahkamah Tinggi Syariah dalam mahkamah terbuka oleh orang yang berhasrat untuk meninggalkan Agama Islam sebagai agamanya.
3) Suatu permohonan di bawah subseksyen (2) hendaklah menyatakan alasan-alasan yang berdasarkannya pemohon berhasrat untuk meninggalkan Agama Islam sebagai agamanya dan hendaklah disokong oleh suatu afidavit yang menyatakan semua fakta yang menyokong alasan permohonan itu.
(4) Setelah diterima permohonan di bawah subseksyen (2), Hakim Mahkamah Tinggi Syariah yang mendengar permohonan tersebut hendaklah—
(a) menasihati orang itu supaya bertaubat, dan jika Hakim berpuas hati orang itu telah bertaubat mengikut Hukum Syarak, hendak merekodkan taubat orang itu; atau
(b) jika orang itu enggan bertaubat, sebelum membuat apa-apa perintah terhadap orang itu, menangguhkan pendengaran permohonan itu untuk tempoh 90 hari dan pada masa yang sama menghendaki pemohon untuk menjalani sesi runding cara dan bimbingan bagi maksud menasihati pemohon untuk menimbang semula Agama Islam sebagai agamanya.
(5) Jika pada bila-bila masa orang yang dikehendaki menjalani sesi runding cara dan bimbingan itu telah bertaubat, pegawai yang bertanggungjawab terhadapnya hendaklah menyediakan suatu laporan dengan secepat mungkin dan membawa orang itu ke hadapan Mahkamah Tinggi Syariah.
(6) Jika Hakim berpuas hati bahawa orang yang dikemukakan di hadapannya mengikut subseksyen (5) telah bertaubat mengikut Hukum Syarak, Hakim itu hendaklah merekodkan taubat orang itu.
(7) Jika setelah habis tempoh 90 hari yang disebut dalam perenggan (4)(b), orang itu masih enggan bertaubat, maka pegawai yang bertanggungjawab terhadapnya hendaklah menyediakan suatu laporan dengan secepat mungkin dan membawa orang itu ke hadapan Mahkamah Tinggi Syariah.
(8) Jika setelah diterima laporan yang disebut dalam subseksyen (7), Mahkamah berpendapat bahawa harapan masih ada untuk orang itu bertaubat, maka Mahkamah boleh menangguhkan pendengaran permohonan orang itu di bawah subseksyen (2) dan pada masa yang sama memerintahkan orang itu supaya menjalani sesi runding cara dan bimbingan yang selanjutnya selama tempoh yang tidak melebihi satu tahun.

(9) Jika selepas perintah di bawah subseksyen (8) dibuat, orang itu bertaubat, maka subseksyen (5) dan (6) terpakai.
(10) Jika setelah habis tempoh yang diperintahkan di bawah subseksyen (8) dan orang itu masih enggan bertaubat, pegawai yang bertanggungjawab terhadapnya hendaklah menyediakan suatu laporan dan membawa orang itu ke hadapan Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah boleh membuat keputusan untuk mengisytiharkan bahawa orang itu meninggalkan Agama Islam sebagai agamanya.
(11) Sebelum Mahkamah mengiytiharkan bahawa orang itu telah meninggalkan Agama Islam sebagai agamanya, Mahkamah hendaklah membuat perintah mengenai perkara yang berikut:
(a) pembubaran perkahwinan;
(b) pembahagian harta sepencarian;
(c) hak perwalian;
(d) hak pusaka; dan
(e) hadhanah.

37. Peguam Syarie Pemohon yang bijaksana berhujah bahawa pemohon tidak perlu melalui proses atau prosiding tersebut kerana Pemohon sebenarnya adalah bukan Islam, tidak pernah memeluk agama Islam dan tidak pernah mengamalkan agama Islam kecuali nama Pemohon sahaja Islam dan telah ditinggalkan oleh bapanya yang beragama Islam sebaik umurnya 2 bulan. Ibu Pemohon pula tidak pernah memeluk agama Islam dan mengamalkan agama kristian sepanjang hayatnya serta selepas kematiannya pada 19hb Mac 1969 dan dikuburkan  di perkuburan kristian Katholik, Sekamat, Seremban. Pemohon sendiri telah dibaptistkan  pada 5hb julai 1971 di gereja Visitation, Seremban pada usia 3 tahun.

