Monday, February 7, 2011

rayuan kes cerai talak tiga melalui tulisan


DALAM MAHKAMAH TINGGI SYARIAH DI SEREMBAN
DALAM NEGERI SEMBILAN, MALAYSIA
RAYUAN PENGESAHAN CERAI KES MAL BIL. 05500-054-002-2007

ANTARA

MUHAMMAD SHAHRUL BIN ABDULLAH                                        PERAYU

DAN

HAZURA AIDA BT ABDUL RAHMAN                                                RESPONDEN

[Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Sembilan, Seremban ( Yang Arif Mohd Nadzri bin Abdul Rahman Ibrahim, HMTS),


Undang-Undang Keluarga Islam - Pengesahan perceraian – Lafaz perceraian secara tulisan – lafaz kinayah – maksud tulisan jelas dan difahami – sama ada memerlukan niat - suami tidak berniat menceraikan isteri – mengadu masalah rumah tangga -  sama ada gugur talak atau pun tidak – talaq 3 sekaligus – sama ada dikira satu atau tiga talaq  Undang-Undang Tatacara Mal Mahkamah Syariah kuasa sedia ada Mahkamah – sama ada penggunaan Bahasa dan status baru memeluk Islam (saudara baru) perlu diambil kira.


Fakta Kes

Kes yang dibicarakan ini adalah satu rayuan yang difailkan oleh Perayu, Muhammad Shahrul bin Abdullah berkaitan dengan Pengesahan Cerai yang telah diputuskan oleh Hakim Mahkamah Rendah Syariah Daerah Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada 24 Januari 2006 yang lalu.

Hakim Bicara telah memutuskan bahawa lafaz cerai diluar dan tanpa kebenaran Mahkamah yang dibuat oleh Perayu melalui tulisannya pada bulan Mei tahun 2005 adalah sah dan telah gugur talaq tiga sekaligus (talaq bain kubra) ke atas Responden.

Perayu tidak berpuashati dengan keputusan Hakim Bicara telah membuat rayuan bagi mengakas semula keputusan tersebut dengan mengemukakan beberapa alasan.


Diputuskan

Selepas mempertimbangkan rayuan Perayu dan setelah mendengar hujah-hujah kedua-dua belah pihak dan setelah meneliti segenap sudut kes ini, maka mahkamah dengan ini memutuskan bahawa;

i.          Rayuan Perayu Mohammad Shahrul bin Abdullah adalah diterima.
ii.         Perintah Mahkamah Rendah Syariah Daerah Kuala Pilah melalui kes mal No. 05003-054-0075-2005 bertarikh 24hb januari 2006 iaitu:

“Lafaz cerai di luar dan tanpa kebenaran Mahkamah yang dibuat oleh Perayu  melalui tulisannya pada Bulan Mei tahun 2005 adalah sah dan telah menggugurkan talak tiga sekali gus (talaq bain kubra) ke atas defendan; dan

Tertakluk kepada peruntukan seksyen 124 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Sembilan, Mahkamah memberi kebenaran untuk perceraian ini didaftarkan”


adalah dibatalkan dan Mahkamah mensabitkan bahawa perkahwinan antara perayu, Mohammad Shahrul bin Abdullah K/p  780509-05-5023 dan Responden Hazura Aida binti Abdul Rahman K/p 850327-05-5494 pada 19hb Mac 2005 adalah berterusan dan tidak gugur talak.

iii.        Surat pendaftaran perakuan cerai no 9/06 no. siri 008349 bertarikh 7hb Februari 2006 hendaklah dibatalkan.

iv.        Mahkamah memerintahkan bahawa Perayu Mohd Shahrul bin Abdullah dan Responden, Hazura Aida binti Abdul Rahman adalah kekal sebagai suami isteri dan pihak-pihak hendaklah kembali kepada perkahwinan yang asal.


Peguam Syarie

1.    Tuan Mohamad Nor Hisham Hussain dari Saaran & Co,  bertindak mewakili pihak Perayu.
2.    Responden mewakili diri sendiri.

Surah al-Quran yang dirujuk

1.            Surah al Rum ayat 21

Undang-undang yang dirujuk

1.    Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Sembilan) 2003
2.    Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003
3.    Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003,

Kes-kes yang dirujuk

1.    Mohamed bin Mohd Ali lwn Roslina bt Mohd Yusoff, (1993) JH VIII/ II,  275
2.    Haji Hanafiah lwn Rokiah (1981) JH II/I, 103,

Kitab-kitab yang dirujuk

1.    al-Iqna, Syeikh Shamsuddin Muhammad, jil. 2,
2.    Hashiah I'anat al-Talibin, al-Sayyid al-Bakri, juz 4,
3.    al-Fiqh ‘ala al-Mazahib al-Arba’ah, Abdul Rahman bin Muhammad ‘Aud al-Juzairy, juzuk 4,
4.    I’anah al-Talibin, S. al-Bakri, juz 4, t.t.
5.    Fiqh dan Perundangan Islam, (terjemahan), Wahbah al-Zuhaili, jilid 7,
6.    Fathul Mu’in, Zainuddin Abdul Aziz, juz 4, t.t
7.    The Complete System of Divorce (Thalaaq), Mufti Abdul Jaleel Qasmi, Adam Publisher and Distributor, 2003.

