Monday, February 7, 2011

PEMBUBARAN PERKAHWINAN KERANA PEMELUKAN ISLAM MASTURA SARESWATHY BINTI ABDULLAH @ SARESWATHY A/P SUBRAMANIAM


DALAM MAHKAMAH TINGGI SYARIAH DI SEREMBAN
DALAM NEGERI SEMBILAN DARUL KHUSUS
KES MAL NO: 05100-013-0623-2009



DALAM PERKARA  PERMOHONAN PEMBUBARAN PERKAHWINAN KERANA PEMELUKAN ISLAM OLEH MASTURA SARESWATHY BINTI ABDULLAH @ SARESWATHY A/P SUBRAMANIAM………………..PEMOHON


Perlembagaan Persekutuan -  Bidang kuasa Eklusif Mahkamah Syariah – Per. 121(1A)-

Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) - Sama ada perkahwinan Pemohon dengan isterinya mengikut Undang-Undang Sivil masih berterusan – sek. 51 Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) [Akta 164] –

Undang-Undang Keluarga Islam – Bidangkuasa Mahkamah memutuskan permohonan pengisytiharan pembubaran Perkahwinan Kerana pemelukan Islam -  sek 46 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Sembilan) 2003 - Status agama Pemohon dan suami – Sama ada Pemohon telah memeluk Islam - Sama ada pemelukan Islam telah dimaklumkan kepada suami - sama ada suami enggan untuk turut memeluk Islam –

Undang-Undang Keterangansaksi bukan Islam - suami dipanggil untuk memberi keterangan – sek. 83(2) Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003



FAKTA KES

Pemohon, Mastura Sareswathy binti Abdullah @ Sareswathy a/p Subramaniam telah memohon ke Mahkamah ini untuk membubarkan perkahwinannya dengan suaminya mengikut sek. 46 (2) Enakmen Undang-Undang keluarga Islam (Negeri Sembilan) 2003. Pemohon seorang yang beragama Hindu sejak lahir, tetapi telah memeluk agama Islam pada  23hb Januari 2009, manakala suami Pemohon, Karisnan a/l Appoo  masih kekal dalam agama Hindu.

Pemohon telah berkahwin dengan Karisnan a/l Appoo  (No. K/P:  A 8055090) mengikut   upacara  Hindu  dan didaftarkan di bawah Akta memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 di bawah nombor daftar 544246  di pejabat Pendaftaran Negara Negeri Sembilan  pada 30hb Mei 1995.

Sepanjang tempoh perkahwinan, Pemohon dan Karisnan tidak dikurniakan sebarang cahaya mata.  Hubungan mesra antara Pemohon dan suaminya, Karisnan  tidak kekal lama.Setelah berlaku perselisihan faham, Pemohon telah meninggalkan suaminya dan berpindah ke Melaka iaitu lebih kurang pada bulan November 2008. Sejak tarikh tersebut, Pemohon tidak lagi tinggal bersama dengan suamninya sehingalah sekarang iaitu lebih kurang 15 bulan.  Menurut Pemohon, suaminya tidak memberi belanja (nafkah), sering bermain judi, dan sebagainya menyebabkan Pemohon bertindak keluar dari rumah kelamin mereka di Rahang   dan tinggal berasingan di Melaka kerana tidak tahan lagi dengan perangai suaminya.

Pemohon tinggal di Taman Norbah, Bukit Serindit Melaka dan bekerja sebagai ‘cleaaner’ di sebuah syarikat automobil. Pemohon bekerja di syarikat tersebut hamper setahun sebelum  kembali semula ke Seremban untuk menjaga ibunya yang sudah tua.

Pada 23hb Januari 2009, pemohon telah mengambil keputusan untuk memeluk agama Islam dan pendaftaran pemelukan Islamnya telah disahkan di hadapan Pendaftar Muallaf (registrar of Muallafs) Majlis Ugama Islam Melaka dan didaftarkan dengan bil daftar No. # 013-2009.. Pemohon telah memakai nama Islam sebagai Mastura Sareswathy binti Abdullah.


Akibat pemelukan Islam tersebut, Pemohon telah memfailkan satu permohonan pembubaran perkahwinan di bawah sek 46  (2) Enakmen undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Sembilan) 2003 untuk membubarkan perkahwinannya dengan suaminya Karisnan a/l Appoo apabila suaminya masih enggan untuk turut memeluk agama Islam.


DIPUTUSKAN

Setelah mempertimbangkan permohonan Pemohon dan berdasarkan affidavit yang difailkan oleh Pemohon serta keterangan saksi-saksi dan hujah yang dikemukakan, maka Mahkamah dengan ini berpuashati dan memutuskan bahawa:

Telah sabit perkahwinan Pemohon Mastura Sareswathy binti Abdullah @ Sareswathy a/p Subramaniam dengan Karisnan a/l Appoo  (No. K/P:  A 8055090) mengikut upacara Hindu dan didaftarkan di bawah Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 melalui  daftar no. 544246  di Pejabat Pendaftaran Negara, Seremban, Negeri Sembilan  bertarikh 30hb Mei 1995.