38. Dalam merungkai perkara ini, Mahkamah telah merujuk kepada perkahwinan antara bapa Pemohon, Mohd Syed @ Mahamed Said dengan ibu Pemohon iaitu Doris Josephine Freeman. Bagaimanapun tidak ada keterangan jelas bahawa perkahwinan antara bapa dan ibu Pemohon  telah dilangsungkan mengikut syarak. Pemohon juga tidak dapat membuktikan bahawa ibu dan bapanya pernah berkahwin secara sah sama ada mengikut syarak atau perkahwinan sivil. Keesahan perkahwinan tersebut mengikut syarak adalah diragui. Jika bapa Pemohon beragama Islam, perkahwinannya dengan ibu pemohon mestilah mengikut kehendak hukum syarak untuk menjadikan perkahwinan itu sah dan ibu Pemohon mestilah beragama Islam. Jika bapa Pemohon bukan berasal agama Islam dan telah memeluk Islam selepas berkahwin dengan ibu Pemohon, perkahwinan tersebut akan terbubar jika ibu Pemohon tidak memeluk Islam.

39. Bagi menjelaskan fakta tersebut, Pemohon telah membawa saksinya iaitu Francis Freeman, berumur 74 tahun. Saksi adalah abang  berlainan bapa kepada Pemohon sendiri. Menurut saksi, ibunya adalah Doris Josephine Freeman. Manakala bapanya ialah James George Freeman. Mereka mempunyai 6 beradik iaitu Francis Freeman, Ronald Freeman, Maureen Freeman, Margaret Freeman, Anthony Freeman dan George Freeman. Bapanya telah meninggal dunia di Batu Gajah Perak pada tahun 1942.

40. Selepas kematian bapanya, saksi telah kembali ke Seremban bersama ibunya kerana kebanyakan ahli keluarganya menetap di Seremban. Di Seremban, mereka tinggal di rumah kerajaan kerana ibunya bekerja sebagai ‘training nurse’ di Hospital Seremban.

41. Bersebelahan rumahnya, tinggal seorang pemuda Melayu bernama Mohammad Said. Hubungan antara Mohammad Said dan ibunya, Doris Josephine Freeman adalah rapat dan mereka sering kunjung mengunjung. Kadang-kadang ibunya akan bertandang ke rumah Mohammad Said di sebelah rumahnya dan begitulah sebaliknya.

42. Hubungan antara Mohammad Said dan ibunya berterusan sehingga mereka memperolehi tiga orang anak, iaitu Mona Freeman, Gilbert Freeman (Pemohon) dan Patrick Freeman.

43. Sepanjang ingatan saksi, ibunya dan Mohammad Said tidak pernah berkahwin sama ada secara Islam atau pun mengikut acara sivil. Mereka tinggal bersama atau bersekedudukan sehingga mendapat 3 orang anak tanpa ikatan perkahwinan.

44. Menurut saksi lagi,anak-anak dan keluarga tidak bersetuju dengan cara hidup ibu mereka kerana tidak berkahwin dan merasa malu kepada jiran-jiran. Umur saksi pada masa itu ialah lebih kurang belasan tahun ke 20an tahun.

45. Bagaimanapun, hubungan antara ibu mereka dengan Mohammad Said tidaklah bagus. Mereka sering bertengkar dan bergaduh sehinggalah Mohammad Said dan ibunya tinggal berasingan dan kemudiannya Mohammad Said telah meninggalkan rumah dan tidak diketahui di mana menghilang sehingga sekarang.

46. Keterangan menunjukkan bahawa bapa dan ibu Pemohon tidak pernah berkahwin mengikut kehendak Hukum Syarak mahu pun mengikut acara sivil.

47. Keterangan saksi Pemohon ini adalah diakui dan diterima di dalam hukum syarak walaupun ia bukan beragama Islam tetapi terbatas dalam kontek sebagai bayyinah dan bukan ‘shahadah’. Sek. 83(2) Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003 memperuntukkan;

(2) Seorang yang bukan Islam adalah berwibawa untuk memberikan bayyinah untuk orang Islam jika keterangannya boleh diterima mengikut Hukum Syarak.


48. Pemohon sendiri sepanjang hidupnya tidak pernah memeluk agama Islam dan tidak pernah berdaftar sebagai seorang Islam. Peguam Pemohon yang terpelajar telah mengemukakan eksibit  ‘GF-5B’ yang baru diterima sewaktu perbicaraan, iaitu laporan daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan melalui surat Ruj. No (89) PANS.196 (06) 425/ KLT 3 bertarikh 4hb Mac 2009 mengesahkan bahawa penama Mohammad Shah @ Gilbert Freeman tidak terdapat dalam senarai rekod Muallaf Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan Darul Khusus. Oleh kerana tidak ada pendaftaran lengkap mengenai perkara ini, Mahkamah merujuk  kepada sek 114 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan)  2003 yang memperuntukkan;

Jika apa-apa persoalan timbul tentang sama ada seseorang ialah seorang muallaf, dan orang itu tidak didaftarkan dalam Daftar Muallaf atau di bawah mana-mana undang-undang mana-mana Negeri sebagai seorang muallaf, persoalan itu hendaklah diputuskan berdasarkan merit kes itu mengikut seksyen 107.