ALASAN PENGHAKIMAN

Kes di hadapan saya adalah berkaitan dengan rayuan pengesahan cerai yang telah difailkan oleh Perayu melalui Peguam Syarienya mengenai satu permohonan rayuan pengesahan cerai dan didaftarkan dengan pendaftaran No. 05500-054-0002-2007 di Mahkamah Tinggi Syariah Seremban. Pada 24 Januari 2006, sewaktu kes ini didengar di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Kuala Pilah melalui kes mal No. 05003-054-0075-2005, Hakim Bicara Mahkamah Rendah Kuala Pilah telah memutuskan bahawa telah sabit perceraian dengan talak tiga iaitu talak bain kubra ke atas Perayu dan Responden berdasarkan kepada lafaz penceraian melalui tulisan yang dibuat oleh Perayu di dalam Borang Aduan dan Rundingcara di hadapan Penolong Pegawai Rundingcara Pejabat Agama Islam Daerah Kuala Pilah pada 14 Jun 2005.

Kronologi Kes

1.    Perayu dan Responden telah berkahwin pada 19hb Mac 2005 dan didaftarkan di Pejabat Agama Islam Daerah Tampin, Negeri Sembilan.
2.    Pada bulan Mei tahun 2005, Perayu telah hadir ke Pejabat Agama Daerah Kuala Pilah untuk membuat aduan mengenai masalah rumahtangga yang beliau hadapi.
3.    Semasa mengisi borang aduan dan rundingcara tersebut di Pejabat Agama Daerah Kuala Pilah, Perayu pada waktu yang sama telah menulis ayat Bagi saya dah nekad, saya ceraikan Azura Aida binti Abdul Rahman dengan talak tiga”.
4.    Atas nasihat dan saranan pegawai di Pejabat Agama berkenaan, Perayu telah memfailkan satu permohonan pengesahan lafaz cerai di Mahkamah melalui kes mal No. 05003-054-0075-2005.
5.    Mahkamah berpandukan kepada keterangan lisan dan juga dokumen borang aduan Perayu, memutuskan bahawa telah gugur talak tiga (talak bain Kubra) ke atas Responden.
6.    Perayu tidak berpuashati dengan keputusan Mahkamah Rendah telah mengemukakan rayuan ke Mahkamah Tinggi Syariah dengan memberikan beberapa alasan iaitu :-

(i)    Yang Arif Hakim telah terkhilaf dari segi undang-undang / Syara’ kerana memutuskan telah  jatuh talaq tiga,
(ii)  Yang Arif Hakim tersilap atau terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta kerana tidak meneliti keadaan sebenar Perayu semasa lafaz cerai tersebut dikeluarkan,
(iii) Yang Arif Hakim tersilap atau khilaf dari segi undang-undang / Syara’ kerana membuat keputusan berdasarkan kepada pendapat ijtihad sahaja.

Isu yang timbul di sini adalah sama ada keputusan Hakim Bicara itu bertepatan dengan hukum syarak atau tidak dan sama ada berlaku atau  tidak penceraian di antara Perayu dan Responden.

Bidangkuasa Mahkamah

Perkara utama yang perlu diteliti dan diambil pertimbangan oleh Mahkamah  ini ialah adakah Mahkamah ini mempunyai bidangkuasa untuk mendengar dan memutuskan rayuan yang dikemukakan ini.

Seksyen 61 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003, memperuntukkan mengenai bidangkuasa Mahkamah Tinggi. Seksyen tersebut menyebut:

(1)    Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah mempunyai bidang kuasa di seluruh Negeri Sembilan dan hendaklah diketuai oleh seorang Hakim Mahkamah Tinggi Syariah.
(2)    Walau apa pun subseksyen (1), Ketua Hakim Syarie boleh bersidang sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Syariah dan mengetuai Mahkamah itu.
(3)    Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah –
(a)    ……
(b)    dalam bidang kuasa malnya, mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding jika semua pihak dalam tindakan atau prosiding itu ialah orang Islam dan tindakan atau prosiding itu adalah berhubungan dengan –

i)               pertunangan, perkahwinan, ruju’, perceraian, pembubaran perkahwinan (fasakh), nusyuz, atau pemisahan kehakiman (faraq) atau apa-apa perkara yang berkaitan dengan perhubungan antara suami dengan isteri;


Manakala di dalam seksyen 63 Enakmen yang sama pula menyatakan peruntukan yang berkaitan dengan rayuan daripada Mahkamah Rendah Syariah kepada Mahkamah Tinggi Syariah :-

(1)     Rayuan boleh dibuat kepada Mahkamah Tinggi Syariah daripada apa-apa keputusan sesuatu Mahkamah Rendah Syariah—

(a) …………………..