Perkahwinan tersebut adalah dibubarkan mengikut Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Sembilan) 2003 mulai hari ini 1hb April 2009 bersamaan  5hb Rabiul Akhir  1430H akibat pemelukkan Mastura Sareswathy binti Abdullah @ Sareswathy a/p Subramaniam ke Agama Islam  pada 23hb Januari 2009  dengan tidak diikuti pemelukkan  ke Agama Islam oleh Karisnan a/l Appoo.

Pemohon, Mastura Sareswathy binti Abdullah @ Sareswathy a/p Subramaniam  hendaklah beriddah selama tiga kali suci dengan talak bain  bermula pada hari ini 3hb Februari 2009 bersamaan  18hb Safar  1431H.


PEGUAM SYARIE

Pemohon mewakili diri sendiri

PERUNDANGAN YANG DIRUJUK

1.      Perlembagaan Persekutuan Malaysia
2.      Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003
3.      Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 [Akta 164]
4.      Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Sembilan) 2003.
5.      Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan ) 2003

AL-QURAN YANG DIRUJUK

1.      al-Nisa’  : 4:58
2.      al- Mumtahanah : 10

KITAB YANG DIRUJUK

1.      Buhuth wa Fatawa Islamiyyah fi Qadhaya Mua’sarah, juz 2,
2.      I’anah al-Talibin, al-Sayyid al Bikri al Sayyid Abi Bakar Ibnu al Sayyid Muhammad Shataa al-Dimyati, Juz 4,
3.      Tafsir al-Azhar, Haji Abdul Malik Karim Amrullah (Hamka), Jilid 9, , Pustaka Nasional Pte. Ltd, Singapura,
4.      al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuh,  Prof. Dr. Wahbah al-Zuhayli, juz. 9
5.     al-Ahkam al-Sultaniyyah, Abu Ya’la Al-Farra’.
6.     Keputusan Fatwa Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal  Ehwal Agama  Islam kali ke 11 pada 16hb Mac 1976

KES YANG DIRUJUK

1.         Permohonan Perisytiharan Pembubaran Perkahwinan Di Sebabkan Pertukaran Agama Oleh Siti Aisyah Janthip Aisam JH XXI/II (2006) 262.
2.         Pedley lwn Majlis Agama Islam Pulau Pinang (1990) 2 MLJ 307.
3.         Mohamed Habibullah b. Mahmood lwn Faridah bt. Dato’ Talib, (1992) 2 MLJ 793.
4.         Permohonan Perisytiharan Pembubaran Perkahwinan  kerana Pemelukan Islam Nur Adryana Qestina bt Abdullah JH( 2008) 25/1,157
5.         Letchumy lwn Ramadason, [1984] 1 MLJ 143,
6.         Ng Siew Pian lwn Abdul Wahid bin Abu Hassan, Kadi daerah Bukit Mertajam dan Satu Yang Lain [1992] 2 MLJ 425
7.         Tan Sung Mooi lwn Too Miew Kim [1994] 3 MLJ 117.
8.         Permohonan Perisytiharan Status Agama Simati Nyonya binti Tahir, JH XXI/II (2006) 221
9.         Permohonan Pembubaran Perkahwinan Siti Zubaidah Chew binti Abdullah @  Chew Yin Yin,  Kes Mal No. 05100-013-0110-2009, MTS Seremban, Negeri Sembilan


Penghakiman YA Tuan Mohd Nadzri bin Haji Abdul Rahman, HMTS


Pemohon, Mastura Sareswathy binti Abdullah @ Sareswathy a/p Subramaniam telah mengemukakan  satu permohonan  di Mahkamah Tinggi Syariah Seremban pada 20hb Noveember 2009  supaya Mahkamah ini membuat pengesahan berkuatkuasanya pembubaran perkahwinan antara Pemohon dengan suaminya Karisnan a/l Appoo akibat daripada perbuatan Pemohon memeluk Islam pada 23hb Januari 2009 dan telah tidak diikuti perbuatan masuk Islam oleh suaminya Karisnan a/l Appoo.

Pemohon sewaktu memberi keterangan sama ada secara ikrar melalui affidavit yang difailkan bersama-sama dengan permohonan ini dan keterangan secara lisan yang telah dikemukakan ke Mahkamah ini  menyatakan  bahawa Pemohon, seorang yang beragama Hindu sejak lahir, telah berkahwin dengan Karisnan a/l Appoo  pada 30hb Mei 1995  mengikut adat dan kepercayaan tradisi ugama Hindu. Perkahwinan tersebut kemudiannya  didaftarkan mengikut kehendak Akta membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 melalui Daftar bil No. 544246 di hadapan Pendaftar perkahwinan Haji Razali bin Akip.  