49. sek .107 pula memperuntukkan;

(1) Kehendak-kehendak yang berikut hendaklah dipatuhi bagi pemelukan sah agama Islam oleh seseorang:
(a) orang itu mestilah mengucapkan dua kalimah Syahadah dalam bahasa Arab secara yang semunasabahnya jelas;
(b) pada masa dia mengucapkan dua kalimah Syahadah itu, orang itu mestilah sedar bahawa kalimah itu bermakna “Aku menjadi saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku menjadi saksi bahawa Nabi Muhammad S.A.W. ialah Pesuruh Allah”; dan
(c) pengucapan itu mestilah dibuat dengan kerelaan hati orang itu sendiri.

(2) Seseorang yang tidak dapat bercakap boleh, bagi maksud memenuhi kehendak perenggan (1)(a), mengucapkan dua kalimah Syahadah dengan menggunakan isyarat yang menunjukkan makna yang dinyatakan dalam perenggan (1)(b).

50. Saya bersetuju dengan hujah peguam Pemohon yang bijaksana bahawa Pemohon tidak memenuhi semua kriteria yang dikehendakki dalam sek 107 tersebut.. Maka sek 119 menegenai prosiding keluar Islam secara munasabahnya tidaklah terpakai dalam permohonan ini dan hendaklah diputuskan mengikut merit kes sepertimana yang dikehendakki di bawah sek. 114 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan)   2003.

51. Mengesahkan lagi pandangan tersebut, saya merujuk kes Permohonan perisytiharan status Agama Janisah binti Abd Rahim @ Bigul JH XXII/I, 67, YA HMTS Keningau Sabah  telah memutuskan permohonan Pemohon, Janisah binti Abd Rahim @ Bigul boleh didengar di Mahkamah Tinggi Syariah berdasarkan  sek 77 Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam Negeri Sabah, No 13/1992  mengikut merit kes setelah berpuashati pemohon tidak menepati ciri-ciri yang dinyatakan di bawah sek 69 Enakmen yang sama. Peruntukan ini adalah selari atau sama  dengan sek 114 dan 107 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Sembilan 2003.

52. Dalam hal ini suka saya merujuk sedikit nas syarak mengenai perakuan Islam terhadap agama-agama lain yang dianuti oleh manusia dan sikap keterbukaan Islam mengenai perkara itu ada dipaparkan di dalam sebahagian ayat-ayat al Quran. Anataranya;


(i)            Al-Quran, surah al-Hujurat 49:13;

$pkšr'¯»tƒ â¨$¨Z9$# $¯RÎ) /ä3»oYø)n=yz `ÏiB 9x.sŒ 4Ós\Ré&ur öNä3»oYù=yèy_ur $\/qãèä© Ÿ@ͬ!$t7s%ur (#þqèùu$yètGÏ9 4
13. Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu Dengan Yang lain).


(ii)            Al-Quran, Surah al-Rum, 30: 22;

ô`ÏBur ¾ÏmÏG»tƒ#uä ß,ù=yz ÏNºuq»yJ¡¡9$# ÇÚöF{$#ur ß#»n=ÏG÷z$#ur öNà6ÏGoYÅ¡ø9r& ö/ä3ÏRºuqø9r&ur 4 ¨bÎ) Îû y7Ï9ºsŒ ;M»tƒUy tûüÏJÎ=»yèù=Ïj9 ÇËËÈ  
22. dan di antara tanda-tanda Yang membuktikan kekuasaannya dan kebijaksanaanNya ialah kejadian langit dan bumi, dan perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya Yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang Yang berpengetahuan.


(iii)         Al-Quran, Surah Yunus, 10: 99;

öqs9ur uä!$x© y7/u z`tBUy `tB Îû ÇÚöF{$# öNßg=à2 $·èŠÏHsd 4 |MRr'sùr& çn̍õ3è? }¨$¨Z9$# 4Ó®Lym (#qçRqä3tƒ šúüÏZÏB÷sãB ÇÒÒÈ  
99. dan (bukanlah tanggungjawabmu Wahai Muhammad menjadikan seluruh umat manusia beriman), jika Tuhanmu menghendaki nescaya berimanlah sekalian manusia Yang ada di bumi. (janganlah Engkau bersedih hati tentang kedegilan orang-orang Yang ingkar itu; kalau Tuhan tidak menghendaki) maka Patutkah Engkau pula hendak memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang Yang beriman?


(iv)         Al-Quran, Surah Hud, 11:118;

öqs9ur uä!$x© y7/u Ÿ@yèpgm: }¨$¨Z9$# Zp¨Bé& ZoyÏnºur ( Ÿwur tbqä9#ttƒ šúüÏÿÎ=tGøƒèC ÇÊÊÑÈ  
118. dan kalaulah Tuhanmu (Wahai Muhammad) menghendaki, tentulah ia menjadikan umat manusia semuanya menurut ugama Yang satu. (tetapi ia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan.