(b) dalam bidang kuasa malnya—

(i)     oleh mana-mana orang yang terkilan dengan keputusan itu, jika amaun yang dituntut itu tidak kurang daripada satu ribu ringgit;
(ii)    dalam semua kes yang melibatkan apa-apa keputusan mengenai taraf diri, oleh mana-mana orang yang terkilan dengan keputusan itu; dan
(iii)   dalam semua kes yang berhubungan dengan nafkah orang-orang tanggungan, oleh mana-mana orang yang terkilan dengan keputusan itu, tetapi tiada rayuan boleh dibuat terhadap keputusan yang telah dibuat dengan persetujuan; dan

(c) dalam apa-apa kes lain, jika Mahkamah Tinggi Syariah memberikan  kebenaran untuk merayu.

(2)      Dalam mana-mana rayuan, Mahkamah Tinggi Syariah boleh—

(a)   ………………………..

(b)   dalam perkara mal, mengesahkan, mengakaskan atau mengubah keputusan Mahkamah perbicaraan, menjalankan mana-mana kuasa yang boleh dijalankan oleh Mahkamah perbicaraan, membuat apa-apa perintah yang sepatutnya dibuat oleh Mahkamah perbicaraan, atau memerintahkan perbicaraan semula.


Sama ada Talaq yang dibuat gugur  atau pun tidak

Persoalan sama ada telah gugur atau pun tidak talaq yang telah dilafazkan itu adalah bergantung kepada rukun-rukun dan syarat-syarat rukun telah dipenuhi atau pun tidak. Syeikh Shamsuddin Muhammad di dalam Kitab al-Iqna’ jil. 2, hlm. 287, dalam bab al-Talaq, menyebut bahawa rukun talaq terbahagi kepada lima iaitu; sighah (lafaz talaq), mahal (orang yang ditalaq atau isteri), wilayah (kekuasaan), qasad (niat) dan mutallaq (pentalaq). Dalam kes ini, Mahkamah berpandangan bahawa rukun yang berkaitan dengan mahal (isteri), adalah jelas dan tidak menimbulkan sebarang keraguan.

Rukun pertama yang perlu Mahkamah perjelaskan adalah berkaitan dengan Mutallaq iaitu suami. Disyaratkan ke atas suami mestilah seorang mukallaf sebagaimana yang di tulis di dalam Kitab al-Iqna’ jil. 2, hlm. 287, yang menyatakan bahawa :-

Dan disyaratkan pada orang yang menjatuhkan talaq itu walaupun dengan lafaz taklik, mestilah seorang yang mukallaf, maka tidak sah talaq orang yang bukan mukallaf. Ini berpandukan kepada hadis ‘Diangkat qalam (tidak dikira bersalah) seseorang itu kerana tiga perkara iaitu, orang yang gila sehingga ia sedar, orang yang tidur sehingga ia bangun dan kanak-kanak sehingga ia baligh”. Dikecualikan dalam hal talak ini orang yang mabuk, maka sah talak yang dilafazkan oleh orang mabuk sebagaimana yang di dalam Kitab Raudhah.

Mahkamah berpandangan bahawa Perayu adalah seorang yang mukallaf di mana sekiranya lafaz talaq yang dibuat oleh Perayu itu bertepatan dengan hukum Syarak, maka talaq itu dikira sah.

Rukun yang seterusnya adalah berkaitan dengan Wilayah, iaitu kekuasaan, yang bermaksud seorang suami itu berkuasa penuh untuk menjatuhkan talaq ke atas isterinya. Kekuasaan juga membawa maksud tidak dipengaruhi atau dipaksa oleh mana-mana pihak dengan apa-apa ugutan atau ancaman. Dalam kes ini, Mahkamah dapati Perayu adalah seorang suami yang berkuasa penuh ke atas isterinya. Berdasarkan kepada keterangan Perayu, Mahkamah juga mendapati bahawa tiada unsur-unsur paksaan atau pengaruh daripada mana-mana pihak yang memaksa Perayu menceraikan isterinya.

Rukun yang berikutnya adalah berkaitan dengan sighah iaitu lafaz talaq yang dibuat oleh Perayu dan juga qasad atau niat untuk melakukan talaq. Mahkamah gabungkan kedua-dua rukun ini kerana ia mempunyai kaitan rapat. Dalam kes ini, Perayu telah hadir ke Pejabat Agama untuk membuat aduan mengenai masalah rumah tangga yang Perayu hadapi. Semasa mengisi borang aduan, Perayu tanpa pengaruh daripada mana-mana pihak telah menulis “Bagi saya dah nekad, saya ceraikan Azura Aida binti Abdul Rahman dengan talak tiga”.