Pada 23hb Januari 2009, pemohon telah mengambil keputusan untuk memeluk agama Islam dan pemelukan ke agama Islam tersebut telah didaftarkan  oleh Pendaftar Muallaf, majlis Agama Islam Melaka. Pemohon telah memakai nama Islam sebagai Mastura Sareswathy binti Abdullah.Pemelukan Islam tersebut telah didaftarkan dengan No. Pendaftaran #: 013-2009.


Tindakan Pemohon memfailkan permohonan pembubaran perkahwinan di mahkamah ini kerana selepas hampir setahun, suaminya masih enggan untuk turut memeluk agama Islam dan tidak pula memfailkan petisyen perceraian di  Mahkamah Tinggi Sivil.


Sebelum Mahkamah memutuskan permohonan ini, adalah terlebih dahulu saya menyingkap bidangkuasa Mahkamah untuk mendengar permohonan ini sebelum kriteria-kriteria lain diambil kira.


i)     Bidangkuasa Mahkamah

Berdasarkan permohonan Pemohon dan fakta-fakta yang dinyatakan di atas, saya berpendapat, beberapa persoalan perlu diputuskan sebelum Mahkamah ini membenarkan permohonan ini. Dari segi bidangkuasa, saya merujuk kepada seksyen 46 (2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Sembilan) 2003 yang memperuntukkan:

(2) Jika salah satu pihak kepada sesuatu perkahwinan bukan Islam memeluk agama Islam, maka perbuatan yang demikian tidak boleh dengan sendirinya berkuat kuasa untuk membubarkan perkahwinan itu melainkan jika dan sehingga disahkan sedemikian oleh Mahkamah.


Mengikut seksyen tersebut, sesuatu perkahwinan bukan Islam itu tidak akan terbubar dengan sendirinya apabila salah satu pihak telah memeluk Islam melainkan dan sehingga disahkan oleh Mahkamah (penekanan ditambah).  Mahkamah yang dimaksudkan ialah Mahkamah Syariah seperti mana yang dijelaskan di dalam tafsiran seksyen 2 Enakmen yang sama iaitu:

“Mahkamah Syariah” atau “Mahkamah” ertinya Mahkamah Rendah Syariah atau Mahkamah Tinggi Syariah, mengikut mana-mana yang berkenaan, yang ditubuhkan di bawah subseksyen 55(1) atau 55(2) Enakmen Pentadbiran;


Kuasa Mahkamah Syariah ini pula, telah diberikan secara eklusif oleh Perlembagaan Malaysia Melalui Jadual Kesembilan Senarai II yang memperuntukkan:

“Kecuali mengenai Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, hukum Syarak dan undang-undang diri dan keluarga bagi orang yang menganut agama Islam, termasuk hukum Syarak yang berhubungan dengan pewarisan, berwasiat dan tidak berwasiat, pertunangan, perkhawinan, perceraian, mas kahwin,nafkah, pengangkatan, kesahtarafan, penjagaan, alang, pecah milik dan amanah bukan khairat; Wakaf dan takrif serta pengawalseliaan amanah khairat dan agama, pelantikan pemegang amanah dan pemerbadanan orang berkenaan dengan derma kekal agama dan khairat, institusi, amanah, khairat dan institusi khairat Islam yang beroperasi keseluruhannya di dalam Negeri; adat Melayu; Zakat, Fitrah dan Baitulmal atau hasil agama Islam yang seumpamanya; masjid atau mana-mana tempat sembahyang awam untuk orang Islam, pewujudan dan penghukuman kesalahan yang dilakukan oleh orang yang menganut agama Islam terhadap perintah agama itu, kecuali berkenaan dengan perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan; keanggotaan, susunan dan tatacara mahkamah Syariah, yang hendaklah mempunyai bidang kuasa hanya ke atas orang yang menganut agama Islam dan hanya berkenaan dengan mana-mana perkara yang termasuk dalam perenggan ini, tetapi tidak mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan kecuali setakat yang diberikan oleh undang-undang persekutuan; mengawal pengembangan doktrin dan kepercayaan di kalangan orang yang menganut agama Islam; penentuan perkara mengenai hukum dan doktrin Syarak dan adat Melayu.”


Perkara 121(1A)  Perlembagaan pula mengukuhkan lagi kuasa tersebut di mana mahkamah-mahkamah awam tidak boleh mengganggu atau mempertikaikan bidangkuasa tersebut.