(v)          Al-Quran, surah al-Nahl, 16: 93;

öqs9ur uä!$x© ª!$# öNà6n=yèyfs9 Zp¨Bé& ZoyÏnºur `Å3»s9ur @ÅÒム`tB âä!$t±o Ïôgtƒur `tB âä!$t±o 4 £`è=t«ó¡çFs9ur $£Jtã óOçFZä. tbqè=yJ÷ès? ÇÒÌÈ  
93. dan jika Allah menghendaki, tentulah Dia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu Dalam ugama Allah Yang satu); akan tetapi Allah menyesatkan sesiapa Yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) dan memberi petunjuk kepada sesiapa Yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Sesungguhnya kamu akan ditanya kelak tentang apa Yang kamu telah kerjakan.


53. Ayat-ayat di atas menunjukkan bahawa manusia itu telah diciptakan dengan pelbagai bahasa, bangsa, warna kulit, fahaman dan agama. Terpulanglah kepada manusia itu untuk menentukan pilihan dan jalan yang perlu diikutinya. Allah tidak membebankan Nabi Muhammad  s.a.w. untuk menjadikan semua manusia itu beriman atau memilih agama Islam sedangkan jika Allah menghendakkinya, nescaya ia mampu melaksanakannya dan perkara itu tidak perlu disesalkan atau bersedih mengenainya.

54. Dari ulasan tadi, saya berpuashati tanpa ragu-ragu bahawa pemohon bukanlah seorang penganut agama Islam sama ada sebelum, semasa atau selepas permohonan ini dibuat.


Sama ada pemohon dibenarkan untuk memadamkan nama Mohammad Shah di dalam kad pengenalan MYkad

55. Mengenai isu ini, saya berpendapat, penentuan untuk memadamkan nama ‘Mohammad Shah’ di dalam kad pengenalan Mykad adalah dalam budibicara Jabatan Pendaftaran Negara bukannya Mahkamah Syariah. Prosedur kearah itu telah ditetapkan oleh agensi berkenaan dan adalah tidak wajar Mahkamah ini campur tangan. Mahkamah ini hanya berbidang kuasa menentukan status agama Pemohon. Peraturan mengenai pendaftaran adalah di bawah kuasa Persekutuan dan tidak tertakluk pada Jadual Kesembilan Senarai Negeri.   Saya merujuk kepada penghakiman Ahmad Fairuz KHN di dalam kes Lina Joy lwn Majlis Agama Islam Wilayah persekutuian & yang lain , JH (2007)24/1, 61. Menurut KHN;

“Rujukan bukanlah bermakna bahawa Mahkamah Syariah diminta untuk memutuskan sama ada meluluskan ataupun tidak permohonan memadamkan perkataan “Islam” itu. Mahkamah Syariah cuma diminta untuk mengesahkan bahawa perayu adalah beragama Islam atau tidak berdasarkan undang-undang Islam. Berpandukan dari keputusan ini nanti, adalah dalam budibicara JPN untuk memutuskan sama ada kebenaran boleh diberi untuk memadamkan atau tidak perkataan “Islam”.

56. Selari dengan kenyataan tersebut, saya berpendapat permohonan pemohon untuk memadamkan nama ‘Mohammad Shah’ di dalam kad pengenalan Mykadnya melalui Mahkamah ini adalah tidak tepat. Permohonan tersebut sepatutnya diajukan kepada agensi yang berkenaan dan terpulanglah kepada JPN untuk menerima atau menolaknya. Hanya JPN yang menguruskan hal ehwal pendaftaran tersebut dan saya tidak bercadang mengulasnya. Permohonan Pemohon untuk memadamkan nama ‘Mohammad shah’ dalam kad pengenalan ‘Mykad’ adalah ditolak.

Keputusan

Selepas mempertimbangkan permohonan Pemohon dan setelah meneliti affidavit yang difailkan serta keterangan-keterangan lisan dan saksi yang dikemukakan, Mahkamah ini berpuashati dan mengisytiharkan bahawa;

1.    Pemohon Mohd Shah @ Gilbert Freeman bukanlah seorang penganut agama Islam;
2.    Permohonan Pemohon untuk memadamkan nama ‘Mohammad Shah’ di dalam kad pengenalan Mykad adalah ditolak;

Perintah ini adalah berdasarkan permohonan satu pihak dan hendaklah berkuatkuasa serta merta.



Mohd Nadzri bin haji Abdul Rahman Ibrahim HMTS
5hb Mac 2009

No comments:

Post a Comment