Jika dilihat pada tulisan yang dibuat oleh Perayu, maksudnya adalah cukup jelas dan terang. Walaubagaimanapun, mengikut Hukum Syara’, lafaz talaq melalui tulisan adalah sama dengan lafaz talaq secara kinayah atau kiasan yang memerlukan kepada niat suami. Di dalam Kitab Hashiah I'anat al-Talibin, yang dikarang oleh al-Sayyid al-Bakri, di dalam juz 4, hlm. 17 ada menyebutkan mengenai maksud talaq kinayah dan syarat-syaratnya seperti berikut:-

)و ) يقع ( بكناية ) وهى ما يحتمل الطلاق وغيره إن كانت ( مع النية ) لإيقاع الطلاق     ( مقترنة بأولها(

Maksudnya : "dan juga jatuh talaq dengan lafaz kinayah; iaitu suatu lafaz yang yang mengandungi maksud talaq dan maksud selain talaq, sekiranya lafaz tersebut dengan niat pada permulaan lafaznya untuk menjatuhkan talaq."


Takrif kinayah ini diperincikan lagi di dalam kitab tersebut sebagaimana berikut:-

الكناية لفظ يحتمل الطلاق ويحتمل غير الطلاق لكن إحتماله للأول أقرب وفي ترغيب المشتاق ضابط الكناية أن يكون للفظ اشعار قريب بالفرقة ولم يسمع استعماله فيه شرعا

Maksudnya: "Lafaz kinayah adalah suatu lafaz yang membawa maksud talaq dan juga maksud selain talaq, akan tetapi kemungkinan makna talaq adalah lebih kuat dari makna lain, dan pada lafaz selain "musytaq" (sebab kenapa ia dianggap lafaz kinayah) adalah memenuhi ciri-ciri kinayah yang sesungguhya ia lafaz yang maksudnya lebih hampir kepada perceraian, akan tetapi ia bukan lafaz digunakan oleh Syara'.



Seterusnya Mahkamah merujuk lagi kepada kitab yang sama di halaman 30  menyatakan  :-

فرع: لو كتب صريح طلاق أو كنايته ولم ينو إيقاع الطلاق فلغو ما لم يتلفظ حال الكتابة أو بعدها بصريح ما كتبه

Maksudnya: “Sekiranya suami menulis perkataan cerai yang jelas (sorih) atau yang sindiran (kinayah) kepada isterinya atau wali isterinya sedangkan suami tidak meniatkan menjatuhkan talaq dengan apa yang ditulisnya maka tulisan itu sia-sia (tidak jatuh talaq).  Tidak jatuh selagi mana suami tidak membaca/ melafazkan semasa menulis atau selepasnya (menulis) dengan apa yang ditulis mengenai lafaz cerai sorih tetapi tidak jatuh talaq sekiranya ia membaca apa yang ditulisnya mengenai cerai secara kinayah kecuali jika diniatkan menjatuhkan talaq."


Berkaitan dengan niat untuk mentalaq isterinya, Mahkamah merujuk kepada kes Mohamed  bin Mohd Ali lwn Roslina bt Mohd Yusoff, (1993) JH VIII/II. 275. Kes ini berkaitan dengan lafaz cerai yang dibuat oleh suami yang menyatakan rela ceraikan engkau’. Isu yang perlu mahkamah putuskan sama ada lafaz tersebut lafaz secara kinayah atau lafaz secara sorih. Hakim Bicara telah memutuskan bahawa isu perkataan aku rela ceraikan engkau” iaitu:-
                                      
Perkataan yang digunakan oleh suami dalam kes ini adalah kinayah kepada talaq yang memerlukan niat. Perayu telah menjelaskan yang ianya tidak berniat mentalaqkan isterinya. Oleh kerana itu, tidak terdapat talaq tiga di antara mereka dan perkahwinan mereka tetap sah.


Dalam kes di hadapan saya ini, Perayu menyatakan bahawa tujuan kehadirannya ke Pejabat Agama adalah semata-mata kerana hendak membuat aduan berkaitan dengan masalah rumahtangga yang Perayu hadapi dengan Responden. Semasa menulis borang aduan tersebut, Perayu telah menulis lafaz yang menyatakan “Bagi saya dah nekad, saya ceraikan Azura Aida binti Abdul Rahman dengan talak tiga”. Lafaz ini hanya dilakukan di dalam borang aduan di hadapan Penolong Pegawai Rundingcara, Perayu tidak pernah melafazkan cerai secara lisan terhadap isterinya di hadapan pegawai berkenaan. Perayu juga menyatakan bahawa Perayu juga tidak pernah melafazkan cerai terhadap Responden dan Responden tidak pernah mengetahui sama sekali lafaz penceraian yang dibuat di dalam borang aduan berkenaan.