(1A) Mahkamah-mahkamah  yang disebutkan dalam fasal (1) tidaklah boleh mempunyai bidangkuasa berkenaan dengan apa-apa perkara dalam bidangkuasa Mahkamah Syariah

Mengenai bidangkuasa eklusif ini, diperjelaskan lagi oleh satu kes yang mashur iaitu, Mohamed Habibullah b. Mahmood v Faridah bt. Dato’ Talib, (1992) 2 MLJ 793, dimana Mahkamah Agung telah memutuskan bahawa tujuan Parlimen dalam Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan adalah untuk menyingkirkan bidangkuasa Mahkamah Tinggi mengenai apa-apa perkara dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah. Kes ini kemudiannya menjadi ikutan kepada kes-kes lain di Malaysia kerana Mahkamah sivil tidak lagi campurtangan dalam perkara-perkara dibawah bidangkuasa Mahkamah Syariah.

Dari segi peruntukan yang telah diberikan oleh statut dan dikuatkan oleh kes tadi, saya berpuashati bahawa Mahkamah ini mempunyai bidangkuasa untuk memutuskan permohonan ini.

Perkara ini dikuatkan lagi dengan nas-nas syarak yang membenarkan sesorang Hakim menjalankan dan memutuskan hukuman dengan adil dan mengarahkan segala jenis amanah kepada mereka yang berhak menerimanya. Firman Allah SWT dalam surah al Nisa’ (4: 58):


* ¨bÎ) ©!$# öNä.ããBù'tƒ br& (#rŠxsè? ÏM»uZ»tBF{$# #n<Î) $ygÎ=÷dr& #sŒÎ)ur OçFôJs3ym tû÷üt/ Ĩ$¨Z9$# br& (#qßJä3øtrB ÉAôyèø9$$Î/ 4 ¨bÎ) ©!$# $­KÏèÏR /ä3ÝàÏètƒ ÿ¾ÏmÎ/ 3 ¨bÎ) ©!$# tb%x. $JèÏÿxœ #ZŽÅÁt/ ÇÎÑÈ

Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan Segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum Dengan adil. Sesungguhnya Allah Dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran Yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya    Allah   sentiasa    Mendengar,     lagi   sentiasa Melihat
                                                                                               
  

Ayat ini memberi ruang kepada Mahkamah ini sebagai satu-satunya institusi yang berhak memutuskan perkara demikian kerana Pemohon sebaik sahaja memeluk Islam, tiada lagi tempat untuk menyelesaikan masalah rumahtangganya kerana kehadirannya sebagai seorang Muslim bermula pada 23hb Januari 2009 menyebabkan Pemohon telah tersisih dan tidak lagi diiktiraf mengikut undang-undang diri asal pemohon sebelum Pemohon memeluk Islam, iaitu di bawah Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 [Akta 164]. Seksyen 51 Akta tersebut memperuntukkan:


(1) Where one party to a marriage has converted to Islam, the other party who has not so converted may petition for divorce:

Provided that no petition under this section shall be presented before the expiration of the period of three months from the date of the conversion.

(2) The Court upon dissolving the marriage may make provision for the wife or husband, and for the support, care and custody of the children of the marriage, if any, and may attach any conditions to the decree of the dissolution as it thinks fit.

Ini bermakna, jika pihak yang tidak memeluk Islam tidak membuat petisyen perceraian, perkahwinan itu masih dianggap wujud walau pun kedua-dua pihak berlainan agama. Dalam hal ini, peruntukan seksyen 51 Akta 164 tersebut secara sendirinya memberi hak kepada pihak yang telah memeluk Islam dan menjadikan Mahkamah ini sebagai satu-satunya ruang untuk Pemohon menyelesaikan kemelut rumahtangganya. Walaupun penyelesaian di Mahkamah Syariah bukanlah satu penyelesaian mutlak bagi masalah ini, tetapi sekurang-kurangnya hak Pemohon untuk mendapatkan perceraian dan sebahagian belenggu masalahnya dapat dirungkaikan.

Dalam kes Pedley lwn Majlis Agama Islam Pulau Pinang (1990) 2 MLJ 307, Pemohon, iaitu isteri telah mendapat perisytiharan pembubaran perkahwinan daripada Mahkamah Syariah Pulau Pinang setelah Mahkamah berpuashati suami Pemohon telah enggan turut sama memeluk Islam pada masa yang ditetapkan. Perintah Pembubaran Perkahwinan tersebut telah tidak diterima oleh Mahkamah Tinggi Malaya selagi pihak yang tidak memeluk agama Islam tersebut tidak memfailkan petisyen perceraian di Mahkamah Sivil. Keadaan yang sama berlaku dalam kes-kes lain seperti Letchumy lwn Ramadason, [1984] 1 MLJ 143, Ng Siew Pian lwn Abdul Wahid bin Abu Hassan, Kadi daerah Bukit mertajam dan Satu Yang Lain [1992] 2 MLJ 425, dan kes Tan Sung Mooi lwn Too Miew Kim [1994] 3 MLJ 117.

keadaan ini meninggalkan kekosongan kepada Pemohon yang tiada tempat untuk menyelesaikan masalah perceraiannya, maka ruang kosong tersebut diisi oleh Mahkamah Syariah bagi pihak Pemohon yang beragama Islam. keadaan ini juga bertepatan dengan firman Allah  yang dinyatakan tadi iaitu sebahagian dari ayat 58 surah al-Nisa’ iaitu:

                                    ÉAôyèø9$$Î/( #qßJä3øtrB br& Ĩ$¨Z9$#  û÷üt/  OçFôJs3ym #sŒÎ)ur
dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum Dengan adil.