Perayu juga turut menyatakan bahawa beliau memfailkan tuntutan pengesahan lafaz cerai kerana telah di minta oleh pegawai di Pejabat Agama untuk merujuk kes ini ke Mahkamah Rendah Syariah. Perayu telah menafikan bahawa dia berniat menceraikan isterinya dengan memfailkan kes di Mahkamah Rendah Syariah.

Isu sama ada jatuh atau pun tidak talaq 3

Secara umumnya, talaq terbahagi kepada dua, pertama talaq secara sorih ataupun jelas maksudnya seperti suami berkata “aku talaq akan dikau”. Yang kedua ialah talaq secara kinayah iaitu lafaz yang memberi erti talaq dan juga selain dari talaq. Jika soreh atau jelas tidak memerlukan niat, dan kinayah pula memerlukan niat.

Dalam kes ini, kenyataan berbentuk tulisan yang dibuat oleh Perayu di dalam borang aduan tersebut yang berbunyi “saya ceraikan Azura Aida binti Abdul Rahman dengan talak tiga” adalah jelas. Walau bagaimanapun, mengikut hukum Syara’, apa-apa lafaz perceraian yang dibuat secara tulisan merupakan lafaz penceraian yang berbentuk kinayah, yang memerlukan kepada niat penulis lafaz. Ini adalah berpandukan kepada pendapat Mazhab Syafie berkaitan dengan talak dalam bentuk tulisan dan boleh dilihat di dalam Kitab al-Fiqh ‘ala al-Mazahib al-Arba’ah, yang dikarang oleh Abdul Rahman bin Muhammad ‘Aud al-Juzairy dalam  juzuk 4, hlm. 221 menyatakan bahawa :-

Adapun talak dengan tulisan, sesungguhnya ia adalah sama dengan kedudukan talak secara lisan. Dan dikira tulisan itu sebagai talak dengan syarat:-

1.     Bahawa ia disertai dengan niat. Sekiranya suami menulis kepada isterinya kamu telah ditalaq tetapi tidak sertai dengannya niat, maka tidak dikira sebagai talak. Ini kerana tulisan itu dikira sebagai talak dengan kinayah. Sama ada itu adalah perlakuan seseorang yang mampu untuk berfikir, atau perlakuan seseorang yang bisu. Sekiranya ia adalah perlakuan orang yang diketahui bisu, maka hendaklah dinyatakan lafaz dengan berkata : “Sesungguhnya aku berniat mentalak” untuk menjelaskan niat talak dengan tulisannya.

2.     Adalah tulisan itu hendaklah ditulis di atas sesuatu yang boleh ditulis seperti kertas, kulit, kain dan seumpamanya. Sama ada ditulis dengan dakwat atau selainnya, atau diukir untuk menggambarkan mentalakkan isterinya ke atas batu, atau kayu atau ditulis di atas bumi. Maka apabila dilukis pada udara atau pada air, maka tidak dikira dan tidak jatuh dengannya talak walaupun dengan niat.

3.     Adalah suami itu menulis dengan sendirinya. Maka kalaulah diperintah orang lain yang menulis talak itu dan berniat mentalak dengan tulisan orang lain, maka sesungguhnya ia tidak dikira dan tidak jatuh dengannya talak kerana disyaratkan bahawa tulisan dan niat itu mesti daripada suami sahaja.

Di dalam kitab Fiqh dan Perundangan Islam, jil. 7, hlm. 502,  oleh Wahbah al-Zuhaili menyebut:
“menurut Mazhab Maliki, mereka yang menulis talaq dan keadaannya bertekad untuk menceraikan isteri, maka lazim (sah) sekiranya ia tidak teragak-agak mengenainya. Jika ia menulis talak, keadaanya berazam untuk menceraikan isterinya atau tidak ada niat, maka talaqnya menjadi lazim dengan semata-mata ia menulis  kalimah tertalak, Jika suami tidak berazam talak ketika menulis, bahkan ia teragak-agak atau masih meminta pendapat dan nasihat, maka tidak jatuh talaq selagi tulisan itu tidak terkeluar daripada dalam tangannya dan diberi kepada orang untuk disampaikan kepada isterinya, sesungguhnya yang menjadi ukuran pada talaq dengan tulisan ialah dengan niat.

Ulamak Shafie berpendapat sama dengan ulamak Maliki bahawa seseorang lelaki menulis talaq isterinya dengan lafaz yang terang dan tanpa niat, maka ia adalah sia-sia (lagha)”.

Menurut Mufti Abdul Jaleel Qasmi di dalam bukunya ‘The Complete System Of Talaq’ (Adam Publishers & Distributors, New Delhi, t/t, hal.146) menyebut:

“…sebagaimana yang telah disebut, talaq boleh gugur dengan maksud daripada perkataan yang bertulis (melalui tulisan), mana-mana jenis talaq sama ada bain, rajie atau sebagainya akan gugur bergantung kepada bentuk tulisan. Bagaimanapun, ada ketikanya perkataan yang ditulis itu tidak memberi kesan kepada talaq dan bergantung kepada niat penulisnya. Sebagai contoh, jika seseorang menulis satu surat dan tidak berniat hendak menjatuhkan talaq, tetapi perkataan mengenai talaq itu wujud di dalam perbincangan di dalam surat tersebut, maka dalam keadaan ini talak tidak memberi kesan tanpa kehadiran niat. ”


Di dalam kes Haji Hanafiah lwn Rokiah (1981) JH II/I, 103, Jawatankuasa Ulangbicara telah merujuk kepada nas di dalam kitab Fathul Mu’in oleh Zainuddin Abdul Aziz, juz 4, hal. 16 yang menyebut :

“Sekiranya ia (suami) menulis lafaz talak sarih (jelas) atau talak kinayah dengan tidak berniat melakukan talak, tulisannya itu tidak diambil kira selama mana ia tidak menyebut lafaz yang ditulis secara jelas pada masa ia menulis  atau selepasnya. Dakwaannya ; saya bermaksud membaca apa  yang ditulis akan tetapi saya tidak bermaksud melakukan talak, dakwaannya itu diterima, kerana ada kemungkinannya sedemikian”

Jawatankuasa itu juga merujuk kepada nas dari kitab I’anah al-Talibin oleh S. al-Bakri, juz 4, hal 17 yang berbunyi:

Ringkasnya bahawa menyebut sesuatu yang ditulis tanpa berniat dikira berlaku talak, kiranya lafaz yang disebutnya itu jelas. Sebaliknya jika lafaz yang disebut itu tidak jelas ianya hendaklah disertai dengan niat”


Dalam kes di atas, Jawatankuasa Ulangbicara telah memutuskan bahawa tidak gugur lafaz talak tiga menerusi tulisan yang dibuat oleh Perayu, Haji Hanafiah kerana tidak ada niat oleh Perayu dan pendaftaran cerai yang telah dibuat sebelumnya adalah dibatalkan.

Didalam kes dihadapan saya ini, YA Hakim Bicara yang bijaksana, dengan hormatnya  didalam penghakimannya ada menyebut:

“perlu juga dijelaskan bahawa, bilamana Hukum Syara’ memutuskan bahawa lafaz sorih tidak memerlukan niat untuk menjadikan talaq gugur, bagaimana pula dengan rukun qasad kerana seolah-olah ia memberi maksud talaq itu tidak gugur melainkan dengan adanya qasad (kehendak). Akan tetapi qasad di sini bermakna kehendak berlafaz dengan perkataan talaq  dan buklan bermaksud berniat menggugurkan talaq semasa melafazkannya kerana syarat niat hanya untuk rukun sighah kinayah seperti dijelaskan tadi.”

Saya percaya Yang Arif Hakim Bicara yang bijaksana telah terlepas pandang mengenai perkara ini kerana dari penjelasan sebelum ini, talak melalui tulisan mestilah mengandungi niat biarpun ditulis dengan jelas.

Saya juga merujuk dan mengambil pertimbangan  mengenai status atau keadaan diri Perayu sewaktu lafaz talak ini ditulis. Perayu  di dalam keterangan sewaktu di hadapan Hakim Bicara menyatakan bahawa beliau mengaku menulis  ayat berbunyi “saya nekad,  ceraikan Azura Aida binti Abdul Rahman dengan talak tiga”. Perayu mengakui beliau menulis perkataan tersebut di dalam borang Rundingcara Jabatan Agama Daerah Kuala Pilah untuk mengadu masalah rumahtangganya pada bulan 5 tahun 2005. Antara kandungan aduan tersebut ialah:

“ Saya Muhammad Shahrul bin Abdullah, ingin nak mengadu dan minta cerai talak tiga. Saya menghadapi masalah dengan isteri saya iaitu Azura Aida binti Abdul Rahman, selalu bergaduh, dia kurang yakin kat saya, ia bertanya hal saya yang bukan-bukan. Malam-malam menagis dan menyusahkan saya. Saya selalu bersabar dan kuatkan iman tetapi pun susah sampai saya nak bunuh diri saya. Kerana tak tahan perangai dia. Kalau nak cari gaduh, bukan hari-hari. Letih, bosan dan benci dengan kehidupan  begini. Saya rasa hidup macam kat neraka di dalam dunia ni. Saya minta dengan Pegawai Syaria untuk menyelesaikan  masalah ini. Bagi saya dah nekad, saya ceraikan Azura Aida binti Abdul Rahman talak tiga”