Berdasarkan peruntukan undang-undang dan nas Syarak yang dinyatakan tadi, saya berpuashati bahawa Mahkamah ini berbidangkuasa untuk mendengar permohonan ini.


ii)    Isu kedua yang perlu diputuskan oleh Mahkamah ini ialah mengenai status perkahwinan Pemohon.

Pemohon dalam affidavitnya menyatakan bahawa beliau telah berkahwin dengan Karisnan a/l Appoo pada 30hb Mei 1995  mengikut agama Hindu dan didaftarkan di bawah Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 di bawah nombor daftar 544246 di hadapan Pendaftar perkahwinan Haji Razali bin Akip.  Selain daripada mengakuinya di dalam keterangan lisan, status perkahwinan Pemohon juga telah disahkan oleh saksi, iaitu suami Pemohon sendiri yang dipanggil oleh Mahkamah untuk memberikan keterangan. Suami Pemohon mengakui beliau dan Pemohon telah berkahwin pada 30hb Mei 1995  dan didaftarkan pada hari yang sama di Jabatan Pendaftaran Negara, Seremban Negeri Sembilan.  Mahkamah juga merujuk kepada eksibit yang dilampirkan berupa Borang I iaitu Daftar Perkahwinan  Daftar no. 544246 yang ditandakan sebagai eksibit P1. Pendaftaran perkahwinan tersebut dibuat di hadapan Pendaftar Perkahwinan Sivil, Haji Razali bin Akip . Berdasarkan keterangan ini, saya berpuashati bahawa perkahwinan antara Pemohon dan suaminya, Karisnan a/l Appoo telah berlaku.

Arahan supaya suami Pemohon yang bukan beragama Islam ini dipangil ke Mahkamah bagi memberi keterangan adalah bagi mengelakkan berlakunya konflik yang mungkin timbul dan bertujuan mengesahkan keengganan suami memeluk agama Islam. Beliau tidak dijadikan pihak dalam kes ini kerana sekatan undang-undang tetapi boleh dijadikan sebagai saksi atas dasar bayyinah sepertimana diperuntukkan di bawah seksyen 83 Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003 yang memperuntukkan:

(2) Seorang yang bukan Islam adalah berwibawa untuk memberikan bayyinah untuk orang Islam jika keterangannya boleh diterima mengikut Hukum Syarak.


Dalam kes ini, karisnan a/l Appoo telah diserahkan satu notis supaya hadir ke Mahkamah ini pada 3hb Februari 2010 untuk memberi keterangan. Beliau mengakui telah berlaku perkahwinan dengan Pemohon.

Mahkamah merujuk kepada kes Permohonan Perisytiharan Status Agama Simati Nyonya binti Tahir, JH XXI/II (2006) 221, Di dalam kes ini  Majlis Agama Islam Negeri Sembilan, Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan dan Pegawai Agama Islam Daerah Tampin telah mengemukakan permohonan ke Mahkamah Tinggi Syariah Seremban untuk menentukan status agama si mati iaitu Nyonya binti Tahir. YA Hakim telah menerimapakai keterangan lisan yang dikemukakan oleh keluarga simati iaitu Chiang Ah Fatt, seorang yang bukan beragama Islam. Selain dari Chiang Ah Fatt, Mahkamah juga mendengar keterangan anak perempuan si mati iaitu Chiang Kwai Ying yang juga bukan beragama Islam. Mahkamah selanjutnya memutuskan bahawa simati adalah bukan beragama Islam. Dalam kes ini, walaupun affidavit Chiang Ah Fatt tidak diterima pakai oleh Mahkamah kerana ianya tidak mematuhi kehendak  seksyen 112 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003 tetapi keterangan lisannya telah membantu YA Hakim membuat keputusan yang tepat.

Lebih jauh dari itu, Mahkamah ini merujuk kepada sejarah Perundangan Islam dimana Hakim Syuraih yang mengadili perbicaraan anatara Saidina Ali r.a dan seorang lelaki yahudi yang dituduh mencuri baju besi baginda. Dalam kes tersebut, Hakim Syuraih telah menolak dakwaan Saidina Ali kerana kekurangan bukti dan memberikan hak kepada orang bukan Islam iaitu lelaki Yahudi tersebut. kes ini menunjukkan secara jelas bahawa Mahkamah berlaku adil walaupun terpaksa memberikan kepentingan atau hak kepada orang yang bukan Islam (lihat, Abu Ya’la Al-Farra’,  al-Ahkam al-Sultaniyyah, hal. 66).