Selepas mengisi borang aduan tersebut, perayu telah meninggalkan Pejabat Agama Kuala Pilah. Di rumah Responden dan Perayu bergaduh lagi dan Responden tiba-tiba nak bunuh diri dan ambil pisau nak bunuh, hentak-hentak kepala ke dinding dan marah-marah Perayu. Menurut perayu, dia ada memujuk Responden tetapi keadaan sama juga yang berlaku. Perayu kemudiannya ke Pejabat Agama Kuala Pilah  keesokan harinya untuk ambil borang tersebut tetapi borang itu telah diberikan oleh Pegawai Agama kepada Mahkamah. Ayat yang menyebut “ ingin nak mengadu dan minta cerai talak tiga”  Jelas menunjukkan niat asal Perayu mengenai tujuannya ke Pejabat Agama Kuala Pilah. Ayat yang seterusnya pula menyentuh mengenai masalah rumahtangga perayu dan responden. Manakala ayat tersebut diakhiri dengan “ Bagi saya dah nekad, saya ceraikan Azura Aida binti Abdul Rahman talak tiga”. Dari sudut penggunaan bahasa, Ayat terakhir adalah menerangkan ayat awalan, iaitu ingin mengadu dan minta cerai talak tiga, keadaan perayu yang ingin mengadu itu adalah sesuatu yang nekad hendak dilakukan oleh perayu dan berharap Jabatan Agama Kuala Pilah akan menyelesaikan masalah rumahtangga pengadu, kerana usaha pengadu untuk menyelesaikan perkara itu sebelum ini dengan mengadu kepada keluarga angkat telah gagal. Gaya bahasa yang digunakan pula adalah bahasa pasar pertuturan dialek harian oleh seorang berbangsa India yang bercakap Melayu, maka adalah tidak menghairankan ayat-ayat yang ditulis mungkin meragukan jika difahami dalam bahasa Malaysia standard dan keadaan ini adalah sesuatu yang normal dalam masyarakat Malaysia yang mana Hakim Bicara sepatutnya memberi pertimbangan yang teliti dalam konteks ini.

Selain dari pertimbangan tersebut, saya juga melihat kepada status Perayu yang baru memeluk Islam pada 5hb Februari 2001. Perayu berkahwin dengan Responden pula pada Mac 2005, iaitu lebih kurang 4 tahun 1 bulan selepas beliau memeluk Islam. Mahkamah percaya, Perayu masih belum mengetahui secara jelas mengenai hukum hakam perkahwinan mengikut syarak secara terperinci, apatah lagi perkahwinan yang dibina hanya beberapa bulan sahaja dari tarikh peristiwa ini berlaku, iaitu lebih kurang dua bulan selepas perkahwinan dilangsungkan. Dengan hormatnya perkara ini juga telah tidak diberi perhatian sebaiknya oleh Hakim Bicara yang bijaksana.

Dari keterangan perayu sewaktu di hadapan Hakim Bicara, saya percaya tindakan Perayu ke pejabat Agama adalah untuk membuat aduan mengenai masalah rumahtangganya dan tidak ada langsung niat untuk menceraikan Responden. Bagaimanapun, gaya bahasa dan bentuk ayat yang digunakan dalam borang aduan tersebut menyebabkan Pegawai Agama yang bertugas telah bertindak dengan betul untuk mengenengahkan perkara ini ke Mahkamah bagi mendapatkan penjelasan yang lebih lanjut.

Di dalam kitab al-Iqna’ jil. 2, hlm. 287, yang dikarang oleh Syeikh Shamsuddin Muhammad ada disebut:

‘Diangkat qalam (tidak dikira bersalah) seseorang itu kerana tiga perkara iaitu, orang yang gila sehingga ia sedar, orang yang tidur sehingga ia bangun dan kanak-kanak sehingga ia baligh”. Dikecualikan dalam hal talak ini orang yang mabuk, maka sah talak yang dilafazkan oleh orang mabuk sebagaimana yang di dalam Kitab Raudhah’.

Saya juga merujuk kepada laporan daripada Pejabat Mufti Negeri Sembilan bertarikh 08hb  Ogos 2006 (berdasarkan tarikh fax) yang menyebut:

“selaku Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, saya berpendapat bahawa keputusan beliau untuk menceraikan isterinya dibuat dalam keadaan tidak waras dan jahil tentang Hukum Syarak. Berdasarkan nas dari hadith nabi, barangsiapa yang menceraikan isterinya dalam keadaan marah, maka talak tidak akan jatuh. Begitu juga sekiranya orang yang melafazkan talak tersebut dalam keadaan jahil dan tidak mengetahui tentang akibat dan kesan daripada perbuatannya.”