Kehadiran karisnan dalam kes ini telah membantu mahkamah menyelesaikan beberapa perkara. Antaranya penentuan agama Pemohon dan suami, menganjurkan suami, iaitu karisnaan aa/l Appoo memeluk Islam dan mengesahkan keengganannya untuk berbuat demikian. Kehadirannya bagi memberi kesaksian dalam bentuk bayyinah membantu Mahkamah ini membuat keputusan yang tepat dan selari dengan kehendak undang-undang dan Hukum Syarak.


iii)  Status agama Pemohon.

Mengikut keterangan Pemohon, beliau telah memeluk Islam dan mengucap dua kalimah shahadah pada 23hb Januari 2009 di hadapan Pendaftar muallaaf, Majlis Agaama Islam Melaka. Pemelukan Islam ini diperkuatkan lagi dengan kad Akuan memeluk Islam daftar no.  #: 013-2009 yang dieksibitkan oleh Pemohon.

Pemohon juga mengemukakaan seorang saksi iaitu Omar bin Abdullah, yang merupkan abang kandung Pemohon.  Menurut Saksi, Pemohon telah memeluk Islam seawall tahun 2009, iaitu awal sebulan daripada beliau yang juga turut memeluk agama Islam pada bulan Mac 2009. Walaupun Pemohon memeluk Islam di Melaka, dia yakin dengan pengislaman Pemohon kerana sering tengok Pemohon berulang alik ke Pusat Dakwah Islamiah, Paroi untuk bersembahyang dan belajar sembahyang, di mana ia juga turut serta.

Berdasarkan fakta-fakta  tersebut, Mahkamah ini berpuashati bahawa perbuatan  pemelukan Islam oleh Pemohon telah berlaku secara resmi apabila Pemohon mengucap dua kalimah syahadah dan didaftarkan di hadapan Pendaftar Muallaf, Majlis Agama Islam Melaka pada 23hb Januari 2009.

Di dalam kitab I’anah al talibin, oleh al-Sayyid al Bikri al Sayyid Abi Bakar Ibnu al Sayyid Muhammad Shataa al-Dimyati, Juz 4, dar al-Fikr, Lebanon, (t/t) hal.139 menyebut:

“hanya sa nya terhasil keIslaman seseorang kafir atau seseorang murtad itu dengan pengucapan dua kalimah syahadah, bagi orang yang boleh bercakap”


iv)  Sama ada perbuatan pemelukan Islam oleh Pemohon diikuti oleh perbuatan pemelukan Islam oleh suaminya, iaitu Karisnan a/l Appoo.

Dalam memutuskan sama ada perkahwinan antara Pemohon dan isteri Pemohon masih berterusan atau terputus akibat perbuatan pemelukan Islam oleh pemohon, Mahkamah ini perlu meneliti  dan mengesahkan status agama suami Pemohon iaitu Karisnan a/l Appoo sama ada masih terus kekal dengan agama asalnya iaitu Hindu atau sebaliknya. Jika Karisnan masih terus kekal dengan agama asalnya iaitu Hindu dan enggan memeluk Islam, maka perkahwinan antara Pemohon dan isterinya akan terputus dan Mahkamah boleh membubarkan perkahwinan Pemohon dan suaminya. Seksyen 46 (2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Sembilan) 2003  memperuntukkan:


(2) Jika salah satu pihak kepada sesuatu perkahwinan bukan Islam memeluk agama Islam, maka perbuatan yang demikian tidak boleh dengan sendirinya berkuat kuasa untuk membubarkan perkahwinan itu melainkan jika dan sehingga disahkan sedemikian oleh Mahkamah.

Bagi menjelaskan keadaan ini, suami Pemohon telah hadir ke Mahkamah dan diminta member keterangan. Beliau telah memberikan kerjasama yang baik dengan hadir dan memberi keterangan bagi pihak Pemohon. Menurut Karisnan, beliau mengakui beliau dan Pemohon telah berkahwin mengikut adat dan agama Hindu pada 30hb Mei 1995 dan didaftarkan mengikut kehendak Akta Membaharui Undang-Undang 1976. Pendaftaran tersebut dibuat di hadapan Tuan Haji Razali Mat Akip pada hari yang sama. Menurut Karisnan, hubungan beliau dengan Pemohon kurang baik dan tidak tinggal bersama sejak setahun  yang lalu.  Beliau maklum atau tahu mengenai pemelukan Islam oleh Pemohon setelah diberitahu oleh Pemohon beberapa bulan yang lepas dan tidak bersetuju dengan Pemohon untuk turut memeluk Islam. Keenganan tersebut sekali lagi diluahkan oleh Karisnan apabila  beliau tidak bersetuju untuk memeluk Agama Islam walau pun Mahkamah  ada memintanya berbuat demikian. Sewaktu menjawab soalan Mahkamah, Karisnan sekali lagi menyatakan keenggananya untuk memeluk Islam dan dia tiada bantahan dengan permohonan yang dibuat oleh Pemohon. Saksi juga mengakui faham bahawa perkahwinannya dengan Pemohon akan berterusan jika beliau turut memeluk Islam, bagaimanapun beliau kekal dengan pendiriannya untuk tidak memeluk Islam dan ingin bercerai.


Mahkamah mengambil kesempatan dengan kehadiran Pemohon dan suaminya ke Mahkamah dan pasangan ini telah diberi penerangan ringkas. Keadaan ini adalah sejajar dengan kehendak  keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan melalui Fatwa Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam kali ke 11 pada 16hb Mac 1976 yang menyebut:

“a-        Nikah pasangan suami isteri yang bukan beragama Islam akan terputus jika salah seorang  daripadanya memeluk agama Islam tetapi jika yang seorang lagi memeluk agama Islam juga dalam masa iddah itu maka kekal nikah mereka.
b-         dalam keadaan di mana salah seorang daripada pasangan suami isteri yang bukan beragama Islam memeluk agama Islam maka hendaklah diberi penerangan kepada mereka mengenai terpisahnya yang akan berlaku (tertalak) jika seorang lagi tidak memeluk agama Islam dan hendaklah dinasihat dan dipujuk yang seorang lagi itu dengan hikmah supaya ia memeluk agama Islam juga”
           
Dari segi syarak pula saya merujuk kepada satu kes yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu iaitu Permohonan Perisytiharan pembubaran perkahwinan Di Sebabkan Pertukaran Agama Oleh Siti Aisyah Janthip Aisam JH XXI/II (2006) 262. Dalam kes ini, YA Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu telah merujuk kepada beberapa nas al-Quran dan kitab-kitab muktabar mengenai perkara ini. Antaranya YA Hakim merujuk kepada sebahagian ayat 10 surah al Mumtahanah:

bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila orang-orang perempuan yang mengaku beriman datang berhijrah kepada kamu, maka ujilah (iman) mereka; Allah lebih mengetahui akan iman mereka; dengan yang demikian, sekiranya kamu mengetahui bahawa mereka beriman, maka janganlah kamu mengembalikan mereka kepada orang-orang kafir. Mereka tidak halal bagi orang-orang kafir itu (sebagai isteri), dan orang-orang kafir itu pula tidak halal bagi mereka (sebagai suami)….”


Dalam mentafsirkan  ayat tersebut, YA Hakim memetik kata-kata Professor Dr. Haji Abdul Malik Abdul Karim Amrullah (Hamka) di dalam kitabnya Tafsir al-Azhar, Jilid 9, cetakan ke 3, 1999, Pustaka Nasional Pte. Ltd, Singapura, hal. 7310 yang menjelaskan:

“Menurut mazhab Imam Abu Hanifah dan Sufyan bin Uyaynah yang disebut juga sebagai mazhab orang Kufah; kalau yang perempuan lebih dahulu masuk Islam, dianjurkan kepada suaminya supaya masuk Islam pula, kalau si suami tidak mau, difaraklah (dipisahkan) diantara keduanya”


Di dalam kes Siti Aisyah tersebut, YA Hakim telah berpuashati bahawa suami Pemohon iaitu Enui a/l Aisom telah tidak memeluk Islam malah telah enggan untuk memeluk agama Islam dan seterusnya membubarkan perkahwinan  antara Pemohon, iaitu Siti Aisyah Janthip Aisam dan suaminya Enui a/l Aisom kerana keengganan suaminya untuk memeluk Islam.

Dalam kes Permohonan Perisytiharan Pembubaran Perkahwinan  kerana Pemelukan Islam Nur Adryana Qestina bt Abdullah JH( 2008) 25/1,157, YA HMTS Seremban telah meluluskan pembubaran perkahwinan Pemohon dengan suaminya setelah Mahkamah berpuashati perkahwinan antara Pemohon dan suaminya mengikut acara sivil masih berterusan, dan usaha yang wajar telah dibuat untuk memaklumkan kepada suaminya,  Gopal a/l Subramaniam tetapi beliau masih enggan untuk memeluk agama Islam walaupun telah ada usaha oleh Pemohon untuk memujuknya. 


Saya juga merujuk kepada kes Permohonan Pembubaran Perkahwinan Siti Zubaidah Chew binti Abdullah @  Chew Yin Yin   Kes Mal No. 05100-013-0110-2009, MTS Seremban Negeri Sembilan (Kes ini belum dilaporkan). Fakta kes ialah  Mahkamah Tinggi Syariah Seremban, Negeri Sembilan  berpuashati bahawa Pemohon, telah sabit berkahwin dengan suaminya, Hoo Ying Soon pada 14hb Februari 2007 mengikut upacara Budha dan didaftarkan di bawah Akta memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976, dan berpuashati bahawa perkahwinan tersebut masih berterusan dan mahkamah juga berpuashati Pemohon telah memeluk Islam pada 28hb Januari 2009 dan sehingga ke hari perbicaraan, suaminya, Hoo Ying Soon masih enggan untuk memeluk agama Islam sepertimana perbuatan yang telah dilakukan oleh Pemohon dan Mahkamah  juga berpuashati bahawa segala usaha yang perlu telah dibuat oleh Pemohon termasuklah memaklumkan pemelukan Islam oleh pemohon kepada suaminya dan Mahkamah ini juga berpuashati bahawa suami Pemohon, Hoo Ying Soon memahami bahawa perkahwinannya dengan Pemohon akan terbubar dengan keengganan masuknya kedalam Agama Islam.