Mengenai jumlah talaq pula,  Mahkamah berpendapat bahawa, apabila isu lafaz itu diragui sama ada jatuh atau pun tidak talaq, maka isu mengenai bilangan talaq yang jatuh juga bergantung sepenuhnya kepada isu yang asal iaitu sama ada sah atau pun tidak talaq yang dibuat oleh suami.

Dalam kes ini, Perayu menafikan bahawa dia berniat untuk menceraikan isterinya, apabila perayu tiada niat untuk menceraikan isterinya, maka lafaz penceraian dengan talaq tiga secara tulisan tersebut tidak boleh dikira jatuhnya talaq tiga. Oleh itu, Mahkamah berpandangan bahawa tidak gugur talaq sama sekali dan perkahwinan Perayu dan Responden masih lagi sah.

Mahkamah sebelum membuat keputusan, berharap dan mendoakan agar Perayu dan Responden dapat hidup dengan baik dan aman seperti yang dikehendaki oleh Allah S.W.T. mengikut firman-Nya di dalam al-Quran dalam surah al-Rum ayat 21:-


ô`ÏBur ÿ¾ÏmÏG»tƒ#uä ÷br& t,n=y{ /ä3s9 ô`ÏiB öNä3Å¡àÿRr& %[`ºurør& (#þqãZä3ó¡tFÏj9 $ygøŠs9Î) Ÿ@yèy_ur Nà6uZ÷t/ Zo¨Šuq¨B ºpyJômuur 4 ¨bÎ) Îû y7Ï9ºsŒ ;M»tƒUy 5Qöqs)Ïj9 tbr㍩3xÿtGtƒ ÇËÊÈ  

Bermaksud : dan di antara tanda-tanda Yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, Bahawa ia menciptakan untuk kamu (Wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya Yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang Yang berfikir.


Mahkamah juga ingin menasihatkan  kepada Perayu dan Responden sekiranya timbul permasalahan dalam rumahtangga kemudian hari, janganlah terburu-buru mengambil tindakan perceraian akan tetapi hendaklah merujuk terlebih dahulu kepada pihak-pihak berkenaan untuk mencari jalan penyelesaian yang lebih baik kepada semua pihak.


Keputusan Mahkamah

Selepas mempertimbangkan rayuan Perayu dan setelah mendengar hujah-hujah kedua-dua belah pihak dan setelah meneliti segenap sudut kes ini, maka mahkamah dengan ini memutuskan bahawa;

i.          Rayuan Perayu Mohammad Shahrul bin Abdullah adalah diterima.
ii.         Perintah Mahkamah Rendah Syariah Daerah Kuala Pilah melalui kes mal No. 05003-054-0075-2005 bertarikh 24hb januari 2006 iaitu:

“Lafaz cerai di luar dan tanpa kebenaran Mahkamah yang dibuat oleh Perayu  melalui tulisannya pada Bulan Mei tahun 2005 adalah sah dan telah menggugurkan talak tiga sekali gus (talaq bain kubra) ke atas defendan; dan

Tertakluk kepada peruntukan seksyen 124 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Sembilan, Mahkamah memberi kebenaran untuk perceraian ini didaftarkan”


adalah dibatalkan dan Mahkamah mensabitkan bahawa perkahwinan antara perayu, Mohammad Shahrul bin Abdullah K/p  780509-05-5023 dan Responden Hazura Aida binti Abdul Rahman K/p 850327-05-5494 pada 19hb Mac 2005 adalah berterusan dan tidak gugur talak.

iii.        Surat pendaftaran perakuan cerai no 9/06 no. siri 008349 bertarikh 7hb Februari 2006 hendaklah dibatalkan.

iv.        Mahkamah memerintahkan bahawa Perayu Mohd Shahrul bin Abdullah dan Responden, Hazura Aida binti Abdul Rahman adalah kekal sebagai suami isteri dan pihak-pihak hendaklah kembali kepada perkahwinan yang asal.











Disediakan Oleh

…………………………………………
YA Mohd Nadzri bin Abdul Rahman Ibrahim
HMTS
Negeri Sembilan Darul Khusus.

Pada : 9hb Januari 2008

3 comments:

  1. Salam'alaik.. saya pelajar undang-undang syariah. saya ingin mendapatakan full citation untuk kes diatas,. tapi tidak terdapat di library. macam mana untuk saya dapatkan laporan penuh kes diatas. syukran

    ReplyDelete
    Replies
    1. KES MAL BIL. 05500-054-002-2007. This is unreported kes. Most probably tak masuk jurnal hukum. Tapi kadang2 ada cited dlm Current Law Jurnal. Just type nama kes nnti appear la kes tu

      Delete
  2. Bolehkah hukuman talak 3 sekaligus jatuh 3 itu dibuat rayuan agar budi bicara hakim mnjadikan nya jatuh talak 1 ats faktor2 kemudharatan trhadap istitusi kluarga berkenaan...?

    ReplyDelete