Dalam kes di hadapan saya ini, saya berpuashati Pemohon telah memeluk Islam pada 23hb Januari 2009, telah memaklumkan pemelukkannya kepada suaminya Karisnan a/l Appoo beberapa bulan selepas pemelukkannya dan suaminya enggan untuk turut sama memeluk Islam. Suami Pemohon, Karisnan a/l Appoo telah dipanggil ke mahkamah ini dan beliau tetap menyatakan keengganannya untuk memeluk Islam. Suaminya juga faham dan tahu tentang keengganannya tersebut boleh menyebabkan perkahwinannya dengan Pemohon pada 30hb Mei 1995 akan terbubar jika dia tidak turut sama memeluk Islam.



KEPUTUSAN MAHKAMAH

Setelah mempertimbangkan permohonan Pemohon dan berdasarkan affidavit yang difailkan oleh Pemohon serta keterangan saksi-saksi dan hujah yang dikemukakan, maka Mahkamah dengan ini berpuashati dan memutuskan bahawa:

Telah sabit perkahwinan Pemohon Mastura Sareswathy binti Abdullah @ Sareswathy a/p Subramaniam dengan Karisnan a/l Appoo  (No. K/P:  A 8055090) mengikut upacara Hindu dan didaftarkan di bawah Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 melalui  daftar no. 544246  di Pejabat Pendaftaran Negara, Seremban, Negeri Sembilan  bertarikh 30hb Mei 1995.

 Perkahwinan tersebut adalah dibubarkan mengikut Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Sembilan) 2003 mulai hari ini 1hb April 2009 bersamaan  5hb Rabiul Akhir  1430H akibat pemelukkan Mastura Sareswathy binti Abdullah @ Sareswathy a/p Subramaniam ke Agama Islam  pada 23hb Januari 2009  dengan tidak diikuti pemelukkan  ke Agama Islam oleh Karisnan a/l Appoo.

Pemohon, Mastura Sareswathy binti Abdullah @ Sareswathy a/p Subramaniam  hendaklah beriddah selama tiga kali suci dengan talak bain  bermula pada hari ini 3hb Februari 2009 bersamaan  18hb Safar  1431H.

Mohd Nadzri bin Haji Abdul Rahman
Hakim Mahkamah Tinggi Syariah
Seremban
3hb Februaril 2010
10.30am.










6 comments:

  1. Alhamdulillah, Mohon temujanji dengan tuan sebab saya ada buat PHD mengenai tajuk berkaitan, Ingin dapat peluang berbincang mengenai konflik undang2 syariah dan sivil. dan ada satu soalan lagi adakah perintah ini valid untuk memadamkan daftar perkahwinan dlm undang2 sivil

    ReplyDelete
  2. ia hanya utk membolehkan Pemohon berkahwin mengikut tatacara islam dan menjalani kehidupan dengan lebih baik. perkahwinan yang dibuat mengikut uu sivil hanya boleh dibatalkan oleh uu sivil.

    ReplyDelete
  3. boleh saya tahu sumber kes ni dpt dari mane?

    ReplyDelete
  4. Tuan,

    Suami sy menghadapi masalah yg hampir serupa.Isterinya yg mana bukan islam enggan memfailkan petisyen perceraian dengan alasan bercerai bertentangan dengan agamanya(Roman Catholic).Suami sy telah melakukan pelbagai ikthiar untuk menuntut cerai tetapi isterinya enggan biar pun sudah 5 tahun lebih suami sy memeluk agama Islam dan kami juga telah berkhawin setelah suami sy memfailkan pembubaran perkhawinannya di makhamah syariah.Sy sangat-sangat hargai jika tuan dapat memberikan pendapat dan pandangan mcm mana caranya supaya suami sy boleh membubarkan perkhawinan sivilnya jika isteri pertamanya masih enggan memfailkan petisyen.. mscharlene79@gmail.com

    ReplyDelete
  5. Salam pn Lynne, perkahwinan suami Puan akan berterusan sehinggalah isterinya memfailkan pembubaran di mahkamah sivil.

    ReplyDelete
  6. jadi tuan, adakah isteri lamanya mempunyai apa2 hak ke atas suaminya kerana perkahwinan mereka masih lagi berterusan?

    ReplyDelete